Laporan Perhimpunan Alumni MPR


Suatu perhimpunan yang meriah! (Lihat sahaja gambar di atas, ada senyuman di mana-mana)

Itu komen saya yang pertama. Dalam tempoh masa yang agak singkat, ramai yang sempat hadir ke perhimpunan ini. Mungkin tidak semua batch dapat hadir tetapi sekurang-kurangnya ada juga wakil bagi batch masing-masing.

Dari kiri: Ridzuan, Noramli, Raihani, Saufi, Ainunl, Nissa' Yusof (tengah duduk)

Secara keseluruhan kehadiran mencecah hampir 100 orang, tolak campur dengan peserta bukan MPR. Saya sendiri menyumbang 6 buah kerusi (saya, suami + 4 orang anak). Namanya pun hari terbuka, jadi saya memilih untuk membawa sekeluarga.

Begitu juga dengan Rosie Haslinda Nasir yang turut datang sekeluarga. Sudahnya, ruang bilik menunggu di sebelah bilik seminar itu jadi seperti sebuah taska kecil! Para ibu berbual tentang anak-anak dan hidup berkeluarga. Si kecil saya juga dikendong oleh entah berapa orang mantan.

Dari kiri : Salina Ibrahim, Saharil Hasrin, Faisal, Khairul Nizam.
Saya di belakang. Yang membelakangi kamera ialah 'si kecil'

Semua acara mengikut jadual. Mungkin itu tak perlu saya ulas di sini. Cuma sewaktu pelancaran Antologi 9!, saya telah diminta menyampaikan sebuah syair. Tetapi oleh sebab kesuntukan masa, saya hanya sempat menulis sebuah gurindam berlapis dengan 6 rangkap yang saya namakan Gurindam Sembilan.

Paling mengesankan saya kira, ialah ketika sesi Baca Naskhah Hizairi Othman oleh Raihani, Rosie dan Hafezin. Naskhah pilihan ialah Hati Milik Kesuma. Ah, cerpen itu sungguh mengesankan!

Sesi baca naskhah itu menerbitkan perasaan yang berbaur. Terpandang-pandang Hizairi seolah-olah dia hadir sama di dalam dewan seminar itu. Ceria - dihiburkan bacaan oleh Rai yang santai. Terharu juga dengan bacaan Rosie dan Hafezin yang penuh perasaan.

Kami semua terimbau segala kenangan dengan sahabat kami itu!

Hizairi, di mana sahaja kau mungkin berada, kami semua sangat merinduimu, sahabat.


Masih ingat Ade Irma Suryani Che Leh? Mantan MPR '93 - kami pernah sebilik dengan Putri Junaidah Megat Yunus (di mana anda, Jun?)

Gambar-gambar perhimpunan boleh dicapai di http://nisahharon.fotopages.com.

Faisal menerangkan kaedah untuk menerbitkan karya mantan dalam siri antologi mantan MPR yang berikutnya

Kepada mantan yang ada gambar-gambar sewaktu pelancaran antologi dan pos-pos lain yang lebih istimewa, kirimkanlah kepada saya ataupun upload di blog/fotopages masing-masing.

Ada sesiapa yang dah update blog tentang MPR, boleh maklumkan juga. Boleh bertukar-tukar gambar/berita. Ramai mantan yang tidak dapat hadir, ingin tahu tentang perhimpunan ini.

Lihat juga :

1. Blog Ode (Azizul Ikhwan)
2. Blog Hanie Salwa
3. Blog Nissa' Yusof

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam cikgu taska,

Gambar Faisal pegang salsabila tu hehehe...sajakkkk!

Tapi sesungguhnya segmen utk Hizairi tu sangat mengesankan.Masa dok terkinja-kinja baca di depan tu memang tak terasa apa.Tapi bila pulang dan merenung kembali,Ya Allah...terasa seperti dia merenung kita.Ada di salah satu kerusi tu...

Saya juga tak mengharapkan ramai mantan akan hadir menghabihkan boreh DBP hehehe...!Tapi bila melihat semua AJK pendamping yg ori ada...Masya Allah,sekali lagi saya nampak Hizairi!Ooops hari tu saya terlupa sebut nama Abe Rahimidin (yg dok tengok je dari atas stage) dan Sham Johor.Yg terlupa tu pasai depa pun jarang melekat dengan kami dolu-dolu.Hehehe!

Saya rasa Hizairilah yang memanggil-manggil kami semua.
Tanpa Nama berkata…
Wah, bunyi macam meriah aje.. teringin hendak join tapi malu hahahah... sebab dah lamaaaaaaaa tidak menulis !
Sarah berkata…
Salam Kak Nisah.
Cuma nak tanya, cerpen Hizairi Othman "Hati Milik Kesuma" tu, di mana saya boleh baca? Ingin juga tahu kisah apa cerpen tu. Cuba juga cari di Dawama, tapi dah tak nampak novel atau kumpulan cerpen Hizairi Othman tu. Atau ada sesiapa boleh pinjamkan sementara pada saya? Sekadar bertanya, kalau ada yang nak jual buku terpakai pada saya pun tak apa, saya cuma nak baca.

Terkilan juga tak dapat pergi ke Hari Terbuka MPR tu. Adakah DBP akan menjadikannya sebagai aktiviti tahunan?
Khadijah berkata…
Saudari Nisah,

Saya kerap singgah di blog Saudari selepas mencapainya dari blog FT. Secara spesifiknya, lebih kerap singgah selepas sangat terpaut dgn entri 'Seketul Batu Pada Dinding' yg sempat saya sebar-sebarkan di kalangan teman-teman. :) sekadar memanjangkan idea dan analisis yg sgt bagus ttg generasi yg ingin kita bina.

Sejujurnya, sastera telah lama saya tinggalkan (selepas SPM) dan kita nyaris bertemu di Matrikulasi Undang2 UKM (batch 1991). Saya mendapat tawaran berkenaan setelah 2 bulan belajar di Pusat Matrikulasi lain. Sudahnya saya hanya mampu memandang surat tawaran tersebut dgn mata berair kerana 'kemiskinan' saya utk menyambung cita-cita itu. Itu hanyalah secebis kenangan yg tidak lagi bercampur rasa kesal setelah saya kenal erti ketentuan Tuhan.

Oh ya, tersasar sikit. Saya cuma ingin berkongsi nostalgia cerpen Sdra Hizairi Othman yg Saudari Nisah sebutkan dlm enti ini iaitu 'Hati Milik Kesuma'. Seingat saya, saya membaca cerpen tersebut dlm majalah Dewan Siswa ketika dlm tingkatan 4 atau 5. Memang terkesan sampai sekarang, tambahan pula di sekolah saya ketika itu ada seorang senior ayu santun lembut jelita bertahi lalat di atas bibir nipis bernama Kesuma. Terasa spt Hizairi menulis cerpen itu utk dia! Juga cerpen Saudari, kalau tak silap bertajuk Atlantis (betul ke?) serta cerpen2 Saudari yg lain yg banyak bercorak imaginatif (fantasi, futuristik).

Hmm...setelah penat kerja menggodeh teknologi IT ni terasa pula nak belajar sastera semula. Sastera memang mengajar kita menilai kehidupan dan kemanusiaan.

Khadijah
Tanpa Nama berkata…
Tumpang gembira baca tentang Alumni MPR, apatah lagi dapat tengok wajah terbaru Salina, Irma, Saharil dan Rosie. Antologi 9 pun dah dapat, cuma belum sempat baca lagi. Terima kasih Nisah!

Catatan Popular