Sabtu, Januari 12, 2008

Teks Komsas 2010 Tiada Karya SN?

Terkini : Reaksi Lidah Pengarang BH 18 Jan 2008

***

** Komen tambahan : kepada mereka yang pesimis dan penikus kerana bersembunyi di sebalik nama yang tidak wujud,

kalau tak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, tak perlulah jadi langau yang sama buat bising membusukkan ikan.

Kalau sudah jadi langau, tak perlulah jadi bangau yang asyik nak salahkan orang lain.

Apakah tanggungjawab kita semua? Ya, saya akan lakukan sesuatu dengan cara saya yang tersendiri. Tak perlulah saya heboh-hebohkan. Entri di sini bersifat cetusan, reaksi kepada laporan di akhbar. Masih ada orang yang meninggalkan komen di sini tak mampu mengasingkan emosi dan pemikiran.

Insya-Allah, kita semua harus bertanggungjawab supaya apabila di akhirat nanti apabila disoal, saya dapat menjawab bahawa saya sudah bertindak. Sama ada berjaya atau gagal itu soal kedua - seperti seekor burung yang menyiram air dengan paruh ketika Nabi Ibrahim sedang dibakar, yang penting burung itu bertindak. Bukanlah seperti bangau yang sibuk mencari salah orang dan atau langau yang buat bising sambil membusukkan keadaan.


* * *

Saya tak pasti sama ada ini kes tikus membaiki labu ataupun meletakkan orang yang salah pada tempatnya. Paling jelas, laporan akhbar Berita Harian hari ini merupakan suatu jenayah kepada anak-anak muda atau pelajar-pelajar sekolah.

Ya, jika berita ini benar, ini memang suatu jenayah!

Golongan muda telah dinafikan hak untuk mengetahui dan mendalami bahan sastera milik bangsanya sendiri.


Tiada karya Sasterawan Negara tersenarai sebagai antara buku yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Turut tidak tersenarai ialah puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Kalau karya-karya yang bersifat demikian tidak terpilih, jelaslah bahawa guru-guru di PPK yang dikatakan 'pakar' Bahasa Melayu dan 'pakar' sastera itu sudah enggan berfikir lagi. Langsung mereka menghalang anak murid mereka berfikir juga. Bimbang jika anak muridnya tidak mampu berfikir apabila membaca karya yang berat-berat tetapi dalam masa yang sama tidak memberi peluang mereka berfikir.

Lantas, selepas ini siapakah yang bakal menjadi golongan pemikir?


“PKK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar. Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka dalam Komsas.”


Bukankah suatu teks yang hendak dikaji harus bersifat mencabar. Jika tiada cabaran, untuk apa diuji? Benarlah, telahan saya dahulu, selepas ini mereka yang menulis karya pop akan dikaji karyanya dan selepas ini buat pulalah peraduan memilih Sasterawan Negara melalui SMS!

Dalam banyak majlis, perjumpaan dan wawancara oleh pelajar yang dikatakan mendalami jurusan Sastera Melayu di universiti, mereka masih lagi terlongo apabila disebutkan nama-nama seperti Arena Wati, Muhammad Haji Salleh dan Nordin Hassan. Ada yang tidak tahu pun yang mereka ini Sasterawan Negara. Sebab karya yang diulitnya ialah karya pop. Kalau menyebut karya-karya klasik seperti Hikayat Faridah Hanum, lagilah menganga.

Itu belum lagi tanya karya-karya luar negara ataupun pemenang Hadiah Nobel, Pulitzer ataupun Booker. Itu pun belum tanya sama ada sudah baca ataupun belum. Baru hendak tanya sama ada pernah dengar judulnya ataupun pernah dengar atau tidak nama pengarangnya.

Jadi, selepas ini apa? Tugas guru semakin mudah kerana teksnya bukanlah susah sangat hendak dikaji selepas ini. Status guru 'super' yang pernah diheboh-hebohkan selepas ini juga boleh ditarik balik kerana tiada keperluan luar biasa untuk mengajar KOMSAS selepas ini. Pokok pangkalnya guru itu sendiri yang memberi hala tuju kepada pelajarnya. Bukankah
semuanya berpunca daripada guru?

