Selasa, Jun 30, 2009
Pahang.FM - Motivasi Pagi
Harap maklum.
.
.
| komen segera : |
Ahad, Jun 28, 2009
Jerayawara Utusan Sukma (dan aktiviti di antaranya)
Satu ungkapan yang dapat saya simpulkan daripada program jerayawara Utusan Sukma - Sepagi Bersastera yang baru sahaja berlangsung pada 22, 23 & 25 Jun 2009: Sastera Itu Masih Relevan!
Antara misi kami ialah memperkenalkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan kepada para pelajar dan menyatakan bahawa selain daripada karya-karya pop dan picisan, ada banyak lagi karya-karya yang terbaik nukilan para sasterawan dan penulis tersohor tanah air. Sekalung tahniah kepada petugas Utusan Publication yang sanggup turun ke luar daerah memperkenalkan buku-buku sastera khususnya buku-buku HSKU kepada para pelajar. Mereka sungguh teruja dengan kehadiran buku-buku yang sedemikian!Singgahan pertama : SMK Dato' Undang Musa Al-Haj (DUMA), Kuala Klawang, Jelebu.
Para pelajar dari sekolah luar (yang diundang oleh pihak SMK DUMA) tiba setelah kami bersedia dengan pameran dan jualan buku PEN dan Utusan Publications. Mengikut jadual, saya menjadi penceramah pertama dengan diikuti oleh Puan Mahaya dan akhirnya, SN A. Samad Said yang menjadi kemuncak acara.
Fokus saya ialah penulisan prosa dan saya membaca judul "Menulis itu Mudah". Puan Mahaya menjurus kepada penghayatan puisi dan Pak Samad bebas untuk memilih tajuk ceramahnya sendiri. Di SMK DUMA, Pak Samad bercakap tentang sahabat-sahabat penulisnya yang seangkatan selain memperlihatkan kematangannya dari aspek penulisan sejak mula sehinggalah sekarang.
Jualan buku di SMK DUMA, luar biasa! Para pelajar yang datang sangat lapar dengan buku. Petugas bahagian jualan buku Utusan pulang dengan senyuman lebar. Kami juga pulang sesegera mungkin kerana harus mengumpul tenaga untuk keesokan harinya - SMK Bandar Baru Serting menunggu!
Singgahan kedua : SMK Bandar Baru Serting, (BBS) Bandar Seri Jempol.
Lokasi sekolah ini ialah yang paling jauh dalam jerayawara ini. Kami bertolak pada pukul 6.00 pagi dari rumah Ketua Satu PEN dan sampai di sekolah itu lebih kurang pukul 7.15 pagi. Seperti biasa, tugas kami yang awal ialah memasang semula pameran PEN dan menyusun buku-buku untuk pameran dan jualan.
Di SMK BBS, para pelajar dari sekolah tamu kebanyakannya datang dari jauh juga. Antara yang dari felda-felda seperti Palong. Mereka sangat teruja menerima kami sebagai tetamu, apatah lagi melihat SN A. Samad Said dari dekat dan secara langsung. Saya dan Puan Mahaya mengekalkan tajuk yang sama (seperti yang telah dipersetujui dengan pihak penganjur, Utusan Publications). Pak Samad memilih untuk menceritakan tentang bahan bacaannya yang menjadi asas kepada proses penulisannya.
Melunaskan solat Zohor sebelum pulang kerana sudah pasti Asar nanti baru sampai ke rumah masing-masing. Pun, kami bersyukur kerana keesokannya jerayawara ini berhenti rehat. Hari Khamis barulah lokasi yang terakhir - SMK Dato' Klana Putra, Lenggeng.
Tetapi, bagi saya tiada rehatnya. Pagi hari Rabu, saya menyempurnakan undangan SMK Bukit Kepayang. Teruja melihat cahaya yang bersinar-sinar di dalam mata anak-anak tingkatan satu sekolah itu. Mereka tidaklah malu-malu seperti pelajar menengah atas. Suka menjawab soalan dan sangat suka membaca buku. Khemah Membaca di SMK Bukit Kepayang menjadikan saya terus bersemangat untuk esok hari.
Namun, sebelah malamnya, saya tidak sampai hati untuk menolak permintaan ke Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan. Walaupun jauh ke Petasih (Jelebu) saya redahi juga. Penganjur mahukan seorang tokoh tempatan. Saya lebih kasihan anak-anak yang sangat bercita-cita untuk menjadi penulis. Undangan daripada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan itu saya sambut walaupun pada pukul 6.30 petang bertolak dan hampir tersesat kerana petang itu gerimis serta cuaca mendung mempercepatkan suasana gelap. Jalan ke Sekolah Kebangsaan Petasih (Berasrama) itu gelap setelah melalui pekan Kuala Klawang. Saya terlepas simpangnya. Barangkali ada hikmah - sempat solat di Masjid Kg. Kerangai sebelum bertanya dengan jemaah yang ada, bagaimana hendak mencari simpang itu.
