Isnin, September 17, 2007

Perlis anjurkan kahwin segera tanpa halangan

Kalau sebut tentang poligami, tentu sahaja negara Thailand akan terlintas. Paling tidak pun negeri paling kecil yang tersudut di utara - Perlis.

Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan satu lagi berita 'hangat' tentang perkahwinan tanpa wali di Perlis. Baca di sini.

Wanita di Perlis yang tidak mendapat persetujuan wali untuk berkahwin masih boleh meneruskan hasrat mereka apabila kerajaan negeri menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam (Pindaan) 2007.


Baca juga komen Mufti Johor sebelum baca komen saya di bawah.

Tiada guna bersuami jika ‘hilang’ bapa – Mufti Johor


Insitutsi perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main-main. Pengalaman saya yang sedikit di mahkamah syariah menampilkan banyak kriteria pasangan yang berkahwin dengan sebaik-baik cara tetapi apabila jodoh sudah habis, macam-macam hal boleh berlaku.

Isu perkahwinan tanpa wali yang dicadangkan oleh Mufti Perlis ini merujuk khusus kepada kes wali enggan ataupun wali ingkar.

Ramai juga anak gadis yang tidak tahu langsung dengan peruntukan wali enggan ini, langsung ikut sahaja lelaki yang dicintai sepenuh hati itu ke sempadan. Oleh sebab halangan jarak, mereka fikir perkahwinan mereka sah kerana sudah jauh daripada 2 marhalah daripada tempat mastautin wali. Apabila dilakukan dengan niat, itu sudah bermakna melarikan diri daripada wali. Nikah itu boleh jatuh syubhah. Ada pendapat yang mengatakan nikah itu langsung tidak sah.

Satu cara lagi ialah melalui permohonan wali enggan.

Kepada yang masih tidak jelas dalam hal ini - untuk bernikah, wali pengantin perempuan mestilah memberi keizinan. Tetapi jika wali tidak mengizinkan dan pengantin perempuan berasa bahawa alasan keengganan wali itu tidak munasabah, ada peruntukan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri yang membenarkan suatu permohonan wali enggan dibuat di mahkamah syariah. Pihak mahkamah akan memanggil pengantin perempuan dan juga walinya (sama ada bapa, datuk, saudara lelaki dan seterusnya mengikut hierarki keutamaan wali) bagi memberikan keterangan.

Pengantin perempuan hendaklah menjelaskan mengapa mahkamah harus membenarkan dia berkahwin dengan pasangannya. Pihak wali pula perlu menjelaskan alasan dia enggan mengizinkan perkahwinan tersebut. Kes-kes begini kita mungkin biasa dengan sebagai 'anak saman bapa'. Memanglah anak saman bapa (wali), kerana dalam undang-undang saman itu bermakna memanggil satu pihak lain supaya hadir ke mahkamah. Istilah saman itu dari istilah undang-undang dalam bahasa Inggeris iaitu summon - 'you are hereby summoned to this court'. Jadi perkataan 'saman' bukanlah seburuk mana kalau faham konteks ayatnya.

Berbalik kepada isu boleh kahwin tanpa izin wali tadi, saya melihat betapa kelonggaran ini akan disalahguna oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan. Mengikut peruntukan yang baru ini :
Dengan pindaan itu, Hakim Syariah diberi kuasa membuat keputusan terhadap kes-kes yang wali tidak bersetuju untuk membenarkan perkahwinan itu. Pindaan itu yang memasukkan perenggan baru selepas perkara 13(b) menyebut: “Dengan syarat bahawa dalam hal di mana wali yang telah enggan memberi persetujuan dengan tiada sebab yang syarie, Hakim Syariah boleh, selepas berpuas hati dan difikirkan patut, memberikan persetujuannya jika penyiasatan itu telah tertangguh sebanyak dua kali.
Nah, di sini apakah definisi 'penyiasatan telah tertangguh sebanyak dua kali'?

Adakah ini bermakna jika wali tidak hadir ke mahkamah selama dua kali? Ataupun pihak yang menyiasat perkara ini tidak dapat meneruskan siasatan (inquiry?).

Membenarkan perkahwinan tanpa izin wali (sebaliknya dengan izin mahkamah - wali hakim) bukan sahaja bakal membuka ruang 'konfrontasi' antara anak-menantu dan bapa-mentua, malah institusi perkahwinan itu sendiri menjadi tidak murni lagi. Saya percaya bahawa setiap perkahwinan itu haruslah mendapat restu keluarga. Ada hikmah yang terselindung jika sesuatu perkahwinan itu tidak diizinkan oleh keluarga.

