Rabu, Mei 28, 2008

Siri Undang-undang 2 : Melarikan Diri Daripada Wali


Saya pernah berfikiran nakal : bahawa musim sekolah di Malaysia ialah 'musim mengawan'. Saya fikir hanya di Malaysia sahaja orang-orang Melayu khususnya, memilih untuk melangsungkan walimah pada waktu cuti sekolah. Rasionalnya, supaya sanak saudara dapat berkumpul bagi bersama-sama berbelanja besar dan berhabis duit demi satu majlis perkahwinan yang diharapkan hanya berlangsung sekali seumur hidup.

Akhir-akhir ini juga saya perhatikan pembaziran amat berleluasa dalam mana-mana majlis perkahwinan. Paling menyedihkan, apabila jodoh mereka tidak panjang, kos perceraian pula jauh lebih tinggi daripada kos majlis perkahwinan itu sendiri.

Terlalu ramai pula yang terpengaruh dengan program seperti "Ratu Sehari" yang bersifat sangat kapitalis dan mengalunkan lagu-lagu indah yang membuai rasa supaya bakal pengantin lebih menumpu kepada majlis itu sendiri berbanding menghayati makna perkahwinan.

Adakalanya, ibu dan ayah yang berlebih-lebih mahukan majlis yang besar untuk anak(atau anak-anaknya). Tetapi tidak kurang pula ibu dan ayah yang tidak dapat hendak 'veto' permintaan daripada anak yang hendak menjadi ratu sehari itu yang mahukan itu dan ini. Akhirnya, masing-masing bergolok bergadai hanya untuk memuaskan hati tetamu mereka yang datang sekitar 30 minit untuk makan-makan (dan kadang-kala mengutuk-ngutuk, komplen lauk tak sedap, tema tak sepadan, dll); ataupun untuk memuaskan hati saudara mara yang selepas pasangan ini berkahwin, tidak akan tinggal bersama-sama dengan keluarga yang melangsungkan perkahwinan - malah satu sen pun mereka tidak menyumbang untuk majlis perkahwinan ini!

Itu belum dicampur lagi dengan anak-anak yang kahwin lari kerana ibu dan ayah tidak menyetujui pilihan pasangan. Ada juga ibu ayah yang mengikutkan sahaja kehendak anak supaya anak itu tidak meninggalkan mereka. Hakikatnya, ada juga pasangan yang sudah enggan kembali menjenguk keluarga pasangan masing-masing walaupun keluarga masing-masing sudah mengeluarkan belanja sekian banyak bagi menunaikan permintaan pengantin.

Berikut satu lagi siri undang-undang dan remaja yang pernah tersiar dalam majalah Dewan Siswa sekitar tahun 2006 :

Remaja harus menerima hakikat bahawa zamannya ini bersifat sementara. Masa akan tiba untuk mereka mencari pasangan hidup. Persoalan yang membezakan hanyalah cepat ataupun lambat.

Mungkin juga ada di kalangan remaja yang sedang hebat dilamun cinta. Usah bimbang, itu merupakan sesuatu yang semula jadi. Namun, paling penting ialah bagaimana mereka mengurus rasa cinta dan kasih sayang itu supaya tidak menggugat keutamaan lain dalam hidup.

Rasional sangat penting dalam bercinta. Persoalan emosi hendaklah diletakkan pada tangga yang kedua. Pertimbangan hanya menggunakan emosi akan menatijahkan kesan buruk dalam hidup mereka untuk satu tempoh yang agak panjang.

Ada antara anak-anak gadis yang mudah termakan pujukan dan menerima ajakan orang yang dikasihinya supaya cepat-cepat bernikah. Apabila ada halangan daripada keluarga si gadis, tanpa berfikir panjang, gadis tersebut terus mengikut lelaki ini untuk ‘sehidup semati’.

Pilihan popular ialah lari ke Selatan Thailand. Bunyinya macam romantik sekali tetapi kesannya amat buruk, terutamanya kepada gadis tersebut.

Ramai lelaki yang tidak bertanggungjawab menggunakan taktik begini. Syarat sah nikah ada lima iaitu suami, isteri, wali, saksi dan lafaz ijab qabul.

Mereka ini tahu bahawa dalam syarat sah nikah itu, jika wali berada lebih daripada 2 marhalah (89 kilometer) daripada tempat akad nikah dilangsungkan, gadis tersebut boleh menggunakan wakil wali. Jadi, kebenaran wali mujbir (bapa atau datuk) itu dianggap gugur.

Inilah kesilapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang cetek ilmu. Perbuatan mereka itu bukanlah menggugurkan hak wali tetapi mereka sebenarnya telah melarikan diri daripada wali dengan sengaja. Perbuatan ini boleh menjadikan pernikahan mereka tidak sah dan anak-anak yang bakal dilahirkan nanti anak-anak daripada perkahwinan syubhah.

Secara ringkasnya, kesan perkahwinan begini adalah seperti berikut :

a) bernikah dengan sindiket tanpa bertauliah mengakibatkan perkahwinan itu tidak dapat disahkan di mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia;

b) sekalipun pernikahan itu sah, pasangan hendaklah segera mendaftarkan mendaftarkan perkahwinan di Malaysia dalam tempoh 6 bulan setelah kembali ke tanah air;

c) kegagalan untuk mendaftarkan perkahwinan itu:

i. sijil nikah Malaysia tidak dapat dikeluarkan

ii. anak-anak sukar didaftarkan

iii. perceraian sukar dipohon

iv. mewujudkan generasi yang pincang

Barangkali remaja hari ini melihat kes ini sebagai sesuatu yang jauh daripada diri mereka. Namun, pengetahuan ini bukan sahaja boleh membantu mereka, tetapi boleh dimaklumkan kepada kawan-kawan ataupun saudara-mara yang dijangka bakal terlibat dalam situasi begini.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya ibu bapa si gadis itu enggan menjadi wali ataupun tidak bersetuju dengan pilihan gadis tersebut ialah :

a) gadis tersebut perlulah membuat permohonan wali engkar di Mahkamah Syariah

b) gadis dan walinya (biasanya bapa, datuk atau abang) akan dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan

c) mahkamah akan menimbangkan sama ada permohonan gadis itu ataupun alasan wali itu wajar

d) sekiranya alasan wali tidak wajar, maka mahkamah boleh meluluskan gadis itu berkahwin dengan menggunakan wali hakim. Jadi pernikahan masih boleh dilangsungkan di Malaysia.

e) Sekiranya alasan wali wajar, mahkamah tidak akan meluluskan permohonan gadis tersebut. Nyata bahawa alasan wali lebih kukuh dan jelas bakal suami gadis tersebut tidak layak untuk mengahwini anak gadisnya.

Secara logiknya, semua ibu bapa mahu melihat kebahagiaan anak-anak mereka. Namun, dalam membentangkan pendapat dan alasan kepada ibu bapa, perlu ada cara lebih rasional dan berhikmah yang perlu dipatuhi.

Melarikan dari mengikut teman lelaki dan mengikut kata hati biasanya menatijahkan hubungan perkahwinan yang tidak direstui. Akibatnya bukan ditanggung oleh pasangan itu sahaja, malah bakal melahirkan generasi yang porak peranda juga.

1 ulasan:

mxypltk berkata...

Dear Nisah,

I will say that your previous blog is more 'you' than the current one. The green theme to me is more serene than the glaring yellow, which the current one bears.

The previous one is more compact and easier to read too.

Hakim @ mxypltk

Related Posts with Thumbnails