Beli Buku, Selepas itu...?


Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik-baik sahaja mendapat buku baharu?

Tidak kiralah, sama ada membelinya secara online ataupun membeli dari kedai buku dan sebagainya.

Setiap penikmat buku akan menikmati buku yang baru dibeli itu dengan cara yang tersendiri.
  • Ada yang gemarkan bau buku baru.
  • Ada yang memuji kulit buku yang (tentunya) cantik.
  • Ada yang terus melihat ke halaman terakhir.
  • Ada yang segera membacanya.
  • Ada yang terus membuat contengan pertama pada buku - menulis nama dan menandatangan buku sebagai tanda tuan punya buku
Saya berada dalam kategori terakhir. Saya cuba pastikan semua buku itu mesti dicatatkan :
  • Nama saya
  • Tarikh beli
  • Tempat beli
  • Adakalanya dimasukkan juga sesuatu yang penting berkaitan dengan tarikh pembelian, misalnya, buku yang dibeli sempena hari lahir sendiri, ataupun sempena suatu majlis yang saya hadiri
  • Ada buku yang bertandatangan ataupun dicap nama pemilik
Mungkin ada beberapa buah buku yang saya beli tetapi tidak sempat ditandatangan ataupun dicap. Dalam keadaan sekarang, ini amat membahayakan diri saya sebagai penikmat buku. Sekiranya buku yang saya miliki itu turut dijual di Ujana Ilmu, ini akan memungkinkan buku tersebut 'tergadai' kepada pelanggan kerana saya tidak meletakkan sebarang tanda kepada buku tersebut.

Hendak dibuat bagaimana lagi? Sudah menjadi polisi Ujana Ilmu, apa-apa hal, pelanggan mesti didahulukan. Jadi, banyak kali juga buku sendiri yang masih berada dalam kondisi 100% sempurna itu terpaksa didahulukan kepada pelanggan. Selalunya, saya akan membeli naskhah yang lain apabila ada kesempatan. Pun, ada risiko juga perbuatan ini. Satu hari pernah berlaku : buku yang 'tergadai' kepada pelanggan itu sudah tidak dicetak lagi. Langsung, menganga sajalah sudahnya.

Berbalik kepada cerita asal, biasanya, saya akan membuat catatan pada buku yang baru dibeli itu. Seperti kata seorang pemikir tersohor tanahair dan juga penikmat buku, 'buku tidak boleh dibiarkan dara!'

Bagi saya kata-kata itu memang ada benarnya. Setiap buku yang dibeli bukan sekadar dibeli kertasnya. Tetapi yang kita beli ialah sebahagian daripada jiwa pengarangnya. Buku itu juga sekadar suatu buku sehinggalah buku tersebut memberi makna kepada jiwa kita pula. Apabila saya membuat catatan pada buku yang baru dibeli ataupun mendapatkan tandatangan pengarang, buku yang pada mulanya mungkin sahaja 'tidak apa-apa', langsung dapat diasosiasikan dengan sesuatu.

Ini amat jelas apabila saya melihat buku-buku yang tersusun di rak Ujana Ilmu berbanding buku-buku koleksi peribadi. Buku-buku di rak Ujana Ilmu tidak dapat memberi kepuasan 'melihatnya' berbanding buku-buku yang telah dibaca ataupun bakal dibaca dari rak koleksi peribadi.

Pun, tidak dinafikan ada sesetengah penikmat buku yang enggan melakukan sebarang 'contengan' pada buku yang telah dibelinya. Malah, kalau membeli buku pun, pastinya akan dicari naskhah yang terbaik daripada sejumlah buku yang berada di kedai tersebut. Ya, adakalanya saya juga buat begitu, tetapi saya tidaklah secerewet itu.

Itu baru cerita selepas membeli buku. Bagaimana pula ketika membaca buku, ya? Itu mungkin kisah lain. Kalau sesiapa yang membeli VCD Pak Samad, lihat sahaja bagaimana beliau membaca buku dengan membuat beberapa garis berwarna-warni sewaktu membaca.

Hakikatnya, kalau menanda buku milik sendiri, pastinya ini akan memaknakan buku tersebut kepada pemiliknya. Tetapi janganlah buat begitu pada buku yang dipinjam, khasnya dari perpustakaan. Contengan itu punya makna yang peribadi dan mungkin sahaja tidak memberikan makna yang serupa kepada orang lain.

