Sabtu, Februari 28, 2009

Riau 2009 - Catatan 2


Sesuatu yang indah di Riau ialah seni binanya. Saya kagum dengan usaha pihak pemerintah mengekalkan ciri-ciri Melayu pada seni binanya. Lihat sahaja gambar di atas. Saya cukup suka melihat bentuk atap yang dipanggil "Lembayung Riau" ini. Boleh dikatakan hampir setiap bangunan kerajaan dan juga bangunan yang signifikan memilih untuk membina "Lembayung Riau" pada bangunan masing-masing.

Mahu tahu gambar di atas sebenarnya saya ambil di mana?

Percaya ataupun tidak, itulah gambar pondok pengawal di Hotel Pangeran tempat saya menginap!

Cuba lihat bangunan di bawah pula.


Inilah gapura kepada Dewan Kesenian Riau (DKR). Wah, ini baru pintu gerbangnya.

Cuba lihat Bangunan DKR yang tersergam di atas bukit ini :



Di sini, saya sentiasa terpegun dengan seni bina apatah lagi seni ukir yang membuat saya terpesona. Sekurang-kurangnya daerah ini pekat bancuhan Melayunya dan punya jati diri - walaupun dalam hal-hal yang fizikal.

Lalu saya terkenangkan bangunan-bangunan di Kuala Lumpur. Hanya bangunan Muzium Negara singgah sebentar di benak. Yang lainnya, seakan-akan lupus jati diri Melayu. Saya bersyukur kerana Tuhan memberi saya kesempatan untuk berfikir begini...
.
.

Jumaat, Februari 27, 2009

Riau 2009 - Catatan 1



Saya baru pulang dari Riau baru-baru ini. Pemergian yang agak tergesa-gesa tidak memungkinkan saya memaklumkan kepada ramai teman-teman hatta yang rapat sekalipun. Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Riau setelah hampir 5 tahun tidak ke Sumatera. (Kali terakhir ialah sewaktu MASTERA 2004 di Palembang).

Ini sedikit catatan dan gambar yang saya kira menarik untuk dikongsi sewaktu berada di Riau - Bumi Melayu Lancang Kuning.

Sewaktu di Universitas Riau (UNRI), perkara pertama yang saya cari di sini ialah kedai bukunya. Tetapi, saya menjumpai sesuatu yang lebih baik daripada itu. Saya terjumpa sebuah lori (?) kecil yang membawa buku.

Saya tanyakan tuan punyanya, seorang wanita separuh umur berbadan kurus, apakah setiap hari dia berada di kawasan ini. Dia menjawab ya. "Kalau tidak diparkir di sini, mungkin saja di hujung sana." Ringkasnya, kenderaan yang membawa buku ini beralih-alih. Jika pada musim cuti semester, dia akan kembali tokonya di pasar yang berhampiran.

Sesuai dengan khalayaknya, kedai buku bergerak ini menjual buku-buku yang sesuai untuk kegunaan mahasiswa.


Perempuan yang menjaga kedai ini duduk di dalam ruang kosong di atas kenderaan itu, pada waktu tiada pelanggan. Ah, saya bayangkan kalaulah saya boleh naik ke atas kenderaan itu dan melihat keseluruhan koleksinya. Siapa tahu, saya mungkin bertemu dengan 'permata' di dalamnya!

Isnin, Februari 23, 2009

Lading Masih Di Tangan



Ini kumpulan cerpen pra-sulung! Ya, kumpulan cerpen "Lading Masih Di Tangan" ialah permulaannya. Jauh lebih awal daripada "Impian Tsu-Ryi". Ada juga pertanyaan yang saya terima tentang kewujudan buku ini. Buku ini merupakan buku 3 serangkai. Saya, Dr. Siti Zainon dan Dr. Mawar Shafei sama-sama mengeluarkan belanja dan menerbit serta menjual sendiri buku ini.

Saya suka konsepnya yang bersaiz seperti sebuah kotak cakera padat. Pun, buku ini banyak kelemahan dari aspek penerbitan seperti ejaan, letakhuruf dan sebagainya. Tetapi, buku ini ada nilai sentimental kepada saya yang dalamnya, berbeza daripada kumpulan-kumpulan cerpen saya yang lain.

Blog Ulas Buku juga pernah menulis tentangnya.

Masih adakah yang berminat untuk mendapatkannya? Saya cuma ada beberapa naskhah dengan saya. Jika ya, tinggalkan e-mel di ruangan komen untuk saya hubungi semula.
.
.

