Harum Kesidang di Laman
Selepas mengguyur hujan rahmat
Puspa kesidang berbunga lebat
Wanginya mengundang ingatan padamu, sahabat.
NOTA : Bunga kesidang @ bunga kerak nasi yang sedang rajin berbunga di tengah halaman. Pada waktu pagi, jika lalu di kawasan ini hidung akan terhidu baunya yang lemak-lemak harum. Sukar hendak digambarkan bau yang lemak. Jika mahu dibandingkan antara bau melur dan kenanga, kedua-duanya lebih menyengat hidung berbanding kesidang.
Oleh sebab bunganya sedang lebat, saya sering petik setangkai, bubuh di dalam bekas dan letak di meja kerja. Setiap kali melangkah ke kamar ini, damai dan bahagia terasa. Kata seorang sahabat yang sempat singgah dan memetik setangkai dua untuk dibawa pulang, harum bau kesidang semacam terapi kepada dirinya. Dia terasa tenang dihiasi indera baunya oleh kesidang.
Teringat juga arwah nenek yang gemar memetik bunga kesidang untuk dicucuk pada sanggulnya supaya rambut berbau harum.
Ulasan
Kekanda Nisah,
Pohon bunga ini juga dikenali sebagai tikam seladang di Terangganu. Ketika saya berbasikal keliling tasik di belakang bangunan MOF dan Kementerian Pelajaran, saya dapati ada beberapa pohon bunga ini ditaman sebagai sebahagian daripada lanskap taman.
Pernah saya petik dan simpan dalam beg khas berbasikal, wanginya tahan selema empat hari. Maafkan saya, hendak bertanya. Bagaimana kaedah menanamnya? Mudah hidupkah pohon ini?
Sekian dulu.Terima kasih Kak Nisah kerana siarkan gambar bunga kesukaan saya ini.