Selasa, Januari 06, 2009

Usah Hadkan Kebolehan Diri

Baru-baru ini saya mendapat undangan mendengar sebuah ceramah umum tentang Arkeologi di Malaysia. Penceramahnya merupakan mantan Pengarah, Jabatan Muzium & Antikuiti Malaysia. Bagi kita yang tidak terdidik dalam bidang arkeologi, hal ini merupakan sesuatu yang amat baharu dan banyak maklumat yang diperoleh daripada majlis tersebut.

Beliau menceritakan pengalaman semasa bertugas. Sebagai seorang ahli arkeologi, beliau banyak mengikuti projek-projek ke tapak ekskavasi bagi mencari kembali sejarah yang sudah tertimbus ribuan tahun yang lalu.

Saya terus teringat kepada Esdyzuar - watak fiksyen yang saya reka melalui novel Puisi Untuk Esdyzuar. Saya bayangkan dialah yang sedang memberikan ceramah sebagai seorang tokoh. Seolah-olah Esdyzuar muncul kembali, pulang dari membuat penemuan Cenma Detara setelah sekian lama menghuni daerah asing itu.

Melalui tayangan slaid, beliau menunjukkan banyak gambar aktiviti ekskavasi yang dijalankan di tempat-tempat yang telah dikenalpasti. Apabila para ahli arkeologi ini mahu mendapatkan maklumat tentang masa lalu dan membuat penemuan barang-barang yang mempunyai nilai sejarah ataupun artifak-artifak berharga, aktiviti utama di tapak ekskavasi itu ialah menggali. Jika tidak digali, mereka tidak akan dapat sebarang hasil.

Menulis juga boleh diumpamakan seperti kerja-kerja ekskavasi. Kita boleh namakan proses ekskavasi diri. Iaitu menggali, mencungkil dan membuat penemuan terhadap kebolehan penulisan yang kita ada. Kekuatan, keistimewaan yang ada dalam diri kita ini bukannya jatuh dari langit. Kitalah yang harus menggali kebolehan itu.

Mungkin dalam kes-kes tertentu, ada orang lain yang mungkin berjaya mencungkil bakat dan kebolehan kita, misalnya seorang guru yang dapat melihat potensi anak-anak muridnya. Tetapi, itu hanya dalam beberapa keadaan tertentu. Selebihnya, kitalah yang harus mencungkil bakat dan kebolehan sendiri.

Bagaimanakah kita tahu yang kita mempunyai potensi diri?

1. Berani mencuba sesuatu yang dianggap asing dan baharu. Ertinya, tidak mengehadkan diri.

Aku cuma boleh tulis sajak sahaja.
Aku cuma boleh tulis cerpen sahaja
Aku cuma boleh tulis novel sahaja.

2. Tidak berkata tidak dengan cepat sebelum mencuba. Misalnya:

Aku tidak boleh tulis skrip drama.
Tetapi, kita tidak pernah sekali pun mencuba dengan bersungguh-sungguh.

Kesungguhan dalam mencuba kebolehan ini amat penting. Selalunya, kita mungkin mencuba sekali sahaja selepas itu terus buat keputusan bahawa kita memang tidak ada bakat.

Jika inilah sikap yang diamalkan oleh ahli arkeologi tadi, barangkali kita tidak akan berjumpa dengan "Lembah Bujang" ataupun "Perak Man". Penemuan tersebut bukanlah dengan hanya menyapu selapis habuk ataupun debu. Tetapi, projek tersebut biasanya dijalankan dengan tekun selama berbulan-bulan dan tidak mustahil ada yang bertahun-tahun.

Secara peribadi, saya juga pernah berkata begitu. Saya yakin bahawa saya tidak boleh menulis novel untuk kanak-kanak. Padahal, saya belum cuba bersungguh-sungguh. Apabila saya cuba menulis dan kemudiannya Farris Putera Yang Hilang terbit, keyakinan itu datang menyergap. Saya cuba banyak kali sebelum menulis novel itu dan mencari-cari formula terbaik bagi menghasilkan sesuatu yang dapat dihayati pembaca-pembaca cilik.

Alhamdulillah, hasilnya langsung tidak mengecewakan. Mungkin jualannya tidaklah seperti novel-novel pop. Tetapi, saya percaya setiap seorang yang membaca novel tersebut, berdasarkan respons yang diterima, mempunyai makna yang tersendiri melalui novel tersebut.

Farris wujud dalam diri kita semua.

3 ulasan:

S.K berkata...

Salam,

baru nak dapatkan "Farris", huhu...
Tak sabar membacanya... nanti, curi-curi masa dalam bas ke tempat keje...

Tentang mengehad diri tu, betul tu... Cuma, saya dapati mereka yang bermula dengan prosa, kekadang, susah sikit nak berpuisi... Walaupun, di pulau senonet ni, puisi pun macam prosa (dan cerpen macam karangan :p
Ya Allah, ampunkan dosa menghentam bebudak penulis yang tak bersalah tu tempohari...
)

Dan yang bermula dengan puisi, mudah sedikit bertukar genre tetapi kekadang terperangkap dalam imageri dan metafora (termasuk sayalah :p )...

Di Singapura, saya tabik Peter Augustine Goh yang semakin tajam penanya berpuisi setelah menceburi bidang cerpen sekian lama...

Wassalam.

Bunnybaby berkata...

Salam.

Sifat dan sikap mengehadkan kemampuan diri ini, saya lihat seperti satu amalan bagi masyarakat Melayu khususnya. Mungkin kita sudah biasa terdidik dengan sikap merendah diri, maka tanpa disedari ia menjadi satu perkara biasa tanpa berfikir dua kali sebelum menuturkannya.

Faizal berkata...

salam kak nisah,

hal mengehadkan diri tersebut memang tiada siapa dapat nafikan kebenarannya. saya sendiri sering mengehadkan diri dengan menulis puisi sahaja.. ada mencuba untuk ke cerpen, tapi selalu setengah jalan.

faizal MPR 06
Salam Sejahtera

Related Posts with Thumbnails