Rabu, Julai 02, 2008

Koleksi Buku Terkini


Baru-baru ini saya sempat ke Galeri Petronas - itupun setelah beberapa kali saya uja untuk ke sana. Cita-cita untuk mendapatkan sebuah buku yang sudah lama saya idam-idamkan, alhamdulillah, tercapai juga.

"Sajak-sajak Lengkap Latiff Mohidin" ini ialah koleksi yang mesti dimiliki oleh penggemar puisi. Kalau pun tidak minat langsung pada puisi, buku ini masih lagi koleksi yang cukup menarik untuk dijadikan collector's item dengan saiz coffee table - cukup mewah dan menjadikan penyairnya wajar untuk berasa sangat dihargai.

Sebenarnya ada banyak juga buku-buku Latiff Mohidin yang dijual di Galeri Petronas, termasuk koleksi lukisannya yang telah dijadikan dalam bentuk buku.

Oleh sebab harganya pun agak lumayan, saya memilih untuk membeli dua buah sahaja. Mungkin jika ada rezeki, saya beli lagi.

"Sajak-sajak Lengkap" berharga RM180 tetapi kualiti bukunya amat memuaskan. Tak rugi langsung memilikinya, walaupun sebelum ini saya sudah ada koleksi Latiff Mohidin seperti Rawa-rawa. Tetapi, memiliki buku ini terasa puas.

"Puisi-puisi Rumi" merupakan hasil terjemahan Latiff Mohidin (RM55). Edisi mewah ini juga membuat saya tertarik untuk memilikinya.

Pada saya, nilai sebuah buku (ketika meletakkan harga) bukanlah sekadar pada dakwat dan kertasnya; tetapi kita harus nilai juga pengkaryaan dan maruah pengarangnya. Ada orang tak sanggup beli buku kerana mahal, tak ada diskaun dan sebagainya. Tetapi, jika anda menjadi pengarang, barulah tahu betapa sedihnya jika buku anda dijual benar-benar dengan harga kertas dan dakwat tanpa meletakkan diri anda langsung sebagai pengarang buku itu.

Mengingatkan saya kepada seorang anak guam sewaktu masih bertugas dulu. Katanya, mengapa menyediakan perjanjian kosnya minimum RM200, sedangkan perjanjian tu bukankah terdiri daripada kertas dan dakwat! Oh, saya rasa nak telan saja anak guam tu... Dalam hati saya berkata, cubalah draf sendiri perjanjian tu. Tengok jadi ke tidak?

Oops, saya melencong sebentar.

Latiff Mohidin tentu tidak boleh dipisahkan dengan "Sungai Mekong"nya. Oleh itu, buku ini dimulakan dengan sajak "Sungai Mekong" sebagai pembuka tirai puisinya.

Saya tak pasti sama ada buku ini ada dijual di kedai buku lain, setakat ini hanya ada di Galeri Petronas, Aras 3, KLCC (hampir setentang dengan TGV, setingkat di bawah Kinokuniya).

Oh ya, buku-buku ini ialah hadiah kepada diri saya sendiri kerana kemenangan HSKU yang lalu. Biasalah, penulis. Apabila dapat 'duit' lebih sedikit, pastinya akan dilaburkan kembali dalam bentuk pembelian buku.
.
.
.

5 ulasan:

saat omar berkata...

ni gambar saya dengan latif Mohidin :)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~>

Aidil Khalid berkata...

Kalau tak silap saya, buku ni ada juga dijual di kooperasi DBP (kalau tak silap sayalah...)

Nisah Haji Haron berkata...

Sdr Saat,

Wah, tentu bahagia dapat bergambar dengan pelukis/penyair tersohor itu. Kali terakhir saya bergambar secara langsung dengan beliau ialah ketika Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005.

Aidil,
Benarkah? Kalau begitu, bagus sekali. Memang sukar hendak mencari buku yang baik seperti ini.

saat omar berkata...

ye saya nampak gambar puan Nisah dalam majalah dewan sastera tu...

gambar saya dengan latiff Mohidin ni saya ambil di galeri petronas KLCC semasa exhibiton painting beliau disana.
Bila saya tunjukkan gambar ini pada kawan-kawan semua cemburu kerana mereka tahu betapa susahnya nak berjumpa dengan latiff Mohidin hehe

ummufatihah berkata...

Puan Nisah, sebenarnya bukan penulis sahaja yang bertabiat demikian. Golongan yang perasan nak jadi penulis macam saya ni pun macam tu juga. Sekali-sekala puisi tulisan saya disiarkan untuk pembedahan dbp tempatan, belum lagi cek sebanyak rm40 diterima, saya dan suami dah melabur buku baru yang nilainya lebih dari tu... Alllamak..:)

Related Posts with Thumbnails