Jumaat, Jun 11, 2010

Catatan di Ranah Minang - 5

Gambar : Danau Maninjau ketika menuruni Kelok Ampek Puluh Ampek (44)

Awal pagi itu, kami bangkit dengan rasa yang amat teruja. Jadual pagi itu, selepas sarapan di Hotel Graha Muslim, Silfia membawa kami menaiki koster. Destinasi pagi ini memang sudah dirancang sejak dari Malaysia lagi : Danau Maninjau!

Sebelum ini, saya hanya membaca tentang desa kelahiran Buya Hamka ini. Saya pernah baca juga tenang desa ini di dalam novel Negeri 5 Menara karya Ahmad Fuadi, novelis muda Indonesia (yang novelnya bakal diterjemah dan diterbitkan oleh PTS Syawal ini). Saya pernah lihat di dalam beberapa gambar di internet tentang singgahan mereka yang telah sampai terlebih dahulu daripada saya ke tasik yang sungguh luas ini.

Sepanjang jalan melewati Kabupaten Agam, menuruni Kelok 44 (yang setiap keloknya ditandakan dengan nombor - Kelok #44 di puncak, Kelok #1 di kaki bukit; kiri kanan kami ialah sawah padi berselang-seli dengan bukit-bukau). Sebaik-baik sahaja kelok yang ke-44 bermula, Danau Maninjau sudah kelihatan. Keindahannya tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Harus pergi lihat sendiri. Saya juga tidak dapat membandingkannya dengan Danau Toba ataupun danau-danau dan tasik-tasik lain kerana saya belum pernah melihat tasik yang sungguh luas - cuma tidak berombak seperti laut.

Semakin menghampirinya, saya seakan-akan mahu menangis kerana ciptaan Allah ini terlalu luar biasa!

Saya dapat bayangkan betapa terinspirasinya Hamka, Ahmad Fuadi dan beberapa pengarang yang pernah berada di daerah ini untuk menulis. Kalau pun mereka tidak menulis sewaktu mereka berada di Maninjau, pastinya udara, nuansa, masyarakat dan ketenangan tempat ini menjadi antara faktor mereka menulis. Tempat ini sungguh mengilhamkan! Banyak plot cerita untuk cerpen dan novel bermain di dalam minda saya, itu belum dicampur dengan cetusan untuk berpuisi. Saya merasakan alam tiba-tiba memainkan lagu dan alam hanya menunggu senikata daripada saya dan bakal lahirkan sebuah simfoni.

Lokasi pertama singgahan kami ialah Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka. Perjalanan berkelok-kelok dengan setiap kelok semuanya lipat siku (hairpin curve/bend) tidak menjadikan saya pening lalat. Saya fokus dan mahu melihat sendiri lokasi yang banyak gambarnya di internet. Semua itu tidak sama dengan menjejakkan kaki sendiri di rumah kelahiran Buya Hamka ini.Sepanjang jalan dari pekan kecil Maninjau ke muzium itu, di kanan saya ialah danau. Sawah padi, tebat, dan hanya hijau-hijauan yang memisahkan saya dengan danau itu. Sampai di Sungai Batang, matahari sudah hampir tegak di langit. Tanpa berlengah-lengah lagi, kami terus mendaki anak-anak tangga untuk naik ke laman rumah yang terletak di atas bukit ini. Lamannya sederhana tetapi menghijau dengan rumput.

Pintu rumah ini terkatup rapat. Bimbang bersarang di hati. Bimbang jika tiada orang yang mahu membukanya. Kami datang dari jauh, semata-mata untuk melihat sendiri keadaan di dalamnya. Elaira memberi salam. Satu saat, dua saat... senyap. Dia mengulang salamnya lagi, kali ini lebih kuat.

"Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Silakan, silakan naik," terdengar suara seorang lelaki yang wajahnya murah dengan senyuman, bersih lagi tenang. Langsung kami berbasa-basi, memperkenalkan diri dan dari mana kami datang. Lalu, kami dibawa ke ruang tamu dan tanpa dipinta, bapak yang memperkenalkan dirinya sebanyak Hanif Rashid yang merupakan ahli keluarga dan saudara rapat kepada Hamka.

