Isnin, Mei 04, 2009

Indeks Membeli vs. Indeks Membaca - Catatan Kecil Pasca Pesta Buku


Ada banyak reaksi yang disebut di sana-sini selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL '09) berakhir 26 April lepas. Faisal Tehrani menyebut bahawa PBAKL'09) tidak menggambarkan One Malaysia. Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd (gambar di sebelah) membuat kenyataan di dalam blognya bahawa sasaran syarikat itu mendapatkan RM300 ribu jauh tersasar apabila mereka mencatatkan untung sebanyak setengah juta sepanjang tempoh itu berlangsung.

Melalui rancangan "Di Luar Lingkungan" saya ada membuat kenyataan bahawa berdasarkan pembeli buku di Ujana Ilmu, ada pelanggan yang membeli buku untuk dibuat koleksi (kerana buku itu cantik, dsb.) dan ada juga yang benar-benar mahu menikmati buku tersebut. Sebagai pengeluar buku, penjual buku dan mereka yang berada di barisan sebelah sini, tentulah kita tidak sama sekali mempertikaikan apa yang akan dilakukan oleh pembeli, pelanggan, pembaca dan mereka yang berada di barisan sebelah sana, selepas mereka membeli buku. Lebih banyak orang membeli buku, tentulah lebih menguntungkan.

Namun, saya juga melihat dari sudut pandang yang berbeza, iaitu apa yang dilakukan kepada buku tersebut setelah dibeli. Pada saya perkataan 'menikmati' lebih tepat daripada membaca kerana semua orang boleh membaca tetapi tidak semua mampu berfikir selepas mereka membaca. Namun, itu satu hal yang berbeza. Kemampuan menyaring maklumat dan ilmu yang dibaca juga merupakan satu kemahiran yang semakin langka dewasa ini. Lantas, tidak hairanlah pada hari ini lahir kelompok yang sangat taksub dengan apa yang dibaca - ghairah menyokong kumpulan-kumpulan tertentu sama ada kumpulan politik ataupun yang sebaliknya - kerana mereka ini gagal berfikir untuk diri sendiri. Oleh itu, mereka percaya pada setiap apa yang ditulis (telah difikirkan oleh orang lain) kerana mereka sendiri gagal untuk berbuat demikian.

Apa yang digambarkan oleh PBAKL '09 baru-baru ini ialah ledakan kepada pembelian dan walaupun keadaan di dalam negara dikatakan sedang gawat, tetapi pembelian buku-buku masih berlaku dengan rancak sekali. Apakah indikator yang ditunjukkan oleh keadaan ini?

Puan Ainon sekali lagi menegaskan bahawa ini ialah petanda bahawa buku-buku Melayu kebal-gawat. Apa-apa sahaja yang ditawarkan disapu bersih oleh pelanggan dengan begitu lahap sekali. Inikah petanda rakyat Malaysia sebenarnya cukup gemar membaca ataupun keadaan ini bersifat semusim (baca : musim Pesta Buku).

Jika membaca sudah menjadi budaya, mengapa kedai-kedai buku tidak pernah diserbu sebegini sepanjang tahun. Kedai-kedai seperti MPH, Popular, Kinokuniya (sekadar beberapa contoh) tidak pernah diserbu seramai ini. Mereka ada pelanggan-pelanggan khusus yang datang dengan tenang dan membeli dengan tenang. Mereka tidak menjinjing buku di kiri kanan tetapi tetap memabawa pulang sesuatu.

Nah, jumlah pelanggan yang sederhana ini, adakah menggambarkan budaya membaca rakyat Malaysia yang sederhana?

Kita harus akui bahawa pelajar-pelajar sekolah yang datang menyerbut di gerai-gerai PBAKL '09 menyerbu untuk mencari buku-buku rujukan, novel cinta, chic-lit dan yang seumpamanya atas beberapa faktor :
  • harga yang sesuai dengan jumlah wang dibawa
  • minda yang masih diorientasi oleh peperiksaan
  • izin ibu bapa (ada ibu bapa yang hanya membenarkan bahan bacaan tertentu)
  • ibu bapanya juga baca buku-buku yang demikian
  • kawan-kawannya juga beli buku yang begitu
Gambar : Mustaqim (si kecil saya) minta autograf dari Pak Samad

Tanpa menafikan faktor positif daripada fenomena pesta buku sebegini, PBAKL '09 masih lagi mengulangi formula yang sama, antaranya:
  • kos gerai yang tinggi, lantas membenarkan penerbit buku yang besar sahaja mengambil bahagian. (adakalanya, pengunjung seperti saya tercari-cari kedai yang menawarkan kelainan selain daripada buku-buku rujukan, buku-buku remaja ataupun yang lebih berilmu)
  • 'membenarkan' gangguan berterusan daripada syarikat yang menjual produk jualan langsung seperti produk-produk bahasa dan buku untuk kanak-kanak yang beribu-ribu ringgit pakejnya. Gangguan ini sehingga mereka berani masuk ke gerai orang lain dan cuba menarik saya keluar dari gerai tersebut walaupun saya masih lagi berurusan dengan pekedai berkenaan.
  • kurangnya penunjuk arah ke dewan pameran, khususnya (tahun ini) ke Dewan Tun Hussein Onn. Ada beberapa orang yang menghantar SMS kepada saya (yang ketika itu sedang berehat di rumah) mencari lokasi gerai-gerai tertentu kerana kesukaran mencari Dewan Tun Hussein Onn. Apabila dikhabarkan, mereka fikir lokasi tersebut adalah khusus untuk bilik aktiviti iaitu Bilik Kedah/Johor.
Persoalannya, mampukah PBAKL pada tahun-tahun mendatang mengundang pengunjung yang yang bukan berbangsa Melayu kerana minat dan kesungguhan untuk mendalami Bahasa Kebangsaan yang seharusnya menjadi bahasa perpaduan? Hal yang sama akan dilihat pada pesta buku lain - bakal menghadirkan buku-buku berbahasa Cina dan penerbit dari China, Hong Kong & Taiwan - lantas menjauhkan khalayak berbangsa Melayu daripada pesta tersebut. Jelasnya, Pesta Buku harus bersifat rasis untuk mendapatkan khalayak yang khusus?

Ini barangkali ada benarnya kerana setiap pembaca itu ada buku khusus yang dikejarnya pada setiap kali pesta buku. Pembaca yang gilakan novel-novel pop pastinya tidak akan pandang sebelah mata pun pada karya-karya sastera, sehinggakah penerbit buku tersohor di Malaysia giat mempromosi kamus dengan diskaun yang besar berbanding novel-novel sastera. Demikian, mereka yang menggemarkan buku-buku ilmu, pastinya tidak akan bersesak-sesak bersama-sama anak-anak remaja yang terkinja-kinja mencari karya-karya picisan.
.
.

1 ulasan:

sitinurulhawa berkata...

Tak ramai orang faham bagaimana buku boleh dinikmati. Lagi-lagi bagaimana menikmati bahasanya. Memang payah nak terangkan. Bila suruh baca sendiri macam-macam pulak alasan, tak sempatlah, tak faham la, bahasa sasteralah.

Tapi, saya pun tak faham macammana muzik metal boleh dinikmati hehe

Related Posts with Thumbnails