Alhamdulillah, setelah bermohon dengan Tuhan. Jalan yang saya cari itu dipermudahkan. 70 orang anak-anak tingkatan 4 - 5 sudah sedia menunggu. Sesungguhnya, saya sudah agak letih. 2 hari berceramah dan ke luar daerah, sebelah pagi di Seremban 2 menyebabkan saya kekurangan tenaga. Tetapi, sekali lagi, minat dan kesungguhan mereka membakar semangat saya. Cadangnya, mahu duduk sahaja sambil bercerita dengan santai. Tak jadi, saya bangun juga berjalan-jalan kerana mereka sungguh-sungguh ingin tahu. Apatah lagi, saya mahu 5 orang yang terpilih mewakili NS ke Labuan Ogos nanti cukup maklumat dan tidak ketinggalan daripada aspek sastera dan maklumat penulisan.
Singgahan ketiga: SMK Dato' Klana Putra (DKP), Lenggeng
Khalayak kali ini mengejutkan kami. Jumlahnya lebih besar daripada yang di DUMA dan BBS. Penuh satu dewan sehingga ke pintu belakang! Saya (yang gemar berjalan, dan tidak statik di pentas) perlu bergerak sehingga ke belakang dewan, kiri dewan, kanan dewan dan kemudian kembali semula ke bahagian hadapan. Sambutannya juga luar dugaan. Apabila ditanya, ramai pula yang menjawab soalan saya. Apabila dicabar, ramai yang menyahut cabaran.
Cabaran 2 : melagukan nazam "Kelebihan Ilmu" yang saya cipta khusus untuk novel Tawarikh Cinta. Alhamdulillah, ramai pelajar perempuan yang menyahutnya, walaupun saya mengajar lagunya sekali dua sewaktu ceramah berlangsung. Nazam lagu yang agak mudah. Anak-anak muda ini gemar sekali menyanyi. Tentulah lekas lekat di fikiran mereka. Semoga nazam dapat dilestarikan. Semoga mereka tahu, inilah nazam (bukannya Nazam Lebaran itu ialah nazam!)
Mengapa masih ada yang mahu meminggirkan sastera, meminggirkan bahasa? Jika ada yang mahu berbuat demikian, itulah jenayah terbesar dalam tamadun manusia yang mereka lakukan!
Syukur Tuhan, Kau izinkan kami terus berjuang. Perjalanannya masih jauh. Tetapi, setapak pun kami tak akan berhenti.
Rakaman terima kasih kepada warga PEN, Kumpulan Utusan (sebagai penaja jerayawara ini) dan kerjasama erat daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
.
.
| komen segera : |
Jumaat, Jun 26, 2009
Bakal terbit Julai 2009

Alhamdulillah, kelahiran novel ini melalui proses yang agak menyenangkan; biar pun proses penulisannya memakan masa 3 tahun - lantaran gaya penulisan novel bersiri.
Terima kasih kepada semua yang telah memberikan testimonial. Senaskhah novel ini akan saya kirimkan seperti mana janji saya sebelum ini.
Khabarnya, buat masa ini masih belum keluar dari kilang. Tetapi akan saya cuba supaya boleh membuat pesanan prapenerbitan dalam masa terdekat di Ujana Ilmu.
Terima kasih kepada PTS Publication yang bertungkus-lumus dan sudi pula mendengar cadangan daripada pihak penulis serta berkongsi pendapat tentang beberapa hal. Penerbit begini memang mampu bertahan lama kerana apabila kita tidak menyakiti hati orang lain, insya-Allah, semua pihak akan mendoakan kejayaan kita.
Terima kasih Puan Ainon yang telah menguar-uarkan novel ini terlebih dahulu di Unika PTS.
Saya tidak mahu banyak berjanji kerana apabila sesebuah novel itu terbit, tafsirannya terpulanglah kepada pembaca. Pada saya, ini bukanlah novel cinta biasa. Namun, Lentera Mustika bukanlah sebuah karya berat. Pertama kali saya menulis sebuah novel cinta - langsung cuba mencipta kelainan dalam sifat cinta yang sejagat itu.
Selebihnya, biarlah pembaca yang menafsirkannya.
