Hala Tuju Penulis Muda

Tulisan Dr. Lim Swee Tin ini bagi saya agak menarik dan wajar dikongsi bersama. Mungkin ramai yang telah membacanya. Kepada yang belum, saya turunkan tulisan beliau yang saya petik dari Utusan Online 1 Februari yang lalu.


Penulis muda - Satu rahmat atau hanya pengacau

Oleh: DR. LIM SWEE TIN

TULISAN Azman Ismail Penulis mapan sering dianaktirikan editor? dalam Utusan Malaysia pada 15 Januari lalu menarik perhatian saya. Isu keterpinggiran penulis mapan akibat langsung daripada kemunculan pesat penulisan angkatan baru sering diperkatakan.

Azman pastinya melihat hal ini sebagai satu kerisauan. Walaupun kemudiannya dirumuskan bahawa angkatan ini tidak sama sekali menggugat penulis-penulis mapan, ia belum berupaya meredakan keadaan.

Apatah lagi, kemunculan ini dikaitkan dengan sikap pilih kasih para editor yang keterlaluan memberikan perhatian mereka kepada karya penulisan angkatan baru sehingga timbul tuduhan hasil cipta penulis mapan terpinggir.

Keadaan sebenarnya saya kira berlainan sama sekali. Jika sepintas lalu terasakan bahawa adanya 'perang' antara generasi, hakikat sebenar kemunculan pengarang-pengarang angkatan pelapis ini merupakan rahmat kepada dunia kesuasteraan tanah air.

Amat ketara kelihatan sedekad dua ini muncul semacam satu kesegaran yang luar biasa di kalangan penulis baru. Baik melalui genre puisi (yang paling teruja digauli), cerpen mahu pun novel, kalangan angkatan ini telah menunjukkan perkembangan dan kemajuan yang membanggakan.

Terus terang ini adalah sesuatu yang amat diperlukan kesusasteraan Melayu dewasa ini. Dunia kesusasteraan tanah air tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada sekelompok pengarang sahaja, apatah lagi apabila ia melibatkan faktor usia. Angkatan pelapis inilah sebenarnya yang menjanjikan kelangsungan survival kesuasteraan Melayu.

Sungguhpun demikian, sebagaimana yang dirasakan, pengarang-pengarang sedia ada, yang sudah dikategorikan sebagai mapan sesungguhnya masih menyumbangkan hasil cipta yang besar.

Lihatlah, sebagai contoh apabila Sasterawan Negara A. Samad Said muncul dengan sesebuah karya, atau buku, ia segera menjadi rujukan. Ia tidak didekati hanya oleh khalayak seangkatan, akan tetapi dinanti-nanti penulis baru dengan penuh keghairahan. Beberapa tahun lalu, terbit Lantai T. Pinke.

Buku karya Sasterawan Negara ini menjadi sumbur rujukan dan penelitian yang bukan sedikit. Amat luar biasa sambutannya. Demikian, saya kira sambutan yang diberikan khalayak bahkan pengarang-pengarang baru yang sudah terbiasa dibentuk dan dibina melalui karya-karya pengarang terdahulu.

Pengarang baru banyak menimba pengetahuan dan pengalaman daripada pengarang lama. Ia ditokok tambah dengan pelbagai masukan ilmu baru yang lebih mengembang. Daripada pelbagai sumber, terutamanya Intenet mereka memperoleh banyak maklumat dan rujukan.

Ini zaman mereka. Keberuntungan ini cukup membantu mempercepat kedewasaan, kematangan dan pembentukan pengarang angkatan terkemudian ini. Dalam hubungan ini, mereka menjadi unsur yang cukup kuat dalam pembinaan kesusasteraan negara.

Jelas sama sekali betapa tidak wujudnya jurang antara mereka. Kedua-duanya sama memainkan peranan, dan sering pula saling melengkapi. Dalam hal ini, kita jangan sesekali lupa bahawa proses penciptaan pengarang baru itu banyak yang disumbangkan pengarang mapan.

Selain A. Samad yang terkenal gemar dan tidak lokek membimbing bakat baru, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein, Baha Zain, Kemala, Anwar Ridhwan, antara lain memberikan komitmen mereka yang cukup tinggi. Kemunculan, bahkan pada hemat saya, kegahan kelompok baru ini menjadi kebanggaan mereka juga.

Soal peminggiran karya pengarang mapan khususnya di media penyiaran saya kira sama sekali tidak terjadi. Jika berulang kali disebut dalam mana-mana majlis, ia andaian yang sebenarnya longgar. Media penyiaran di Malaysia terutamanya memperlihatkan profesionalisme yang cukup tinggi dalam perkara ini.

Sebagai contoh akhbar mingguan terkemuka tanah air yang masih memberi tempat kepada penyiaran karya sastera seperti Mingguan Malaysia dan Berita Minggu masih amat terbuka kepada sesiapa sahaja yang menyumbangkan karya mereka. Jika dilihat majalah, sekadar contoh Dewan Sastera saban keluaran masih memuatkan karya pelbagai lapisan pengarang.

Saya malahan pernah berkata bahawa editor dan penangan ruangan sastera di media kita cukup budiman selain professional.

