Ketidaksempurnaan Menjadikan Kita Lebih 'Manusia'


Saya berfikir dua tiga kali sama ada saya akan buat beberapa jenis kuih raya seperti tahun lepas ataupun beli sahaja. Memandangkan anak-anak seperti mengharap saya membuat walaupun mereka prihatin dengan keadaan saya, mereka tidaklah terlalu meminta saya membuatnya tahun ini kerana mereka tahu, saya tidak boleh duduk terlalu lama (nanti boleh sakit pinggang).

Akhirnya saya buat keputusan untuk buat setakat mana yang terdaya, khususnya untuk kuih raya jenis biskut. Dengan iringan doa: Rabbi, yassir wala tu'assir, ya karim...

Manakala yang lain-lain seperti kacang, bepang, rempeyek dan kawan-kawan yang seangkatan dengannya, saya beli sahaja.

Secara peribadi, saya tidak berapa gemar biskut raya yang dibeli (dan dijual secara berlambak-lambak di mana-mana). Salah satu sebabnya ialah rasanya. Kalau pergi ke mana-mana rumah pun, rasanya tetap sama. Maklumlah, ini ialah biskut yang 'dikilangi' sifatnya.

Kedua, rupanya 'sepesen'. Sama sahaja. Terlalu sempurna (perfect). Maklumlah, datangnya dari kilang, tentulah yang tidak ada yang reject dalam balang kuih tersebut.

Ketiga, harganya yang tidak berapa sepadan dengan rasa dan rupa tadi.

Apabila saya berkunjung ziarah ke rumah-rumah saudara-mara dan sahabat handai, dan apabila disuakan biskut-biskut raya, saya akan mencari kuih yang dibuat sendiri ataupun ditempah daripada orang yang membuat sendiri dari rumah. Kuih ini kelihatan seperti ada human touch. Biskutnya tidak berapa perfect. Ada yang senget sedikit, terlebih bakar (walaupun tidak hangus), tetapi adalah imperfection di sana-sini.

Biskut raya saya juga demikian. Semalam sempat siap dua jenis. Satu biskut peanut butter dan satu lagi biskut chocolate chip - yang sudah saya ubah suai resipinya mengikut citarasa saya dan apa-apa bahan yang ada. Alhamdulillah, rasanya tidak mengecewakan. Anak-anak mula mengendong balang kuih ke sana ke mari - satu petanda baik kerana anak-anak saya mewarisi sifat ayahnya dalam 'bidang kritikan makanan'. Mereka jujur. Kalau tak sedap, mereka tak akan makan. Kalau sedap mereka akan kata sedap. Tak sangka juga, resipi yang tidak terlalu mengikut sukatan itu memberikan rasa yang demikian.

Anak-anak itu makan tanpa melihat pada rupa biskut. Ada yang besar, ada yang kecil. Ada yang tebal dan ada yang nipis. (Biasanya, apabila sudah sampai hujung-hujung, kuih semakin tebal kerana hendak cepat siap.) Namun, yang jelas apabila kuih dibuat sendiri, akan ada imperfection di sana-sini.

Saya fikir imperfection makes us human. Kalau kita terlalu sempurna, kita bukanlah manusia sebaliknya robot ataupun sangat 'plastik' sifatnya.

Hal yang sama juga saya aplikasi dalam penulisan kreatif. Watak-watak yang saya cipta juga haruslah tidak sempurna 100%. Tidak seperti sesetengah novel pop ataupun ala-ala chic lit yang gemar menghadirkan watak yang jelitanya mengalahkan bidadari ataupun jejakanya tampan melebihi mana-mana manusia yang hebat di muka bumi. Kalau tak anak datuk-datuk, tan sri-tan sri ataupun tengku-tengku, pastilah tak sah. Lagipun, novel-novel demikian, sifatnya memang 'dikilangi', segera dan mass-produced.

Mencipta watak yang terlalu sempurna itu menjadi watak tersebut semakan kurang 'manusia'nya. Sekali lagi, imperfection makes us human. Sebab itu, kita tidak boleh lupakan watak-watak seperti Lahuma dan Jeha dalam Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad). Watak-watak itu hidup dan mereka gambaran manusia yang tidak terlalu sempurna. Manusia itu pakejnya lengkap, ada kelebihan dan kekurangan. Jika sentiasa kekal baik, tentulah itu malaikat. Kalau kekal jahat pula, tentulah itu syaitan.

Ooops, saya sudah mula hendak keluar dari topik. Harus fikir hendak adun biskut apa pula selepas ini? Biskut cornflake? ataupun kuih sarang semut?
.
.

Ulasan

ABDUL LATIP berkata…
Selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya. Sudah mula buat kuih?. Bolehlah datang beraya ke rumah Nisah.
Zamri Mohamad berkata…
Dah dekat raya, mood memang berbeza. Saya nak menulis mengenai penulisan pun berhenti sebentar. Banyak nostalgia zaman remaja menjerit mahu diceritakan.

Salam Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

ZAMRI MOHAMAD
Zaid Akhtar berkata…
:-)
Sempat lagi ... dalam kesempatan membuat kuih.

Bisa bisa.
aniisma berkata…
Salam Nisah

Buat saja biskut cornflake madu. Mudah dan cepat. Kak Ani adun bahan-bahan, askar 4 orang tu masukkan dalam paper cups.

Yang terhasil 5 balang, sekarang tinggal 2 balang. Sabtu Ahad ni nampaknya kena buka kilang biskut balik...
melanie berkata…
salam..
tak tahulah if kak nisah ingat lagi tak..saya yg call confirm payment tuhari
tak sabar menunggu pesanan yg diorder..:)
btw,biskut buat sendiri memang tak berapa nak cantik..saya punya pun tak cantik tapi yg penting masuk mulut jadi "cantik".

selamat membakar biskut..
Tanpa Nama berkata…
Salam hari raya, ampun maaf dipinta juga andai ada terkasar bahasa sepanjang tahun ini.

Catatan Popular