Jumaat, Februari 20, 2009

"Nisah Haron - Pengarang" di Facebook


Halaman ini diwujudkan kepada mereka yang memiliki Facebook dan berminat untuk menyertainya. Laman Nisah Haron - Pengarang ialah tempat menghimpunkan pengumuman khusus tentang pengkaryaan, buku-buku dan segala yang berkaitan dengannya. Perbincangan khusus juga boleh dilakukan di sana.

Laman ini berbeza daripada laman Facebook Nisah Haron.

* * *

Adakalanya, saya tidak dapat hendak meluluskan permintaan ramai daripada kenalan yang mahu menambah saya sebagai senarai rakan-rakan di Facebook. Kalau boleh, memang saya mahu luluskan sahaja semua sekali. Malangnya, jumlah permintaan yang agak ramai itu akan membuatkan saya 'kehilangan' rakan-rakan sedia ada kerana mereka ini akan ditenggelamkan.

Saya terpaksa memilih kenalan untuk diluluskan sebagai kenalan saya di Facebook kerana kalau boleh saya tahu siapa dia itu berdasarkan ruangan maklumat peribadinya. Jika tiada sebarang maklumat yang boleh membantu saya mengenali siapakah calon kenalan itu, mungkin sukar juga untuk saya menambah orang itu ke dalam senarai rakan. Ini juga mungkin bermaksud, dia mahu kenal siapa saya sebaliknya, dia tidak mahu saya tahu siapa dia. Pada saya, jalinan kenalan (bukan persahabatan, kerana pada saya definisinya berbeza) haruslah bermula dengan tautan salam dan bertukar-tukar maklumat asas. Sekurang-kurangnya, tahulah juga seperti 'ooo, dia ini pelajar", "dia ini selalu baca karya saya" ataupun "dia ini sahabat saya yang hilang dulu".

Oleh sebab ramai yang tidak membantu saya dalam membuat keputusan, ada hampir 200 orang calon kenalan yang tidak dapat saya luluskan permintaannya. Saya tidak delete calon-calon tersebut, kerana saya fikir, mungkin satu hari nanti saya mungkin tambah mengenalinya.
.
.

Rabu, Februari 18, 2009

Kulit Tebal, Kulit Nipis

Jika anda diberi peluang memilih buku, sama ada naskhah yang berkulit tebal ataupun berkulit nipis, yang mana satukah yang menjadi pilihan? Sewaktu menjadi pelajar, tentulah kulit nipis menjadi pilihan. Faktor pemilihan tiada lain - kerana kosnya lebih murah. Terutama sekali, buku-buku rujukan undang-undang. Sedangkan yang kulit nipis pun boleh mencecah harga RM100 - tak sampai 100 halaman pun!

Setelah bekerja, saya mula memberi perhatian kepada buku-buku berkulit tebal. Mungkin kerana sudah berduit sedikit. Saya memang sukakan buku kulit tebal walaupun agak berat untuk diusung ke sana ke mari. Tetapi, nikmat membaca buku kulit tebal dan kulit nipis ternyata berbeza. Maka, tidak hairanlah di Barat, naskhah kulit tebal ini biasanya terbit terlebih dahulu. Selepas itu, barulah naskhah paperback pula beredar di pasaran.

Menurut SN A. Samad Said, dia juga gemarkan buku-buku kulit tebal. Jika tiada naskhah berkulit tebal, dia akan beli yang berkulit lembut. Naskhah kulit lembut itu tidak akan diconteng dengan sebarang catatan. Katanya lagi, jika satu hari dia terjumpa naskhah kulit tebalnya, dia tetap akan membeli. Naskhah kulit lembut itu akan dijadikan hadiah.

Kini, saya cenderung membeli buku-buku berkulit tebal apabila ada pilihan. Selain cantik apabila disusun di rak, kulit tebal itu juga melindungi kertas dan kandungan buku itu sendiri. Membaca buku kulit tebal pula terasa lebih selesa berbanding buku-buku comel dan novel-novel dengan font halus, seperti mahu menjimatkan halaman. Oh, faktor usia yang sudah meningkat barangkali. Membaca tulisan-tulisan yang halus itu amat memenatkan mata!

Apatah lagi, jika harganya cuma berselisih sekitar RM20, saya masih membeli edisi kulit tebal. Memang ada orang yang sangat berkira dalam hal membeli buku. Kalau boleh nak beli buku, yang murah nak murah lagi. Dapat diskaun 15% pun dah bersorak, padahal kos dia pergi ke kedai membeli buku yang kononnya dapat diskaun tu dia tak kira. Jadi, dalam hal membeli buku ini saya selalu tutup mata dan beli.

