Rabu, Mei 26, 2010

84, Charing Cross Road


Sebelum saya teruskan kisah perjalanan ke Ranah Minang Siri ke-3, izinkan saya mencelah seketika kerana berasa amat teruja dengan milikan terbaharu ini.

5 Mei yang lalu, ada memesan buku berjudul 84, Charing Cross Road. Maklumat tentang buku ini dan perbincangannya banyak saya peroleh dari Goodreads.com. Saya sertai komuniti buku di sana dan di sanalah saya sering mendapat judul-judul buku yang menarik, yang telah dibaca, diresensi dan dikongsi bersama-sama ahli.

Apabila membaca komen ahli Goodreads tentang buku ini, saya langsung mencarinya di tempat biasa - Amazon.com. Memandangkan buku ini unik dan kisah yang ditulis melalui siri surat-menyurat atau dipanggil karya epistolari, saya jadi tertarik dengan kisah persahabatan dua benua yang bertemu hanya di dalam surat dan berkisar tentang buku-buku klasik Inggeris.
Seperti biasa, apabila harga buku kulit tebal dan kulit nipis tidak berapa jauh selisihnya, saya pasti akan beli yang kulit tebal. Puas hati dan kebanyakan buku dari luar negara mempunyai edisi kulit tebal yang senang untuk mata saya membacanya. Cari punya cari, di www.bookdepository.com ada jual secara online untuk edisi kulit tebal.

Apa lagi, saya tidak bertangguh. Lalu, setelah membuat bayaran, saya pun meneruskan hidup saya kerana begitulah cara memesan secara online. Buku itu akan sampai pada masa yang tidak disangka-sangka. Saat yang paling manis buat pencinta buku.

Kali ini, buku 84, Charing Cross Road tulisan Helene Hanff ini sampai pada hari pertama saya menjejakkan kaki di Bukittinggi. SMS daripada suami memberikan saya kegembiraan berganda-ganda: gembira kerana mendapat mesej dari suami dan gembira juga dengan berita yang dikirimkannya itu!

Setelah pulang, buku inilah yang saya terkam di atas meja. Sempat pula merakam sampul suratnya yang dikirim menggunakan Pos Udara biasa. Dikirim dengan sampul surat biasa dengan bubble bag di dalamnya. Sampainya pada 18 Mei 2010 - 13 hari sahaja. Ini sesuatu yang menarik. Apatah lagi Book Depository mengamalkan prinsip kos penghantaran percuma untuk semua negara di dunia. Untuk buku yang tidak terdapat di kedai online yang lain, ini suatu maklumat yang amat mengujakan.

Tanpa berlengah lagi, saya terus membuka sampul surat itu dengan berhati-hati, lalu mengeluarkan buku yang dijanjikan dengan kulit keras itu! Wah, hati gembira bukan kepalang! Kepulangan ke tanah air bukan sahaja disambut ahli keluarga tetapi sebuah buku yang sememangnya dinantikan. Hati bertambah bahagia apabila naskhah kulit tebal ini dapat saya sentuh dan terus menikmatinya tanpa berlengah lagi.

Bonus kepada buku edisi ini pula ialah rupa-rupanya buku ini 2 dalam 1. Saya tidak sedar akan hal ini sehinggalah saya sampai ke bahagian pertengahan buku. Buku yang sebenarnya 84, Charing Cross Road tamat pada bahagian tengah. Kemudian diikuti dengan The Duchess of Bloomsbury Street - yang merupakan sekuel kepada buku 84, Charing Cross Road.

Berganda-ganda pula bonusnya!

Dengan kos GBP12.41 = RM40 saya sungguh-sungguh berpuas hati! Saya benar-benar tidak berkira dengan harga buku, apatah lagi jika buku itu tidak ada di Malaysia. Adakalanya buku itu mungkin ada di sini, tetapi alang-alang sudah memesan buku lain, saya masukkan juga. Seronok mendapat buku melalui pos. Berbeza pengalaman membeli buku di kedai.

Kini, saya sedang menikmati The Duchess of Bloomsbury Street setelah tamat membaca 84, Charing Cross Road dengan begitu pantas - maklumlah buku pertama itu merupakan koleksi surat-menyurat antara Helene Hanff dengan petugas kedai buku (purchasing officer) di Marks & Co, Booksellers; serta rakan-rakannya.

Semuanya bermula dengan sepucuk surat daripada Helene yang bertanya tentang buku-buku klasik Inggeris yang terpakai; sama ada pihak Mark & Co. boleh mengirimkannya secara pos kepadanya di New York. Ini kisah zaman selepas Perang Dunia Kedua. Sudah ada jual beli secara pos untuk buku-buku.

Buku 84, Charing Cross Road bukan sekadar kisah pembeli buku dan kedai buku. Lebih menarik lagi, bagaimana buku menemukan erti persahabatan antara benua. Bukan sahaja dengan kedai buku itu, tetapi setiap seorang yang ada kaitan dengan kedai buku Mark & Co termasuklah ahli keluarga pekerjanya juga.

8 ulasan:

NorziatiMR berkata...

Keterujaan Puan Nisah menceritakan buku ini, dengan gambar, dengan kata-kata cukup membakar keinginan saya mencari buku ini.

:-)

taufiq berkata...

