Adakah Permintaan ini Keterlaluan?

Entri ini pernah saya tulis sebelum ini, tetapi perkara yang sama masih berulang. Adakalanya, beberapa perkara harus disebut berulang-ulang supaya menjadi suatu penegasan dan pengukuhan.

Berikut adalah beberapa contoh e-mel yang sampai ke peti surat maya saya :

Emel # 1
as'kum... saya, xxxxxx xxxxx, pljar XXX ingin meminta bantuan puan berkaitan dengan tesis. sy ingin memohon jasa baik puan utk membantu sy dlm mencdgkan bbrp buah novel yg boleh digunakn utk mengkaji kebudayaan ssbuah masy. sy lebih berminat utk mengkaji kebudayaan masyrkt asia. utk pngetahuan puan, sy membuat tesis dlm bhs inggeris, maka sy mengharap puan dpt mncadagkan bbrp novel inggeris @ yang mempunyai terjemahan dlm bhs inggeris. harap puan dapat membantu.. sekian.. terima kasih.

* * * *

Emel # 2
Assalamualaikum puan..saya wwww, pelajar dari wwwww, thun 1. Saya nak tanya pendapat puan Nisah mengenai sastera.petang tadi puan kata sastera x dapat dipisahkan dr apa2 subjek pun. jadi mampu ke sastera ni berdiri dengan sendiri? Adakah pendidikan sastera ni mampu melahirkan generasi yang berketrampilan? sebelum tu saya nak tau apa kefahaman puan mengenai generasi yang berketrampilan. harap ini x mengganggu puan.terima kasih....

* * * *


Emel # 3

sarrah spears

dear speakers...

kind informed attached a copy of the invitation letter for your further action and savekeeping.

i have also faxed and posted the same copy to the respective faxed numbers.

should you have any inquires please do not hesitate to e-mail or contact me at xxxxxxxx.

i look forward to hearing from you soon.


* * * *

Emel # 4
assalamualaikum
sebelum saya melanjutkan penulisan saya ini...mungkin saya boleh bahasakan diri saudari kak nisah....saya pun masih muda lagi...sebenarnya camni kak...saya ni dulu memang kalu bab2menulis memang malas sgt...kalu madah penulisan ada cam2 je alasan xnak buat keje...tapi skgni saya makin berminat nak menulis...dan antara cita2 saya skgni saya juga nak menulis...akan tetapi masalahnya...saya tak tahu nak mula camna...dan apa langkah pertama yg saya perlu buat...saya skgni masih study lagi...harap akak dapat bantu saya.

syukran kak.

* * * *
Andainya pengirim-pengirim e-mel di atas sahabat-sahabat saya sejak kecil, teman-teman sekuliah, sama-sama bergelumang dalam lumpur persahabatan; pendek kata, bukan orang lain pada saya, tidak menjadi hal sangat kalau menulis e-mel lebih kurang sama dengan bahasa SMS. Tetapi selalunya, sahabat-sahabat saya, biasanya teman-teman penulis tidak pun menggunakan gaya bahasa seperti di atas.

Andainya, e-mel di atas ditujuakan kepada kawan-kawan mereka yang sebaya, mungkin tidak menjadi hal sangat. Itu pilihan peribadi.

Saya faham, ada kemungkinan mereka yang menghantar e-mel tersebut tidak memahami 'dasar' bahasa yang saya amalkan. Apabila kita berurusan buat pertama kali dengan orang yang tidak dikenali, ada banyak perkara tentang diri, penampilan dan apa sahaja akan diperhatikan. Mengapa kalau kita pergi untuk temu duga, kita boleh sahaja memakai pakaian yang terbaik, memberi penampilan terbaik hanya untuk memenangi hati panel?

Mengapa dalam hal-hal bahasa dan komunikasi yang menggunakan tradisi persuratan begini, aspek kebahasaan langsung terabai?

Masih ingatkah (atau mungkin pernah terbaca) surat-surat orang dahulu kala? Sebelum menyatakan maksud (yang biasanya hanya akan ditemui pada perenggan ketiga), pengirim surat itu akan menyatakan puji-pujian kepada Allah, Rasul dan juga mendoakan kesihatan serta kesejahteraan penerima surat tersebut terlebih dahulu.

Kebanyakan e-mel di atas isinya mahu meminta bantuan. Jadi, kalau kita minta tolong dengan seseorang itu, bukankah kita akan meminta sebaik mungkin. Tolonglah, ini bukannya minta tolong menggunakan telefon bimbit. Kependekan-kependekan yang digunakan menunjukkan sikap sambil lewa pihak yang bertanya. Hatta mengeja perkataan 'saya' pun tidak boleh disempurnakan lagi.

