Rabu, Ogos 05, 2009

"Kita Bangsa Yang Selesa"

Saya terima undangan untuk membaca puisi bertemakan Palestin kerana saya percaya perjuangan sebagai bangsa yang peduli kepada saudara-saudara kita tidak harus bermusim sifatnya. Pada bila-bila masa sahaja, kita harus saling mengingatkan diri kita dan sesama kita perihal perjuangan untuk menuntut hak.

Buat kali pertama juga pihak gabungan NGO Dakwah di Negeri Sembilan memperakukan karyawan Negeri Sembilan sebagai mengisi slot deklamasi puisi. Hanya 2 orang dipilih. Saya telah menulis sebuah puisi panjang, walaupun sudah agak lama tidak menulis puisi yang bertema khusus begini.

Saya judulkan "Kita Bangsa Yang Selesa".




KITA BANGSA YANG SELESA

I

Kita bangsa yang selesa
berselindung di sebalik agama
membiarkan tersiksa saudara
sesekali tersentak
       – kita menukar jenama
sedangkan dalam ruang selesa
kita berganjak tiada
       – bimbang tertumpah air muka.

Usai musim memulau jenama
kita kembali berahi kepadanya
antara fardhu ain dengan kifayah
kita pilih bermain aksara
telefon bimbit kejap dalam genggaman
kerana yang menyanyi itu juga seagama.

Mengapa masih malu memulau hedonisme
Masih lagi menjadi hamba hawa nafsu
Terus alpa membenarkan eksperimen 5-S janaan mereka
Berjaya mengabui inti perjuangan sebenar
       Sex!
       Smoke!
       School!
       Sport!
       Screen & Song!

Siapakah mangsa sebenar keadaan ini
Mereka yang berada di bumi Palestina
Ataukah kita yang lebih hina

Anak siapa mengandung sebelum akad
Anak siapa bibirnya berpuntung asap
Anak siapa ke sekolah tapi fikiran melayah
Anak siapa qiamulail bersama Manchester, Liverpool dan Chelsea
Anak siapa berbondong-bondong berpesta
       Lebih kenal artis daripada ulama
       Lebih hafal lirik daripada doa

Dengan ilmu sedalam lantai tempayan
Kita mencari munasabah melabuhkan sauh persoalan
di situ bahtera karam
lidah kalam tenggelam dalam
sorai ketawa
jenaka alpa.

Justeru kita bangsa yang selesa
gemar berselindung di sebalik agama.


II

Kita bangsa yang selesa
masih berselindung di sebalik agama
di sini
bangga terhimpun di laman berkolam mini
batu-batu tersusun indah memaknakan erti seni
sedangkan batu yang serupa
nilainya lebih berharga
di sana
menjadi peluru menghentam angkuh bangsa.

Pernahkah kita menafsir iktibar
daripada derita sebuah bangsa
bala yang tumpah ke atas Palestina
peritnya melimpah ke pelusuk atma
pun
benarkah kita benar-benar percaya.

Sesekali peti hitam itu menayangkan sengsara
simpati melaut mencecah pantai hati
ataukah kita tak terpandang
       raungan ibu
       hiba ayah
       titis jernih anak-anak bermata bundar
lalu segera mengalihkan berita derita
rela menonton sebaris calon penyanyi hiba
       tidak cukup undi percaya; dan
       kita pun sama berduka.

Sedangkan di bumimu, Palestina
apakah masih ada harga air mata
setelah setiap saat ia mengalir
bersama darah pejuang
bergaul debu petualang


III

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan berselindung di sebalik agama
iktibar daripadamu, Palestina
adalah untuk kami dakap kejap pada jiwa
bumi bertuah ini lebih empat ratus tahun
pernah bertukar milik
       - Portugis, Belanda, Inggeris,
       - Jepun dan komunis
kini Zionis!

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan mudah percaya dengan apa yang ada
kami gali kebenaran dari tanahmu
kami hayati perjuangan syuhadamu
kami tidak rela kiblat yang pertama itu
menjadi harta bangsa penjarah darah saudaraku.


Ayuh,
Pinjamlah semangat Salahuddin Al-Ayubi
biar mengalir ke seluruh pembuluh tubuh ini
kita rebut semula Baitul Muqaddas
kerana setiap yang hak itu punya batas
kita bukan mahu dendam berbalas
kita mahu menjadi bangsa yang peduli
Berjuang!
       Walau bukan dengan ketul-ketul kerikil
       dengan pena
       dengan doa
       dengan percaya
bahawa kita bersaudara
setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
gegarnya terasa di anjung semenanjung


Justeru
Kita bukan bangsa yang selesa
Tidak pernah berselindung di sebalik agama
Dengan agama jiwa nurani teguh
Dengan agama iman ini terpasak utuh.
Dengan agama kita gagalkan eksperimen durjana
Kita bina agama dan bangsa bermaruah
Membiarkan Ad-Din mengalir ke setiap pembuluh darah
Merapatkan peribadi dengan Rasulullah
Setiap satunya kembali kepada Allah.

Inna lillah
Wa inna ilaihi
Raji’un.


Nisah Haji Haron
Ampangan – USM – Ampangan
1 – 5 Sya’ban 1430 H
23 – 27 Julai 2009

Hak Cipta Terpelihara.

