Rangkuman Aktiviti Sesudah Syawal

1. Dialog Tun Fatimah
Lokasi : Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, K.L.
Tarikh : 22 September 2010

Saya menyedari majlis ini sehari sebelum acara. Tidak sempat mendengar pembentangan kertas kerja oleh Pak Tenas Effendi pada sebelah pagi. Cuma dapat mengutip ilmu daripada Encik Siri Neng Buah yang membuat pengkisahan tentang Tun Fatimah dan Sulalatus Salatin. Encik Siri yang kini Pengarang Jabatan Warisan (Warisan Tak Ketara) benar-benar menghayati Sulalatus Salatin dan cair di mulutnya sahaja. Aduhai, kalaulah orang Melayu sendiri tidak pernah sekali seumur hidup membaca teks ini dan hanya bergantung kepada filem dan drama Melayu yang mengangkat kisah-kisah ini, alangkah ruginya.

Pada sebelah petang, dapat pula mengutip ciri-ciri busana Melayu dari pembentangan Dr. Siti Zainon Ismail dan rasa bertuah pula apabila Mohd Ramli Raman, Pensyarah di Akademi Pengajian Melayu menguasai pengetahuan keris dengan "Kerisologi"nya.

Dialog anjuran bersama alumni Sekolah Tun Fatimah yang sedang memantapkan Teater Muzikal Tun Fatimah arahan Ladin Nuawi.


2. Asimilasi Dakwah Dalam Penulisan KreatifLokasi : SRI Al-Amin, Gombak
Tarikh : 25 September 2010


Undangan untuk memperkatakan tentang memasukkan unsur dakwah di dalam penulisan kreatif khususnya novel. Penganjur meminta saya memperkatakan tentang Lentera Mustika. Penegasan saya lebih kepada bagaimana mempermudahkan dakwah kepada orang awam. Dakwah bukan semestinya copy & paste daripada mana-mana ayat al-Quran atau Hadis kemudian dimasukkan ke dalam novel tanpa sebarang ulasan atau sekadar untuk menjadikan novel itu 'islami' sifatnya.

Pada saya, untuk menjadikan novel itu ada unsur dakwah tidak semestinya sekadar menggunakan ayat Al-Quran yang langsung sifatnya. Novel "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck" tidak ada yang saya ingat tentang sebarang ayat al-Quran yang dipetik. Jika ada pun, tidak ada yang saya ingat, kerana yang penting ialah bagaimana dakwah itu bersatu di dalam cerita - cerita itu menjadi kenderaan kepada apa sahaja yang mahu disampaikan.


3. Bengkel Asas Cerpen
Lokasi : Pusat Sumber KEMAS, Kg. Bukit Temiang
Tarikh : 25 September 2010


Usai di Gombak, bergegas untuk pulang ke Seremban kerana ada bengkel yang diminta oleh pihak KEMAS, Kg. Bukit Temiang. Permintaan untuk bengkel ini pasti sahaja tidak akan saya tolak. Apatah lagi, tempat ini bukan sahaja tempat bermain ketika kecil, ini juga tempat saya pernah dibesarkan.

Peserta yang terdiri daripada gabungan calon penulis dewasa, remaja dan cilik menjadikan penyampaian lebih mencabar. Namun, saya sendiri terkesan dengan semangat yang ditunjukkan oleh setiap seorang peserta, khususnya penulis-penulis cilik yang masih berada di dalam Tahun 4 dan Tahun 5. Semoga pendedahan ini menjadi pendorong untuk mereka terus mencuba dan menguasai bidang penulisan.


4. Wacana Buku
Lokasi : Perpustakaan USIM, Nilai
Tarikh : 30 September 2010


Gambar : Bersama-sama moderator, Tuan Mohd Hariri Daud, dari pejabat Komunikasi Korporat, USIM

Undangan daripada Puan Nor Azzah (Timbalan Ketua Pustakawan, USIM) ini amat mengujakan. Pertama, walaupun sudah beberapa kali ke USIM dan pernah mengajar separuh masa di sana beberapa tahun yang lalu, saya belum berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke perpustakaan baharunya.

Kedua, Puan Nor Azzah juga kenalan saya di Goodreads Malaysia dan bersembang dengan beliau tentang buku dan kegilaan membeli buku (dan berjimat cermat dalam hal-hal lain, kecuali buku) menjadikan kami berbicara di dalam bahasa yang sama.

Pasti seronok berbual seputar dunia buku yang sama sekali berbeza dengan kelompok yang lebih gemar berbicara tentang kain baju, pinggan mangkuk dan sebagainya. :-) Paling menarik, Puan Nor Azzah juga tidak berkira dalam hal-hal membeli buku, termasuk buku-buku untuk anak-anak dan kami sama-sama menghias rumah dengan rak buku dan buku. Sesungguhnya, ini hari yang indah untuk berbicara tentang buku sesama pencinta buku!

Gambar : Beberapa khalayak yang membeli buku-buku yang dibawa oleh Ujana Ilmu ke Perpustakaan USIM

Ulasan

شاح اندرني berkata…
Assalamualaikum.. Wah, Alhamdulillah.. Penuh aktiviti kak Nisah.. Tapi kesihatan kene jaga tau.. Ana menantikan novel kak Nisah terbaru.. Lentera mustika = Mant0p...

Catatan Popular