Adakah Pustakawan Membaca?

Baru-baru ini Ujana Ilmu didatangi seorang wakil daripada sebuah perpustakaan terkemuka di Amerika Syarikat yang berpangkalan di kedutaan negara tersebut. Wakil itu memang sudah saya kenali sejak lama dahulu, tetapi kami telah terputus hubungan. Apabila dia menghubungi kami semula, banyaklah hal-hal seputar dunia buku yang dapat kami bicarakan dalam pertemuan singkat tersebut.

Selain mendapatkan buku-buku edaran Ujana Ilmu yang agak sukar diperoleh daripada kedai-kedai buku biasa, beliau tertarik untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang jenis-jenis buku sastera yang wajar diabadikan di perpustakaan negara tersebut. Dia turut bertanyakan tentang novel-novel popular yang berlambak-lambak di kedai-kedai buku. Katanya, dia tidak berminat untuk mendapatkan buku-buku tersebut tetapi dia cuma mahukan kepastian: sama ada tindakannya melabel buku-buku tersebut sebagai buku non-sastera sebagai satu tindakan yang betul.

Saya mengeyakan perbuatannya. Benar, buku-buku tersebut bukan buku sastera. Saya jelaskan bahawa buku-buku Faisal Tehrani, misalnya, adalah buku yang wajib ada di perpustakaan negara itu kerana Faisal merupakan penulis yang punya masa depan cerah dan tidak mustahil bakal menerima setidak-tidaknya Anugerah S.E.A. Write dalam jangka waktu terdekat, kalau pun bukan Anugerah Sastera Negara. Turut saya cadangkan beberapa nama lain yang karyanya wajar diambil kira.

Perkara lain yang turut dibualkan ialah pengalaman beliau ketika hendak membuat pembelian di salah sebuah perpustakaan negeri. Dia yang datang dari jauh (dan ada banyak tunai) mahu membeli buku-buku pilihannya secara tunai dan pergi.

Tetapi, perpustakaan tersebut enggan menjual buku yang dipilih dengan alasan, pegawai yang bertugas tidak ada. Dia diminta datang kembali 2 hari selepas itu. Sesiapa sahaja pastilah kecewa mendengar alasan demikian. Adakah patut dia menerima jawapan seperti itu?

Dia mengadu kepada saya, katanya, "Pada kerongsang pegawai perempuan itu tertulis perkataan Baca. Tetapi sikapnya seperti langsung tidak menggalakkan orang lain membaca. Hendak beli buku pun susah sekali!"

Oleh sebab di Ujana Ilmu kami mengedar buku yang dicarinya itu, dia membeli terus daripada kami. Bukan setakat itu, dia memilih edisi kulit keras.

Ya, saya sudah terbiasa dengan sikap 'pustakawan' yang begitu. Dia hanya tahu tugasnya sebagai pentadbir perpustakaan. Langsung tidak ada sikap menggalakkan orang membaca. Adakalanya bermasam muka jika kita bertanyakan tentang buku, seperti di mana lokasi dan sebagainya. Ini sangat berbeza dengan sikap pustakawan di Barat yang benar-benar menghargai ilmu dan buku. Mereka sanggup bersusah payah mencarikan buku untuk sesiapa sahaja yang memerlukan khidmatnya.

Pembelian daripada perpustakaan terkemuka Amerika Syarikat ini juga satu bukti bahawa mereka amat mencintai ilmu dan mahu melestarikannya. Ada juga satu dua buku saya yang diterbitkan sendiri dibeli oleh pihaknya. Saya lepaskan. Biarlah buku itu tersimpan di perpustakaan tersebut, walaupun hanya satu naskhah. Sekurang-kurangnya buku tersebut akan disimpan dengan baik dan terjaga.

Cuma, perpustakaan negara kita sendiri pula haruslah membina sikap yang serupa terhadap manuskrip dan buku-buku milik kita. Jangan sampai ada yang tergadai dan kita pula yang harus membayar untuk melihat dokumen yang pernah menjadi milik kita sendiri, seperti apa yang berlaku di Leiden dan sebagainya.

Saya pernah terlibat dengan proses membantu perpustakaan negeri membuat pembelian manuskrip dan buku-buku lama Za'ba serta buku-buku yang sukar dijumpai. Buku-buku tersebut dijual oleh collector. Apabila mereka bertanya kepada saya, saya kata, beli! Tapi, pastikan manuskrip tersebut disimpan dengan baik, terjaga (tidak dimakan gegat, dsb), dan boleh diakses oleh sesiapa yang perlu menggunakannya. Tak guna juga kalau membeli tetapi disimpan sampai orang tak tahu pun perpustakaan memiliki koleksi tersebut.