Kredit foto : Zalila Isa

Jika ada pembaca yang berminat untuk menyalin puisi ini, mohon izin daripada saya terlebih dahulu. Jika mahu letak di blog sendiri, mohon izin dan link blog ini dan saya menegaskan nama saya sebagai pengarang puisi ini. Terima kasih.

19 ulasan:

bayan berkata...

Saya dan Niswah berpandangan mendengar puisi ini dipersembahkan. Khabarnya juga, puisi ini ditulis semata-mata kerana majlis ini. Tahniah Kak Nisah kerana puisi yang baik ini dan dipersembahkan dengan baik juga.

Sangat terkesan.

kucc_aprilsnow berkata...

salam kak nisah...mohon izin utk meletakkan puisi akak yg buat saya terpukul ni di blog saya. buat makluman akak, link blog akak ni sudah lama berada di blos sy..

Nisah Haji Haron berkata...

Zalila,
Alhamdulillah, sekadar meluahkan apa yang selama ini terbuku di hati.

kucc_aprilsnow,
Ya, silakan. Harap link pada entri supaya pengunjung blog sdr dapat membuat rujukan silang dan sampai terus pada entri ini. Terima kasih.

mariahsj berkata...

Tahniah. Perkembangan terbaharu yang positif. Teruskan kreativiti....Kak ton suka....

Mujahidah Fie Sabilillah berkata...

Subhanallah.. indah aturan bicara itu.

Bagai rugi rasanya tak berpeluang mendengar sendiri empunya karya mendeklamasikan..

Tahniah ukht.. puisi yang terkesan di jiwa 'seorang aku' ini.. Alhamdulillah

Moga ada ruang lain yang membenarkan saya menjadi audien pada bacaanmu itu kak.. Insya`allah

Amin ya rabbal `alamin

rozais al-anamy berkata...

Nis,
"bahawa kita bersaudara
setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
gegarnya terasa di anjung semenanjung"

Sungguh saya berasa teramat pilu menghayatinya.

Tahniah dan syabas untuk puisi yang amat berkesan dan penuh roh perjuangan.

Anda bukan sekadar arif prosa, malah bijak menyusun bait-bait untuk taakulan jiwa.

Nisah Haji Haron berkata...

Kak Ton, terima kasih. Semuanya atas dokongan dan dorongan sahabat-sahabat dan guru-guru seperti Kak Ton juga.

Mujahidah, terima kasih. Tidak ada apa yang rugi. Saya bacakan seperti apa yang tertulis. Semoga Allah aturkan pertemuan untuk kita kelak.

Zais, terima kasih. Adakalanya kita perlukan genre yang lain untuk berekpresi.

@N@ berkata...

sungguh terkesan!

tahniah, anda terbaik...

mohon izin untuk meletakkan puisi indah penuh bermakna ini di blog sy untuk hayatan sahabat2 blog sy pula..

Nisah Haji Haron berkata...

@N@, Terima kasih. Silakan buat pautan. Semoga ada manfaatnya buat semua.

[Ab.ngah] berkata...

Assalamu'alaikum Pn Nisah,

Sebuah puisi yang penuh makna! Terima kasih.

Izinkan saya pautkan puisi ini di facebook. Moga besar manfaatnya kepada mereka yang membaca dan menghayati..

Wan Aziz.

Nisah Haji Haron berkata...

[Ab.ngah],
Ya, silakan.

faqirilaik berkata...

saya pergi ke "Malam Air Mata Palestin" di Seremban thn lps di mana sajak ini dibacakan.saya sgt terharu mendgr sajak ini.boleh ke saya letakkan puisi ini dlm blog saya?

ThinkPlanAct berkata...

Assalamulaikum,

Mohon izin untuk disertakan puisi ini bersama dengan kreditnya untuk dikongsi di dalam blog saya di http://thinkplanact.wordpress.com

Semoga ianya bisa menginspirasi teman2 saya yang melawati blog saya.

Terima kasih

Nisah Haji Haron berkata...

Sdr Faqirilaik & ThinkPlanAct,

Silakan.

ThinkPlanAct berkata...

assalamualaikum,

Ribuan terima kasih di atas izin yang diberi. Semoga usaha kecil ini dibalasi ganjaran dari Allah SWT.

Jazakillah khair

jeruk_betik berkata...

Assalamualaikum.

Saya sangat terkesan dengan puisi indah ini. Saya mohon izin untuk share dengan yang lain supaya sama2 terkesan dengannya.

Nisah Haji Haron berkata...

Jeruk_betik,

Silakan. Terima kasih.

Rujautih berkata...

Salam Puan.

Alhamdulillah... puisi ini ibarat magnet yang menarik-narik sebuah rasa ehsan! Terharu mendengar laungan-laungan yang tak kedengaran 'di sini' namun bergema jelas di sanubari...!! Syabas dan tanhiah. Semoga Umat Islam di Palestina dan di serata dunia kental berjuang melawan bujukan syaitan dan kezaliman kerana niat yang satu! Kerana Allah jua.

Ratu berkata...

Assalamu'alaikum Pn Nisah,

Izinkan saya kongsi puisi ini di facebook saya?

Related Posts with Thumbnails