Hari ini, guru-guru di PPK (ya, bukankah mereka semua pernah menjadi guru sebelum bersemayam di Putrajaya) sudah menolak kehadiran sarjana sastera dalam mesyuarat pemilihan. Khabarnya, kes yang sama juga untuk teks KOMSAS sekolah rendah.

Apabila perkara yang bukan hak diletakkan di tempat yang salah, nantikan sahajalah balasan dan natijahnya selepas ini.

22 ulasan:

rai berkata...

Salam Kak Nis,

Jenayah?Ringan sangat perkataan tu.Dosa-mungkin lebih tepat.

Saya masuk kelas MA dgn Aljohori.Pelajarnya ada sorang tu guru BM.Dia sibuk bagitahu susahnya dia mengajar cerpen dan sajak bla bla bla.Tapi boleh tanya kat Aljohori ni-err,tuan haji ni penulis ya?ada banyak menulis dah?

Nak lempang pun buat sakit tangan je.Hehehe...Kata Aljohori,pasal tu orang sekarang tak reti bahasa.Dah tak belajar bahasa,nak buat macam mana.Jangan salahkan peguam songlap duit.Jangan salahkan arkitek buat bangunan bocor.Mereka ni tak belajar nilai-nilai, sebab tak baca karya yang bernilai.

Talkin dan tahlil untuk sastera Melayu.

ain yusof berkata...

hmm..masa baca artikel ni kat surat khabar pun dah rasa marah meluap2.jangankan kata nak baca teks SN,silap2 haribulan,ada yang tak kenal siapa pun SN.lagi teruk kalau tak tau pun yang wujudnya anugerah SN kat negara kita ni.

agaknya nanti,akan ada anak2 muda yang kata,"o...rupanya orang tua yang janggutnya panjang tu, alah, yang selalu berhenti kat stesen bangsar tu Sasterawan Negara rupanya..."

orang2 yang kat PPK tu (terutamanya yang pernah jadi guru) seakan2 memperlekehkan kemampuan kognitif pelajar2 kita.

agak2nya, cikgu yang kata susah nak ajar sastera tu mungkin mereka sendiri tak pernah baca teks2 SN kot? (shame on you teachers!as i'm going to be a teacher too!!!)

ke mana agaknya halatuju program KOMSAS ni ye?

Tanpa Nama berkata...

kejinya!

segala ini adalah perancangan pihak tertentu. satu demi satu. licik! liberalisme sudah menguasai sastera kita.

lepas isu mastera06, dtg pula seminar novel pop. semua kita biarkan dgn nada optimis. kita kata, buat apa nak kecoh2, nak hantar memorandum; ia tidak akan menjejaskan. biarlah. kita biarkan nisah haron dan konco2nya saja yg bising2 membakar diri sendiri.

skrg, bila tiba isu teks komsas, para penulis sudah hilang kekuatan. kita tiada siapa lg yg boleh diharapkan kecuali Tuhan.

maaflah, saya agak pesimis. saya tak yakin akan ada yg bangkit lantang menentang meskipun sms bantahan berterbangan sesama kita. kpd remaja malaysia, selamat bercinta dgn novel2 popular!

NorziatiMR berkata...

... peraduan memilih Sasterawan Negara melalui SMS!

Saya setuju! Bila agaknya akan dibuat? Saya nak sediakan prepaid banyak-banyak dan hantar SMS setiap hari.

Yuran sekolah naik sikit dah bising. Hantar SMS untuk AFundi banyak-banyak tak sedar diri..

:-(

putraomaku berkata...

iyer,
sprti kata anonymous, saya juga ada terima sms. nada mcm tak puas hati dgn isu teks KOMSAS yg memandang sebelah mata kaya SN dan pemenang2 anugrah.

agak2nya, akan ada tak badan penulis yg bangun membantah? masih ingat lg masa isu nak bantah pnghntaran ahadiyat ke prgram mastera dulu, bisingnya bukan main. nak hntr memo ke dbp la, ke JJ lah. last2, semuanya menyepi mcm tikus.

saya ingat, penulis2 nvl pop sdg ketawa besar skrg. usaha2 mengiktiraf mereka tlh lama bermula, dimulakan oleh dbp juga, dan akhirnya... masuk ke sekolah (bukan skdr library sekolah saja) juga nvl2 mereka.