Saya tidak pernah menyesal membeli buku walaupun selepas itu saya dapati buku yang sama dijual dengan harga diskaun. Pada saya, kepuasan membeli buku ialah apabila saya memilikinya dan menikmati buku itu. Kepuasan pembelian buku bukan terletak pada harganya.

Suatu hari nanti, saya bayangkan karya saya juga dapat diterbitkan dalam edisi kulit keras. Saya bayangkan, karya itu mestilah sebuah karya yang bukan sahaja tebal pada kulit, tetapi 'tebal' juga isinya.

Apa pula pilihan anda? Mengapa pilih buku kulit tebal / kulit nipis?
.
.

Ahad, Februari 15, 2009

Resipi Dari Istana 3


Meneruskan siri "Resipi Dari Istana", edisi ke-3 tersiar di dalam Mingguan Malaysia hari ini. Apakah saya akan terus menulis edisi seterusnya? Itu saya tidak pasti. Mungkin elok juga saya buat sebuah kumpulan cerpen yang temanya serupa untuk saya teruskan 'siri' ini.

Tentu sahaja ramuan untuk Resipi Dari Istana 3 sedikit berbeza daripada resipi yang sebelumnya. Terpulanglah kepada pembaca untuk menafsir satira ini.

Untuk yang terlepas edisi sebelumnya, saya ada menulis entri tentang Resipi Dari Istana dan Resipi Dari Istana 2. Pun, saya tidak pasti sama ada pautan ke laman di Berita Harian masih lagi wujud ataupun sudah diarkibkan.

Pautan lain :

Resipi Dari Istana
Resipi Dari Istana 2
Tragedi Dalam Dunia Sastera
.
.

Selasa, Februari 10, 2009

Buku Baharu di Ujana Ilmu


Ingin saya mengambil ruang ini untuk memperkenalkan sebuah buku baharu di Ujana Ilmu.

Judulnya : Gagasan Persuratan Baru
Penyelenggara : Mohd Affandi Hassan, Ungku Maimunah & Mohd Zariat
Harga : RM35 (Kulit Keras), RM25 (Kulit Lembut)

Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan kesusasteraan tanah air, Gagasan Persuratan Baru janaan Mohd Affandi Hassan bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, tulisan-tulisan tentang GPB ini selalunya boleh dijumpai secara eceran, sama ada di akhbar-akhbar ataupun dalam seminar-seminar.

Jadi, inilah peluang untuk melihat GPB secara menyeluruh, sama ada anda bersetuju ataupun sebaliknya dengan gagasan ini. Biasanya orang akan berkata, saya sokong ataupun tidak sokong GPB. Pada saya, itu bukan soalnya. Sebelum berhujah, eloklah persiapkan diri dengan ilmunya. Usah bercakap tentang perkara yang kita sendiri tidak berapa pasti.

Buku ini bukan sahaja sesuai untuk para sarjana, tetapi juga para peminat sastera yang tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti perkembangan kesusasteraan melayu yang terkini!

Dapatkan naskhah anda, sama ada edisi kulit keras ataupun kulit lembut di www.ujanailmu.com.my

Selasa, Februari 03, 2009

Lentera Mustika - Komen diperlukan


Pengumuman ini dipetik daripada majalah ANIQAH (Februari 2009) :

Novel Lentera Mustika akan dibukukan tidak lama lagi. Pengarang mengundang pengikut siri ini supaya dapat memberikan komen / pandangan mengenai Lentera Mustika melalui e-mel untuk dimuatkan di dalam novel tersebut. Sila sertakan nama & alamat penuh, nombor telefon & e-mel anda kepada : nisah.haron@gmail.com sebelum 28 Februari 2009.

Pengarang akan menghadiahkan senaskhah novel ini bagi komen terpilih.
Siri terakhir Lentera Mustika dalam ANIQAH Mac 2009.
.
.

Ahad, Februari 01, 2009

Esdyzuar habis stok!


Menurut pihak penerbit novel ini - Al-Ameen Serve Holdings, mereka sudah tidak menyimpan stok novel ini. Semuanya sudah habis.

Alhamdulillah, saya bersyukur. Namun, di pasaran novel ini masih wujud. Oleh itu, jika masih ada yang berminat untuk mendapatkannya, beli terus apabila terjumpa.

Di Ujana Ilmu pun, masih ada beberapa naskhah. Boleh beli terus dari sini.

Kini, sedang berunding dengan pihak penerbit sama ada novel ini berbaloi untuk dicetak ulang.

Wajarkah?
.
.
Related Posts with Thumbnails