Koleksi KLIBF '08


Semalam sempat singgah di Pesta Buku untuk membeli belah, bukan untuk buat appearance di Gerai Al-Ameen. Sengaja kosongkan hari untuk bersantai menikmati buku. Pun, sangkaan sangat meleset kerana masih ada rombongan sekolah yang memenuhi ruangan TR3. Boleh tahan sesaknya.

Yang paling aman, tentunya di sekitar gerai Wira Bukit (TR2), boleh santai-santai dan minum-minum. Lagipun semalam hari lahir Pak Samad. Sempat jugalah mengujar ucap selamat kepada beliau sambil bersembang pendek dengan Dr. Siti Zainon Ismail yang sudah lama tidak bertemu. Tidak ketinggalan, mendapatkan tandatangan Pak Samad untuk buku terbaharunya 68 Soneta Pohon Gingko.

Sesiapa yang Pesta Buku mesti singgah di gerai Wira Bukit di TR2 kerana latar dindingnya menarik sekali dan sangat sesuai dijadikan latar belakang untuk bergambar. Lihat sahaja sesiapa yang bergambar dengan Pak Samad di gerainya, memang sesuai untuk difremkan!



Pembelian setakat semalam :

1. Falsafah Dunia (Ninian Smart) - ITNM
2. Dunia Sophie (Josten Gaarder) - ITNM
3. 68 Soneta Pohon Gingko (A. Samad Said) - Wira Bukit
4. Buat Duit Dengan Terbit Buku Sendiri (Nazrul Samsudin) - MNS
5. Memahami Penerbitan Buku (Hamedi Mohd Adnan) - Medium
6. Memahami Penyuntingan Naskhah (Hamedi Mohd Adnan) - Medium
7. Kenang-kenangan Abdullah Munsyi (Zahari A. Rashid) - IBS Books
8. Mencari Jalan Pulang (Kassim Ahmad) - ZI Books
9. Saga Horizon (Fadli Al-Akiti) - Alaf21

Nampak sedikit sahaja jumlahnya. Oh, ini koleksi peribadi. Buku-buku lain biasanya akan dipesan melalui Ujana Ilmu dan saya masih dapat menikmatinya dan kalau buku-buku itu cukup baik, langsung saya jadikan koleksi peribadi.

Ini sahajalah yang sempat saya borong buat masa ini. Mungkin hari Jumaat ataupun Sabtu ini, ketika saya di Pesta Buku untuk 2 acara (pelancaran buku KKHK & Bengkel Hak Cipta), entah-entah bertemu lagi dengan permata yang tersembunyi di celah-celah gerai di sini.

Ulasan

Unknown berkata…
Ini yang saya malas bila membaca entri pencinta buku yang baru balik dari pesta buku!

Ada sahaja buku bagus yang saya terlepas pandang atau yang belum saya miliki.

Buku ITNM banyak yang bagus, mungkin ujanailmu boleh dapatkan untuk dijual di talian.
Tanpa Nama berkata…
teringin nak beli buku Buat Duit Dengan Terbit Buku Sendiri tu.tapi duit tak terbit-terbit dari poket.huhu.
Mohd Faizal berkata…
ahh..kenapa saya tidak menemui buku tulisan Hamedi Mohd Adnan..harap Puan Nisah boleh usahakan buku-buku tersebut ke ujanailmu ;-)
Ariyatna Adri berkata…
Salam,

apa khabar kak nisah, ada berselisih dengan kak nisah pada 5 April tapi tak sempat menegur. Sama pula 5 buah buku yang saya beli dengan buku kak nisah. Sayang sekali saya tak nampak buku falsafah dunia di itnm.

Faizah aka Ariyatna
Tanpa Nama berkata…
Salam Kak Nisah,

terima kasih membeli SH. Tapi, novel tu tak bolehlah lawan PUE (saya tgh baca, tak sempat mintak aotgraf!) Kak Nisah :)

Catatan Popular