Manusia Cepat Melatah 2


Apabila berlaku kenaikan harga minyak dan tarif elektrik, manusia pun melatah.

Fikirkan, berapa ramai yang bising sewaktu Astro menaikkan harga langganan?

Berapa ramai yang sibuk top-up telefon bimbit kerana mahu mengundi penyanyi yang tergedik-gedik itu?

Berapa ramai yang tak mahu tinggalkan tabiat merokok walaupun harga rokok dinaikkan?

Berapa ramai yang masih shopping baju, tudung dan aksesori walaupun almari di rumah sudah hendak memuntahkan kembali baju yang ada?

Berapa ramai yang menyumpah seranah sebab sudah terlalu selesa dengan cara hidup yang ada?

Soalnya, mereka yang bising-bising tentang kenaikan harga minyak kebanyakannya mereka yang mampu untuk mengubah cara hidup sendiri dan mampu pula untuk mengisi tangki minyak masing-masing. Kumpulan ini jugalah yang sibuk mengatakan bahawa orang miskin tentu terkesan dengan hal ini. Padahal, pada masa ini, orang yang dikatakan miskin itu sedang berusaha untuk memikirkan ikhtiar hidup dengan desakan yang menimpa ini.

Percayalah, mereka yang bising ini hanya setakat satu dua bulan. Selepas itu, media akan beralih kepada berita lain dan kehidupan pun diteruskan. Kita pun kian selesa dengan hidup baru (dengan minyak yang dikatakan mahal hari ini).

Ya, hidup akan tetap diteruskan. Persoalannya, berapa ramai yang segera menguasai keadaan dan berapa ramai pula yang terus hidup dikawal keadaan serta tak sudah-sudah menyumpah seranah sedangkan diri sendiri yang tidak mahu berubah.

Sudahkah kita bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan untuk kita meronta-ronta dan hilang akal dengan sedikit dugaan seperti ini.


Nota : Saya bukannya menyokong kenaikan harga minyak, tetapi berdasarkan pembacaan dan rujukan, hal ini harus berlaku. Bukankah setiap yang berlaku itu ada hikmah yang Allah sembunyikan. Hanya manusia yang mampu berfikir dengan baik dapat menyingkap tabir hikmah itu.

Marilah kita belajar berfikir... semula.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
puan nisah,
benar bagi yang masih berkemampuan, ya benar, masih boleh meneruskan hidup dengan selesa. bagaimana dengan yang tidak? yang benar2 terpukul oleh apa yang berlaku. saya bukan tidak percaya setiap sesuatu itu ada hikmahNya, sangat percaya.

puan nisah,
golongan atasan, mula dengan gred JUSA C minyak dibayar kerajaan. Itu baru gred JUSA C bukan pak menteri atau pak perdana menteri. maaf, barangkali kerana saya antara golongan yg sangat terasa keadaan ini. yg sebelum ada kenderaan, pergi kerja naik public transport seawal selepas menunaikan solat subuh dan pulang saya disambut maghrib, padahal bekerja sekitar kl, duduk menyewa di flat lembah pantai. berdikit2 setiap hari utk mkn dan belanja harian, walaupun saya punya kelulusan. itu baru saya, blm lagi staf sokongan saya, yg berkeluarga. bkn saya merungut tapi anda penulis yg selalu menyelam kehidupan masyarakat. bkn semua org seperti yang anda gambarkan
Imran Yusuf berkata…
Assalamu'alaikum Puan Nisah,

Setiap orang berhak memberikan pandangan. Oleh yang demikian saya pun akan memberikan pandangan.

Bagi saya kenaikan harga minyak kali ini cukup terasa. Saya bukan pakar ekonomi yang mempunyai ijazah masters dan Ph.D., tetapi saya dapat mengenali kerajaan hari ini telah terlalu lama berkuasa dan para pembuat keputusan telah terlalu lama bergelumang dengan kemewahan, sehingga mereka sudah tidak lagi bersama rakyat jelata dan merasakan denyut nadi rakyat jelata. Mereka sudah terlalu lena dengan melayan kemahuan perut dan bawah perut, sehingga mereka sudah tidak nampak dan sudah tidak peduli lagi nasib rakyat jelata.

Tetapi bagi kita para penulis, yang sepatutnya bersama denyut nadi dan aspirasi rakyat, sekiranya kita merasa setuju dan redha dengan keputusan dan tindak tanduk mereka yang mengakibatkan kesesengsaran hidup mereka akibat tekanan ekonomi, (walau pun atas alasan "mesti ada himah di sebaliknya"...), maka apakah lagi yang boleh disimpulkan, melainkan kita juga termasuk dalam golongan mereka?

Semoga Allah memberikan rahmat kepada kita semua.
Nisah Haji Haron berkata…
Sdr Nurul Hidayah,
Saya faham apa yang sdr rasakan itu. Namun, saya bukannya menyelar golongan seperti sdr, tetapi lebih kepada mereka yang selama ini hidup bermewah-mewah dan kita ada hati pula nak merungut tentang kenaikan harga minyak - sedangkan mereka ialah golongan yang sangat mampu.

Bagi golongan berpendapatan di bawah RM1,000, mereka adalah golongan yang paling terkesan.

Pun, hujah saya dari dalam siri 1 & 2 tentang "manusia cepat melatah" ini ialah melihat bagaimana kita boleh melihat dari sudut yang berbeza. Bukankah merungut dan mengeluar pendapat dengan hanya menyalahkan pihak lain tidak akan merobah apa-apa pun.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal, bagaimanakah kita menggunakan kebijaksanaan itu untuk melepaskan diri daripada kemelut tersebut. Jika akal kita sudah diatur untuk memikirkan bahawa sudah tidak ada jalan keluar, maka reaksi kita juga demikian.

Bukankah dalam setiap kesukaran itu ada kemudahan yang Allah janjikan.


Sdr Imran,
Benar, setiap seorang itu bebas mengeluarkan pendapat menurut tafsirannya. Dengan yang demikian juga saya izinkan pendapat sdr disiarkan dalam ruangan komen ini.

Usahlah mudah benar membuat tafsiran bahawa siapa yang mampu melihat hikmah daripada kejadian ini terus digolongkan dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

Sebagai penulis, kitalah yang harus membantu masyarakat berfikir kerana budaya ini semakin pupus - yang tinggal ialah budaya untuk terus beremosi.

Sebagai penulis, kitalah yang patut mengajar masyarakat menjadi rasional dalam apa-apa situasi sekalipun. Itu juga amanah untuk kita.

Semoga kita semua tidak putus daripada rahmah Allah dan Allah terus mengurniakan kita kekuatan akal dan menjadi golongan 'sabiquun', insya-Allah.

Catatan Popular