Khamis, April 24, 2008

Kerja Rumah untuk Guru

Beberapa hari yang lalu, saya diundang oleh Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Se-Malaysia (PKPSM) Cawangan Negeri Sembilan ke Hotel Crystal Crown, Johor Bahru untuk menyampaikan bimbingan kepada pengetua-pengetua seluruh Negeri Sembilan dari aspek penulisan kreatif, khususnya cerpen.

Apabila dihubungi oleh Cikgu Norizan - yang pernah mengajar saya subjek Rampaian Sains sewaktu di SMKA SHAMS sekitar tahun 1990 - kini beliau Pengetua, SM Sains Tuanku Jaafar, Gentam, Kuala Pilah - saya amat terkejut mendengar permintaannya itu.

Saya sudah biasa memberi ceramah ataupun bimbingan kepada pelajar sekolah, peserta MPR, staf KEMAS tetapi belum pernah lagi berceramah di hadapan sekian ramai pengetua! (Pengetua, ya, bukannya guru biasa).

Untuk mengamankan perasaan, saya pun membayangkan sewaktu di dalam mahkamah dahulu. Ketika di mahkamah, saya akan hadapi lawan saya dengan sikap profesional yang sama - tak kiralah peguam di pihak lawan itu jauh lebih senior ataupun jauh lebih junior daripada saya sendiri.

Dengan pendirian yang sedemikian, saya bawa diri seadanya dan cuba sedaya upaya memberikan satu kuliah ataupun lebih sesuai dinamakan 'crash-course' tentang penulisan cerpen (saya harus jadikan mereka semua boleh menulis berdasarkan bimbingan tidak lebih daripada 4 jam!).

Mujurlah mereka semua boleh dikatakan bersifat terbuka dan positif - mahu mempertingkatkan diri dalam penulisan kreatif. Kisah dan pengalaman mereka sebagai pengetua amat banyak sekali dan tentunya menarik jika boleh disampaikan dengan cara yang terbimbing.

Alhamdulillah, pada penghujung acara, mereka nampaknya lebih yakin untuk menulis - terutama sekali pengetua yang bukan berasal daripada bidang bahasa, seperti aliran matematik, sains, perdagangan dan sebagainya. Saya percaya, mereka punya kisah yang luar biasa dan mereka cuma perlu menyampaikannya dengan cara yang baik.

Tiga orang guru yang pernah mengajar di sekolah saya kini pengetua di tempat masing-masing - iaitu Puan Norizan Abdul Latif (Pengetua, SM Sains Tuanku Jaafar), Puan Noriyah Hashim (Pengetua, SM Senawang) dan Puan Siti Hawa (Pengetua, SM Puteri, Seremban).

Memang seronok dan sesekali nostalgik bertemu dengan mereka semula. Andainya diri saya hari ini dianggap berjaya, semuanya itu daripada Allah dan berkat tunjuk ajar guru-guru saya yang hebat ini. Sesungguhnya, saya yang lebih berterima kasih kepada mereka kerana apa yang saya kongsi bersama-sama mereka dalam tempoh tidak sampai 4 jam itu, merupakan apa yang telah diajar oleh guru-guru saya sebelum ini juga.

Sekadar untuk suka-suka, setelah tamat 2 jam pertama, saya beri 'kerja rumah' kepada semua pengetua - dengan nada kecindan. Mereka juga tergelak, apabila seorang bekas anak murid memberikan kerja rumah kepada guru-guru!



Guru-guru saya : Puan Norizan (kiri sekali berbaju ungu muda) dan Puan Noriyah (sebelah saya berbaju merah)

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails