Setelah kering, kami pun buka buku Seni dan Kraf bersama Kak Emila. Anak-anak mahukan yang serupa seperti di dalam buku itu. Lalu, saya minta mereka pilih imej gambar yang mahu dilukis dan warna.
Batu pilihan Angah, saya dapati sesuai untuk bentuk kumbang dan Along pula mahukan gambar kucing tidur. Oleh sebab hanya ada dua contoh gambar batu yang sudah dilukis di dalam buku itu, Alang tidak terfikir mahu lukis apa, walaupun dia sudah ada batunya sendiri. Bentuk batu pilihannya ada rupa kerang, lalu saya cadangkan kepadanya. Dia bersetuju dan saya minta dia pilih warna. Lalu, aktiviti kami pun bermula...
Semalam, saya bermain warna sendirian. Melepaskan rasa tegang dan ketika ruang menulis saya terganggu. Hasilnya, memang seperti macam orang baru belajar melukis. Lihat sahaja botol kosong di sebelah. Namun, anak-anak saya suka. Ia semacam menyokong kerja-kerja melukis yang mereka suka lakukan.
Inspirasi corak batik 'kala jengking' ini tidak berapa simetri. Tidak mengapa, yang penting dalam membuat kerja-kerja seni sama ada melukis ataupun menulis, ialah keseronokan. Jika aktiviti ini tidak membuat hati rasa gembira, maka itu bukanlah aktiviti pilihan pada waktu santai.

5 reaksi:
Nis dan anak-anak,
TAHNIAH. cantik hasilnya.
botol dan bekas kaca saya masih banyak belum diwarnakan...nanti ya!
Kerja seni yang memerlukan tekun dan sabar sebagaimana menulis. Dan ia menjanjikan keseronokan dan keindahan. Saya juga mempunyai koleksi botol lukisan pemberian Dr.Mawar dan abang sulung, Samsul Kamal. Kelak, saya juga berhajat untuk melukis sendiri bersama anak-anak sebagaimana Nisah, insya allah. Syabas Nisah!
Mawar dan Kamariah,
Mulanya memang hendak kirim botol-botol terpakai kepada Mawar. Tapi, setelah beraktiviti dengan anak-anak rasa seronok dan lepas ni bolehlah kita buku kedai cenderamata bersama-sama.
Cantik dan comel sekali terutamanya lukisan batu kulit kerang! Anak-anak Nisah amat kreatif sekali!
Assalamualaikum Nisah sekeluarga,
Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Umbara Sastera berlangsung dengan cemerlang.
Nisah amat sibuk pada bulan meraikan ulang tahun kelahiran,(termasuk hari ini di Pedas). Ini petanda yang amat positif, semakin kita cergas dan aktif semakin kita dapat berkongsi manfaat dan nikmat milik Allah yang dikurniakan-Nya kepada kita, insya-Allah.
Di sini, sakura kian mengurai kelopak putihnya satu persatu. Semalam dan beberapa hari sebelum ini hujan gerimis berpanjangan. Aduhai, masih terasa sejuk ke tulang sumsum!
Selamat semuanya, salam rindu untuk sahabat-sahabat di Malaysia. Terima kasih.
Mahaya Mohd.Yassin
Catat Ulasan