Khamis, November 04, 2010

Apabila seorang guru itu percaya...


Hari ini mengemas rak buku. Suatu aktiviti yang tidak kurang seronoknya untuk penggemar buku. Boleh juga ambil tahu berapa banyak buku yang sudah dibeli tetapi masih lagi berada di rak "Akan Dibaca". Oleh sebab rak buku saya agak lebar, ia memungkinkan saya menyusun buku secara berlapis. Untuk novel, ada yang boleh disusun sebanyak tiga lapis. Lantas, buku yang berada di lapis belakang, terlindung dan adakalanya terus 'terlupa' begitu sahaja.

Saya temui buku di atas (Dreams and Inward Journeys oleh Majorie dan Jon Ford) pada rak buku yang berlabel "Penulisan / On Writing". Apabila saya semak di Amazon.com, buku itu berharga hampir USD73++ (itu belum dicampur kos penghantarannya). Walaupun saya memiliki edisi tahun 1990, dan kini sudah ada edisi ke-7, namun, ia masih berbaloi pada saya.

Sudah lama saya tidak menatap buku ini. Ia hadiah daripada seorang guru yang istimewa - Prof. R.H. Hickling. Dia pernah mengajar saya subjek undang-undang perlembagaan dan juga Malaysian Legal System sewaktu di tahun pertama Fakulti Undang-undang UKM.

Anehnya, selepas mengajar saya pada tahun 1993, dia meninggalkan Malaysia kerana selalu diperlukan di merata-rata universiti di dunia. Itu yang dikhabarkan apabila kami berutus surat (ya, surat betul, bukannya e-mel). Sekejap-sekejap dia di Darwin, London atau mungkin di Singapura. Apabila berada di Kuala Lumpur, dia biasanya akan singgah ke UKM. Pada masa itu, bukannya ada telefon bimbit, jadi sukar untuk buat janji temu. Biasanya, dia akan tinggalkan sebuah buku untuk saya di pejabat fakulti jika dia ke UKM.

Dia adalah guru yang sungguh-sungguh percaya bahawa saya boleh menulis, walaupun dia tidak pernah membaca tulisan-tulisan saya. Rasa percaya itu telah mencambahkan rasa yakin. Saya paling bahagia apabila dapat berbual-bual dengannya tentang sastera. Selalunya itulah isi perbualan kami, hanya sedikit tentang subjek yang diajar. Dia juga antara yang percaya bahawa peperiksaan itu bukanlah penentu sama ada seseorang itu hebat atau tidak apabila bergelar graduan.

Dia juga pernah menghadiahkan saya buku-buku klasik Inggeris seperti The Pickwick Papers (Charles Dickens) dan Tess D'Ubervilles (Thomas Hardy); A Dream of Red Mansion (versi terjemahan Inggeris).

Kini dia sudah tiada. Namun, hadiah-hadiahnya yang berbentuk buku itu masih lagi menghiasi rak buku. Saya juga suka menghadiahkan buku kepada orang lain kerana selepas saya tiada nanti, insya-Allah, buku itu hendaknya dapatlah dimanfaatkan oleh si penerima. Seperti juga saya, yang kini melihat buku pemberian mendiang Prof. Hickling dari sisi yang berbeza. Kalau dulu saya membacanya sebagai seorang yang tidak menyangka saya akan menjadi penulis sepenuh masa, kini saya membacanya semula sebagai penulis menghayati setiap aksara di dalamnya!

Thank you, Prof. May you rest in peace.


3 ulasan:

Mohd Hafizi Bin Tajuddin berkata...

Tidak hairan apabila nama Nisah Haron gah di mata Malaysia. Ternyata berkat guru mampu menyerap rahmat Allah masuk ke dalam hidup hingga tulisan pun mampu membuka hati-hati yang dahagakan ilmu. Mabruk 'alaik (Tahniah/Syabas!)

srirahayumohdyusop berkata...

Salam Kak Nisah,

Saya pun ahli Kelab Susun Buku Berlapis!

faridah berkata...

Saya sentiasa percaya bahawa pelajar saya boleh melakukan sesuatu. Walaupun adakalanya tiada sumbangan kewangan yang boleh diberi kepada pelajar, keyakinan yang ditujukkan membantu. Apabila pensyarah berkeyakinan, semangat ini akan diserap oleh pelajar.

Related Posts with Thumbnails