Contoh klasik ialah kisah Kassim Selamat dalam filem Ibu Mertuaku (ejaan yang betul mengikut Kamus Dewan ialah 'mentua'). Mungkin kita amat 'benci' dengan sikap Nyonya Mansor yang menghalang perkahwinan anak perempuannya dengan Kassim Selamat. (Perhatikan juga bahawa dia hanya sebagai ibu dalam kes ini dan bukannya wali). Tetapi Nyonya Mansor ada alasan yang kukuh kerana dia melihat anaknya bukanlah mencintai peribadi Kassim Selamat yang sebenar tetapi dia mencintai 'muzik Kassim Selamat'. Mereka juga tidak sekufu'. Pada peringkat awal perkahwinan memanglah indah. Tetapi apabila wang selesai (antaranya pergi joli dan main lumba kuda) akibat suami yang tidak pandai menguruskan isteri dan juga rumah tangga, akhirnya Nyonya Mansor proved her point.

Pedulikan apa kesudahan filem itu. Apa yang saya katakan di sini ialah, restu keluarga amat penting dalam perkahwinan. Jika terbina 'resentment' pada peringkat awal lagi, maka ini boleh mengakibatkan kecelaruan dalam kehidupan berumahtangga.

Ingatlah bahawa institusi keluarga itu unit paling kecil dalam masyarakat. Jika unit-unit ini tidak kukuh, tidak hairanlah masyarakat kita hari ini banyak yang pincang.

Berkahwin tanpa izin wali juga menggambarkan sikap individualistik. Padahal, berkahwin ialah suatu acara besar yang melibatkan bukan sahaja ahli keluarga terdekat malah, ahli masyarakat juga. Natijah perkahwinan ialah untuk merapatkan silaturrahim antara dua keluarga bukannya untuk memecahbelahkan tali kekeluargaan yang sedia ada.

Dalam hal ini, saya amat bersetuju dengan pandangan Mufti Johor yang lebih berpengalaman dan matang. (Itulah beza pendapat orang lama dan orang baharu).

Akibat terlalu ghairah hendak berkahwin, alasan yang digunakan ialah tidak mahu terjebak dalam kancah maksiat. Alasan yang sama untuk orang yang mahu berpoligami. Ayat klise : 'eloklah suami itu berkahwin lagi, daripada dia hidup dalam maksiat ataupun berkepit dengan perempuan itu siang malam.' Hello! Kalau dah ada satu isteri pun tak boleh nak beri nafkah (baca: kedekut dengan isteri, anak-anak) bagaimana nak tanggung dua isteri. Habis tu, nak salahkan isteri tua tak beri izin, lantas membolehkan dia hidup dalam maksiat.

Samalah dalam kes anak yang tidak diizinkan wali ini. Kalau dah bapa tak izin (dalam kes-kes yang biasa) tentulah ada sebab yang wajar. Bapa mana (ataupun ibu mana) yang tidak mahu anak-anak mereka hidup bahagia dengan pasangan yang betul.

Ya, saya tidak menafikan bahawa ada kes-kes terpencil apabila bapa itu tidak mempunyai alasan munasabah (baca : saja dengki dengan bakal menantu, atau saja tak beri anak kahwin kerana dia sudah ada calon lain untuk anaknya). Tetapi, kelonggaran begini boleh menyebabkan peruntukan ini disalahgunakan.

Hari ini, lelaki yang berkualiti sudah semakin berkurangan (natijah daripada jumlah pendaftaran yang sangat tinggi di institusi seperti Pusat-pusat 'Sehenti' - seperti Serenti, Penjara dan sebagainya). Bapa harus memainkan peranan supaya calon menantunya boleh membimbing anak perempuannya ke jalan yang lurus. Berkahwin itu bukan sekadar untuk seronok ataupun memenuhi tuntutan masyarakat yang sibuk bertanya 'bila hendak kahwin?'.

Institusi perkahwinan itu amatlah suci, mengapa harus dicemarkan sebegitu rupa?

1 ulasan:

Rai berkata...

Salam Kak Nis,

Pahabaq?Posa okey ka dgn 4 orang powerpuff girls?

Isu kahwin dlm nuansa masyarakat kita ni makin lama makin ngok ngek.Ada yang kahwin sampai masuk tv (ooops!),yang kahwin senyap-senyap,yang kahwin sama jantina (awww...tak rela mak!)...macam-macam adaaaa!

Satu hal lagi, bila kita tak kahwin-orang sibuk nak 'kahwinkan' kita. Bila kita dah kahwin, orang sibuk nak 'ceraikan' kita. Baguih jugak you sentuh Ibu Mertuaku ni. I pun dah discuss dalam my thesis filem dulu.

Satu lagi filem Seniman Bujang Lapok, part Abang Kus kena taram sebab berbini dua-pasal berbini baru nak ikut undang-undang Islam.Pasal sembahyang, puasa...tak ikut pula.

Banyak yang akan ambil kesempatan ni!

Related Posts with Thumbnails