Kopi oh Kopi


Penulis yang sering berjaga malam, seringkali diasosiasikan dengan kopi. Kandungan kafein yang terdapat di dalam kopi dikatakan dapat 'menyengkang' mata daripada tidur. Jadi, dapatlah menulis dalam jangkamasa yang lebih panjang tanpa gangguan sesiapa hendaknya.

Secara peribadi, saya tidak berapa gemar berjaga malam dengan meminum kopi. Saya juga bukanlah hantu kopi. Pilihan kopi saya selalunya kopi nyah-kafeina (de-caf). Oleh itu, apabila sesekali terkena kopi yang mempunyai kafein, saya akan jadi sukar tidur. Apabila mata sudah dilelapkan, fikiran saya masih lagi berputar seperti kincir angin. Sungguh memenatkan! Tidur pun jadi tidak puas.

Kalau pun saya perlu berjaga untuk menyudahkan sesuatu, lalu saya minum kopi, esoknya, hari saya akan jadi agak bercelaru. Jadi, ini juga menyebabkan saya tidak gemar menggunakan metod minum kopi untuk berjaga malam.

Barangkali faktor umur juga memainkan peranan.

Semalam, ketika bersarapan dengan suami, kami terpandang iklan kopi-kopi yang menggunakan gambar orang-orang tua ranum sebagai model. Orang-orang tua lelaki ini memberi pengindorsan terhadap jenama kopi yang diminumnya. Tentu sahajalah ada kaitan dengan tongkat ali.

Seperti biasa, dalam bisnes orang Melayu, apabila ada satu syarikat dilihat berjaya dengan jenama kopi tongkat ali, akan tumbuh tidak kurang 100 syarikat lagi menceburi bidang yang sama. Apa yang sebenarnya mahu dipropagandakan? Bahawa kopi = melayu = kekuatan seksual? Kalau ada gambar perempuan, mesti disebut kopi dengan kacip fatimahnya.

Mengapa ya? Apakah kekuatan seksual itu teramat penting dalam kehidupan orang-orang Melayu-Islam tanpa memberi keutamaan kepada perkara-perkara lain?

Saya kasihankan pak cik-pak cik ataupun datuk-datuk yang gambarnya dijadikan model untuk jualan kopi-kopi dari jenis ini. Apakah yang mereka cuba buktikan dengan minuman tersebut?

p/s : minumlah air masak 8 gelas sehari, lebih baik untuk kesihatan :)

Ulasan

Azmir Ismail berkata…
Saya memang penggemar minum kopi. Maaf ye .. tetapi, sekadar kopi o biasa. Bukan nescafe. Kalau yg dr rangkaian Starbucks, et al, sekali sekala untuk merasa aja.

Tentang iklan kopi tongkat ali, dahulu saya juga adalah salah satu penggunanya, jenama yang dipromosikan oleh seorang Bintang Popular, tetapi, telah berhenti kerana kesannya tidak se gah yang diwar-warkan. Semuanya adalah gimik sahaja :D
Tanpa Nama berkata…
Salam secawan kopi,
Sedap pula frasa 'bukan hantu kopi' tu. Hehehe!

Jika kopi dikaitkan dengan ketahanan berkarya seorang penulis di waktu malam, mungkin penulislah yang patut mengendorse kopi ni. Atau syarikat kopi tertentu bermurah hati menaja bengkel/seminar penulisan di masa akan datang. Amacam?

Bayangkan...wajah Nisah Haron terpampang di billboard memegang secawan kopi di samping setumpuk karya. Tagline 'Minum Kopi, Jadilah Copywriter'.Jangan marah aaaa!
Tanpa Nama berkata…
Memang sangat betul bagi orang yang berpesonaliti hijau seperti saya, since orang hijau ini kuat bersosial (saya tak sosial, sengaja membataskannya atas sebab-sebab peribadi)dan suka bercakap, itu pasal sex sex is everywhere agaknyalah. Saya tidak boleh membayangkan sebuah rumah tangga penuh cinta tanpa rasa berahi.

Tapi sebenarnya tak semua orang macam tu, contoh:-

Bagi Orang Dusun (badwi)seks itu pemusnah cinta. Sedangkan Arab pekan mengatakan cinta itu bila bertemu bibir dengan bibir, dada dengan dada, lutut dengan lutut. Sesungguhnya Orang Dusun memandang keji penafsiran Orang Pekan ini.

