Khamis, Julai 30, 2009

"Not Everyone Can Fly"

Rentetan peristiwanya agak panjang. Jadi, secara ringkasnya, penerbangan saya untuk pulang dari Pulau Pinang ke LCCT telah dibatalkan.

  • Jadual asal : terbang pulang pukul 9.00 malam dengan penerbangan AK 5469
  • Penerbangan ini ditangguhkan ke pukul 1.00 pagi
  • Punca : burung masuk dalam enjin. Jadi tak boleh terbang mengikut jadual
  • Ok, alasan diterima. Atas sebab-sebab teknikal.
  • Itu masalah AirAsia, bukan masalah saya. Jadi penyelesaiannya bagaimana?
  • Diberinya kami "McChicken" sebungkus + air mineral Alla Fonte. Burger itu harus dikunyah tanpa sos. Penginapan tidak disediakan kerana penerbangan lewat tidak sampai 5 jam
  • Penumpang kian resah apabila menjelang pukul 12.30 pagi. Tiada satu pun kapal terbang yang mendarat. Suasana di bilik menunggu yang semakin hening, mula diganggu bunyi pergerakan penumpang yang sudah mula beratur. Maklumlah, pukul 12.20 sudah sepatutya boarding.
  • Menghampiri jam 1.00 pagi, petugas syarikat penerbangan itu datang ke kaunter pengumuman di sebelah pintu masuk untuk ke pesawat.
  • Tanpa menggunakan alat pembesar suara, dia hanya berkata kepada penumpang yang kebetulan berada di sekitar kaunter itu - penerbangan dibatalkan.
  • Mudah sekali! Pilihan yang ada kini : bermalam di hotel yang disediakan (Cititel Georgetown) - naik penerbangan berikutnya pada pukul 7.15 pagi ataupun naik ke pesawat yang dijangka sampai jam 2.00 pagi (ada sebuah lagi penerbangan yang dijadualkan tiba, pun lewat juga daripada jadual asal).
  • Seperti mahu beli daging atau ayam di pasar kerana lusa Hari Raya, penumpang pun berpusu-pusu di kaunter.
  • Mereka masih tidak pasti sama ada yang berpusu-pusu di kaunter ini ialah untuk beri nama sebab hendak ke hotel ataupun untuk menaiki pesawat yang satu lagi.
  • Secara logiknya, walaupun penerbangan yang satu lagi itu mungkin tidak penuh, tak mungkin dua kumpulan penumpang ini dapat digabungkan ke dalam satu pesawat. (Saya tak beli tiket berdiri!!!)
  • Kecoh. Sudah ada penumpang yang meninggikan suara. Seorang lelaki Tionghua berkata, "Why you let us queuing here like idots, when you know there will no flight! This is so stupid!" Barangkali memarahi dirinya sendiri juga kerana begitu teruja beratur untuk ke LCCT. Kemudian, baru saya tahu yang dia sebenarnya mengejar connecting flight untuk ke Vietnam kerana ada mesyuarat penting.
  • Saya mencongak. Kalau pun saya sempat menaiki pesawat jam 2.00 pagi, saya akan menyusahkan orang yang menjemput saya di LCCT.
  • Saya pilih untuk bermalam di Pulau Pinang. Lagipun, kos hotel dan pengangkutan akan ditanggung oleh syarikat penerbangan ini.
  • Apabila menunggu teksi untuk dibawa ke hotel, kami dimaklumkan pula bahawa penerbangan berikutnya ialah pada pukul 9.00 pagi. Aik, tadi kata 7.15 pagi!
  • Sampai di hotel lebih kurang 20 minit kemudian, petugas yang menyambut di lobi hotel pula memberitahu supaya kami berehat dan berkumpul semula untuk bertolak ke lapangan terbang pada pukul 11.30 pagi. Hah, apa cerita? Rupa-rupanya penerbangan pulang hanya ada pada pukul 3.00 petang. Pulak dah!
  • Mereka mencadangkan 4 penumpang tinggal di dalam satu bilik! Hello? Ini hotel kan, bukan tin sardin. Saya berkeras. Mahu berdua sahaja dalam satu bilik. Mereka tidak melawan.
  • Dengan waktu tidur yang sudah bercelaru, kami terus rehat tanpa memikirkan dengan lebih lanjut. Esok adalah esok.
  • Usai sarapan, saya sempat ke Chowrasta membeli buku-buku terpakai sementara menunggu bas untuk ke lapangan terbang. Barangkali, inilah hikmahnya. :-) Membeli buku-buku buat pengubat hati yang masih berasap-asap.
  • Pukul 11.40 pagi bertolak ke lapangan terbang. Sampai di sana, 'digula-gulakan' lagi. Diberi voucher makanan McDonald. Tak boleh daftar masuk bagasi sehingga pukul 2.00 petang.
  • Sementara itu, jumlah penumpang yang masih bersabar seperti saya sudah semakin berkurangan. Ramai yang membatalkan tiket, dapatkan full refund dan beli tiket syarikat penerbangan lain.
  • Saya masih bertahan kerana saya tak rugi apa-apa pun dengan menunggu. Bahan bacaan dan komputer riba semua ada dengan saya. Saya boleh mengarang, membaca dan kalau bosan-bosan, boleh shopping di kawasan kedai lapangan terbang.
  • 2.30 petang, barulah kami boleh mendaftar masuk bagasi. Jadual penerbangan 4.40 petang. Saya ambil pas masuk dengan penuh skeptis. Belum tentu saya akan terbang pada waktu ini.
  • Dugaan saya tepat. Pukul 4.00 petang, mereka mengumumkan bahawa penerbangan 4.40 petang dijangka lewat. Pukul 5.30 petang baru terbang.
  • Sementara itu, dengar khabar bahawa penerbangan jam 2.00 pagi yang tidak sempat saya naiki itu, rupa-rupanya terbang pada pukul 3.30 pagi! Wah, pilihan yang tepat untuk tidak menunggu penerbangan itu. Sempat berehat-rehat di bilik hotel dan shopping di Chowrasta. Hadiah untuk orang yang sabar, barangkali :-)
  • Akhirnya, pukul 5.30 petang kami semua naik ke pesawat. Sampat di LCCT pada pukul 6.30 petang.