Harapan saya, menerbitkan buku dengan PTS sebagai satu langkah untuk meluaskan khalayak yang boleh menghargai karya-karya sastera. Saya percaya kepada potensi PTS yang memiliki kekuatan dari aspek pemasaran dan promosi.
Lentera Mustika dijual dengan harga RM18.
.
.
| komen segera : |
Khamis, Jun 25, 2009
Rabu, Jun 24, 2009
Isnin, Jun 22, 2009
Seminggu yang mencabar - Utusan Sukma
22 Jun (Isnin) - SMK Dato' Undang Musa Al-Haj (DUMA), Jelebu
23 Jun (Selasa) - SMK Bandar Baru Serting
25 Jun (Khamis - SMK Dato' Klana Putra, Lenggeng
Maklumat lanjut boleh dibaca di sini.
Tambahan:
24 Jun : SMK Bukit Kepayang, Seremban 2 (Khemah Membaca)
Masa : 8.00 - 11.00 pagi
24 Jun : SK Petasih, Jelebu (Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan)
Masa : 8.30 - 10.30 malam
Bertugas sebagai penceramah sekaligus AJK sememangnya mencabar. Tetapi apa sahaja di dunia ini yang tidak mencabar sifatnya. Selain menjadi penulis, menjadikan orang lain minat kepada penulisan; menjadikan orang lain turut mencintai sastera juga suatu amanah. Sebab itu, saya percaya bahawa penulis harus menyertai satu perkumpulan untuk membolehkan dia berjuang.
Tentu ada orang kata Hemingway dan Steinback elok-elok saja tulis novel seorang diri. Tak perlupun sertai persatuan penulis. Ya, boleh sahaja duduk sendirian dan menulis tanpa mempedulikan dunia luar. Itu pilihan setiap individu.
Saya bukan dambakan populariti ataupun nama. Saya percaya ukuran keikhlasan, hanya Allah yang mampu melihat. Saya galas semuanya ini sebagai amanah. Mengajak orang membaca karya-karya yang 'amal makruf nahi mungkar' juga sebahagian daripada dakwah juga.
Semuanya bukan mudah kerana laluan yang sukar dan penuh cabaran itulah yang akan memberikan sesuatu yang manis.
Doakan saya, PEN, Kumpulan Utusan serta semua pihak yang terlibat berjaya menjalankan urusan ini dengan lancar dan semoga usaha kecil kami diberkati-Nya.
.
.
| komen segera : |
Sabtu, Jun 20, 2009
Pakej HSKU 2008
Pakej ini mengandungi :
- Novel Kasih Nan Agung (Hadiah Pertama)
- Novel Jendela Menghadap Jalan (Hadiah Kedua)
- Novel Meniti Jalan Hadapan (Hadiah Ketiga)
- Antologi Cerpen Remaja Batu-batu Di Jalanan (mengandungi Laporan Panel Hakim - Novel & cerpen Remaja)
- Antologi Cerpen, Puisi, Kajian & Rencana Sastera Bayang di Tirai Belulang (mengandungi Laporan Panel Hakim kategori ini)
Buku-buku ini belum berada di kedai buku. Namun, Ujana Ilmu mendapat beberapa naskhah terhad. Jadi, jika memesan buku-buku ini melalui kami, insya-Allah, kami akan kirimkan sesegera mungkin.
Oleh itu, pesan secara online. Klik pada pautan ini.
Tetapi sdr ada pilihan. Boleh juga dipesan secara offline dengan menggunakan kaedah berikut :
- E-mel atau faks pesanan kepada webmaster@ujanailmu.com.my. (Faks : 06-7675722)
- Tajuk e-mel/faks : Pakej HSKU 2008
- Nyatakan di dalam e-mel / faks tersebut bahawa sdr mahu membeli 1 set (atau 2 set, 3 set, dan seterusnya) Pakej HSKU 2008
- Sertakan Nama Penuh, Alamat Penuh, No. Telefon** & bukti pembayaran.
- Masukkan bayaran ke akaun pilihan :
Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : Maybank
Cawangan : Seremban
No. Akaun Simpanan: 164016002847Nama : Ujana Ilmu Enterprise
Bank : AMBank
Cawangan : Seremban
No Akaun Semasa : 009-201-101171-6Nama : Mohd Shukri Nasir
Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : CIMB
Cawangan : Seremban
No Akaun Simpanan : 05140008925522
Bank : Bank Islam Malaysia Berhad
Cawangan : Seremban
No Akaun Simpanan : 05-012-02-036500-2
Panjang dan sedikit merumitkan jika pesan secara offline. Oleh itu, sdr digalakkan memesan terus secara online dari www.ujanailmu.com.my.