Nisah Haji Haron berkata...

kepada mereka yang pesimis dan penikus kerana bersembunyi di sebalik nama yang tidak wujud,

kalau tak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, tak perlulah jadi langau yang sama buat bising membusukkan ikan.

Kalau sudah jadi langau, tak perlulah jadi bangau yang asyik nak salahkan orang lain.

Apakah tanggungjawab kita semua? Ya, saya akan lakukan sesuatu dengan cara saya yang tersendiri. Tak perlulah saya heboh-hebohkan. Entri di sini bersifat cetusan, reaksi kepada laporan di akhbar. Masih ada orang yang meninggalkan komen di sini tak mampu mengasingkan emosi dan pemikiran.

Insya-Allah, kita semua harus bertanggungjawab supaya apabila di akhirat nanti apabila disoal, saya dapat menjawab bahawa saya sudah bertindak. Sama ada berjaya atau gagal itu soal kedua - seperti seekor burung yang menyiram air dengan paruh ketika Nabi Ibrahim sedang dibakar, yang penting burung itu bertindak. Bukanlah seperti bangau yang sibuk mencari salah orang dan atau langau yang buat bising sambil membusukkan keadaan.

ainon mohd berkata...

Puan Nisah,

Ini semua cerita duit, duit, duit...

Negeri pun sanggup mereka jual. Inikan pula sastera.

fajar berkata...

Jika benar ini berlaku, saya adalah di antara mereka yang kecewa. Karya yang baik akan dapat membentuk peribadi yang baik juga. Kalau semua mahu yang ringan dan 'pop' semata, hilang sudah persada sastera yang penuh nilainya.

typeace berkata...

Patutlah anak-anak kita ini semakin 'dungu' kerana mereka juga akan diajar cara-cara mendungukan diri mereka.

Saya kira membaca komik lebih baik lah kalau macam ini.

Hani berkata...

aduh.. terluka sungguh.
kemampuan yang muda/para pelajar dipandah rendah.
ilmu yang bernilai tinggi dipandang murah.
modal insan yang bagaimana yang ingin dilahirkan sebenarnya? :|

john norafizan berkata...

Salam kak Nisah,
JN sebagai penulis kotemporari (atau bahasa mudah: Penulis novel 'popular'! huhuhu!) juga tidak bersetuju dengan langkah ini. Seolah-olah enggan mengiktiraf bahasa Melayu di taraf tinggi. Satu dosa kepada bahasa Melayu itu sendiri.

Ada juga memberi komen di dalam laman saya http://www.johnnorafizan.com

Helmy Samad berkata...

Salam.

Nisah, menurut maklumat yang saya terima, mereka masih dalam proses saring dan pemilihan.

Dari sms yang saya terima dari orang PPK yang menjemput Pak Samad untuk hadir dan memberi pandangan dalam mesyuarat 31hb ini (Pak Samad menolak jemputan ini) maklumat di akhbar tidak berasas. Mereka masih dalam proses saring dan pemilihan.

Entah apa yang bergolak kini di PPK, tapi suara-suara protes nampaknya memberi kesan...sejauh mana? Entahlah, sekurangnya kita ada dan menyuarakan pendirian dari tiada pendirian dan tembak curi sana sini memuaskan nafsu.

Rem berkata...

Hanya dengan alasan: "karya mereka berat dan sukar difahami?"

Alasan ini sangat bodoh dan dangkal dengan logik.

Adakah SEMUA karya SN dan Penerima Anugerah itu BERAT dan SUKAR? Saya fikir tidak.

Sama ada para penilai itu baru lepas menghisap dadah ketika membuat penilaian, atau mereka langsung tak menggali dan mencari. Ya, memang benar ada banyak karya SN dan penerima anugerah yang SARAT dengan falsafah dan hanya sesuai dijadikan teks akademik peringkat pengajian tinggi. Tetapi ada juga BERLAMBAK-LAMBAK karya SN (atau penerima anugerah karya berprestij) yang sesuai dibaca oleh pelajar sekolah menengah. Tak payah pergi jauh-jauh. Saya boleh sebut beberapa judul karya kreatif Faisal dan Nisah, sebagai misalnya.

Inilah masalahnya orang Melayu (kerana saya pasti majoriti penilai itu adalah orang Melayu dan tebal dengan pemikiran Melayu). Mereka suka underestimate daya pembacaan anak-anak bangsanya sendiri. Suka memanjakan mereka dengan pilihan yang diorientasikan oleh nilai dan tarikan hiburan.