Tidak seperti tagline syarikat ini yang menyatakan "Kini Semua Orang Boleh Terbang", saya fikir "Bukan Semua Orang Boleh Terbang" mengikut masa yang kita mahu. Saya tak marah kerana masalah teknikal mereka. Hampir semua penerbangan ada yang lewat. Tetapi, ramai yang tidak berpuas hati dengan cara mereka menguruskan kelewatan ini.

Syarikat ini sudah kehilangan ramai penumpang yang akan memilihnya lagi. Saya juga selepas ini akan sanggup berbelanja lebih untuk keselesaan dan kepuasan hati.
Tagline syarikat tambang murah itu kini sudah berubah. Daripada "Now everyone can fly", kini "Not Everyone Can Fly"!

p/s : Respons yang saya terima di Facebook - alah biasalah AirAsia, memang gitu. Apakah kita mahu terus membenarkan kenyataan ini dan redha bahawa kalau pilih AirAsia bersedialah untuk dilewatkan; atau sebagai pengguna, kita tetap ada kuasa untuk merobah keadaan ini. Keselamatan, keselesaan dan sikap menghormati penumpang adalah perkara yang tidak boleh diabaikan oleh mana-mana syarikat pengangkutan.

Isnin, Julai 20, 2009

Hadiah untuk Diri


Suatu kebetulan yang manis!

Minggu lepas merayau-rayau di kedai buku Amazon. Sudah ada beberapa judul yang disimpan di dalam wishlist tetapi belum berhasrat untuk membeli. Minggu lepas, semak semula judul-judul berkenaan, memilih 4 buah buku, akhirnya.

Dengan satu butang, pembelian sempurna.