Anda berada dalam kategori yang bagaimana? Rakus menconteng buku baharu ataupun bimbang untuk membuat sebarang tanda kepada buku itu, apatah lagi untuk meminjamkannya kepada orang lain?

Ulasan

mnr berkata…
Kak Nisah,
kalau beli buku baru, perkara pertama yang saya buat sama macam Kak Nisah..Tulis nama, tarikh beli, tempat beli, peristiwa yg berkaitan sewaktu membeli buku, bersama siapa saya beli buku tu..
Sewaktu membaca, saya juga gemar menggaris perkara-perkara yang penting dan menarik perhatian saya..
Bila dah selesai, saya akan tulis masa dan tarikh saya selesai membaca buku tersebut..dan komen mengenai buku tersebut..terasa puas bila dah selesai membaca dan memberi komen..sebab selepas itu pasti akan ada kwn2 yg pinjam buku saya..
Tanpa Nama berkata…
balut buku!
awan sirus berkata…
Salam Kak Nisah.
VCD Pak Samad? Tentang penulisankah? Di mana saya boleh dapat?

Terima kasih sebab tandatangan 'Mencari Locus Standi' untuk saya. Tapi sebelum Kak Nisah tandatangan, saya yang sain autograf dulu, hehee... arigato gozaimasu!
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum.

Saya bukan sahaja berada di kategori yang sama dgn. Pn. Nisah, malahan dalam kategori yang tidak disenaraikan; iaitu membalut buku baru tersebut.

Melihatkan minat dan obsesi saya terhadap buku, suami saya telah menghadiahkan satu "common seal", yang apabila dipaterikan pada kulit buku, ada nama saya berserta no. IC lama sekali. Betapa seronoknya menikmati buku, hanya pencinta buku lain yang boleh memahaminya...

Juliana, Shah Alam.
:-) berkata…
Salam,

Sebenarnya, agak melucukan (lagi memalukan) ada orang seperti saya dalam kategori pertama...
Pertama dapat buku, amik bau kulitbuku, amik bau kertas dalamnya...
Masa kecik dulu, saya ada teori... kalau buku "kena" baunya, buku tu bagus, kalau tak "kena", tak bagus...
Sampailah remaja... teori tu selalunya betul...
Nilah antara keanehan PenikmatBuku =D

Wassalam...
fajar berkata…
Salam.

Kalau di kedai, kalau ada beberapa stok yang ada, saya akan pilih yang paling baik - tiada cacat, tidak terkelepet atau tiada kesilapan pada cetakan (baik warna atau settings). Pendek kata, saya agak cerewet ketika memilih buku. Kadang-kadang, kalau boleh, buku itu belum disentuh oleh orang lain.

Kemudian, sebaik beli, saya akan pastikan ianya dimasukkan ke dalam beg dengan cermat. Tiba di rumah, saya akan belek dengan perlahan. Menikmati setiap helaian dan saiz buku, tanpa membacanya. Selalunya, jika buku itu agak istimewa atau mahal, saya akan balut. Barulah saya baca, dengan menggunakan bookmark.

Saya cukup pantang buku jadi lunyai. Maka, mula terasa untuk memiliki yang baru. Pemilikan itu akan lebih nikmat jika mendapat 'autograf' dari penulis yang meletakkan nama sendiri.

Pelik ke saya ni Kak Nisah?
al-atiq berkata…
salam.

saja menambah perencah. saya rasa saya macam nisah.selepas beli mesti catat nama, bila dan di mana beli. hampir setiap buku ada kenangan dan dicatat dibelakang buku.namun ada satu buku faisal (1515) yang mempunyai kenangan indah asalnya, tetapi menjadi sebaliknya sekarang.. saya akan berikankan/hadiahkan kepada anak murid saya yang juga peminat faisal.nampak gaya kena dapat ganti dari ujana ilmu!

sekarang ini, saya banyak promosi buku-buku yang saya baca pada anak murid untuk menggalakkan mereka membaca buku yang baik.mereka akan meminjamnya. masalahnya, saya belum dapat mengajar mereka untuk menjaga buku dengan baik seperti tidak melipat buku ketika membaca. manakala buku "panglima salleh selempang merah" pula dah dua naskhah hilang.

Catatan Popular