Catatan di Ranah Minang - 3

Gambar : Merpati Teluk Bayur

Usai acara di Universitas Andalas, saya terus dibawa ke Teluk Bayur. Selama ini saya hanya pernah dengar nama teluk ini dan keindahannya ada disebut di dalam lagu "Taluk Bayua" yang dipopularkan oleh Ernie Djohan (?). Tangan dan Si Lumix saya tidak mampu merakamkan keindahannya dengan adil. Ada beberapa gambar di kawasan rumah makan yang sempat saya rakamkan seperti di bawah.


Namun, untuk imej yang lebih cantik, silakan ke blog Elaira, rakan jurufoto yang turut sama menemani saya di sepanjang pengembaraan singkat ke Ranah Minang ini.


Dengan hati yang berat, kami meninggalkan Teluk Bayur setelah makan tengah hari bersama sekawan merpati di tepi pantai. Sengaja kami pilih rumah makan yang paling hampir dengan pantai. Teluk Bayur juga mengingatkan saya kepada serangkap pantun :

Cari-cari tempat mandi,
    Pertama teluk, kedua pantai;
Cari-cari tempat menjadi,
    Pertama elok, kedua pandai.

Pantun klasik ini juga sudah saya abadikan di dalam "Lentera Mustika" dengan sedikit pengubahsuaian.

Destinasi berikutnya ialah tempat yang memang dinanti-nantikan : kedai buku!

Saya difahamkan, Padang mungkin bukan syurga buku. Tidak seperti di Bandung, Jogja atau Jakarta. Namun, saya tidak peduli. Asalkan namanya buku, sukar pula terdapat di Malaysia, dan belum ada di dalam koleksi saya, pastilah akan saya miliki. Kalau boleh, satu gedung itu mahu saya beli. Pun, saya masih waras!

Kami dibawa ke Gramedia Padang. Koleksi buku-buku sasteranya tidak berapa banyak, tetapi yang penting bukannya kuantiti buku tetapi nilai buku itu.

Kami juga tidak boleh berlama-lama di Padang kerana perjalanan ke Bukittinggi memakan masa hampir 2 jam dan matahari sudah mula condong ke arah petang.

Namun, kalau sudah namanya 'ulat buku' paling sekejap pun, hampir satu jam juga berulit di dalamnya. Gambar koleksi buku yang dibeli dari Gramedia Padang seperti di bawah. Paling menyeronokkan ialah buku "Syair Lampung Karam: Dahsyatnya Letusan Krakatau 1883" - sebuah syair yang ditulis selepas letusan Gunung Berapi Krakatoa 1883. Naskhah ini telah ditemui di Leiden dan diterbitkan semula dalam buku ini.


Inilah syurga buat saya. Membeli buku di Indonesia, khususnya di sini, ibarat wanita-wanita lain yang tenggelam di dalam telekung, kain-kain sulam sebagai syurga mereka.

Saya harus berpuas hati dengan koleksi ini. Tidak banyak tetapi berkualiti.

Perjalanan masih jauh. Bukittinggi sedang menunggu.

Ulasan

Gambar yang terakhir itu yang paling menarik perhatian saya... Buku, buku dan buku..
Unknown berkata…
Assalamualaikum puan,

Saya juga peminat tegar buku jika ke Indonesia. Banyak koleksi sudah dihimpunkan !

Catatan Popular