Entah apa jadinya dengan pembelian tersebut. Moga-moga mereka meluluskan pembelian tersebut. Saya tahu perpustakaan ada bajet khusus untuk membuat pembelian begini. Kalau tidak pun, bajet itu tentu sahaja akan dihabiskan dengan jamuan, dan paling menjengkelkan, wang itu dihabiskan untuk pertandingan yang tidak bersifat ilmiah seperti pertandingan karaoke yang pernah berlaku dalam satu majlis ala-ala karnival membaca!
.
.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam.

Waduh! Sungguh tajam isi kandungan masukan ini. Semoga 'yang berkenaan' akan terbaca pandangan puan ini, insya Allah.
fadzil yusof berkata…
Salam.

Saya setuju. Omelan tapi betul. Peprustakaan kita di sini dan perpustakawan masih tidak 'berjenama', tapi sudah dikenali dunia dengan takluk gunung sana dan kutub sini. Kak Nisah memang kuat omel. Omel yang positif la.

Satu lagi, ujana ilmu memang berfungsi sebagai agen sastera. Tahniah!.
Sarah berkata…
Apapun, bakal-bakal 'pustakawan' di sini sebenarnya dilatih untuk menjadi pentadbir buku (robot?), bukannya pencinta buku :)
Faizah Roslaini berkata…
On a bigger picture, I think it has something to do with how some of us futhered our studies by going to this and that IPTs, because we wanted a good job, not because we are interested with the subject of the study. Jadi lahirlah lahirlah pekerja2 yg takde passion dalam kerja2nya. And then saya rasa sistem dan mentaliti pun mungkin sbbnya. Kalau takde sistem yang betul utk manage books, all books are everywhere, sistem tak update sbb byk backlog, susah jugak kan? (Tapi rasanya byk library dah dapat ISO 9001, mcm mana tu?). Mentaliti, sebab, kalau dah semua attitude couldnt care less about books, mcm mana kita hendak menongkah arus?
Tanpa Nama berkata…
[Perkara lain yang turut dibualkan ialah pengalaman beliau ketika hendak membuat pembelian di salah sebuah perpustakaan negeri. Dia yang datang dari jauh (dan ada banyak tunai) mahu membeli buku-buku pilihannya secara tunai dan pergi.

Tetapi, perpustakaan tersebut enggan menjual buku yang dipilih dengan alasan, pegawai yang bertugas tidak ada. Dia diminta datang kembali 2 hari selepas itu. Sesiapa sahaja pastilah kecewa mendengar alasan demikian. Adakah patut dia menerima jawapan seperti itu?

Dia mengadu kepada saya, katanya, "Pada kerongsang pegawai perempuan itu tertulis perkataan Baca. Tetapi sikapnya seperti langsung tidak menggalakkan orang lain membaca. Hendak beli buku pun susah sekali!"]

Saya terpanggil untuk memaklumkan kepada semua, umumnya. Maaf, bukan untuk mencari pasal, sekadar maklumat dan pengetahuan tentang bidang kepustakawanan. Ini berdasarkan pengalaman saya yang masih setahun jagung (bagi diri saya sendiri) dalam dunia kepustakawanan yang hampir 5 tahun berkecimpung dalam bidang kepustakawanan (perpustakaan akademik). Walaupun, pernyataan ini bukan terus kepada pustakawan seperti saya, tapi terasa juga lampiasnya. Mungkin juga pustakawan lain yang lebih senior (terutamanya dari perpustakaan negeri/ perpustakaan awam) boleh juga memaklumkan hal ini, hanya untuk makluman.

Setahu saya, Perpustakaan tak kiralah perpustakaan negeri, akademik atau khusus, tidak menyediakan perkhidmatan menjual buku seperti kedai buku. Umum tentu maklum tentang fungsi perpustakaan. Secara ringkas, perpustakaan berfungsi (secara spesifiknya) sebagai tempat yang menyediakan perkhidmatan pinjaman dan rujukan. Secara tersiratnya, ia juga berfungsi sebagai tempat penyebaran ilmu yang bukan dalam bentuk jual beli.

Mungkin dalam satu-satu program tertentu, misalannya, semasa mengadakan program bulan membaca atau sambutan kemerdekaan, ada aktiviti penjualan buku-buku ini tetapi bukan untuk mendapat keuntungan tetapi sebaliknya sebagai salah satu perkara kebajikan.

