Selasa, Jun 29, 2010

Annyss Sophilea, SPM 2010?



Tahun 2010 ialah tahun terakhir teks "Annyss Sophilea" digunakan untuk peperiksaan SPM untuk subjek Bahasa Melayu di bawah subtopik KOMSAS - Komponen Sastera. Saya terjumpa saya bentuk persembahan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar yang masih lagi tidak membaca teks sepenuhnya dan bergantung seratus peratus kepada buku rujukan untuk menghadapi SPM.

Saya juga bukanlah tukang ramal bahawa cerpen "Annyss Sophilea" bakal menjengah SPM 2010, tetapi setahu saya cerpen ini masih lagi belum dimasukkan ke dalam peperiksaan itu. Namun, saya lebih percaya bahawa membaca apa-apa teks itu mestilah kerana kita mahu menghayati teksnya dan bukanlah semata-mata untuk lulus periksa. Mungkin juga, "Annyss Sophilea" langsung tidak disoal sepanjang peperiksaan SPM sejak tahun 2000 - 2010.

Lantas, mungkin ada yang akan bertanya, mengapa perlu baca teks yang tidak akan diuji dalam peperiksaan? Jawapan saya : kerana membaca karya sastera itu haruslah sesuatu yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi menghantar mesej yang lebih besar daripada SPM kepada pembacanya.

N.B. : Cerpen pertama saya tersiar beberapa 2 bulan sebelum SPM. Siapa kata menulis cerpen itu mengganggu P & P?





Jumaat, Jun 11, 2010

Catatan di Ranah Minang - 5

Gambar : Danau Maninjau ketika menuruni Kelok Ampek Puluh Ampek (44)

Awal pagi itu, kami bangkit dengan rasa yang amat teruja. Jadual pagi itu, selepas sarapan di Hotel Graha Muslim, Silfia membawa kami menaiki koster. Destinasi pagi ini memang sudah dirancang sejak dari Malaysia lagi : Danau Maninjau!

Sebelum ini, saya hanya membaca tentang desa kelahiran Buya Hamka ini. Saya pernah baca juga tenang desa ini di dalam novel Negeri 5 Menara karya Ahmad Fuadi, novelis muda Indonesia (yang novelnya bakal diterjemah dan diterbitkan oleh PTS Syawal ini). Saya pernah lihat di dalam beberapa gambar di internet tentang singgahan mereka yang telah sampai terlebih dahulu daripada saya ke tasik yang sungguh luas ini.

Sepanjang jalan melewati Kabupaten Agam, menuruni Kelok 44 (yang setiap keloknya ditandakan dengan nombor - Kelok #44 di puncak, Kelok #1 di kaki bukit; kiri kanan kami ialah sawah padi berselang-seli dengan bukit-bukau). Sebaik-baik sahaja kelok yang ke-44 bermula, Danau Maninjau sudah kelihatan. Keindahannya tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Harus pergi lihat sendiri. Saya juga tidak dapat membandingkannya dengan Danau Toba ataupun danau-danau dan tasik-tasik lain kerana saya belum pernah melihat tasik yang sungguh luas - cuma tidak berombak seperti laut.

Semakin menghampirinya, saya seakan-akan mahu menangis kerana ciptaan Allah ini terlalu luar biasa!

Saya dapat bayangkan betapa terinspirasinya Hamka, Ahmad Fuadi dan beberapa pengarang yang pernah berada di daerah ini untuk menulis. Kalau pun mereka tidak menulis sewaktu mereka berada di Maninjau, pastinya udara, nuansa, masyarakat dan ketenangan tempat ini menjadi antara faktor mereka menulis. Tempat ini sungguh mengilhamkan! Banyak plot cerita untuk cerpen dan novel bermain di dalam minda saya, itu belum dicampur dengan cetusan untuk berpuisi. Saya merasakan alam tiba-tiba memainkan lagu dan alam hanya menunggu senikata daripada saya dan bakal lahirkan sebuah simfoni.

Lokasi pertama singgahan kami ialah Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka. Perjalanan berkelok-kelok dengan setiap kelok semuanya lipat siku (hairpin curve/bend) tidak menjadikan saya pening lalat. Saya fokus dan mahu melihat sendiri lokasi yang banyak gambarnya di internet. Semua itu tidak sama dengan menjejakkan kaki sendiri di rumah kelahiran Buya Hamka ini.Sepanjang jalan dari pekan kecil Maninjau ke muzium itu, di kanan saya ialah danau. Sawah padi, tebat, dan hanya hijau-hijauan yang memisahkan saya dengan danau itu. Sampai di Sungai Batang, matahari sudah hampir tegak di langit. Tanpa berlengah-lengah lagi, kami terus mendaki anak-anak tangga untuk naik ke laman rumah yang terletak di atas bukit ini. Lamannya sederhana tetapi menghijau dengan rumput.

