Singgahan Awal di PBAKL '08

Awal pagi bertolak dari Seremban kerana ada beberapa urusan Ujana Ilmu yang mesti diselesaikan. Sasaran utama : mesti sampai di Pesta Buku Antarabangsa KL sebelum jam 10.00 pagi.

Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan banyak urusan untuk sampai ke sana. Sejurus sampai, (saya letak kereta di belakang Pusrawi, Jalan Ipoh dan masuk ikut pintu belakang PWTC) terus mencari gerai Wira Bukit Sdn Bhd. Antologi-antologi buku 9! dan 12! sudah kami letakkan di gerai itu. Gerai tersebut di Dewan Tun Razak 2 (seberang sungai, masuk ikut Jalan Ipoh lebih sesuai).

Di Gerai Wira Bukit bersama-sama Dato' A. Samad Said

Alamat gerai Wira Bukit : Lot 2088 & 2089, Dewan Tun Razak 2 (TR2)

Boleh dapatkan buku saya "Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus" di gerai ini juga.

***

Kemudian singgah ke Gerai Al-Ameen Serve - Lot 3147 - 3149 di Dewan Tun Razak 3 (TR3), berhadapan dengan gerai Dawama Bhd.

Buku saya "Karya Kita Hak Kita" sudah mula dijual di gerai tersebut. Khabarnya laku dengan baik setakat pagi ini. Alhamdulillah. Ketika di gerai Al-Ameen, bertemu dengan Sdr Jeniri Amir (pensyarah komunikasi Unimas) dan sahabatnya Encik Openg Onn (dari Radio 24). Mereka membeli buku Panduan Hak Cipta saya itu - langsung sempat menurunkan autograf.

Turut dijual di gerai ini - novel saya, Puisi Untuk Esdyzuar.

***

Buat laluan pantas untuk meninjau kedudukan semua gerai dan mengenal pasti buku-buku yang patut dibeli apabila datang kembali ke sini semula.

Banyak kali diganggu 'lalat-lalat' dari syarikat yang sibuk mahu menjual produk untuk kanak-kanak dan syarikat yang mahu menjual program berbahasa. Nyaris kena baling dengan kasut mereka ini, kerana saya cukup anti dengan produk mereka.

Di gerai MPH Distributor, berbaris panjang mereka yang mahu mendapatkan tandatangan Dr. Sheikh Muzafar dengan bukunya "Reaching For the Stars". Mana-mana gerai yang ramai orang, tentu sahaja saya mengelak.

Di sekitar gerai Alaf 21, sempat bersalaman dengan Kak Lily Haslina Nasir dan Kak Shaidah Shafie (kedua-duanya mantan MPR).

Saya bergerak pantas kerana masa amat cemburu!

***

Sebelum pulang, singgah ke gerai PTS untuk mengambil buku-buku yang telah dipesan. Di sana, saya bertemu dengan Asma Nadia (adik kepada Helvy Tiana Rosa) yang bertamu di gerai tersebut. Asma dijadualkan berada di Universiti Malaya esok tetapi Tuhan jodohkan pertemuan kami di Pesta Buku. Sempat juga dia menghadiahkan sebuah buku untuk saya dan bergambar kenang-kenangan.

Ulasan

A. Jazmin berkata…
Puan Nisah,

Saya memang suka singgah lalu di blog Puan Nisah untuk ke blog Puan Halela (Okinawa) :-) - sambil menyelam minum air.

Saya hendak jemput Puan Nisah dan para pengunjung blog ini ke gerai ***** KAMUS ELEKTRONIK di Pesta Buku Antarabangsa KL (PWTC) ... adik saya salah pengurus di sana, mencari makan dengan cara memperkenalkan produk program bahasa (Melayu-Inggeris, Inggeris-Melayu) kepada masyarakat Malaysia. InsyaAllah cara mereka mendekati pengunjung Pesta Buku adalah dengan cara yang baik.

Saya telah berkunjung ke Pesta Buku tahun ini, dan saya dapati sambutannya amat memberangsangkan.

Salam.

- aminahjazilahabubakar

Catatan Popular