Isnin, November 16, 2009

Ada Apa Dengan Bengkel Penulisan?


Bengkel-bengkel penulisan kian rancak dewasa ini. Senario ini amat berbeza tatkala saya mula-mula menulis sekitar tahun 1980-an. Satu-satunya bengkel yang saya kenal ialah Minggu Penulis Remaja (MPR). Namanya demikian, tetapi hakikatnya MPR ialah sebuah bengkel penulisan.

Bengkel penulisan paling efektif jika jumlah peserta terhad. Paling ideal, jumlahnya di bawah 20 orang. Jumlah yang terlalu ramai di dalam sebuah bengkel, boleh menjadikan aktiviti itu dikuasai oleh satu pihak ataupun akan wujud satu 'bengkel di dalam bengkel'.

Jika ada masa, saya gemar menyertai bengkel - adakalanya sebagai pembimbing, kadang-kadang sebagai peserta juga. Mungkin apa yang akan dinyatakan di dalam bengkel 2, 3 & 4 sudah disebut di dalam bengkel 1. Ternyata, saya seringkali dapati dalam setiap bengkel ada respons yang berbeza dan tentunya ada perkara baharu yang saya pelajari - hatta diri saya sebagai pembimbing pada satu-satu masa.

Jadi, di dalam bengkel tidak semestinya pembimbing yang sentiasa memberi, dan peserta sentiasa menerima. Jika kedua-dua pihak hadir dengan 'cawan' yang kosong, kita sama-sama akan mendapat manfaatnya. Apabila pembimbing hadir dengan sikap mahu 'menggurui' pesertanya, jarang sekali peserta mendapat manfaat 100%.

Secara peribadi, saya bimbang apabila membimbing peserta di dalam bengkel-bengkel penulisan. Saya bimbang jika ada peserta yang 'terbunuh' di dalam bengkel. Daya tahan setiap insan itu tidak sama. Ada yang barangkali tidak tahan apabila karyanya dikritik, tetapi masih mahu menyertai bengkel. Saya sedaya upaya tidak akan 'membunuh' daya kepengarangan setiap peserta. Saya mahu membimbingnya kerana itulah tugas saya. Di dalam membimbing, pendekatan saya juga harus berubah mengikut keperluan peserta.

Matlamat saya, kalau ada pengarang baharu yang lahir hasil daripada mana-mana bengkel yang pernah saya kendalikan, pengarang itu seharusnya lebih baik daripada saya. Barulah karya-karya sastera akan mengalami peningkatan kualiti. (Saya juga pernah mendengar bahawa di dalam bengkel penulisan yang lain, pembimbingnya seolah-olah tidak mahu 'anak muridnya' mengatasi kehebatan pembimbing. Tuhan, tolong jangan jadikan saya seperti mereka itu.)

Saya sesungguhnya percaya bahawa bengkel sahaja tidak melahirkan penulis. Penulis akan lahir kesan daripada pelbagai faktor. Penulis yang berjaya seringkali tidak putus asa dan mempertingkat daya kepengarangannya melalui pelbagai cara. Mengharapkan dengan hadir ke bengkel dan selepas itu terus boleh menjadi penulis, belum tentu seseorang penulis itu dapat tekal menulis.

Pada saya, bengkel ialah tempat memugar semangat, mendapatkan suasana kondusif untuk terus berkarya, belajar daripada kelemahan sendiri atau melihat kekuatan karya orang lain, dan tentunya untuk mendapatkan momentum.

Tidak ada gunanya, jika hadir banyak bengkel tetapi selepas berbengkel tidak menulis juga. Menghadiri bengkel ini ibarat meminta pembimbingnya membawa peserta ke pintu serta membantu membuka pintu itu. Namun, untuk masuk ke dalamnya, itu di luar kemampuan pembimbing @ si pembuka pintu tadi. Peserta @ penulis itu sendirilah yang harus melangkah masuk kerana pintunya sudah dibuka.

** Gambar-gambar sewaktu Bengkel Penulisan Cerpen PEN 2009 di Dewan D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang pada 14 November yang lalu. Kredit gambar 1 & 3 - Nisah Haron. Kredit gambar 2 (tengah) kepada Zalila Isa.

Baca juga di :

Zalila Isa
Senafas Bidasari
Amiza Khusyri bin Yusof
Syarifah Salha Syed Ahmad
Blog Syafiq Zulakifli

5 ulasan:

ahsfantasy24 berkata...

assalamualaikum puan..
sy sgt berminat dlam bidang penulisan,
namun syarat mpr untuk mwjidkan krya tersiar di mana2 media agk mmbntut minat saya..

tolong sy puan..

Nisah Haji Haron berkata...

Sdr ashfantasy24,

Harap perbetulkan ejaan dan tatabahasa sebelum saya dapat berikan jawapan kepada persoalan sdr. Maaf, untuk menjadi penulis sdr perlu bersikap (attitude). Ini sikap saya terhadap tulisan.

Seperti yang telah saya nyatakan di atas : "Nisah Haron amat menghargai komen-komen daripada pengunjung yang mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu yang baik (ataupun Bahasa Inggeris yang gramatis) serta menggunakan ejaan yang sempurna - penggunaan ejaan singkatan SMS tidak diraikan di sini."

Setelah sdr memperbetulkannya, insya-Allah, saya akan bantu.

Terima kasih.

Nisha berkata...

Assalamualaikum Puan.

Wah! Saya suka cara puan. Lepas ni nak cuba hadiri bengkel puan tapi di sekitar Seremban sahaja. Entah kenapa sejak kebelakangan ini saya meminati bidang penulisan walaupun pada peringkat awalnya memaksa diri untuk menulis.

Saya telah membaca blog puan sebelum saya ada blog sendiri. Saya menukar nama harian saya(dalam blog je..) pun di sebabkan nama saya sama dengan nama puan tapi masih kekal di luar.

Nisah Haji Haron berkata...

Nisha/Nisah,
Apa salahnya kalau nama kita sama. Nama yang sama tidak semestinya identiti kita sama. Penganjuran bengkel penulisan memang saya buat di Seremban sahaja. Akan tetapi, saya hadir ke mana-mana bengkel penulisan seluruh Malaysia, asalkan ada penganjurnya. Paling jauh pernah ke Sabah (Tenom) dan juga UUM di Sintok.

Di dalam menulis, tiada istilah terlalu awal untuk bermula ataupun terlalu lewat. Mulakan sahaja!

Wan A. Rafar berkata...

Senario pada masa saya mula menulis dulu lagi amat berbeza. Bengkel-bengkelan memang tidak ada; yang ada hanya hari sastera/puisi, seminar dan simposium. Kemudahan penerbitan juga amat kurang. Kebanyakan kami belajar dan usaha sendiri.

Related Posts with Thumbnails