Khamis, Mei 29, 2008

Siri Undang-undang 3 : Maksim & Ungkapan Undang-undang


Sewaktu dalam tahun pertama pengajian, antara perkara yang paling seronok dipelajari ialah istilah-istilah undang-undang serta maksim ataupun ungkapan undang-undang yang menggunakan bahasa Latin. Malah, para senior juga selalu membuli junior ketika minggu orientasi menggunakan istilah Latin.

Contohnya : "Kita di sini kena belajar Bahasa Latin tau! Kalau nak pergi tandas pun kena minta izin daripada pensyarah guna Bahasa Latin." Mana tak kecut perut kalau junior yang tak tahu apa-apa dimaklumkan hal demkian.

"Kami di sini pun selalu guna Bahasa Latin. Kamu tahu tak apa makna doli incapax?" suaranya semakin meninggi. Junior-junior pun tertunduk tawadduk. Bimbang kalau jawapan yang salah, tentu kena jerkah lagi.

"Doli incapax tu maknanya jangan kerek!"

Saya sakit perut menahan gelak ketawa ketika junior saya pula 'membuli' junior mereka. Kenangan manis yang masih lagi tersimpan dalam lipatan sejarah sewaktu menjadi mahasiswi undang-undang.

Berikut saya turunkan lagi sebuah rencana undang-undang dengan tajuk yang sama, juga sudah terbit dalam Dewan Siswa sekitar tahun 2006 :

APABILA membaca akhbar dalam ruangan berita mahkamah, kita akan berjumpa dengan beberapa istilah undang-undang. Antaranya prima facie, habeas corpus, afidavit, alibi, bona fide ataupun status quo.

Istilah-istilah itu memang biasa ditemui jika kita pembaca yang prihatin ataupun menonton drama undang-undang di televisyen. Istilah tersebut bukanlah sengaja diada-adakan kerana tulisan berkenaan ada kaitannya dengan undang-undang. Ini disebabkan ia tidak boleh diganti sewenang-wenangnya dengan perkataan-perkataan biasa kerana maksudnya mungkin berbeza.

Sebagai contoh, perkataan afidavit mungkin asing pada orang biasa, namun bagi mereka yang ahli dalam undang-undang perkataan ini membawa maksud satu keterangan bersumpah yang ditandatangani oleh orang yang membuat afidavit dalam menggunakan borang ataupun format tertentu.

Apabila ayat tersebut diubah kepada misalnya, ‘Dia telah menandatangani satu dokumen keterangan bersumpah’, maknanya mungkin pelbagai. Satu, dia mungkin telah menandatangani suatu afidavit; dua, dia juga barangkali menandatangani suatu Surat Akuan Bersumpah. Kedua-duanya berbeza dari segi isi dan penggunaannya dalam undang-undang.

Oleh yang demikian, perkataan afidavit itu tidak semudahnya dapat ditukar ganti dengan perkataan lain. Bagi mencari maksudnya, ada sesetengah kamus yang menyenaraikan beberapa istilah undang-undang dalam entrinya. Tetapi, bagi mencari makna yang lebih khusus pula, kamus istilah undang-undang akan memberikan penerangan yang lebih.

Dalam undang-undang juga terdapat ungkapan-ungkapan yang dinamakan maksim dan ia dalam bahasa latin. Bagi pelajar undang-undang, antara maksim yang popular ialah ignorantia legis non excusat. Ertinya tidak prihatin kepada undang-undang bukanlah satu alasan. Ungkapan ini membawa maksud, apabila kita ditahan kerana melakukan satu-satu kesalahan, kita tidak boleh menggunakan alasan ‘saya tidak tahu pun ini satu kesalahan’.

Setiap kali undang-undang itu digubal kemudian diwartakan, tanggungjawab itu terletak kepada orang ramai untuk mengambil tahu akan undang-undang tersebut.

Terdapat maksim lain yang berbunyi volenti non fit injuria. Ertinya, seseorang yang melakukan sesuatu dengan sukarela tidak boleh mengambil tindakan undang-undang apabila dia cedera kerana melakukannya.

Contohnya, dalam perlawanan tinju, apabila peninju itu cedera parah akibat aktiviti tersebut, dia tidak boleh menyaman lawannya yang bermain mengikut peraturan permainan walaupun dia cedera. Apatah lagi, dia memang tahu risiko dalam perlawanan ini.

Ini amat berbeza dengan apa yang berlaku antara Mike Tyson melawan Evander Holyfield ketika insiden Mike Tyson menggigit telinga lawannya itu.

Satu maksim lain yang berkaitan dengan undang-undang hartanah ialah quicquid plantatur solo, solo cedit iaitu apa-apa yang dilekatkan pada tanah, adalah kepunyaan tanah tersebut. Ia bermakna, apabila seseorang itu menjual tanahnya, ini bererti dia turut menjual apa-apa yang ada di atas tanah tersebut.

Tidak ada orang yang boleh menjual hanya tanah tanpa menjual rumah ataupun dusun yang berada di atas tanah tersebut. Dalam undang-undang juga disebut ‘hartanah’ yang boleh ditafsirkan sebagai harta dan tanah.

Begitu juga sekiranya pemilik sebuah rumah mahu menjual rumahnya, secara automatik dia akan menjual tanah tempat rumah itu berada. Melainkan, dia menjual rumah jenis apartmen. Dengan yang demikian, dalam perjanjian jual beli hartanah, semua itu akan diperincikan.

Setelah mendengar beberapa istilah latin tersebut, ini tidak bermakna para pelajar undang-undang harus mempelajari bahasa latin sebagai satu daripada keperluan bahasa. Jarang ada subjek khusus tentang maksim dan ungkapan undang-undang ini kerana dalam setiap mata pelajaran undang-undang pelajar akan menemui ungkapan-ungkapan yang menjadi prinsip-prinsip undang-undang.

Walau bagaimanapun, biasanya tumpuan kepada maksim dan ungkapan undang-undang ini boleh didapati dalam subjek pengenalan kepada undang-undang.

Sebagai negara yang mewarisi sistem undang-undang British, kita tidak dapat lari daripada mengaplikasi ungkapan ini sebagai suatu prinsip undang-undang.

4 ulasan:

thanaif berkata...

Assalamualaikum Puan,

Berpindahnya kekuasaan dan kepimpinan setelah era penjajahan mengapakah tidak bermaksud perlunya diwarisi sistem undang-undang yang lebih dekat jasad dan rohaninya dengan pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu?

najibah berkata...

Kak Nisah,

Membaca post Kak Nisah yang ini, buat saya terkenang zaman belajar undang-undang dulu. Tapi mujur kami tak diorientasikan ikut fakulti, jadi tak adalah kena buli tentang maksim :).

Rina berkata...

Salam Puan Nisah,

Saya pinjam sajak 'rama-rama sg muar' tu di blog saya.

Tanpa Nama berkata...

Kenapa anda beralih ke dunia sastera pula?adakah anda bukan seorang yg hebat di dalam undang-undang?Musykil-musykil...

Related Posts with Thumbnails