Dalam hal berbangkit seperti di atas, pegawai berkenaan boleh mencadangkan syarikat pembekal yang pernah berurusan dengan pihak perpustakaan. Individu tersebut boleh berurusan sendiri dengan syarikat pembekal yang membekalkan buku seperti yang dikehendaki individu itu. Mencadangkan nama pembekal yang menjual buku kepada pihak perpustakaan, tidak salah. Malah individu tersebut boleh mendapatkan harga yang sama seperti beliau membeli di kedai buku atau lebih murah daripada yang dijual di kedai. Saya pasti, pihak perpustakaan mempunyai senarai nama pembekal yang panjang.
Keadaan ini samalah seperti yang berlaku di perpustakaan akademik seperti di tempat saya bekerja. Para pensyarah atau kakitangan akademik ingin membeli buku-buku yang sukar diperolehi di Malaysia. Lalu, pihak kami akan mencadangkan pembekal-pembekal yang sentiasa berurusan dengan pembekal-pembekal dari luar negeri. Kakitangan akademik ini akan berurusan sendiri dengan mereka secara terus. Dan khidmat ini diberikan oleh pihak perpustakaan tanpa meminta sebarang bayaran atau komisyen.

[Ya, saya sudah terbiasa dengan sikap 'pustakawan' yang begitu. Dia hanya tahu tugasnya sebagai pentadbir perpustakaan. Langsung tidak ada sikap menggalakkan orang membaca. Adakalanya bermasam muka jika kita bertanyakan tentang buku, seperti di mana lokasi dan sebagainya. Ini sangat berbeza dengan sikap pustakawan di Barat yang benar-benar menghargai ilmu dan buku. Mereka sanggup bersusah payah mencarikan buku untuk sesiapa sahaja yang memerlukan khidmatnya.]

Saya berharap kenyataan k.Nisah tidak merujuk kepada semua pustakawan. Hehe… Pustakawan sekarang adalah terdiri dari golongan terpelajar. Kami dididik oleh para pensyarah bukan sekadar hanya mengajar teori, tetapi turut disalurkan dengan pengalaman mereka yang lebih banyak terdedah dengan persekitaran dalam dan luar Negara (terutamanya dari Pusat Pengajian Pengurusan Maklumat, UiTM Shah Alam). Seharusnya, golongan seperti kami ini sudah patut tahu tatacara melayan pengguna.

Pada pendapat saya, kes masam muka ni, bukan sekadar pustakawan yang mungkin kebetulan bertugas di kaunter (biasanya pembantu perpustakaan yang bertugas di kaunter, cuma mungkin di perpustakaan-perpustakaan tertentu yang mempunyai kaunter runding maklumat/ rujukan, akan ada pustakawan yang bertugas), mana-mana tempat yang ada kaunter pun akan berlaku kes seperti ini. Contohnya kaunter di pejabat pendaftaran, kaunter bank…Hehe..mungkin mereka ada masalah peribadi, datang bulan barangkali…haha…

Setahu saya, kini, di mana-mana perpustakaan dalam Negara, sudah ada tatacara, hemah dan piagam yang diletakkan dalam melayani kehendak pelanggan atau pengunjung perpustakaan. Fungsi tersirat lain, adalah menarik perhatian pengguna perpustakaan untuk datang ke perpustakaan, mengguna perkhidmatan yang disediakan. Di sini, pentingnya kakitangan ‘frontline’ yang terlatih.

Perpustakaan kini sudah melangkah ke era yang lebih canggih dan moden. Kalau tak silap saya, semua perpustakaan seperti perpustakaan negeri sudah memiliki sistem perpustakaan yang boleh membantu pengguna mencari bahan di rak. Ia dipanggil online public acces catalog (OPAC) Jadi, peranan pustakawan atau pegawai yang bertugas adalah memberi tunjuk ajar kepada pengguna tentang cara-cara mencari bahan menggunakan sistem perpustakaan yang tersedia tersebut.

Ini adalah satu cara mendidik pengguna mengguna sendiri perkhidmatan yang disediakan. Pustakawan bukan lagi membantu mencari buku di rak untuk diberi kepada pengguna, tetapi membantu pengguna mencari sendiri bahan di rak dengan bantuan teknologi.

Hmm, saya rasa setakat ini sahaja. Tak perlulah diterangkan lagi fungsi-fungsi perpustakaan dan peranan-peranan pustakawan yang lain. Cukuplah sekadar fungsi dan peranan mudah yang umum semua memang tahu sejak di bangku sekolah. Tetapi kalau nak tau lebih lanjut, bolehlah sambung belajar. Hehe..maca promo fakulti sendiri lah pulak.