Saya percaya editor Dewan Sastera tidak pernah memihak sama ada kepada golongan pengarang mapan mahupun kepada kelompok penulis muda. Saya lebih cenderung menyatakan bahawa editor lebih memihak kepada karya yang bermutu! Keputusan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang lalu menunjukkan Dewan Sastera hampir menyapu bersih senarai pemenang genre puisi dan cerpennya.

Namun demikian, jikalau ada kelihatan pada ketika ini pun barangkali terdapat kekerapan yang lebih melonjak karya pengarang-pengarang baru di media. Hal ini, sekali lagi saya percaya bukan sama sekali disebabkan sebarang unsur pilih kasih ataupun kemungkinan meminggirkan karya pengarang mapan.

Apa yang terlihat ialah keghairahan yang besar dalam kalangan pengarang-pengarang baru ini. Ini hal yang sihat. Pengarang-pengarang mapan yang ada pada masa kini pun sebenarnya sudah melalui era keghairahan yang menakjubkan ini.

Cuma barangkali, pada lapis usia yang semakin jauh, ketelitian dan kecermatan berkarya itu ada. Ini yang menyebabkan pengarang-pengarang mapan tidak prolifik dari segi jumlah karya akan tetapi kukuh dari segi pemikiran.

Hal ini membanggakan. Pengarang-pengarang mapan kita atas kapasti kekuatan pemikiran, pengalaman dan pengetahuan seharusnya digunakan semaksimum dalam berkarya keran karya-karya mereka akhirnya akan juga menjadi rujukan pengarang yang sedang dalam proses membina diri mereka.

Sungguhpun demikian, saya kira pengarang-pengarang baru, atas nikmat berkembang pesatnya media penampungan karya yang ada sekarang, ilmu yang diperoleh secara yang cukup sistematik melalui dasar pelajaran, sokongan dan dukungan daripada pelbagai pihak, dan dalam pelbagai bentuk seharusnya menjaga amanah ini sebaik-baiknya.

Apa yang membimbangkan juga ialah ketika orang memperkatakan di sana sini akan kehebatan pengarang angkatan baru kita, tidak kurang nama yang tiba-tiba menghilang dari peta kesusasteraan negara. Walaupun perkara yang sama seringkali juga terjadi dalam pelbagai era, hendaknya kesedaran yang ada tidak mengakibatkan hal yang serupa berulang.

Penulis muda cepat muncul, antaranya malang sekali pantas pula terbenam! Sesama anda haruslah dicari mekanisme yang lebih meyakinkan bagaimana misalnya gejala ini dapat dikurangkan.

Akhirnya, hanya beberapa nama sahaja bertahan. Sekadar mengambil beberapa nama, orang masih menyebut umpamanya Marsli N.O, Zean Kasturi, Shamsuddin Othman, Rahimidin Zahari sebagai cukup berbakat dalam puisi, S. M. Zakir, Feisal Tehrani, Zainal Rashid Ahmad dan Kamariah Kamruddin.

Selain itu terdapat nama-nama lain seperti Nisah Haron, Siti Jasmina Ibrahim, dan beberapa lagi yang membanggakan melalui genre cerpen, termasuk novel, Feisal Tehrani dalam genre drama, dan beberapa yang lainnya, nama-nama lain tidak cukup kukuh.

Dan, seharusnya tidak sama sekali dilupakan nama-nama yang disebut ini bukan lagi pengarang baru sebenarnya. Mereka semakin berusia, karya mereka amat hebat dan antaranya begitu membanggakan. Mereka sudah di ambang kemapanan juga!

Pengarang baru tidak keterlaluan jika dikatakan terlalu ghairah dalam sesetengah keadaan sehingga mengetepikan asas penulisan yang mendasar. Banyak sekali saya menyebut pada masa lalu, kecenderungan sesetengah kelompok ini yang cepat mengambil model karya bukannya menimba ilmu kepengarangan.

Dalam bahasa yang mudah, cara mereka menapak kelihatannya sedikit rakus apabila cepat bermodelkan karya- karya eksprimental umpamanya tanpa menyedari bahawa pengarang yang dimodeli itu bertatih dari bawah, dari garapan yang amat konvensional sifatnya.

Ia kemudian berkembang dililiti kematangan corak penggarapan belasan atau puluhan tahun lamanya. Akibatnya, mereka kelumpuhan stamina sebaik beberapa karya terhasil!

Jika hal-hal seperti yang dinyatakan di atas dapat diatasi atau dielakkan, saya masih berpandangan, kelahiran pengarang-pengarang muda dalam kancah kesusasteraan Melayu moden hari ini adalah satu rahmat.


Dan, tanpa mengetepikan karya yang baik daripada pengarang- pengarang mapan oleh para editor akhbar dan majalah, kita sebenarnya melihat warna-warni yang cukup beragam dalam bidang yang mengasyikkan ini!


Ah! Saya sudah bukan penulis muda lagi rupanya! :-(


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam semuda-mudanya,
Ada beberapa kategori penulis. Penulis yang di ambang kemapanan atau di ambang ke'kapanan'.Penulis yang tua atau yang 'toya'.

Marilah jadi penulis yang 'malar segar'.Kalau frasa penulis muda tu dah tak cocok, barangkali boleh letak 'Nisah Hj.Haron-penulis yang awet muda'. Amacam!Hehehe!
ekspresi berkata…
apa digusar tentang usia? tua pasti tiba. cuma mana karya yang tidak dimakan tua?

Catatan Popular