Pintu rumah ini terkatup rapat. Bimbang bersarang di hati. Bimbang jika tiada orang yang mahu membukanya. Kami datang dari jauh, semata-mata untuk melihat sendiri keadaan di dalamnya. Elaira memberi salam. Satu saat, dua saat... senyap. Dia mengulang salamnya lagi, kali ini lebih kuat.

"Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Silakan, silakan naik," terdengar suara seorang lelaki yang wajahnya murah dengan senyuman, bersih lagi tenang. Langsung kami berbasa-basi, memperkenalkan diri dan dari mana kami datang. Lalu, kami dibawa ke ruang tamu dan tanpa dipinta, bapak yang memperkenalkan dirinya sebanyak Hanif Rashid yang merupakan ahli keluarga dan saudara rapat kepada Hamka.

Taklimatnya meliputi kehidupan seorang anak lelaki yang sangat manja dengan ibunya dan dikasihi ayahnya. Hidup yang penuh dengan kasih sayang itu tiba-tiba dirundung malang apabila ibu dan bapa Hamka bercerai dan masing-masing berkahwin lain. Daripada seorang anak manja, Hamka menjadi anak yang rebellious kerana reaksi kepada apa yang berlaku kepada kedua orang tuanya.

Namun, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Banyak yang diceritakan oleh Bapak Hanif itu membentuk sebuah plot yang tersendiri: sebab dan akibat semua yang berlaku. Jika Hamka masih lagi anak manja di Kampung Sungai Batang, Maninjau, barangkali dia tidak mungkin menjadi ulama' tersohor seluruh Nusantara sehingga menamakan Malaysia sebagai rumah keduanya. Barangkali, tidak akan lahir karya-karyanya seperti Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan yang lain-lainnya.

Setelah mendengar pengkisahan semula riwayat hidup Hamka oleh Bapak Hanif, saya nampak betapa setiap peristiwa malang dan derita pada Hamka menjadi inspirasi kemudiannya untuk dia menghasilkan karya-karyanya yang tidak ditelan zaman. Pada akhir kisahnya, paling menarik dikatakan bahawa Hamka dihormati bukan sahaja oleh orang Islam, malah tokoh-tokoh agama lain kerana Hamka kukuh mempertahankan "Lakum Diinukum Walia Diin" - Bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami. Tiada kompromi dalam hal-hal akidah tetapi kita semua bebas mengamal agama masing-masing.

Terlalu banyak input yang kami peroleh dan tidak semuanya dapat dicatat semula di dalam entri ini. Cuma saya dapat membayangkan bagaimana seorang anak berusia belasan tahun yang duduk mengadap danau ini memikirkan masa depannya yang kelihatan kelam; keluar dari desa itu mengikut kumpulan yang mahu ke Medan dengan mendaki Kelok 44 - pastinya ketika itu berjalan kaki; betapa sayunya hati meninggalkan desa dan halaman tempat bermain.

Gambar : belakang - Elaira (tudung merah jambu) dan saya; depan - Bapak Hanif Rashid (bersongkok) dan pembantu yang bertugas di Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka. Kredit foto ini dan foto saya dengan gambar Hamka di atas : Elaira

Saya dapat bayangkan ketika dia semakin tinggi pada pendakian Kelok 44, Hamka pasti melihat ke bawah melihat kampung yang semakin sayup ditinggalkan tetapi danau yang luas itu tetap menemani perjalanannya sehinggalah dia sampai ke puncak, melalui Agam dan terus ke Bukittinggi, langsung ke Medan. Betapa perjalanan itu sahaja mampu mematangkan dirinya. Sedangkan saya menuruni dan mendaki semula Kelok 44 dengan penuh keinsafan.

Sebelum meninggalkan Maninjau, saya buat sesuatu yang sudah lama tidak saya lakukan sejak sudah lama tidak ke luar negara. Kali terakhir saya melakukannya ketika di Sydney pada tahun 1995 dan juga Manila pada tahun yang sama.

Sewaktu menunggu Silfia yang ada sedikit urusan, saya dan Elaira terpandang Kantor Pos Maninjau. "Apa kata kita beli poskad dan hantar pada diri sendiri?" Cadangan saya itu disambut baik kerana Elaira juga biasa melakukan perkara yang sama ketika di luar negara. Ketika kami sampai, kantor pos itu baru sahaja dibuka selepas waktu rehat tengah hari. Dua keping poskad pilihan saya (Elaira pilih tiga), kami pilih dan membuat catatan di atasnya lalu kami poskan ke alamat sendiri.

