Ahad, Februari 14, 2010

Saya Boleh Hidup Tanpa FACEBOOK. Anda bagaimana?


Saya melihat Facebook sebagai suatu alat. Jika kita menggunakannya dengan betul, Facebook boleh memberikan banyak faedah. Jika sebaliknya, ada banyak perkara buruk yang bakal dan boleh menimpa diri penggunanya. Di Indonesia, fatwa negara itu mengharamkan Facebook dengan alasan Facebook menjadi tempat menggalakkan 'pergaulan' tanpa batas. Ya, pasti ramai yang tidak setuju kerana segala yang berlaku di Facebook bukannya mengakibatkan kes bersentuhan. Mereka hanya berbual. Innocent sungguh bunyinya.

Namun, oleh sebab medium Facebook konsepnya ialah perkataan dan juga imej selain video dan perkakasan lain yang disediakan oleh laman sembang sosial (LSS) ini, pembaca atau pengguna akan membuat sebarang telahan dan tanggapan berdasarkan apa yang mereka lihat ataupun baca. Melalui status di Facebook, adakalanya kita lebih mengenali sikap dan peribadi 'kawan' kita itu. Sebagai penulis, saya percaya bahawa apa yang 'di jari' itu adakalanya lebih jujur daripada apa yang 'di mulut' - ertinya, apa yang kita tulis itu selalunya datang dari hati, apa yang diucapkan belum tentu datang dari hati. Apatah lagi jika kita mengucapkannya secara berdepan, secara bertentang mata. Banyak yang tidak terucap jika kita bertentang mata, bukan? (Saya dapati ramai sekali yang 'petah' di blog tetapi apabila bertemu - kelu lidah untuk berkata-kata.)

Berbeza di Facebook, banyak yang jadi tertulis dan terucap kerana kita langsung tidak bertentang wajah dan mata. Sekadar melihat gambar kawan kita di LSS ini tidak bermakna kita bertentang mata dalam erti kata yang sebenarnya. Oleh itu, kita pun jadi sangat 'berani' dalam berkata-kata. Kita berani menulis apa sahaja yang kita rasa di Facebook kerana mata kita langsung tidak bertentang dengan sesiapa - hanya bertentang dengan skrin kita sendiri. Begitu juga dalam memberi komen, kita pun sesuka hati dan sesedap rasa memberikan komen.

Tidak cukup dengan komputer, status dan komen di Facebook boleh sahaja selesai dengan telefon bimbit yang mempunyai peranti dan aplikasi FB. Kita pun semakin khayal melayan segala perkara yang macam penting, tetapi jika kita tak tahu pun, tak jadi hal langsung. Secara peribadi, saya dapati beberapa status dan komen yang ada Facebook (bukan semuanya) membodohkan diri sendiri, terlalu terbuka dan ada fakta yang tidak wajar pun dikongsi dengan pengguna Facebook yang lain.

Saya percaya kepada ungkapan - some things are better left unsaid. Sebab itu saya menguar-uarkan peringatan (lebih kepada diri sendiri) supaya berfikir sebelum menulis (status di FB) : Marilah kita berfikir sebelum menulis status di Facebook dan bukannya menulis setiap satu yang kita fikirkan

Saya juga menerima bermacam-macam 'ancaman' hasil daripada status yang saya tulis itu. Yang tidak bersetuju, menganggap FB sesuatu yang 'cool' sifatnya dan tidak boleh terlalu ilmiah atau pun mereka beranggapan tak perlu langsung hendak menulis dengan ejaan penuh. Guna ejaan SMS pun ok sahaja. Entahlah, barangkali ada yang menganggap FB sesuatu milik beliau yang tidak boleh dikritik oleh sesiapa pun. Saya malas hendak berbalah di dalam hal ini.

Ya, saya percaya kita harus ada kebebasan bersuara tetapi sebebas manakah kita harus utarakan pandangan kita. Wajarkah bersuara seperti 'si fulan' yang menghina institusi raja sehingga hilang adab dan tidak mampu menghormati orang yang sudah tiada - semata-mata atas tiket kebebasan bersuara? Penting sangatkah untuk saya tahu anda sarapan di mana, makan tengah hari di mana, makan malam di mana? Shopping di mana?

Lebih parah lagi, apabila ada pasangan yang memilih untuk bergaduh dan membuka pekung di laman FB (Oh, ini peribahasa baharu, bukan lagi buka pekung di dada - :-) ).

Saya melihat bahawa komen-komen dan juga status di FB sebagai satu cerminan diri, cerminan peribadi seseorang - walaupun orang itu boleh sahaja berkata, "saya yang sebenar, bukanlah begitu." Iya, tetapi manusia tetap menghukum kepada yang zahir, bukan kepada apa yang kita tidak nampak. Bagaimana pula dengan adab bersosial di FB? Bagaimana menegur dengan perempuan yang sudah bersuami? Bagaimana pula perempuan yang berstatus isteri ini melayan perbualan dengan lelaki lain dengan gaya bahasa yang tidak sesuai dengan statusnya sebagai isteri orang (dan dilihat oleh pengguna yang lain atau mungkin sahaja suaminya juga, atau orang yang mengenali suaminya).

Kelihatan remeh dan tetek-bengek sahaja bunyinya. Selepas ini juga, pasti ada komen di blog yang menyatakan saya ini membebel. Oh, itu terpulang kepada anda. Saya percaya di FB lebih ramai orang membebel sahaja sifatnya daripada meletakkan status yang bermakna kepada orang lain. Ocehan di FB itu kalau sehari tak dibaca pun tak jadi hal. Namun, kepada pengguna tegar FB ini suatu kerugian. Hampir setiap saat mahu sahaja tahu apakah status orang lain. Facebook juga menggalakkan penggunanya seolah-olah menjaga tepi kain orang lain. Sebab itulah surat khabar dan majalah yang ada ruangan gosip cukup laris, kerana inilah sifat manusia yang ada banyak masa untuk mengambil tahu hal orang lain. Yang peliknya, jika dia tahu status orang lain; hal orang lain pun, dia hanya boleh komen dan selalunya bukan boleh berbuat apa-apa.

