Menulis Blog & Hakikatnya


Hakikat dunia hari ini, mereka yang selesa membaca di hadapan skrin komputer/laptop akan membaca dan mencari bahan bacaan yang sesuai di laman-laman maya. Tanpa menafikan nikmat membaca buku, adakalanya, kita akan mencari bahan di blog-blog dan laman web juga.

Pernah juga saya dan suami mengeluh kerana pengendali-pengendali blog juga sudah tidak ramai yang menulis secara konsisten, bahasanya lunak, terkawal dan selesa di baca, isunya tidak dangkal dan membuat kita terus berfikir (atau terkesan) selepas membacanya. Ada blog yang terlampau sarat maklumat, walaupun niatnya baik, untuk berdakwah.

Menulis - tanpa mengira apa mediumnya, sama ada blog, kertas, buku, majalah ataupun akhbar; hendaklah mengambil kira kepada siapa entri/tulisan itu ditujukan. Menulis tanpa hala tuju ataupun tanpa mengenal pasti khalayak akan menyebab tulisan itu terasa seperti tidak mesra pembaca.

Tentu sahaja reaksi begini : "Ini blog aku, aku punya suka la nak tulis apa kat sini. Nak tulis guna bahasa omputeh ke, bahasa gado-gado ke, ko pedulik hapa?"

Cuba baca entri Jiwa Rasa tentang isu ini.

Oleh sebab menerbitkan entri semudah menekan satu butang dan terbit sesaat kemudian, terbitan di blog semakin menjadi-jadi. Sebagai pembaca, kitalah yang harus bijak memilih kerana dalam masa yang semakin sempit, kita harus mencari dan membaca blog yang boleh memberi manfaat dan sesekali menghiburkan.

Ada blogger yang membuat blognya seperti diari peribadi dan langsung terlupa bahawa ada orang lain yang sedang membaca entrinya. Kalau entri peribadi tersebut, memang wajar dikongsi peristiwanya, ya, mungkin ada manfaat juga. Jika tidak, selalunya, blog begitu akan semakin saya pinggirkan kerana saya tidak punya banyak masa untuk menghadam blog-blog begitu.

Ini termasuk juga blog yang semakin jarang dikemaskini. Ada blog yang harus saya keluarkan dari senarai pautan kerana pemiliknya sudah tidak berminat untuk meneruskan tulisan di sana. Jadi, untuk apa saya syorkan pautan itu kepada pengunjung blog saya, bukan?

Adakalanya kita terlupa hakikat bahawa kita suka hendak menulis tetapi tidak membaca tulisan (yang baik) orang lain. Lihat bagaimana orang lain menulis dan menyampaikan idea. Bukanlah sekadar menulis entri blog sama seperti menulis bahasa SMS yang tunggang langgang. Saya tidak minta mereka ini menulis dengan hukum tatabahasa seperti orang linguistik, tetapi cukuplah kalau asas-asas tatabahasa dipatuhi dan memasukkan jenis-jenis kependekan yang diterima umum seperti "yg, dgn, spt, dsb."

Kalau orang Melayu sendiri sudah tidak mahu menjaga bahasanya, tentulah tidak lama lagi bahasa ini bukan setakat masuk muzium, tetapi disimpan (dan tidak lagi boleh disentuh) di Leiden dan negara-negara yang pernah menjajah!

Fikirkan...

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
off topic sekejap!

Cuit sikit Nisah pasal akhbar perdana yg tulis pak samad sebagai mantan SN.
Maksudnya hanya waktu penganugerahan saja Pak Samad digelar SN selepas tu mantan SN.

- Adik Tak Berapa Manis -
apunpital berkata…
menjaga bahasa, seakan memancing ikan. kuat sangat menarik, putus tali joran. kalau lembut sgat, terlepas ikan (masuk muzium). =).
mana-mana negara pun, masalah bahasa tetap jadi keutamaan.
Nisah Haji Haron berkata…
Adik Tak Berapa Manis,
Tiada istilah Mantan SN. Sesiapa yang telah dianugerahkan SN ertinya dia tetap SN walaupun selepas meninggal dunia. Tetapi Pak Samad, mengambil langkah drastik. Dia tidak mahu dipanggil sebagai SN kerana tak ada maknanya dipanggil SN jika karyanya pun langsung tidak dipertimbangkan untuk menjadi bacaan generasi muda oleh pihak berwajib.

Apun,
Salam untuk orang Saitama. Mungkin boleh kongsi masalah bahasa di Jepun, bagaimana ya?
Tanpa Nama berkata…
Kalau sayalah kak nisah, saya lebih suka tiada orang link pada saya. Link orang itu membuatkan saya jadi takut, jadi segan, jadi selalu mahu berasa undur diri, dan segala yang macam-macam. Biarlah orang anggap ia adalah negative thinking, tapi saya biasa begitu.

Lagipun, saya suka tulis yang biasa-biasa, mudah difaham, barangkali sekitar kehidupan saya. Saya tak menolak bahawa ia mungkin diari, atau mungkin luahan rasa hati.

