Jumaat, November 12, 2010

Plagiat di Internet - Bahagian Kedua

Monica yang kesnya disentuh di dalam entri yang lalu, tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas editor dan majalah Cook Source. Ramai yang enggan mengambil tindakan menyaman kerana faktor masa dan kos. Oleh sebab Monica ada ramai kenalan, biasanya blogger memang dikenali oleh kumpulannya atau mereka yang mempunyai cita rasa yang sama, hal ini dihebahkan di blog.

Kesannya, pihak Cook Source sudah meminta maaf, menutup laman FB (kerana didakwa telah diserang penggodam), penutup laman webnya (yang tinggal hanya pengumuman) dan telah membayar kepada Monica jumlah yang dituntut (USD130) kepada pihak yang diarahkan oleh Monica :

Last month an article, “American as Apple Pie -- Isn’t,” was placed in error in Cooks Source, without the approval of the writer, Monica Gaudio. We sincerely wish to apologize to her for this error, it was an oversight of a small, overworked staff. We have made a donation at her request, to her chosen institution, the Columbia School of Journalism. In addition, a donation to the Western New England Food Bank, is being made in her name. It should be noted that Monica was given a clear credit for using her article within the publication, and has been paid in the way that she has requested to be paid.
sumber : Cook Source

Di Malaysia juga, ada beberapa kes yang hampir serupa - kes ambil dan tangkap muat kerana zaman internet ini memudahkan apabila anda tahu menggunakan tetikus.
Berikut beberapa hal tentang hak cipta dan hak penerbitan di blog, FB, Twitter dan sebagainya yang tidak boleh diambil mudah :
  • Sebaik-baik sahaja tulisan anda wujud dalam bentuk bahan (tangible form) sama ada dalam bentuk bercetak atau terbit di internet, andalah pemegang hak ciptanya. Hak cipta wujud secara automatik.

  • Tulisan, gambar, lukisan (artwork) dan bentuk ekspresi lain yang asli di laman web, blog, FB dan sebagainya adalah dilindungi. Tidak boleh mengambil dengan begitu sahaja tanpa izin pemilik asal; kecuali ada pengumuman oleh pemilik bahawa sesiapa sahaja boleh mengambil tulisan/bahan tersebut.

  • Karya yang belum terbit, iaitu manuskrip, catatan, draf yang masih dalam komputer juga dilindungi. (Manalah tahu ada orang akses komputer kita, pen drive kita, lalu ambil tanpa izin. Kes 'sedut' bahan dari pen drive seringkali saya lihat apabila ada penceramah yang menggunakan Microsoft Powerpoint.

  • Simbol © boleh diletakkan pada tulisan tetapi tanpa logo © tidak bermakna karya anda tidak dilindungi. Jadi, nak letak pun boleh, tak letak pun tak jadi hal. Jika ternampak logo © dalam buku kemudian diikuti oleh nama penerbit dan bukan nama penulis, itu tidak bermakna hak cipta sudah berpindah kepada penerbit, seperti contoh di bawah :
© Nisah Haron 2010 (ini yang betul)

© Penerbit Air Batu Campur 2010 (tidak sepatutnya begini)

  • Laman web bukanlah tempat awam (public domain). Istilah Public Domain hanyalah untuk karya-karya yang sudah luput tempoh hak cipta. Dalam kes di Malaysia, selepas 50 tahun kematian pengarang/penciptanya. Misalnya, karya Shakespeare, boleh diterbitkan oleh sesiapa dan boleh mengambil keuntungan daripadanya kerana Shakespeare sudah meninggal beratus-ratus tahun jadi karyanya sudah termasuk di dalam public domain.

  • Antara perkara-perkara yang tidak dilindungi oleh hak cipta ialah fakta, idea dan formula - rujukan lengkap di dalam Akta Hak Cipta 1987 atau buku saya Karya Kita Hak Kita.

  • Jika memetik sebarang tulisan dari blog orang lain, itu dibenarkan tetapi sekadar memetik bukan mengambil semuanya dan terbit di blog kita. Ambil petikan dan minta pembaca ke laman sumber asal. Buatkan pautan (link) ke blog atau laman web berkenaan.

4 ulasan:

Bunnybaby berkata...

Salam.

Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa hanya kerana petikan kita itu tidak bermaksud untuk tujuan komersil, tidak bermakna kita boleh memetik bahan berkenaan sewenang-wenang. Kerapkali istilah "fair use" itu digunakan sehingga saya pun kurang pasti di mana sempadannya. Mohon pencerahan dari puan.

thanaif berkata...

Assalamualaikum Puan.

Bagaimanakah tindakan yang sewajarnya dilakukan apabila wujud catatan-catatan di fail peribadi yang disimpan di dalam Microsoft Words juga di dalam data storage seperti usb di dapati hilang yang bukan disebabkan oleh sebaran virus, apabila hanya catatan tertentu sahaja yang hilang atau ditukar jenis tulisannya.

Bagaimanakah catatan di Twitter boleh didapati semula apabila dari sejumlah catatan yang dikirimkan hanya boleh disemak catatan-catatan terbaharu sahaja?

Terima kasih.

Nisah Haji Haron berkata...

Bunnybaby,
Mencari kes atau undang-undang yang menyatakan secara jelas di Malaysia, barangkali tidak ada. Puncanya, tiada sesiapa yang menuntut hak sempadan yang dimaksudkan.

Namun, ada banyak artikel dari luar negara yang menyatakan hal ini. Walaupun terdapat perbezaan undang-undang di US dan Malaysia, namun prinsip tentang fair use itu boleh digunakan.

Untuk bacaan lanjut, sila layari laman-laman berikut :

Credit Where Credit is Due

dan

Knowing Your Copyrights

Baca bahagian yang khusus menyatakan tentang fair use di dalam kedua-dua artikel.

Terima kasih.

Nisah Haji Haron berkata...

Thanaif,
Catatan yang hilang itu apakah puncanya? Jika bukan virus, pasti ada tangan lain yang telah menghapuskan fail-fail tersebut. Jika dapat dicari orang yang berkenaan, di Malaysia, hal ini termasuk di bawah Computer Crimes Act iaitu mengakses komputer orang lain tanpa izin.

Catatan di Twitter sifatnya memang sementara, baca terms and condition Twitter sebelum membuka akaun. Jika mahu juga, cubalah tulis e-mel kepada pihak Twitter. Tetapi, jika mahu guna Twitter, harus bersetuju dahulu dengan terms and condition yang dimaksudkan. Dengan itu, tidak boleh mahu salahkan sesiapa jika catatan tersebut tidak dapat diperoleh semula.

Related Posts with Thumbnails