Selasa, Disember 16, 2008

Maklumat di Hujung Jari

Ketika memberi kuliah di dalam Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen/Novel) Kanak-kanak & Remaja di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, saya berbicara jujur dan langsung dengan khalayak saya. Mereka ini dari kumpulan guru-guru agama dari Jabatan Agama Islam Johor yang sedang berkursus dalam cuti di sini. Terus terang, mereka tak kenal saya seperti mana saya juga demikian.

Apabila saya berikan alamat blog saya ada seorang yang bangun bertanya tentang kisah sebuah cerpen bernilai RM30 juta dalam entri saya sebelum ini, Katanya, benarkah sebuah cerpen bernilai begitu? (Saya tidak pernah bincang tentang entri ini sebelum saya menjawab pertanyaannya).

Lalu, saya jelaskan sedikit sebanyak latar belakang isu yang menyebabkan saya menulis entri tersebut. Dia juga tidak tahu hujung pangkal mengapa isu itu saya bangkitkan di dalam entri.

Saya tanya, sempat ataupun tidak membaca akhbar utama sehari dua kebelakangan ini? Jawab mereka tidak.

Alasan : Sibuk tiada masa.

Komen saya : Lalu, bagaimana awak boleh tahu tentang entri ini? Sempat buka internetkah sewaktu keluar sebentar tadi?

Jawabnya tidak.

Saya tanya : Di IPPM ada wi-fi?

Jawabnya : akses dari telefon.

Oooo telefon bimbit 3-G. Canggih ya sekarang. Tetapi, mengapa dengan kemudahan begitu (tanpa pun perlu keluar dari dewan kuliah tersebut) anda tidak mengambil peluang membaca akhbar secara online? Sekarang ini mudah sahaja kalau mahu dapat maklumat. Pokok pangkalnya kita sendiri.

Lagipun, berita yang saya komen isunya dalam entri sebelum ini, bukanlah berita kecil yang menjadi penyendal halaman. Berita ini memang masuk di mana-mana akhbar utama (juga akhbar nyamuk).

Alahai, zaman ITlah katakan...
.
.
.

1 ulasan:

Khar berkata...

Salam

Kecanggihan dan kemudahan yang terlalu kadnagkala membuat kita lebih malas jika dibandingkan dengan zaman kita semasa kecil dahulu. Sebagai contoh, berapa banyakkah nombor telefon rakan-rakan yang mampu ingat? Termasuk diri saya, hanya nombor-nombor penting sahaja yang saya ingat. Selain dari itu, andainya telefon selular kerosakan, wah! Boleh jadi gempar untuk seketika, bukan?

Related Posts with Thumbnails