Berkenaan mutu dan nilai penulisan blog, saya setuju dari satu sudut. Kerana peningkatan nilai pemikiran, budaya dan ilmu, bahkan yang lain-lain juga, dapat dipandang dari sudut itu.

Namun dari sudut yang lain, saya tidak pernah menghalang kawan-kawan saya menulis walaupun isi dan cara tulisannya boleh menyebabkan kita merasa rendahnya nilai isi dan pemikiran. Silap, bukan menghalang. Saya tidak mengkritik pun mereka. Entah kenapa. Barangkali saya sangka mereka sendiri sedar, dan barangkali dengan sedikit kesungguhan hati saya menjaga laras eja dan bahasa, mereka juga akan tertarik.

Dalam chatting juga, sudah hampir tiada yang memperli saya kalau chat dengan ejaan penuh. Mereka menerima dengan hati terbuka, itu di depan saya, tak tahu di belakang. Yang paling menarik, bila kami berkongsi komputer, dan ada mesej untuk saya, mereka tolong balaskan dengan ejaan penuh kerana mahu ia kelihatan seperti saya yang taip. Menarik bukan?

Entahlah, barangkali ia cuma harapan saya mereka boleh berubah dan mengeja penuh masa akan datang. Mungkin juga ia jadi harapan yang tak jadi kenyataan. Tapi, realiti akan datang tak siapa tahu. Itulah fikiran saya.

O ya, saya juga mahu jadi ulat buku macam kak nisah. Itu yang saya kagum sangat-sangat. :D

Mohd Zaki.
Tanpa Nama berkata…
Hati dan perasaan saya masih sangat 'terganggu' dengan kes KOMSAS itu. Selepas merisik di sana-sini, dan mengintai-intai -- fahamlah saya bahawa ini semuanya hanya 'permainan perasaan'. Saya fikir tindakan kurang waras itu bukanlah kerana alasan-alasan yang diberi (kononnya susah dan saratlah, mahu menambah minatlah, dan ntah apa-apa).

Ini lebih kepada soal pertentangan peribadi dan isu egosentrik. Saya berkomunikasi dengan seorang guru senior(kebetulan isterinya sedang buat PhD di tempat saya buat attachment), dan macam-macam saya dengar. Saya tak telan bulat-bulat, tapi selepas menghadam dan meneliti bukti-bukti pada sumber lain (sebagai perbandingan) -- saya fikir apa yang cikgu itu katakan memang benar.

(1) Ahli-ahli dalam JK Penilai itu kebanyakannya ada 'sengekta peribadi' dengan beberapa orang tokoh sasterawan Malaysia (khususnya SN). Mungkin mereka ini golongan sasterawan juga yang karyanya selalu kecundang di tangan sasterawan-sasterawan yang dimusuhi itu!

(2) Wujud elemen-elemen sogokan untuk membolehkan karya tertentu dipilih (khususnya karya-karya popular). Penerbit sanggup membayar duit kopi tertentu kepada para penilai (atau orang-orang yang ada pengaruh terhadap implikasi polisi/dasar KP) supaya karya mereka dipilih.

Kita semua tahu para penilai dalam JK itu bukannya bergaji besar sangat. Jadi perangai memanglah macam anjing lapar. Kalau disuap bangkai (walaupun hanya seekor merpati kurus) -- air liur terus meleleh-leleh. Kalau lapar sangat pada duit, jangan masuk dunia pendidikan sebab kerjaya ini bukan macam perniagaan. Boleh jana duit bertimbun. Saya tau sebab saya pun dalam pendidikan. Sampai sekarang saya masih miskin. Tapi saya tetap bahagia. :)

Nasihat saya kepada 'mereka-mereka' yang ada dalam JK Penilai itu -- kalau mau kaya cepat, jadilah gigolo. Kalau muka tak laku jadi gigolo, jadilah bapa ayam. Ini cara cepat untuk jadi kaya. Sekurang-kurangnya melacurkan diri sendiri lebih rendah dosanya berbanding dengan melacurkan seluruh tamadun dan pemikiran bangsa.
apunpital berkata…
kalau boleh masalah bahasa di tanah melayu ini di darab seratus kali pun, rasanya, (jujurnya, selepas setahun di sini), masalah bahasa di tanah (kononnya) matahari terbit ini lebih teruk.

rumit lagi bila ia membabitkan tulisan kanji, dan tiga kelas cara berbual. selalunya, yang diguna pakai dalam kehidupan semestinya kelas paling rendah. ramai sahaja orang jepun tak tahu berbicara dengan cara hormat (kelas atasan).
ramai juga orang jepun sendiri yang tak tahu menaca tulisan kanji. (masakan kami mahu menghafalnya :P)

masalahnya terlalu banyak kalau mahu kongsi di sini. (baru setahun di sini. kalau empat tahun nanti~~)

::::

tertarik dengan hal blog dan peribadi. kalau tak mahu orang lain baca, letaklah setting supaya orang lain tak boleh membaca. mmungkin mereka perlu faham, blog ialah "personal" tapi seharusnya tidak "privacy". mahu "privacy" sila tulis dalam diari berkunci besar. =P.

Catatan Popular