Sdr juga boleh memesan buku-buku pakej tahun-tahun sebelumnya seperti :
Untuk lihat pakej-pakej istimewa yang lain, sila klik di sini.
** ini tidak kurang pentingnya. Kami pernah menerima pesanan daripada pelanggan yang menggunakan nama samaran (yang aneh). Kami ikutkan juga kerana kami beranggapan posmen barangkali mengenali pelanggan tersebut. Jadi, jika tidak pasti sama ada posmen mengenali sdr dengan nama samaran, tolonglah guna nama sebenar. (Kami tidak berminat untuk menjual maklumat sdr itu kepada mana-mana pihak, kerana kami percaya perniagaan demikian tidak berkat.)
| komen segera : |
Jumaat, Jun 12, 2009
Delima Ranting Senja
Saya sedang menikmatinya.
Resensi lanjut, akan muncul.
Sementara itu, jika berminat, buku ini sudah berada di Ujana Ilmu. Sila klik di sini untuk membeli.
.
.
| komen segera : |
Majlis Makan Malam Mahabbah - SHAMS

Tarikh : 19 Jun 2009 (Jumaat)
Masa : 8.00 - 11.00 malam
Penganjur : SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban dengan kerjasama PIBG dan Alumni SHAMS
Penaung : Y.A.B. Menteri Besar Negeri Sembilan Darul KHusus.
Pakaian : Batik
Atur Cara
8.00 malam - Ketibaan Jemputan
8.30 malam
- Ketibaan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Darul
- Aluan Pengerusi Majlis
- Bacaan Doa
- Persembahan Multimedia
- Jamuan makan / Persembahan Nasyid Kumpulan UNIC dan As-Shams
- Ucapan Yang Dipertua PIBG SMKA SHAMS
- Ucapan Pengetua Cemerlang SMKA SHAMS
- Ucapan Perasmian oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
- Sambutan Jubli Emas SMKA SHAMS
- Dewan Ibnu Abbas SMKA SHAMS
- Pelancaran Buku "Gamitan Memori SHAMS"
- Penyampaian Cenderahati
- Cabutan Bertuah
- Majlis Bersurai
Untuk sebarang maklumat lanjut sila hubungi :
Tuan Haji Jamil bin Ibrahim : 012-621 7897 atau
Catatan untuk alumni SHAMS - Pintu masuk sekolah sudah berubah. Pintu pagar yang asal sudah jauh masuk ke dalam. Kini pintu utamanya di tebing bersebelahan dengan Kolej Tunku Kurshiah. SHAMS juga sudah semakin besar dari sekolah-sekolah di kawasan lembah Sikamat ini, maklumlah kini SHAMS sebuah Sekolah Kluster.
| komen segera : |
Ahad, Jun 07, 2009
Tahniah Pemenang HSKU 2008!
- ada yang menang berganda
- ada yang menang buat pertama kali
- ada yang menang lagi setelah menang sebelumnya
- ada yang membuat comeback dan ada juga yang upgrade - dahulu menang penghargaan, kini pemenang hadiah utama.
Dapatkan akhbar Mingguan Malaysia versi cetak bagi mengetahui keputusan penuh.
Kepada yang tidak berupaya mendapatkan akhbar tersebut, tengoklah sehari dua nanti, kalau saya rajin, mungkin akan saya rakamkan di sini.
| komen segera : |
Jumaat, Jun 05, 2009
Kehilangan 2
- Menghilangkan rasa terkejut dan mengawal diri. Debarannya luar biasa. Apatah lagi banyak sekali maklumat berharga yang tersimpan di dalam telefon itu.
- Ketika telefon itu hilang, saya berada di tempat yang ramai orang (kompleks membeli-belah). Saya minta suami telefon nombor saya itu. Saya cuba dengar nada deringnya, manalah tahu kalau-kalau dapat dikesan. Nada dering daripada suami amat khusus - ada kemungkinan saya dapat mengesan telefon itu jika orang itu masih berada tidak jauh dari situ. Sayangnya pada ketika itu, suasana di kompleks membeli-belah agak hingar-bingar, sukar untuk mengesan bunyinya.
- Saya guna talian maxis. Oleh itu, saya telefon nombor 123 dari mana-mana telefon yang menggunakan talian maxis.
- Beritahu maxis akan hal kecurian telefon sesegera mungkin dan minta maxis menggantung/block/suspend buat sementara nombor yang berkenaan. Ini dapat menghalang kad sim yang lama itu disalahguna. Pencuri berkenaan hanya dapat memanfaatkan telefon bimbitnya sahaja.