Jadi, mengapa harus saya menjawab persoalan mereka sebaik mungkin?

Ya, saya tetap membalas e-mel mereka dengan baik (tanpa memberikan jawapan yang diminta). Saya minta jasa baik mereka supaya sekurang-kurangnya membetulkan ejaan dan juga tatabahasa. Selepas mereka membetulkannya dan mengirim semula e-mel itu, insya-Allah, saya akan cuba menjawab permintaan mereka.

Dalam kes e-mel # 3, pengirimnya dari pelajar sebuah institusi pengajian tinggi yang mahu mengundang saya untuk ceramah undang-undang. E-mel tersebut turut melanggar nahu Bahasa Inggeris. Penggunaan huruf besar/huruf kecil semuanya tunggang langgang. Paling malang, pengirim e-mel tersebut tidak memperkenalkan diri. Saya pun tidak pasti sama ada mahu memanggilnya 'sarrah spears' ataupun 'addy peterpan' ketika membalas e-mel tersebut.

Terdahulu, pengirim e-mel # 3 ini telah menghubungi saya melalui telefon. Dia mahu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan saya. Saya pun melayan menggunakan bahasa yang sama. Dia kerap memanggil saya dengan panggil 'Sis Anisah'. Saya pun dengan sabar membetulkan. Saya kata nama saya Nisah, bukan Anisah dan kalau pun mahu meletakkan sebarang gelar pada nama saya, boleh panggil Puan Nisah ataupun Madam Nisah, jika mahu berbahasa Inggeris.

Dia seperti terpinga-pinga. Apabila surat undangan dihantar kepada saya, masih lagi tertera 'Sis Anisah' di dalam surat tersebut. Panggil kali kedua selepas itu juga dia masih lagi memanggil saya 'Sis Anisah'.

Aduhai, pelajar universiti ni! Perlukah saya membetulkan sampai 10 kali? Mahu tidak mahu, saya mengirim e-mel kepada pensyarahnya. Beliau mengambil perhatian perkara tersebut dan pada hari majlis berlangsung, saya tidak lagi dipanggil 'Sis'. Pensyarah itu juga mohon maaf bagi pihak anak muridnya. Sayangnya, 'Sarrah Spears' atau 'Addy Peterpan' itu tidak muncul memperkenalkan diri dan minta maaf dari saya.

Sukar benarkah untuk menulis e-mel menggunakan ayat dan ejaan yang sempurna?


"BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA"

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum Puan Nisah,

Maaf jika coretan ini kelihatan seperti menyampuk, tetapi saya berasa amat terpanggil untuk "menyumbang" hasil pemerhatian saya dalam perihal berbahasa ni.

Sememangnya kebanyakan orang sekarang amat kurang mementingkan ejaan, nahu dan sebagainya dalam Bahasa Melayu. Apa yang lebih menyedihkan, apabila kadangkala kita menunjukkan kesungguhan untuk memperbetulkan dan menunjukkan kesalahan tersebut untuk manfaat bersama, dipandangnya pula kita ni sebagai orang yang terlalu mementingkan perkara "remeh". Aduhai bangsaku, betapa malu dan ruginya apabila bangsa lain di negara ini bersusah-payah mempelajari bahasa rasmi negara ini dengan begitu teliti, bangsa kita sendiri kurang ambil pusing. Sudahlah kebanyakan kita biasanya hanya dapat menguasai 2 bahasa sahaja, iaitu Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda, berbanding bangsa lain yang menguasai 3 bahasa - termasuk bahasa mereka sendiri. Tidakkah melihat ini sebagai satu kekurangan diri yang sangat-sangat perlu diperbaiki?

-Juliana-
Jong berkata…
Salam,
Ke hadapan kanda Nisah Haji Haron, moga dilindungi rahmat-Nya dan diberikan hidayah-Nya, wa'badu:
Adapun dinda di Melaka ini sedang mengarang-ngarang sebuah ceritera yang bakal dinda namai 'Emel-emel Perempuan Johor'
Itulah terlebih dahulu, moga dinda tidak begitu mengganggu kanda.
Wassalam.
Tanpa Nama berkata…
Salam
Eureka! Terima kasih. Akhirnya saya dapat jawapan kenapa saya begitu terasa 'irritated' dengan beberapa email yang saya terima sebelum ni. Terasa 'terlebih' mesra sangat walhal baru pertama kali email saya, siap tanya soalan-soalan peribadi yang tiada kaitan dengan tujuan utama penulisan email tu.

@tikah

Catatan Popular