Andai Tak Mampu Menjadi Garam...


Apabila saya sertai PEN secara rasmi pada sekitar tahun 2001, saya fikir saya dapat menyumbang sesuatu. Buat pertama kalinya juga, saya berjaya menggabungkan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, PEN dan juga SMKA Sheikh Haji Mohd Said supaya sama-sama menggembleng tenaga untuk melancarkan kumpulan cerpen saya yang pertama - Impian Tsu-Ryi.

Saya tidaklah sekadar mencampakkan buku itu kepada PEN dan 'menyuruh' PEN buat pelancaran dan kemudian diskusikan buku itu. Saya tahu PEN perlukan aktiviti, Perpustakaan Awam perlukan suatu bentuk dokumentasi dan sekolah saya eloklah saya beri nama. Apatah lagi, Menteri Besar pada ketika itu akan melancarkan buku tersebut. (Saya boleh sahaja minta penganjur buat di hotel, tentu lebih gah tetapi tak mungkin semeriah di SMKA dulu). Lalu saya sama-sama menggembleng tenaga mengusahakan pelancaran ini. Sedangkan pada waktu itu, saya sekadar ahli biasa.

Selepas daripada itu, saya terus berada dalam PEN kerana saya fikir saya masih ada sumbangan kepada persatuan kecil ini. Biarpun saya pernah 'dikata' sesetengah pihak kerana menyertai persatuan penulis yang bersifat kenegerian - tentulah tak ke mana pun. Biarlah, itu sekadar cakap-cakap kosong, sembang-sembang di bawah pokok ataupun di warung-warung kopi. Kini saya Ahli Seumur Hidup PEN.

Apabila sudah dua kali Anugerah Sastera Negeri Sembilan berlangsung, iaitu pada 2005 dan 2007, penganjurnya ialah Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan. (Masih ada yang sempit akal menyatakan PEN ialah penganjur anugerah ini.) Setelah majlis itu berjaya dijalankan, masih ada pahat-pahat yang sibuk berbunyi di sana-sini. Suruh ke hadapan, tak pula timbul. Nak kata menulis di akhbar pun, tidak juga.

Lalu, individu/kumpulan ini mulalah bising seperti langau.

Saya pun tak tahu apa yang individu/kumpulan ini mahukan. Nak kata mengkritik PEN secara langsung dan membina tidak pula. Tidak juga. Gebang-gebang dalam ruangan sastera di akhbar itu, sekadar cakap kosong mereka yang tidak tahu fakta dan cakap pun main hentam keromo. Apabila tersiar minggu lepas, saya diamkan saja sebab orang yang berkata itu pun tidak mahu bertanggungjawab, sekadar mahu dikenali sebagai 'pengarang kreatif daripada negeri beradat'. Saya pun bukannya baru dilahirkan semalam. Boleh faham apa yang cuba dikritik.

Minggu ini tersiar lagi. Jelas pula mengata tentang Anugerah Sastera Negeri Sembilan lagi. Kali ini mengkritik pengiktirafan yang diberikan kepada orang yang meninggal. Nampak sangat materialistiknya. Apabila anugerah diberikan kepada yang hidup, barulah anugerah itu dapat dimanfaatkan / dinikmati penerima, demikian kata 'teman A' yang dirujuk, lalu berkata 'dengan nada yang sinis'.

Orang begini nampak sangat pengecut. Tak berani bertanggungjawab dengan apa yang dikatanya!

Bukankah pengiktirafan itu sifatnya berkekalan. Jagat kesusasteraan akan langsung mendapatkan pengiktirafan apabila seseorang individu itu diiktiraf. Kritikan ini secara tidak langsung mengata panel-panel yang berwibawa pula. Kononnya, panel ini kroni-kroni. Sebab itu yang menang balik-balik orang yang sama.

Pun, salah juga!

Lalu, saya berpendirian begini : kalau sudah orang itu sifatnya kaki bangkang segala benda mesti hendak dibangkang. Apabila tidak dinobatkan menang anugerah, mulalah jadi anggur masam.

Saya percaya orang ini memang tidak mampu menjadi garam untuk membantu perkembangan sastera tanahair, sebaliknya memilih untuk menjadi langau yang akan membusukkan dunia penulisan.

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Sabar sahajalah, Puan Nisah. Begitulah perjuangan. Kita buat, ada orang kritik. Kita tak buat apa-apa, semua orang kritik. Baiklah kita buat.

Tahniah atas daya usaha Puan yang baik itu.
Tanpa Nama berkata…
Spesis langau ni kat mana-mana pun ada Nisah. Dan mereka ni memang pakar dalam hal-hal melangau (minta maaf kalau agak kasar ungkapan ini, minta maaf juga kalau ada yang terasa). Tetapi itulah pengamatan saya selama hidup ini, si tukang 'pocek' ini memang kelihatan hebat sebab mereka mempunyai karisma untuk 'memocek', tapi cubalah minta mereka pula menguruskan dan mengendalikan sesuatu hal itu... apakah mereka boleh? Jika boleh, orang yang sebeginilah yang kita cari-cari. Tetapi kalau setakat 'memocek' sajo lopeh tu bilo mintak sesamo buek, borek kedorat... baik tak payah. Yo kok tukang pocek ni melampuh, eden pun buleh jo jadi pakar... tapi dah tontulah den memilih untuk tidak menjadi langau.

Uih... teremosi pula. Moga pada ASNS akan datang si tukang pocek ini akan naik pentas pula menerima anugerah-anugerah yang sepatutnya. Kewibawaan setiap seorang dari kita itu ada, cuma jangan jadikan ia sebagai ombun memadam baro.

Untuk Nisah, sabar-sabarlah ya, sesungguhnya tangga-tangga menuju jaya itu bertingkat-tingkat, dan yang cuba melurutkan kebawah itu juga berlapis-lapis. Nak buek cammano, dah takat tu jo pikiran eh. Yang pasti kito tau objektif dan hala tuju kito, bukan utk kito sebar-sebarkan utk banggo-banggo... tapi utk kito tanam dalam hati dan capai ikut kedorat kito. Aminnnnn...

[menanti ASNS2009...]

Catatan Popular