Apabila Penulis Minum Petang


Sepetang bersama-sama penulis tempatan. Saya terima undangan tersebut bagi melebarkan jaringan perkenalan dengan rakan-rakan penulis, penerbit dan mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam dunia penulisan. Bilik Booker, MPH Megastore One Utama pada mulanya baru separuh dipenuhi. Namun, semakin sesak apabila majlis hendak bermula. Ramai yang tidak dapat tempat, tetapi masih setia berdiri sehingga ke akhir acara.


Saya pun membayangkan, alangkah baiknya jika acara sebegini dapat diadakan di satu tempat lain yang juga boleh memanggil ramai rakan penulis yang giat menulis dalam bahasa Melayu. Pengalaman sewaktu perhimpunan Alumni MPR boleh dimanfaatkan. Tetapi DBP seolah-olah masih lagi bukan tempat yang sesuai untuk semua orang. Masalah biasa - lokasi, lokasi, lokasi!

MPH dilihat sesuai bagi majlis ini yang dominasinya lebih kepada penulis tempatan yang berkarya dalam bahasa Inggeris. Iltizam MPH ini masih belum ada bandingannya.

Banyak input yang dapat diperoleh semalam. MPH bercita-cita tinggi - mahu memasarkan karya tempatan yang berbahasa Inggeris untuk diglobalkan. Pun, penulis harus faham haknya sebagai penulis sebelum melangkah sejauh itu, kata saya semalam. Itu turut diakui CEO MPH, Dato' Ng yang duduk sebaris sebagai panel pembentang.


Selain menyentuh sedikit sebanyak tentang hak cipta, saya juga menegaskan tentang masalah promosi dan pemasaran yang masih perlu dipertingkat dalam meningkatkan jualan buku.

Puan Nafisah memberitahu bahawa PNM memperuntukan satu jumlah besar bagi membeli buku-buku secara terus daripada penulis ataupun buku-buku terbitan sendiri. Dari segi keuntungan jangka pendek, ya, saya juga turut gembira dengan berita tersebut. Tetapi saya percaya jauh di sudut hati setiap penulis, mereka lebih bahagia sekiranya tulisan mereka dinikmati pembaca daripada 'tersepuk' dalam perpustakaan semata-mata. (Saya tidak menafikan bahawa pembelian oleh PNM ini penting untuk industri buku).

Sharon Bakar (gambar di atas), sebagai pembimbing penulis, bercakap juga tentang kualiti karya yang dihasilkan. Baca juga blog Sharon tentang hal ini.

Pun, saya percaya apa yang diforumkan itu harap dapat dijadikan cetusan bagi melahirkan perkara-perkara yang berfaedah untuk semua penulis. Apatah lagi dengan kehadiran Dato' Zaid Ibrahim dapat menyuarakan apa yang dikutip sebagai pendengar di barisan hadapan kepada pihak yang sepatutnya membuat sesuatu terhadap hala tuju industri buku tanahair.

Semua pihak ada kepentingan. Tetapi setiap pihak juga ada peranan. Seperti yang saya tegaskan semalam : menulis itu kerja bersendirian, namun, kita semua tidak boleh bergerak sendirian dalam menggerakkan industri buku.

MPH sudah bersedia ke peringkat dunia. DBP dan penerbit yang seangkatan dengannya, bagaimana pula? Karya dalam bahasa Melayu banyak yang berkualiti. Penterjemahan karya sastera ke bahasa dunia yang lain masih banyak halangan.

Dapatkah kita selesaikan semua ini sewaktu minum petang dengan hanya secawan kopi? :-)

Ulasan

Miss Nukleas berkata…
Salam kak nisah yg diingati,
Dina rasa tak rugi pergi MPH semalam, bukan saja dpt byk infomasi ( dpt jumpa senior kita kita pulak tu! itu yang menarik sekali )dan mendengar lontaran idea dengan penulis-penulis lain, malah dapat berkongsi cerita ttg pasaran buku tempatan dn ttg penerbit novel melayu yg kurang berusaha menjenguk pasaran luar .

Bila dgr kisah kawan2 penulis lain mnerbitkn buku sendiri, teruja juga hendak ikut sama.

Tentang persoalan kak nisah yg terakhir tu, nampaknya penulis yang juga pnerbit sendiri terpaksa berusaha kalau diikutkan keadaan sekarang. Seperti mana rakan2 pemulis bahasa Inggeris boleh mencuba dan berani mencuba, rasanya kita juga boleh dan tak ada sesuatu yang mustahil selagi kita mencari jalan,...... bukan mencari alasan.

Mungkin hanya memerlukan dua tiga cawan kopi minum petang sahaja lagi........

Catatan Popular