Menulis Untuk Sayembara

Baru-baru ini saya sertai Bengkel Penulisan Novel Sejarah II yang diadakan di Hotel Straits Meridian, Bukit Baru, Melaka. Bengkel kali kedua ini merupakan suatu lanjutan kepada bengkel pertama yang diadakan pada tahun 2006 di Air Keroh. Saya masih ingat lagi, pada tahun 2006, Almarhum Pak Arena Wati juga sempat bersama-sama dengan peserta, malah turut sama memberikan pendapat serta berkongsi pengalamannya menulis novel sejarah.

Bengkel kali ini diadakan bagi memantapkan lagi bengkel yang pertama, sekaligus meningkatkan pemahaman peserta dengan konsep novel sejarah yang dikehendaki penganjur. Benar, kepada sesiapa yang ingin menyertai sayembara ini, anda disarankan supaya mendapatkan buku "Konsep dan Falsafah Novel Sejarah" - Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor (Hamzah Hamdani, Editor) terbitan Yayasan Warisan Johor (2006). Kalau dapatkan kertas kerja bagi Bengkel II ini juga lebih baik lagi.

Gambar : Sebahagian peserta Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor II

Ramai yang bertanya, beginikah cara yang sebenar menulis novel sejarah?

Terus terang, saya juga hilang semangat untuk mengambil bahagian dalam sayembara II yang lalu kerana saya tidak punya kekuatan untuk mengikut syarat-syarat yang disebutkan oleh penganjur dan panel. Antara syarat yang disebut dan mesti dipatuhi peserta sayembara ialah :

  • Novel sejarah merupakan satu bentuk pencerekaan yang mengandungi peristiwa sejarah yang dihidupkan oleh watak-watak sejarah atau yang boleh dikesan kewujudannya, latar waktu dan latar tempatnya boleh dibuktikan dalam sejarah atau bertepatan dengan peristiwanya yang sebenar.Novel yang memaparkan peristiwa sejarah dengan watak-watak rekaan mengambil alih peranan watak sejarah tidak dianggap sebagai novel sejarah.
  • Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor meneruskan penganjuran Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor berlatarbelakangkan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di Johor seawal tahun 1528 (termasuk Kerajaan Johor - Riau) sehingga kini. Rentetan periswa boleh bermula seawal abad ke - 16 dengan terbentuknya Kerajaan Johor yang berpusat di Kota Tinggi, Johor Lama. Peristiwa-peristiwa dan tokoh-tokoh sejarah pada era Kerajaan Johor Lama dan Kerajaan Johor Moden, pemerintahan British, zaman Jepun, Darurat, penubuhan UMNO, penentangan orang Melayu terhadap gagasan Malayan Union, penubuhan Malaysia dan segala peristiwa bersejarah yang berlaku sehingga kini, boleh diungkapkan.
  • Antara subjek yang boleh diungkapkan dan diolah ialah :
  1. peristiwa bersejarah
  2. tokoh sejarah (novel biografi)
  3. institusi (pertubuhan, budaya, pergerakan)


Gambar : Dari kiri - Dr. Rosnah Baharuddin, Dato' Zainal Abidin Borhan, Tuan Haji Hamzah Hamdani, Prof. Dr. Abdullah Zakaria, Encik Saleeh Rahamad & Encik Kassim Thukiman

Nah, ketat ataupun tidak syarat-syaratnya? Terpulanglah kepada para pengarang untuk mentafsirkannya. Seperti yang saya sebutkan di atas, saya tidak mempunyai semangat yang cukup untuk menulis novel tersebut pada tahun 2007. Pada saya, bagi menghasilkan novel sejarah yang baik, pengarang harus ada :

  • jati diri - tanpa jati diri yang kukuh, pengarang yang menghasilkan novel sejarah boleh sahaja menjadi penyusun cerita sejarah. Tiada 'jiwa sejarah' yang dapat dimasukkan ke dalam karya tersebut. Tidak mustahil, naskhah itu menjadi kaku-kejang. Seperti mana yang kita tahu, mata pelajaran sejarah di sekolah memang mudah menjadi subjek yang membosankan jika guru sejarah tidak pandai bercerita, menjelaskan sebab-akibat sesuatu peristiwa sejarah.
  • pendorong yang kuat (drive) - apabila Zaharah Nawawi berkongsi kisah bagaimana cetusan beliau menulis "Panglima Salleh Selempang Merah", saya nampak perkara penting yang menggerakkan beliau menulis novel tersebut. Pertama, beliau saksikan sendiri kekejaman komunis membunuh dan menabrak keluarga jirannya sewaktu pengarang berusia 5 tahun. Sebagai saksi kepada peristiwa berdarah lagi ngeri itu, hal tersebut menjadi elemen pendorong yang cukup ampuh untuk menjadi pembakar semangat untuk beliau menulis. Kedua, beliau sebagai anak jati tempat berlakukan peristiwa Panglima Salleh menyembelih komunis (setelah komunis dengan wewenang menyembelih orang-orang kampung), berasa terpanggil untuk mendokumetasikan peristiwa tersebut.
Gambar : Sesi Bengkel

Kedua-dua faktor ini wujud dalam diri Zaharah Nawawi bagi membolehkan beliau memiliki stamina dan motivasi untuk terus menulis novel sejarahnya. Harus diingat bahawa, dalam menulis novel sejarah, andainya pengarang mengalami sekatan mental, pengarang tidak boleh mencipta ataupun mengada-adakan cerita. Pengarang boleh bermain dengan imaginasi tetapi ada batas-batas sejarah yang menghalangnya.

Ada juga suara-suara yang berkata, tidakkah faktor tarikh akhir (deadline) dan faktor RM35,000 sebagai hadiah pertama tidak mampu menjadi pendorong?

Ya, saya akui. Tetapi pada ketika itu, saya tidak melihat langsung kepada kedua-dua faktor tersebut. Pada saya, apabila menulis semata-mata untuk mendapatkan hadiah pertama ataupun mana-mana hadiah, bererti penulisan itu akan hilang berkatnya. Ya, mungkin pengarang itu boleh sahaja menang sayembara tersebut. Tetapi nanti, naskhahnya tidak kekal sepanjang zaman. Hanya diperkatakan seputar waktu kemenangan dan selepas itu langsung dilupakan. Walaupun saya harus menang, wang hasil sayembara itu biarlah berkat.

Ini prinsip saya. Saya tidak mengajak orang lain mengikutnya.

Sekali lagi, ada yang bertanya: beginikah cara untuk menulis novel sejarah?

Ada banyak cara untuk menulis novel sejarah, tetapi jika mahu mengungguli hadiah RM35,000 sekaligus, manuskrip anda diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor serta diundang ke majlis makan malam (yang selalunya gilang-gemilang), ikutlah syarat-syaratnya.

Demikianlah juga untuk menyertai mana-mana sayembara. Jika tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan penganjur, panel tiada pilihan, melainkan menolak naskhah tersebut walaupun dari aspek struktur sebuah karya sasteranya sangat sempurna!

Ulasan

Naj AB berkata…
Kak Nisah,

Mohon berguru (cuma pulut kuning & ayam golek tak sempat nak disediakan). Ini bererti karya FT dulu, iaitu Surat-Surat Perempuan Johor tidak lepas di bawah istilah novel sejarah yang dianjurkan sekarang?

Catatan Popular