(Data saya ambil dari Cinta dan Rindu menurut Al Quran dan Sunnah oleh Al Jauziah)

So it's a matter of perception dan choisela samaada Dusun atau Pekan. Pilih yang sekufu yang satu kepala tak gitu? Dia tak nak kita beriya-iya nak juga, kan konfliks tu?

p.s. Itu pasai ada orang kata Sheldon semi-porno.
Puan Ainon Mohd. berkata…
Puan,

Sains-sains pakejing dan pengiklanan belum digunakan secara meluas di kalangan industri kecil dan sederhana. Oleh sebab itu pakejing produk-produk IKS Melayu selisih dengan majoriti pengguna yang ditargetkan.

Kes ikon orang tua pada pakejing kopi tongkat Ali adalah kes lazim.

Barang-barang makan dibeli oleh kaum perempuan di kedai. Lelaki tua tidak ke kedai membeli barang dapur.

Kalau kopi tongkat Ali menggunakan gambar lelaki tua, perempuan2 tua, yang suaminya sebaya dengan ikon kopi itu, sudah tidak pergi ke kedai membeli barang-barang makan lagi! Bila pula kita nampak lelaki dan perempuan Melayu usia 60-an pergi kedai membeli serbuk kopi!

Perempuan yang lebih muda takkan mahu beli, sebab hendak pegang paket itu pun dia malu!

Jadi kita perlu uar-uarkan maklumat2 asas dalam sains pakejing an periklanan. Tulis buku seperti itu, PTS boleh terbitkan. Kasihan IKS Melayu...
Unknown berkata…
Cerita pasal kopi mengingatkan saya keenakan minum kopi Payakumbuh, diminum secara tradisional dalam tempurung dan dikacau dengan kayu manis bagi menambah aroma....Enak sungguh!
Mohd Faizal berkata…
off topic: respon komen Pn Ainon..
pakejing = packaging..sudah dimelayu kan ke..kalau buku terbitan tahun 2000 (Fabrikasi Teknologi Semikonduktor), mereka gunakan pembungkusan cip untuk cip Packaging..

satu lagi ,
pengindorsan = endorse??
asosiasi = associate ??

ermm..nampaknya balik ni kena belek kamus dewan lah :-)..
Imran Yusuf berkata…
Assalamu'alaikum Puan Nisah, Puan Ainon, et al,

Saya dulu pun tidak suka minum kopi, tetapi setelah mencuba kopi 'Radix' keluaran HPA (syarikat Bumiputra Islam...), insya Allah rasa badan lebih selesa. Menyegarkan... Dan isteri saya pun suka menum kopis 'Radix' ini. Oh ya, ini bukan iklan produk HPA dan saya pun bukan pengedarnya. Tetapi sekadar nak komen posting Puan Nisah :)
Jong berkata…
salam,
saya minum kopi jantan!
Rebecca Ilham berkata…
Salam, Kak Nisah.

Saya gila minum kopi semester lepas untuk berjaga. Semester ini, jadual tidur sudah improve dan saya tak perlu kopi lagi!

Tapi sesekali, minum juga - melepaskan gian!

:)


P.S Dengarnya kesan ketagihan kafeina sangat dashyat, tapi alhamdulillah, saya boleh berhenti minum tanpa masalah. Atau saya yang belum mencapai tahap peminum kopi tegar?
Unknown berkata…
Salam.

Saya memang seorang peminum kopi. Sehari sekurangnya 2 cawan - tiada gula.

Mungkin kafeina & nikotina satu perkahwinan yang "enak".

Tapi saya setuju dengan saranan Nisah, minumlah air masak banyak-banyak.
Unknown berkata…
Assalamualaikum Puan,

Berkongsi rasa...tentang wajah tua.

Wajah tua itu tidak upaya melihat angkasa...
Wajah tua itu tidak mampu melakar indahnya istana berbintang lima...
Tidak juga tahu ia telah menjelajah dunia
kerana
Riang yang tertera bersalut pecahan duka jiwa muda yang berasa hampa...
"Pakcik itu cuma orang desa."
zf_zamir berkata…
salam,

sebab itu tua punyai seribu satu bahasa..

bahasa pengalamannya terapung bagai awan melirik cahaya, tidak akan habis..

tetapi kadang wujud pertentangan diantara kaum tuda & muda ini..

betapa, teori konflik menyemai revolusi hati si muda, menutup terus sisi pandangan lain..

entahlah, kadang saya boleh saja terima,kadang tidak!
Azree MH berkata…
Rasanya semasa MPR hari itu, kebanyakkan peserta lebih memilih kopi daripada teh. Memang sudah menjadi kegemaran penulis agaknya. hehe.

Catatan Popular