Sebelum mendaki semula Kelok 44, Silfia mengajak kami makan tengah hari. Sempat merasa sebahagian daripada makanan yang dicadangkan oleh pengarang Negeri 5 Menara, Ahmad Fuadi yang meninggalkan komennya pada status Facebook saya.

Sempat juga membeli beberapa buah buku yang dijual di hadapan rumah Hamka. Walaupun buku Merantau Ke Deli itu sudah saya baca dan miliki sebelum ini, saya tetap mahu membeli sebagai kenang-kenangan saya membelinya dari tanah Maninjau sendiri.

Tiga buah buku menjadi cenderamata untuk diri sendiri kejap di dalam genggaman saya ketika mata saya tidak sekali pun meninggalkan pemandangan Danau Maninjau yang semakin jauh semakin indah dan terasa semakin sayu untuk ditinggalkan.

Rabu, Jun 09, 2010

Bengkel Penulisan Sci-Fi & Fantasi AVA

Sila baca peraturan membayar yuran bengkel - sila klik sini

Pembimbing : Fadli Al-Akiti (sci-fi) dan Ahmad Patria Abdullah (fantasi)
Tarikh : 13 Jun 2010 (Ahad)
Tempat : IYC, Cheras. Sila klik peta ke IYC di
sini.
Masa : 9pagi - 4 petang

Yuran : RM 150.00 -
klik sini

Ahli berdaftar dan sudah membayar yuran - diskaun 20% (kaedah pembayaran adalah melalui internet banking - dan no akaun Maybank hanya diberikan kepada mendaftar untuk tujuan privasi)

Early Bird Fees (3 hari dari tarikh iklan - sila baca peraturan membayar yuran bengkel di atas)


Perserta : 15 - 20 Orang Sahaja

  • Minum Pagi & Makan Tengahari disediakan
  • Sijil disediakan
  • Ada kemudahan surau
Kepada yang berminat, soalan lanjut: sila emel nama penuh, nombor telefon bimbit untuk dihubungi (apabila perlu) ke ejenmanuskrip@yahoo.com

sumber : Astaka Villa Aksara

Ahad, Jun 06, 2010

Catatan di Ranah Minang - 4

Gambar : Gunung Merapi yang sentiasa 'mengiringi' perjalanan kami mendaki Bukittinggi. Majestic! Masya-Allah!

Azan subuh bersahut-sahutan di Kota Bukittingi. Terasa seperti ada 5 - 6 buah masjid, surau dan musolla yang bertingkah-tingkah azannya. Syahdu dan menenangkan. Belum dicampur dengan talunnya yang melantun-lantun. Saya tiba-tiba mengibaratkan kota Paris apabila Notre Dame dan loeng-loceng gereja lain bersahut-sahutan dalam filem The Hunchback of Notre Dame. Cuma di sini azannya lebih menusuk jiwa.

Masya-Allah! Segala-galanya teasa indah di sini. Sepanjang jalan mendaki Bukittinggi pada petang sebelum ini, di kiri-kanan ada sebatang sungai yang penuh batu dan airnya keputihan akibat dihalang batu-batu itu. saya ibaratkan aliran sungai itu seperti hidup manusia. Sungai itu tidak akan jadi secantik ini jika taida batu-batan yang menghalang lingkaran perjalanannya. Demikian terduga sekali perjalanan sebatang sungai seperti mana manusia yang tidak terduga hidupnya, pasti dirinya tidak akan warna-warni dan cantik. Pengalaman dan dugaan itulah yang membentuk peribadi kita sama ada bertambah kuat seperti sungai itu atau terus lemah dan tertahan oleh batu-batu yang sekian banyak.

Perjalanan mendaki juga suatu cabaran yang mengasyikkan. Semakin menghampiri puncak gerimis menjadi lebat dan menghalang saya daripada merakamkan gambar-gambar pemandangan. Segalanya terakam dengan baik di dalam minda. Setiap kali melontar pandangan ke luar jendela Tranex Mandiri, koster yang memuatkan sekitar 12 orang penumpang, Merapi dan Singgalang kerap kali juga meninjau kedatangan kami.

Sekitar 2 jam perjalanan, kami sampai di Kota Bukittinggi. Alhamdulillah, hujan yang lebat ketika mendaki semakin berhenti ketika kami melewati Padang Panjang. Walaupun hari sudah petang, sisa-sisa cahaya yang berbaki itu masih membenarkan kami melihat dan menjelajah dengan mata apa-apa sahaja yang ditawarkan oleh kota itu, sementara sahabat kami Silfia, mengambil keretanya yang diparkir di perkarangan bangunan Radio Republik Indonesia (RRI).