Terkejut baca tajuk Charing Cross Rd!
Ingatkan kak Nisah sudah berpindah ke USA. Charing Cross Rd adalam alamat rumah saya setahun yang sudah

RahmatHarounHashim berkata...

Salam Puan Nisah,

Dalam kelimpahan waktu atas pemberian cuti sakit yang bakal berakhir pada 31 Julai, dengan tangan kanan masih tergantung di 'arm sling', saya dapat meninjau blog anda.
Di kesempatan ini, saya ingin maklumkan Pelangi Sastra di Indonesia sudah menerima kiriman tempoh hari.
Terima kasih. Wassalam.

Bunnybaby berkata...

Salam.

Dah lama saya tak membeli buku, kerana azam saya hendak menghabiskan pembacaan buku-buku yang sudah lama dimiliki, sekurang-kurangnya buku yang tersusun bertimpa-timpa di kepala katil :-p

Keseronokan menerima bungkusan buku yang dipesan, hanya Allah yang Maha Tahu. Perasaan ini juga amat difahami oleh kalangan pencinta buku. Rasa cemburu + teruja membaca entri ini.

maispes berkata...

adakah http://www.bookdepository.com/ memerlukan pembelian minimum untuk melayakkan saya mendapat penghantaran percuma? Atau adakah hidden cost yang terlibat? Jadi kenapa ramai yang memilih amazon walaupun penghantarannya sangat tinggi? Sangat teruja untuk mencuba tetapi masih rasa takut-takut.

Nisah Haji Haron berkata...

Maispes,

1. Tiada bayaran minimum untuk pembelian di Book Depository. Penghantaran percuma ke seluruh dunia.

2. Ada sesetengah buku yang harganya lebih sedikit dari Amazon (sebab harga shipping dah dimasukkan sekali). Jadi, pandai-pandailah pilih buku yang tiada di Amazon.com (US) ataupun Amazon.co.uk itu, di Book Depository.

3. Saya pernah buat perbandingan harga apabila dicampur tolak, lebih kurang sama sahaja antara Amazon & Book Depository.

4. Harga penghantaran Amazon bergantung kepada jenis shipping yang dipilih. Kalau nak yang mahal pun ada (delivery guna UPS) ataupun yang standard sekitar 2 minggu boleh sampai.

5. Kenapa mereka pilih kenalah tanya mereka sendiri. :-) Saya dah biasa dengan Amazon, jadi saya tak risau untuk shopping di situ.

6. Saya akan cuba dulu mana-mana online shopping. Jika rasa ragu-ragu tapi mahu mencuba, pesanlah buku yang tak berapa mahal dulu untuk 'testing'. Kalau duit hilang pun, itulah sekali.

7. Biasanya orang bisnes malas nak tipu customer sebab mereka hendak bisnes lama. Kita memang cepat terpengaruh bahawa online shopping banyak yang tipu orang, terutama sekali kalau pemiliknya melayu. Bagi saya itu mitos dan terpulang kepada pengguna untuk menjadi bijaksana atau 'bijaksini'.

8. Kalau ada kad kredit mudah untuk shopping di laman luar negara. Di www.ujanailmu.com.my boleh beli tanpa kad kredit, online banking pun ok!

maispes berkata...

Saya memang pembeli buku online bagi novel melayu (kerana susah / leceh nak cari di kedai yang terhad di terengganu) dan setakat ini, ujanailmu paling saya puji. Dalam beberapa kali membeli di ujanailmu, ada satu ketika mereka membayar balik baki 10sen (!) yang saya bayar. sungguh terharu (stem sahaja pun dah 30sen).
Dan pengalaman yang paling tidak selesa ialah di bookcafe. mereka memberi saya buku yang banyak mukasurat hilang dan email saya yang dihantar tidak dibalas. :(
Tetapi untuk novel inggeris, saya masih belum cuba baik di kinokuniya online ataupun mph online kerana banyak buku yang saya cari tiada.

Nampaknya saya kena memberanikan diri mencuba di amazon atau bookdepository.

Oh, juga terima atas jawapan puan yang sangat melegakan hati.

dan berkata...

Salam Kak Nisah,
Selepas baca entri akak saya terus beli satu naskhah dari bookdepository, sama rupanya dengan naskhah yang akak beli. Belumpun habis baca 84 Charing Cross Road, saya terus ke Charing Cross Road untuk cari tapak itu (kebetulan saya ada di London waktu itu, melawat rakan).

Hampir sejam mencari tak berjumpa nombor 84. 82, 85 ada, tapi 84 tak berjumpa. alhamdulillah akhirnya saya ternampak di dinding sebuah plat di sebuah tiang bangunan. nombor 84 sekarang sudah jadi sebuah restoran. dan plat memorial tersebut menyatakan tentang sejarah tapak itu dan bagaimana ia menjadi terkenal.

di sepanjang charing cross road itu ada banyak lagi kedai buku antik. kalau dalam novel helene hanff itu harganya kurang dari 2 dolar setiap satu, sekarang saya lihat satu buku kecil saja sudah mencecah beratus-ratus pound!

semua kedai buku di jalan itu saya geledah, mahu dapatkan 'feel' Helene ketika dia sampai ke England akhirnya!

Related Posts with Thumbnails