Nah, itulah antara kepelikan manusia yang suka berbual (termasuk hal positif dan negatif) daripada melakukan kerja-kerja yang lebih produktif. FB juga dilihat tempat melepaskan tension bagi mereka yang seharian bekerja. Benarkah? Bukankah tidak kurang juga yang berFB pada waktu kerja. Adakah berFB pada waktu kerja sebahagian daripada bidang tugas anda? Jika tidak, gaji bulanan mesti ditolak ya! Anda telah mengambil wang gaji untuk masa anda tidak melakukan tugas juga. Bagaimana dengan keberkatan rezeki anda kelak? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.


Gambar : Statistik pengguna Facebook mengikut aktiviti kegemaran. Anda masuk di dalam kelompok yang paling besar atau paling kecil? Klik pada imej untuk paparan lebih jelas.

Blog dan LSS dilihat sebagai lambang kebebasan bersuara. Blog mungkin terhad kerana tidak semua orang boleh menulis dengan baik ataupun menulis sesuatu yang ada makna untuk orang lain. Di FB lain pula ceritanya. Orang yang tidak ada kemahiran menulis dan mengarang juga boleh menulis sebarang status ikut suka hati di FB. Oleh sebab sifatnya pendek, (tidak sependek Twitter yang terhad kepada 140 aksara), ramai yang boleh mengarang sependek itu. Hanya ungkapan tertentu, tanpa sebarang penanda wacana - sekadar keluhan dan luahan perasaan yang adakalnya tidak perlu disambut oleh sesiapa pun.

Cuba lihat statistik yang digambarkan di atas. Fikirkan sendiri, kita ini berada di dalam kelompok yang mana? Berapa minit sehari kita habiskan dengan merayau dan mengambil tahu apa yang berlaku dengan kawan-kawan kita? Kebanyakannya akan memberitahu di mana dia makan, dia baru bangun tidur, dia ke sini atau ke sana. Pendek kata, kawan kita itu masih hidup. Kepada yang sudah sekian lama tidak mengemaskini statusnya, adakah kita peduli? Kadang-kadang kita terlepas pandang kerana kita lebih kisah kawan-kawan yang kita nampak berbanding yang kita tidak nampak.

Apakah tiada kebaikan langsung kepada Facebook? Saya tidak berkata begitu. Seperti yang saya tulis pada awal entri ini, Facebook ialah suatu alat. Kesemuanya terpulang kepada kebijaksanaan penggunanya untuk mendapat manfaat sebenar dari aplikasi LSS ini. Kalau kita tahu pisau itu tajam, takkanlah kita biarkan bersepah-sepah di dalam rumah. Kalau kita tahu kata-kata itu lebih tajam daripada pisau, kita akan berfikir dahulu sebelum kita berkata-kata.

Marilah kita berfikir kerana simbol ketinggian tamadun manusia terletak kepada ketinggian daya fikirnya. Di dalam Al-Quran banyak sekali yang menyebut akan hal berfikir. Bukankah kita semua mahu masuk di dalam kelompok manusia yang berfikir dan menjalankan segala tugas dan amanah sebagai khalifah sebaik-baiknya.

.
.

5 ulasan:

AKMAL_ALIF berkata...

Setuju,puan. Facebook bagi saya boleh sahaja menjadi alat untuk menyampaikan kata-kata bijaksana alim ulama kita sebagai pedoman dan pegangan. Begitu juga kita boleh menyampaikan petikan hadis ataupun ayat Al-Quran sebagai peringatan kepada kita yang selalu leka dan alpa.

Kalau setakat menulis status, "Saya sudah 'break' dengan orang itu...", ataupun "Ah, hensem sungguh mamat yang aku jumpa di restoran siang tadi..." tiada maknanya, bahkan kita mendedahkan aib diri kita sendiri, seperti yang puan katakan 'membuka pekung di laman FB'. :-)

Rebecca Ilham berkata...

Salam Kak Nisah,

saya pernah 'puasa' Facebook selama seminggu. Dalam tempoh berpuasa itu, saya dapati kerja-kerja harian lebih lancar dan saya lebih banyak berinteraksi secara langsung (menelefon, menghantar pesanan teks, dan lain-lain) dengan rakan-rakan.

Seorang teman di universiti yang beragama Kristian pernah 'puasa' Facebook semasa tempoh lent. Saya kagum dengannya.

Juma Karamah berkata...

Saya boleh hidup tanpa FaceBook:) Kerana saya'sedar' akan diri yang pasti terlalai melayan satu persatu teman-teman yang hampir 80% ada FB. Maka saya memutuskan untuk mencegah sebelum merawat, walaupun diri berkobar-kobar untuk ber'FB' Pengalaman di Friendster adalah buktinya:P Dan walaupun dikatakan 'ketinggalan zaman', saya tetap boleh hidup dan bertahan lagi(^_^)

Ibnu Ahmad al-Kurauwi berkata...

Beringat sebelum kena.

Syarifah Salha Syed Ahmad berkata...

Alhamdulillah, saya boleh hidup tanpa Facebook. Bergantung kepada kebijaksanaan pengguna. Sama ada mahu menggunakan FB sebagai medium berdakwah, menyampaikan ilmu atau mahu menulis sesuatu yang remeh-temeh dan tidak penting.

Related Posts with Thumbnails