Dari Salina ke Langit Petang
Wira Bukit Sdn Bhd yang bertanggungjawab menerbitkan semula buku-buku SN A. Samad Said, bukan sekadar menerbitkan buku. Malah, syarikat milik keluarga ini berusaha bersungguh-sungguh dalam menghasilkan kualiti fizikal sesebuah buku setanding dengan isinya. Ini merupakan suatu aspek yang terabai apabila buku ini pernah diterbitkan oleh DBP sedikit masa dahulu (dan tidak langsung tidak dipromosi ataupun dicetak ulang). Sudahlah tidak dipromosi, kemudian buku-buku begini dianggap tidak laku dan sah untuk jualan gudang pada setiap hujung tahun di DAWAMA.
Sadis!
Nah, buku-buku Pak Samad di tangan Wira Bukit, insya-Allah, mempunyai masa depan yang lebih panjang. Sila ke laman Sdr Helmy Samad untuk melihat sendiri kulit hadapan buku-buku yang akan dicetak pada tahun ini selain daripada Dari Salina Ke Langit Petang, iaitu Cinta Fansuri dan juga Keledang.
Dari Salina ke Langit Petang juga telah dijual secara online di laman Ujana Ilmu.
Sejak penglibatan kecil saya sebagai penerbit dan juga penjual buku, saya mula melihat bahawa frasa don't judge a book by its cover itu hanya boleh digunakan oleh mereka yang tidak terlibat dalam dunia penerbitan. Orang dalam dunia buku, sama sekali tidak akan berkata demikian.
Jadi, kulit buku memang amat penting dalam menyampaikan hasrat isi kandungannya. Oleh itu, bagi mereka yang berhasrat untuk menerbitkan sendiri buku-buku, usah abaikan aspek kulit buku ini. Kulit buku bukan sekadar melindungi kertas-kertas di dalamnya. Fungsinya lebih daripada itu.
Terima kasih Pak Samad, untuk naskhah yang sudah diautograf itu!
Selepas ini, saya perlu bongkar semula perpustakaan saya untuk keluarkan semua buku yang pernah saya beli dan Pak Samad, Arena Wati, Abdullah Hussain dan ramai lagi penulis mapan yang wajib menandatangani buku-buku ini untuk saya abadikan.
Sebenarnya tandatangan pada sesebuah buku itu akan menjadikan buku itu lebih bernilai sentimental kalau tidak pun lebih berharga. Kini saya tidak akan menolak untuk menandatangani sebarang buku yang disua kepada saya (kecuali buku 555), walaupun buku itu bukan buku saya sendiri.
Ulasan
Terima kasih Nisah.