Terbit Sendiri, ISBN, dll


Seminggu dua ini sedikit sibuk mengerjakan dua buah buku yang harus terbit sempena Majlis Anugerah Ilmuan dan Sastera Negeri Sembilan 2007.

14 November tu bukannya jauh lagi. Malah tak sampai seminggu dari sekarang. Ada 3 buah buku yang bakal terbit sempena acara sastera yang paling besar di Negeri Sembilan ini.

Buku-buku tersebut ialah Biografi Agus Salim - Dia Penggerak Sastera yang Setia. Buku ini khusus tentang mantan Ketua Satu yang juga suami kepada Puan Mahaya Mohd Yassin. Buku ini diuruskan oleh Tuan Haji Zulkifli Abu (Ketua Dua, PEN).

Saya diminta menguruskan penerbitan Antologi Cerpen Karyawan Muda Darul Khusus dan juga Antologi Puisi Karyawan Muda Darul Khusus. Setelah mendapat bahan yang secukupnya, pihak editorial bersetuju menamakan :

  • Sebelum Bintang Berguguran (antologi cerpen)
  • Epal Merah (antologi puisi)
Kerja-kerja penerbitan bukan sekadar mengumpul ataupun sekadar copy & paste. Kerja-kerja layout juga bukan sedikit dan memerlukan penelitian jitu. Amat meletihkan tetapi kedua-dua antologi ini mesti terbit pada tarikh yang telah dijadualkan. Maruah karyawan muda Negeri Sembilan juga sedang dipertaruhkan di sini.

Urusan penerbitan juga termasuk mencari pencetak yang berwibawa serta mendapatkan ISBN (international standard book numbers) - seperti gambar barcode di atas, dan juga CIP (catalgue-in-publication) yang bakal melengkapkan penerbitan sesebuah buku. Dengan ISBN, buku tersebut mendapat tempat di perpustakaan dan mempunyai sistem rujukan yang unik.

Ramai juga yang bertanya kepada saya tentang penerbitan sendiri dan juga bagaimana mendapatkan ISBN. Insya-Allah, jika ada kesempatan, saya akan susulkan sebuah entri khusus tentang ini. Ingatkanlah saya, kalau-kalau terlupa.

Semasa Majlis Anugerah Sastera Negeri Sembilan juga, bakal dilancarkan tidak kurang 20 buah karya baru hasil tulisan karyawan negeri ini tidak kira yang mapan ataupun baharu - termasuklah buku Sdr. A. Latip Talib, Puan Mahaya, Ida Munira, Dr. Rosli Saludin, Dr. Rahman Kaeh, saya dan ramai lagi yang sempat dikenalpasti karyanya untuk dilancarkan. Jika ada pengarang baru ataupun lama dari Negeri Sembilan yang mempunyai karya terbitan 2007/2008, boleh dikemukakan satu buku untuk kami masukkan dalam senarai dan insya-Allah turut dilancarkan.

Mudah-mudahan novel terbaharu saya Puisi Untuk Esdyzuar sempat siap untuk turut sama dilancarkan pada malam tersebut.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Assalammualaikum w.b.t,

Saya amat kagum dengan PEN, aktif dan produktif di dalam memartabatkan penulis-penulis di bawah naugannya. Saya amat cemburu sekali ...

Harapan saya majlis ini akan berjalan lancar dan saya dapat mengikuti perkembangannya di dada akhbar.

Catatan Popular