Usai solat di Hotel Graha Muslim, kami keluar semula untuk melihat-lihat kota Bukittinggi pada waktu malam. Kami dibawa melihat Jam Gadang pada waktu malam. Indah sekali. Ada ramai orang di sekitar Jam Gadang itu. Ada yang menjual barang ada yang berantai-santai. Kami hanya berhenti untuk mengambil gambar dari jendela kereta. Kami tidak turun. Adakalanya, sesuatu yang indah itu terus indah jika dinikmati dari jauh.

Silfia membawa kami makan Sate Padang yang autentik. Rasanya berbeza sekali dengan Sate Padang yang pernah saya rasa di Jakarta, Palembang, Medan dan Pekanbaru. Maklumlah di sinilah tempat asalnya.

Hari pertama kembara di Padang - Bukittinggi ini harus ditamatkan untuk berehat. Jika diikutkan hati, seperti mahu menjelajah lagi. Namun, tidak banyak yang dapat dilihat pada waktu malam, lalu kami pun mengumpul tenaga untuk esok.

Esok, hari yang dinanti-nantikan. Mahu ke Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka melalui Kelok Ampek Puluh Ampek (44) dan melihat keajaiban Danau Maninjau.



Rabu, Jun 02, 2010

Catatan di Ranah Minang - 3

Gambar : Merpati Teluk Bayur

Usai acara di Universitas Andalas, saya terus dibawa ke Teluk Bayur. Selama ini saya hanya pernah dengar nama teluk ini dan keindahannya ada disebut di dalam lagu "Taluk Bayua" yang dipopularkan oleh Ernie Djohan (?). Tangan dan Si Lumix saya tidak mampu merakamkan keindahannya dengan adil. Ada beberapa gambar di kawasan rumah makan yang sempat saya rakamkan seperti di bawah.


Namun, untuk imej yang lebih cantik, silakan ke blog Elaira, rakan jurufoto yang turut sama menemani saya di sepanjang pengembaraan singkat ke Ranah Minang ini.


Dengan hati yang berat, kami meninggalkan Teluk Bayur setelah makan tengah hari bersama sekawan merpati di tepi pantai. Sengaja kami pilih rumah makan yang paling hampir dengan pantai. Teluk Bayur juga mengingatkan saya kepada serangkap pantun :

Cari-cari tempat mandi,
    Pertama teluk, kedua pantai;
Cari-cari tempat menjadi,
    Pertama elok, kedua pandai.

Pantun klasik ini juga sudah saya abadikan di dalam "Lentera Mustika" dengan sedikit pengubahsuaian.

Destinasi berikutnya ialah tempat yang memang dinanti-nantikan : kedai buku!

Saya difahamkan, Padang mungkin bukan syurga buku. Tidak seperti di Bandung, Jogja atau Jakarta. Namun, saya tidak peduli. Asalkan namanya buku, sukar pula terdapat di Malaysia, dan belum ada di dalam koleksi saya, pastilah akan saya miliki. Kalau boleh, satu gedung itu mahu saya beli. Pun, saya masih waras!

Kami dibawa ke Gramedia Padang. Koleksi buku-buku sasteranya tidak berapa banyak, tetapi yang penting bukannya kuantiti buku tetapi nilai buku itu.

Kami juga tidak boleh berlama-lama di Padang kerana perjalanan ke Bukittinggi memakan masa hampir 2 jam dan matahari sudah mula condong ke arah petang.

Namun, kalau sudah namanya 'ulat buku' paling sekejap pun, hampir satu jam juga berulit di dalamnya. Gambar koleksi buku yang dibeli dari Gramedia Padang seperti di bawah. Paling menyeronokkan ialah buku "Syair Lampung Karam: Dahsyatnya Letusan Krakatau 1883" - sebuah syair yang ditulis selepas letusan Gunung Berapi Krakatoa 1883. Naskhah ini telah ditemui di Leiden dan diterbitkan semula dalam buku ini.


Inilah syurga buat saya. Membeli buku di Indonesia, khususnya di sini, ibarat wanita-wanita lain yang tenggelam di dalam telekung, kain-kain sulam sebagai syurga mereka.

Saya harus berpuas hati dengan koleksi ini. Tidak banyak tetapi berkualiti.

Perjalanan masih jauh. Bukittinggi sedang menunggu.

Related Posts with Thumbnails