- Maxis mengarahkan supaya saya pergi ke maxis centre yang berkenaan untuk dapatkan kad sim yang baharu.
- Sewaktu di maxis centre, saya diberikan kad sim baharu. Masih mengekalkan nombor yang sama tetapi maklumat dalam kad sim yang lama tidak dapat dipindahkan ke dalam kad sim yang baharu. (Hal ini boleh dilakukan untuk talian post paid. Untuk mereka yang menggunakan prepaid, saya tak pasti apakah tindakan yang sewajarnya).
- Kad sim yang baharu akan aktif selepas lebih kurang 1 jam.
- Boleh guna telefon seperti biasa.
- Selongkar buku telefon hitam kecil.
- Masukkan nombor-nombor sahabat yang sempat disimpan secara manual dalam buku telefon hitam kecil sebelum kehilangan telefon bimbit.
.
.
| komen segera : |
Khamis, Jun 04, 2009
Kehilangan
Saya belum pernah kecurian telefon bimbit. Ini kali yang pertama. Saya doakan orang yang sangat berminat dengan telefon saya itu (seperti gambar di sebelah) dapat memanfaatkannya dan saya doakan juga semoga Tuhan memberikan petunjuk dan hidayah kepadanya supaya dia tidak mengulanginya kepada orang lain.
Kehilangan telefon bimbit bukan setakat kehilangan telefon itu secara fizikal - kehilangan maklumat di dalam telefon itu lebih penting. Ada yang lebih berharga daripada telefon itu sendiri.
Tetapi, saya redha atas ketentuan ini. Mungkin atas kecuaian saya sendiri. Saya fikir ada banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik kehilangan ini.
Sewaktu saya menaip semula nombor-nombor telefon sahabat-sahabat yang sempat saya simpan secara manual ke dalam buku kecil hitam (little black book), saya lihat betapa banyaknya senarai nombor kenalan saya. Sayangnya, bukan semuanya sering saya hubungi. Saya memilih-milih dan menilai semula apakah semuanya harus saya masukkan kembali ke dalam telefon ini, ataupun hanya setakat mereka yang sering menghubungi saya atas urusan kerja ataupun yang seumpamanya.
Saya menilai kembali siapakah sahabat-sahabat saya. Kepada yang berhubung dengan saya selepas ini sama ada secara SMS ataupun menelefon, harap perkenalkan diri (khususnya yang berSMS) kerana saya tak mampu untuk menaip semula semua nombor telefon yang ada di dalam buku saya itu. Usah kecil hati ya. Kalau saya taip semua sekali, tentulah usaha mengumpul nombor-nombor kalian sejak saya mula ada telefon bimbit (mulai 1999) akan memakan masa berminggu-minggu.
Pun, jika saya ingin menghubungi kalian, nombor kalian tetap berada di dalam simpanan saya kerana menyimpan secara manual lebih kekal berbanding menyimpan di dalam cip memori telefon saya. Hanya nombor-nombor yang baru saya masukkan sejak awal tahun ini sahaja yang belum sempat saya tulis dalam buku kecil hitam ini.
Andainya, tuan-tuan dan puan-puan rajin dan berkelapangan, silalah tinggalkan pesanan ataupun menelefon bagi meninggalkan jejak di telefon saya. Insya-Allah, nombor itu akan saya rakamkan.
Terima kasih kepada beberapa orang sahabat yang sudi berbuat demikian.
Kehilangan ini seperti ada pengajaran, sama-samalah kita menafsirkan. Kehilangan telefon ini mengajar saya lebih menghargai. Kenangan bersama-sama telefon lama lebih kekal jika disimpan di dalam memori minda sendiri. Ya, saya merindui telefon yang lama, kerana saya mengambil masa yang agak lama untuk mengakrabinya. Tetapi, saya harus segera belajar menghargai apa yang ada pada masa kini.
.
.
| komen segera : |
Isnin, Jun 01, 2009
Pesta Buku NS di Utusan Malaysia
Pesta Buku NS dapat sambutan, pupuk minat membaca
Sementara itu novelis dan peserta pesta dari Ujana Ilmu Enterprise, Nisah Haron berkata, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan.Baca lanjut di sini.''Tetapi kita kurang dari segi publisiti terutama di peringkat sekolah. Lagipun saya lihat kita juga kurang aktiviti ilmu, selain hiburan di pentas semata-mata.
''Jika ini dapat diperbaiki pada masa hadapan, saya percaya lebih ramai pengunjung akan datang ke pesta buku ini," katanya yang juga merupakan pengedar buku bagi Utusan Publication & Distributors (UPD).
.
.
| komen segera : |