Sabtu. Sehari selepas majlis penyampaian Hadiah Sastera Islam ke-12. Hadiahnya ialah sekeping cek, sijil dan plak. Tiada hadiah iringan buku (itu yang lebih mengujakan, sebenarnya. Tapi, orang tak nak beri, nak buat macam mana?)

Sabtu. Pesanan dari Amazon sampai. Tiga buah buku sampai dahulu. Buku yang keempat dikirimkan secara berasingan. Lalu, ketiga-tiga buku itu dijadikan hadiah untuk diri - kerana pengarang perlu memberi reward kepada diri setelah berpenat lelah, bersengkang mata, (bergaduh dengan anak), memerah minda.

Lalu, buku-buku yang sampai jadi perangsang baharu.

1. Chicken Soup for the Writer's Soul (Jack Canfield, et al)
2. Writing the Natural Way (Gabriele Rico)
3. Self-Editing for Fiction Writers (Renni Browne & Dave King)
4. Becoming a Writer (Dorothea Brande) - belum sampai ketika entri ini ditulis.

Ahad, Julai 19, 2009

HSBI - Hadiah yang tertangguh

Kredit foto : Zalila Isa

Setelah hampir-hampir terlupa, pihak penganjur tiba-tiba membuat kejutan apabila mengumumkan Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 baru-baru ini. Sungguh, saya sudah hampir terlupa bahawa saya pernah menyertai sayembara ini pada tahun 2005. Saya juga tidak pasti apakah punca penangguhan pengumumannya. Walau bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DBP dan Yayasan Pendidikan Islam (selaku penaja hadiah).

Saya fikir, tentu ada yang telah membaca laporannya di dalam akhbar-akhbar utama, jadi saya rangkumkan di sini beberapa foto yang sempat diambil sewaktu majlis berlangsung.


Gambar : Dari kiri - Jamaluddin Darus, Dato' Termuzi (KP DBP), Aminuddin Mansor (Ami Masra), Fahd Razy, YB Mejar jeneral Dato' Jamil Khir, Serunai Faqir, Aminhad, Faisal Tehrani, Dato' Hj Mohd Iqbal (Pengerusi Yayasan Pendidikan Islam), Amiza Khusyri, xxx (timbalan pengerusi Yayasan Pendidikan Islam), Nisah Haron, Hafizah Iszahanid & Syarifah Salha.


Gambar : Membaca petikan naskhah "Aset Istiqamah" kepada khalayak


Petikan Aset Istiqamah :


V


Makan sirih berpinang tidak,
    Pinang datang dari Melaka;
Makan sirih mengenyang tidak,
    Tegal dek budi dengan bahasa.



“Kepentingan ummah itu lebih penting daripada kepentingan individu.”

Kata-kata Pak Lang Khamis meresap perlahan ke dalam ingatan.

“Itulah falsafah dalam prinsip ‘biar mati anak, jangan mati adat’. Sudah terlalu kerap disalahertikan. Padahal, nawaitunya bukanlah untuk mengenepikan sesiapa. Malah sangat selaras dengan ajaran Islam,” sambungnya.

Ahmad Zuhairi masih mencerna kata-kata itu walaupun belum sempurna.

“Tapi Pak Lang, ini bukan kali pertama saya melihat adat ini tidak selari dengan hukum. Selain tentang perwarisan, adat kita melarang perkahwinan sepupu sebelah ibu. Padahal perkahwinan sesuku ini tidak pun menyalahi syarak.”

Lelaki separuh umur itu merenung anak saudaranya dengan pandangan yang redup. Terbayang wajah arwah abang ipar dan kakaknya sekilas.

“Memang terlalu banyak salah faham yang sudah Pak Lang telan. Tapi bila ada kesempatan, Pak Lang cuba terangkan. Dalam kaedah usul fekah ada satu cabang yang dipanggil ‘urf yang bermaksud adat. Orang-orang Arab sendiri kaya dengan adat. Oleh itu, Islam mengakui dan menerima pakai mana-mana adat setempat selagi ia tidak bertentangan dengan syarak. Tapi ingat, Islam bukan hanya untuk orang Arab. Jadi, adat kita juga diterima oleh Islam.”