Terima kasih, Kak Nisah kerana sudi meletakkan nama pekerjaan ini dalam blog.


anamio01@yahoo.com
Tanpa Nama berkata…
Komen Cik Nisah memang pedas... Siapalah yg tak kenal nama Nisah Haron... Penulis terkenal dgn profil tersendiri, Sangat berbakat, juga seorang Blogger... Nak dibandingkan dgn saya, aduh... laksana langit dan bumi. Saya cuma seorang PUSTAKAWAN YG DIKOLAR BAJUNYA JUGA TERDAPAT LENCANA ‘BACA’ [tetapi saya seorang LELAKI]....

Tetapi sayangnya, kalau mengomel tak kena tempat pun, tak guna juga [mungkin]... kadang2 benda macam ni ditulis ikut suka hati sendiri, ikut fahaman sendiri, ikut rasa sendiri.... kalau benar ikhlas dan tidak berat sebelah- cuba selidik dulu, benar atau salah, selidik dulu fungsi PERPUSTAKAAN, kaji dulu peranan PUSTAKAWAN. Jangan ikutkan amarah atau kerana nak membela kawan2 sendiri, terus menghentam, menghayun belantan ke dinding PERPUSTAKAAN dan menghentak beluti ke kepala PUSTAKAWAN (yg satu masa dulu semasa Cik Nisah menuntut di universiti mungkin, Cik Nisah juga pernah menjejakkan kaki ke dalam PERPUSTAKAAN dan menggunakan khidmat PUSTAKAWAN utk menggeledah isi perut PERPUSTAKAAN tersebut, mengupas ‘ruyung2’ yg ada di dalamnya untuk mendapatkan ‘sagu2’ ilmu yg membantu beliau berada pada tahap sekarang!! Jadi, adakah Cik Nisah nak mengatakan bahawa Cik Nisah tak pernah mendapatkan bantuan atau pertolongan daripada seorang PUSTAWAKAN sepanjang perjalanan usia [setidak2nya sehingga sekarang?] bila berkata ‘Ya, saya sudah terbiasa dengan sikap 'pustakawan' yang begitu. Dia hanya tahu tugasnya sebagai pentadbir perpustakaan. Kalaulah semua PUSTAKAWAN itu kerjanya hanya mentadbir PERPUSTAKAAN, tak wujudlah BAHAGIAN SIRKULASI atau PERKHIDMATAN RUJUKAN atau PERKHIDMATAN PINJAMAN atau PERKHIDMATAN AUDIO VISUAL dsb... Walhal nama Bahagian/Unit di dalam PERPUSTAKAAN itu pun dah dinamai PERKHIDMATAN’ Saya pasti, sudah tentu ada sekurang-kurangnya seorang PUSTAKAWAN yang ditugaskan memberikan perkhidmatan tersebut [bukan sekadar MENTADBIR sahaja]

Bagus juga Cik Suhana tu, penjelasan dia betul. PERPUSTAKAAN BUKAN TEMPAT JUAL BELI BUKU, tetapi PERPUSTAKAAN [dulu2 dikenali sbg KHUTUB KHANAH] merupakan pusat rujukan ilmu. Kalau dah nama pusat rujukan, dah tentulah menyediakan perkhidmatan rujukan [juga pinjaman], bukannya menjual buku2. PERPUSTAKAAN merupakan institusi yg MEMBERIKAN PERKHIDMATAN TANPA ‘NIAT’ MENCARI KEUNTUNGAN dan bukannya SYARIKAT YG MEMPERDAGANGKAN BARANGAN/PERKHIDMATAN DGN TUJUAN UNTUK MENDAPATKAN KEUNTUNGAN!; dan antara TUGAS PUSTAKAWAN kepada pengguna pula lebih kepada memberikan penjelasan, panduan, mendidik dan membimbing [membantu] pengguna mengakses maklumat yg diperlukan dgn cepat, tepat dan efisyen, BUKANNYA memberikan perkhidmatan sebagai seorang pegawai peribadi kelas A yg menyediakan perkhidmatan dari hujung kaki hingga ke hujung rambut kepada setiap pengguna. Aduhhhh... Kalau begitu corak pemikiran masyarakat di Malaysia, patutlah sampai sekarang BULAN MEMBACA yg menjadi acara tahunan Negara dgn segala macam aktiviti termasuklah GERAKAN MEMBACA yg bertujuan utk menjadikan masyarakat Malaysia sebg masyarakat membaca GAGAL DICAPAI!! Manakan tidak, masyarakat Malaysia terlalu manja dalam segala hal... Semuanya mahu disediakan, tahu dah ada depan mata. Minta, ADA... minta lagi, ADA... Kalau sekali minta tak dapat, mulalah riuh macam murai putus ekor. Cerita yg sepatutnya berakhir pada abjad ‘E’, dicanang sampai akhir ‘Z’. Dimasukkan segala macam perencah yg ada – untuk membangkitkan selera, kalau tak sedap, nanti kena komen pula!

