Hari Buku & Hak Cipta Sedunia


Saya meraikan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2010 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Parit Raja, Batu Pahat. Ada undangan untuk memberikan ceramah Hak Cipta di sini kepada warga akademik di sini.

Isnin, 26 April 2010 ialah Hari Harta Intelek Negara anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) . Majlis berlangsung di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur. Saya akan memberikan ceramah yang berjudul : Is Copyright for Microsoft, Disney and Beatles Only?

Sesiapa yang berminat dan berhampiran dipersilakan hadir ke majlis tersebut. Maklumat seperti pada pautan.

Kepada yang tidak berkesempatan, maklumat dan pembacaan tentang asas-asas hak cipta yang perlu diketahui penulis, penerbit dan semua yang berkarya menggunakan harta intelek ini boleh membaca buku saya "Karya Kita Hak Kita".

Marilah tingkatkan kesedaran untuk menghormati karya orang lain. Kalau kita boleh menahan diri daripada masuk ke kedai 7-Eleven dan mencuri sebuku roti kerana kita tahu itu namanya mencuri; marilah kita sama-sama menyedari dan insaf bahawa mengambil ungkapan apatah lagi mencuplik dan memplagiat karya orang lain itu samalah tarafnya dengan mencuri juga. Hentikanlah alasan-alasan cliche seperti "saya tak tahu pun itu salah" atau "alah ambil sikit saja, bukan bukunya habis tak laku pun kalau saya ambil" atau apa-apa sahaja alasan untuk mencuri hasil titik peluh, jerih payah orang lain.

Kepada warga penulis, teruslah pertahankan hak kita sebagai pengarang. Apabila semua pihak tahu batas sempadan; penerbit juga menghormati penulis yang pandai mengambil manuskrip penulis dan pandai pula memasar, menjual dan membayar royalti yang sepatutnya kepada pengarang, barulah pengarang tidak perlu memikirkan hal-hal tetek bengek seperti penerbit sudah bayar ke belum; buku aku ni laku ke tidak; dan macam-macam hal yang boleh mengganggu proses kepengarangan itu sendiri.

Mencuri hak orang lain itu jenayah. Mengambil hasil kerja orang lain juga jenayah. Menerbitkan karya kemudian tidak dijual dan dipasarkan dengan penuh amanah, juga suatu jenayah.

Jenayah terbesar tentunya 'menghalang' pembaca daripada mendapatkan bahan bacaan yang baik dengan tidak memasarkan buku! Inilah jenayah bukan sahaja perbuatan aniaya kepada pengarang tetapi juga suatu jenayah dan penganiayaan terbesar kepada bangsa, agama dan negara!

Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia ini, marilah kita sama-sama menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam dunia penerbitan. Ayuh, masih belum terlewat untuk kita bermuhasabah dan membetulkan mana-mana jalan yang telah jauh tersasar!


Ulasan

Zaid Akhtar berkata…
Saya suka ayat ini:

Jenayah terbesar tentunya 'menghalang' pembaca daripada mendapatkan bahan bacaan yang baik dengan tidak memasarkan buku! Inilah jenayah bukan sahaja perbuatan aniaya kepada pengarang tetapi juga suatu jenayah dan penganiayaan terbesar kepada bangsa, agama dan negara!

:-)

Catatan Popular