Anak muda itu masih lagi menyimpan sebarang komen yang bersarang di dadanya. Sesekali wajah Nur Istiqamah terlihat semakin jauh meninggalkan benaknya.

“Orang perempuan dilebihkan dalam adat sebab mereka ini perlu dilindungi. Kelebihan itu hanya kepada tanah adat kerana tanah ini diwarisi daripada ibunya secara turun temurun. Kalau pun dia mewarisi daripada ibu saudaranya, ia tetap sah kerana dalam masyarakat adat, ibu dan ibu saudara itu hubungannya sangat rapat, macam ibu sendiri,” Pak Lang Khamis masih tidak putus asa meyakinkan.

“Hubungan kekerabatanlah yang menghalang perkahwinan sesuku, begitu Pak Lang?”

Celahan Ahmad Zuhairi itu memekarkan senyuman di hati Pak Lang Khamis. Ada sari kefahaman yang telah mula tersaring.

“Betul tu. Apabila kita ini sesuku, samalah ertinya kita ini adik beradik. Sesuku ertinya kita dari keturunan sebelah ibu yang sama. Mungkin kita berkongsi wan ataupun nenek moyang. Pak Lang pun ada mendengar kata doktor yang beri ceramah di televisyen. Katanya, kalau kahwin dengan orang yang jauh pertalian darah, insya-Allah akan dapat keturunan yang pintar. Sebab itu, Pak Lang fikir, ada alasan yang munasabah perkahwinan sesuku itu dihalang. Bukan setakat suka-suka.”

Terbayang sekilas senyuman Nur Istiqamah di mindanya. Ada getar yang bermain di hati. Terbit juga rasa terkilan apabila usaha dan jerih payah di dusun yang dikerjakan dengan arwah orang tuanya bakal menjadi milik orang lain. Namun dia cuba membuang kedua-dua perasaan itu jauh-jauh.

Kepentingan ummah itu lebih penting daripada kepentingan individu.

Gambar : Sesi santai sebelum majlis bermula. Sesi ceria bertemu sahabat-sahabat penulis. Dari kiri - Fahd Razy, Serunai Faqir, Amiza Khusyri, Khairunnisa' (steri Amiza), Ilham Alia (isteri Fahd Razy) Puan Mahaya, Nisah Haron, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi (memangku putera saya, Mustaqim)

Khamis, Julai 09, 2009

Ujana Ilmu menerima kehadiran Mustika

Tengah hari tadi belum pun sempat selesai mendengar Syarahan Negeri Sembilan - Adat Nan Diuca Pakai & Seri Yang Menanti, saya menerima SMS daripada Ujana Ilmu : "Buku Lentera Mustika dah terima."

Hati bergelora! Perasaan langsung jadi berbunga-bunga. Syarahan yang menarik itu terasa tambah menarik kerana saya mahu rakamkan ilmu-ilmu yang dikutip ini di dalam mana-mana karya saya yang berikutnya.

Saya berkejar pulang tanpa menunggu makan tengah hari, walaupun majlis itu disudahi dengan Santapan Diraja - Yam Tuan kami yang baharu - Tuanku Mukhriz turut sama mencemar duli menghadiri majlis yang diadakan secara tahunan. Saya tidak sabar untuk menatap sendiri wajah 'Mustika' yang selama ini hanya dilihat secara maya dan juga melalui imej yang dikirimkan oleh pihak editorial (terima kasih!)

[Semacam suatu kebetulan : di dalam "Lentera Mustika" ada babak Mustika ke Pesta Adat Perpatih di Seri Menanti. Kebetulan, Syarahan Negeri Sembilan yang saya hadiri pagi tadi bersempena dengan Pesta Adat Perpatih 2009 di tempat yang sama pada 11 & 12 Julai (hujung minggu ini)]

Kepulangan saya disambut dengan senaskhah "Lentera Mustika" di atas meja kopi di ruang tamu. Ah, Mustika tersenyum ke arah saya. Lihatlah senyumannya. Bukan sahaja mampu memikat Syed Amirul Hakim yang sanggup meninggalkan tanah Sriwijaya bahkan membangkitkan perjuangan seni Emir Johan, biarpun dia seorang peguam.