Cik Nisah membela rakannya dari luar negara (AS), negara yg memonoppoli serba serbi bidang dalam dunia ni (sehinggakan masalah perbalahan kenaikan harga minyak kat Malaysia ni wujud pun pasal AS lah kot!!) Secara tak sedar, Cik Nisah telah membuat satu tuduhan yg sangat dahsyat dgn mengatakan ‘Langsung tidak ada sikap menggalakkan orang membaca’ [kepada PUSTAKAWAN berkenaan] Adakah Cik Nisah benar2 yakin dan dapat membaca isi hati PUSTAKAWAN tersebut sehingga tergamak mengatakan sebegitu? Secara logiknya, andai katalah PUSTAKAWAN berkenaan diizin Tuhan panjang usia dan berkhidmat bertahun-tahun lamanya (mungkin sehingga pencen), tak mungkin walau dalam sedetik waktu, tidak terlintas di benaknya untuk menggalakkan orang membaca! Na’uzubillah... Janganlah kita menuduh membuta tuli, walhal kita tak mengenali hati budi seseorang itu. Nak menegakkan keadilan boleh, tapi biarlah kena caranya. Secara tak sedar juga Cik Nisah berjaya ‘menconteng arang’ ke muka profesional-profesional dlm bidang kepustakwanan di Malaysia dan pada masa yg sama mengagung-agungkan professional di luar negara.

Jangan samakan PERPUSTAKAAN NEGERI DI MALAYSIA DENGAN LIBRARY OF CONGRES DI SANA! [cari sendiri kenapa dan mengapa]..... banyak lagi nak dikongsi, tapi kekangan waktu tidak mengizinkan. Maaf atas segala keterlanjuran kata-kata. Mungkin sedikit emosi [kerjaya PUSTAWAKAN ini mungkin boleh diibaratkan sebagai kerja di belakang tabir... low profile... walau banyak mana jasa yg ditaburkan, tak ramai mata yg memandang!] Cuba tanya diri sdr/sdri, berapa ramaikah dalam kalangan sdr/sdri yg datang secara peribadi dan mengucapkan TERIMA KASIH kepada sekurang-kurangnya seorang PUSTAKAWAN selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan? Apabila segulung ijazah dijunjung, para guru/pensyarah disanjung [ibu bapa sudah tentu. Tapi, apa nasib PUSTAKAWAN? Teringat saya kepada seorang ‘super senior’ bila beliau pernah berkata: Lebih 20 tahun jadi Librarian [PUSTAKAWAN], belum pernah ada seorang pelajar pun yg membawa segulung ijazah dengan jubah dan rasa megah berlari kea rah beliau dan mengucapkan “TERIMA KASIH WAHAI PUSTAKAWAN” [kalaupun tidak menyebut namanya]....

Kenyataan yg tidak dpt disangkat, dlm apa jua kerjaya yg diceburi, pasti ada karektor2 yg negatif. Bukan dlm profesion PUSTAKAWAN sahaja. malahan, terdapat dalam kalangan penulis-penulis seperti puan juga yang menjadi 'kudis' dalam industri penulisan, bahasa dan sastera tanah air. Ada pula seperti 'kacang lupakan kulit'. Jangan ibarat 'akibat nila setitik, rosak susu sebelanga'... Pustakawan dituduh begitu. Kami bukan minta disanjung, jauh sekali dianugerahi pangkat dan kedudukan, tetapi sekadar minta dihormati seadanya.

AKU SEORANG PUSTAKAWAN
Tanpa Nama berkata…
Tergelak besar saya melihat komen Nisah Haron tentang profesion pustakawan dan persoalan pustakawan membaca? Nampak sangat cik Nisah ni keliru atau tak tahu fungsi Perputakaan dan Kedai Buku. Boleh dipersoalkan ADAKAH PENULIS MEMBACA?

Catatan Popular