Apa kata selepas ini kita cadangkan Kementerian Pendidikan menggugurkan elemen kalkulus, algebra dan statistik dalam matapelajaran Matematik. Alasannya? Dengan meminjam pemikiran dangkal 'mereka-mereka' itu: maka saya kata semua elemen itu wajib digugurkan kerana IA TERLALU BERAT dan SUKAR untuk golongan pelajar kita. Dengan mengambil hanya elemen-elemen berciri 'pop' dalam matematik -- seperti campur tolak bahagi darab -- saya percaya minat anak-anak Malaysia pada matematik akan berkali-ganda. Boleh?

Mereka terlupa membezakan di antara keperluan dan keinginan. Memanglah anak-anak kita sentiasa 'ingin' nak makan KFC, Pizza Hut, etc kerana makanan-makanan segera ini sedap dan 'ada tarikan glamour'. Tetapi, adakah makanan jenis begini yang kita 'perlu' untuk membangunkan pertumbuhan fizikal mereka secara sihat dan seimbang?

Bacaan berciri pop -- kalau tidak diperkenalkan di sekolah pun, masyarakat dan persekitaran sudah aktif giat mempromosikannya. Jadi, kenapa tidak berikan alternatif kepada mereka di sekolah -- sesuatu yang tidak akan ditemui (begitu-begitu saja) dalam lingkungan komuniti kapitalisme di sekeliling mereka?

manisah adham berkata...

oh salam
saya berpendapat ketiga-ketiga penulis(anda paham-paham sendirlah) itu tidak layak untuk dijadikan teks KOMSAS.banyak lagi karya-karya penulis mapan dan SN yang karyalah bagus dan mudah difahami tidak diberi peluang.sungguh sedih bila ianya terjadi.

Sofwah berkata...

Salam,

Bro Helmy, terima kasih atas berita itu..

Dr.Rem, you say it best... saya sokong cadangan gugurkan topik-topik dalam matapelajaran Matematik! lolol...

Pembacaan kan membentuk pemikiran...
Tahun lepas, entah apa mood saya, mungkin sebab selalu sangat berkunjung ke blog-blog penulis, saya mula pantau pembacaan anakdidik, walaupun, saya ajar subjek lain. Ni kira macam mikro-eksperimen, lah gitu.

Ada dua kategori utama:
Kategori A - membaca novel-novel cinta melayu;
dan
Kategori B - membaca novel-novel Inggeris sebab menyampah dengan novel-novel cinta Melayu.
(Untuk kategori B ni, saya dah pun memperkenalkan mereka kepada karya-karya bermutu dan mereka kini mula membaca novel dalam bahasa melayu, yaaaay!!! Ada sorang tu, dia kenalkan buku tu kat ibu dia lagi! Buku tu masih di tangan ibunya, geli hati...)

Apa yang sangat menarik adalah perbezaan yang sangat ketara antara pemikiran mereka di Kategori A dan Kategori B. Kategori A ternyata tidak gemar menyelongkar sesuatu isu, tidak berfikir panjang, biasanya, ada orang yang mereka minati dan mereka sangka mereka "cinta mati-mati".

Berbanding Kategori B yang berfikir mendalam tentang sesuatu isu, lebih kreatif dalam penyelesaian masalah, juga menggunakan pemikiran lateral, berfikiran jauh dan aneh sekali, sudah berfikir apa tujuan mereka meminati seseorang dan mana nak pegi dengan perasaan "cinta" mereka kerana mereka masih muda... sangat menarik....

Jadi, kalau nampak ada anakdidik/anak buah yang berpemikiran singkat tu, tanyalah apa yang mereka baca; samada membaca atau tidak... Oh. Kalau tidak membaca pun, kalau kita buat mereka teruja dan mencadangkan buku-buku yang menarik, mereka mahu mencuba... kita kenalah bersemangat mempromosikan... kalau dapat mengubah satu minda pun, jadilah...
Guru atau orang dewasa disekeliling pelajar amat penting untuk membangkitkan minat... bukan masalah teks berat, dan sebagainya...

Sekadar berkongsi anekdot peribadi "kajian main-main" saya mengenai pembacaan dan pemikiran...