Namun, saya tahu Mustika bukan sekadar hebat dengan senyumannya. Dia ada lebih daripada itu. Dia ilmuwan yang gigih mempertahankan seni dan budaya Melayu dari dalam bilik kuliah hinggalah ke kawasan daerah pedalaman.

Mustika diuji dengan pelbagai cabaran. Cintanya pada seni tercabar. Cintanya kepada insan yang belajar memahami dirinya dan kecintaannya juga turut hebat diuji.

Sejujurnya, saya belum pernah berbahagia melihat desain kulit buku sendiri, melainkan "Lentera Mustika". Terima kasih kepada para designer di PTS.

Selebihnya, terpulanglah kepada pembaca menafsirkannya. Jika anda mencari cinta, ya saya ada menawarkan cinta di dalamnya. Jika anda mencari persoalan undang-undang, juga ada. Mencari pantun-pantun tradisional? Turut saya hadirkan pada setiap bab dan hujungnya saya himpunkan untuk kemudahan pembaca yang menggemari pantun.

Buku ini dijual dengan harga RM18.

Jika mahu naskhah yang bertandatangan pengarang, sila maklumkan melalui e-mel berasingan ke webmaster@ujanailmu.com.my.

Jika mahu dijadikan hadiah kepada orang lain, letak nama dan alamat penerima pada shipping address dan nama & alamat sendiri pada billing address. Mesej/pesanan/ungkapan/kata-kata untuk penerima boleh die-melkan berasingan ke webmaster@ujanailmu.com.my. Kami akan usahakan supaya hadiah tersebut dibalut dengan kertas hadiah yang sesuai (tanpa sebarang bayaran tambahan!)

Dapatkan dari http://www.ujanailmu.com.my/pd-lentera-mustika.cfm

Rabu, Julai 08, 2009

Hadiah Sastera Berunsur Islam (HSBI) ke-12

Hadiah Sastera Berunsur Islam (HSBI) mula diadakan pada tahun 1987. HSBI dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Islam (YPI). Tujuan utama HSBI diwujudkan ialah untuk memebrikan penghargaan kepada karya sastera yang berjaya menampilkan keperibadian realiti manusia yang menggalakkan kesedaran tentang fungsinya sebagai hamba dan khalifah Allah.

Senarai Pemenang

Kategori A : Cerpen

Tempat Pertama (RM5,000)
Nisah Haron - Aset Istiqamah

Tempat Kedua (RM4,000)
Hafizah Iszahanid - Lari dari Katrina

Tempat Ketiga (RM3,000)
Amiza Khusyri Yusof - Kasad

Saguhati (RM1,000)
Faisal Tehrani - Bulan Penuh di Saigon
Syarifah Salha Syed Ahmad - Tangisan Daerah Terpinggir
Serunai Faqir - Forum Rumah Tuhan


Kategori B : Puisi

Tempat Pertama (RM3,000)
Aminhad
  • Suara Dari Cembul Akal
  • Ikhtisar Pengembaraan Roh
  • Di Masjid Tua Beijing Aku Terkenang

Tempat Kedua (RM2,000)
Fahd Razy
  • Sebuah Pembunuhan di Kala Sunyi Malam
  • Madrasah Muhasabah
  • Taman Munajat

Tempat Ketiga (RM1,000)
Aminuddin Mansor
  • Sungai-sungai Syurga
  • Belati Iman
  • Kembara, Kembali ke Jalan Pulang

Saguhati (RM500)
Abdullah Ab. Manaf
  • Mencari Mutmainah
  • Mengertikan Kita, Sang Khalifah
  • Seulas Tazkirah Selunak Rasa

Jamaludin D
  • Pasrah Kalimat Penuh Tawaduk
  • mengeja Makna Kebesaran-Mu
  • Penuhi Lautan Sukma

Ahmad Sarju
  • Suara Murni
  • Berjiwa Besar
  • Pintu Kalbu
Related Posts with Thumbnails