Tahun ni, mungkin bagi borang survey, kot? ;D

Wassalam.

Fauzan Ibrahim berkata...

Assalamualaikum
Zaman saa amat terkesan tulisan karya Faisal Tehrani, Kerana Manisnya Epal, dan beberapa lagi tulisan seperti hasil dari Siti Hajar....

Sastera amat mengajar saya secara dalamnya, minda dan hati....

Sastera banyak mengajar akal dan mendidik jiwa

Bagaimana pula nanti agaknya generasi yang menempuh masa tanpa karya SN...?

wallahualam

Sofwah berkata...

Salam,

alamak, pembetulan sedikit.
Saya juga berkongsi karya-karya bermutu kepada mereka yang di Kategori A.
Nak berkongsi ilmu biar adillah ;D

Tapi mereka susah sedikit nak terima... ada sorang tu, terus terang bagitahu, tak boleh nak habiskan... saya bagi semangat, tak pe, paksa diri baca sampai habis sebab proses pembacaan tu akan mengubah minda tanpa disedari (ulasan teorinya panjanglah, kalo nak dibincangkan disini...)... dia dengar cakap... terus baca sampai habis...
*makin sayanglah kat anakdidik satu nih...*

Kategori B lebih mudah sebab mereka mahukan kelainan, jadi, memang sangat teruja bila saya menampilkan yang baru :)

Wassalam.

Rem berkata...

Sofwah, semangat bukan main. Tapi dok kata, terseksa batin. Tak nampak macam terseksa pun! :)

Nampaknya budaya 'Mangga' sudah menjalar merata ceruk. Bukan saja muzik Melayu sudah di'mangga'kan oleh AF dan sekutu-sekutunya. Bahkan, sastera Melayu juga sudah menjadi sastera Mangga.

Saya fikir Berita Harian dan semua suratkhabar arus perdana di Malaysia wajib mencetak dan menayang gambar muka ahli-ahli JK yang terlibat dalam pemilihan itu. Paling kurang, satu mukasurat penuh untuk setiap orang. Biar satu Malaysia kenal.

Besok-besok nanti, senanglah kita ludah muka mereka dengan kahak kalau bertemu di pejabat pos ka, kantin sekolah ka atau di Petaling Street. :)

Ugutan ini hanya bersifat metafora ya. Jangan fahami secara hurufiah!

Sofwah berkata...

Salam,


Dr.Rem, banduan rindu didera,
kena juga teruskan kehidupan...
Wajah ada tawa,
hati ada tangisan... ;D
lol.

Biar orang kata saya penyokong Dr.Rem, saya juga menyokong cadangan kedua yang berbentuk metafora itu... tapi sebab saya muslimah, malu lah nak meludah... cuma boleh menunjuk dengan telunjuk pada anak/anakdidik/anakbuah, "itulah orangnya yang menyebabkan akal kamu jadi terencat*..." :|

Wassalam.
(*tanpa berniat menyinggung golongan yang semulajadi kurang-upaya, saya pernah berkhidmat untuk mereka...)

kak ila berkata...

aduh... panasnya pebincangna di atas. pedih. Namun, syabas kerana berani bersuara dan mendabik dada.

en. sesiapa berkata...

Guru-guru :Semuanya "common sense". Jangan risau. Semoga kamu semua berjaya dalam peperiksaan yang akan datang! Ingat, cinta adalah segala-galanya.

Para pelajar menjawab soalan peperiksaan dengan mudah. Ya,lontar dadu. Pusing-pusing. Nah,jawapannya, B!

Penulis novel-novel pop tidak sabar lagi untuk membuka akaun baru. Wang besar!Wang besar!

SEMUA RAKYAT MALAYSIA DIJEMPUT KE MAJLIS TAHLIL SASTERA MELAYU.

Liyana berkata...

Assalamualaikum...

Ana merupakan seorang pelajar MRSM. Semasa kami ( sekelas) mengetahui berita ini, kami sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan PPK. Kami tidak berasa terbeban dengan KOMSAS yang diajari pada masa ini, dan pada pendapat kami, novel dan karya sastera yang perlu dikaji pada hari ini mampu difahami walaupun terdapat kesukaran kadangkala.

Pokoknya, kami TIDAK setuju!

Related Posts with Thumbnails