Taklimatnya meliputi kehidupan seorang anak lelaki yang sangat manja dengan ibunya dan dikasihi ayahnya. Hidup yang penuh dengan kasih sayang itu tiba-tiba dirundung malang apabila ibu dan bapa Hamka bercerai dan masing-masing berkahwin lain. Daripada seorang anak manja, Hamka menjadi anak yang rebellious kerana reaksi kepada apa yang berlaku kepada kedua orang tuanya.

Namun, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Banyak yang diceritakan oleh Bapak Hanif itu membentuk sebuah plot yang tersendiri: sebab dan akibat semua yang berlaku. Jika Hamka masih lagi anak manja di Kampung Sungai Batang, Maninjau, barangkali dia tidak mungkin menjadi ulama' tersohor seluruh Nusantara sehingga menamakan Malaysia sebagai rumah keduanya. Barangkali, tidak akan lahir karya-karyanya seperti Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan yang lain-lainnya.

Setelah mendengar pengkisahan semula riwayat hidup Hamka oleh Bapak Hanif, saya nampak betapa setiap peristiwa malang dan derita pada Hamka menjadi inspirasi kemudiannya untuk dia menghasilkan karya-karyanya yang tidak ditelan zaman. Pada akhir kisahnya, paling menarik dikatakan bahawa Hamka dihormati bukan sahaja oleh orang Islam, malah tokoh-tokoh agama lain kerana Hamka kukuh mempertahankan "Lakum Diinukum Walia Diin" - Bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami. Tiada kompromi dalam hal-hal akidah tetapi kita semua bebas mengamal agama masing-masing.

Terlalu banyak input yang kami peroleh dan tidak semuanya dapat dicatat semula di dalam entri ini. Cuma saya dapat membayangkan bagaimana seorang anak berusia belasan tahun yang duduk mengadap danau ini memikirkan masa depannya yang kelihatan kelam; keluar dari desa itu mengikut kumpulan yang mahu ke Medan dengan mendaki Kelok 44 - pastinya ketika itu berjalan kaki; betapa sayunya hati meninggalkan desa dan halaman tempat bermain.

Gambar : belakang - Elaira (tudung merah jambu) dan saya; depan - Bapak Hanif Rashid (bersongkok) dan pembantu yang bertugas di Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka. Kredit foto ini dan foto saya dengan gambar Hamka di atas : Elaira

Saya dapat bayangkan ketika dia semakin tinggi pada pendakian Kelok 44, Hamka pasti melihat ke bawah melihat kampung yang semakin sayup ditinggalkan tetapi danau yang luas itu tetap menemani perjalanannya sehinggalah dia sampai ke puncak, melalui Agam dan terus ke Bukittinggi, langsung ke Medan. Betapa perjalanan itu sahaja mampu mematangkan dirinya. Sedangkan saya menuruni dan mendaki semula Kelok 44 dengan penuh keinsafan.

Sebelum meninggalkan Maninjau, saya buat sesuatu yang sudah lama tidak saya lakukan sejak sudah lama tidak ke luar negara. Kali terakhir saya melakukannya ketika di Sydney pada tahun 1995 dan juga Manila pada tahun yang sama.

Sewaktu menunggu Silfia yang ada sedikit urusan, saya dan Elaira terpandang Kantor Pos Maninjau. "Apa kata kita beli poskad dan hantar pada diri sendiri?" Cadangan saya itu disambut baik kerana Elaira juga biasa melakukan perkara yang sama ketika di luar negara. Ketika kami sampai, kantor pos itu baru sahaja dibuka selepas waktu rehat tengah hari. Dua keping poskad pilihan saya (Elaira pilih tiga), kami pilih dan membuat catatan di atasnya lalu kami poskan ke alamat sendiri.

Sebelum mendaki semula Kelok 44, Silfia mengajak kami makan tengah hari. Sempat merasa sebahagian daripada makanan yang dicadangkan oleh pengarang Negeri 5 Menara, Ahmad Fuadi yang meninggalkan komennya pada status Facebook saya.

Sempat juga membeli beberapa buah buku yang dijual di hadapan rumah Hamka. Walaupun buku Merantau Ke Deli itu sudah saya baca dan miliki sebelum ini, saya tetap mahu membeli sebagai kenang-kenangan saya membelinya dari tanah Maninjau sendiri.

Tiga buah buku menjadi cenderamata untuk diri sendiri kejap di dalam genggaman saya ketika mata saya tidak sekali pun meninggalkan pemandangan Danau Maninjau yang semakin jauh semakin indah dan terasa semakin sayu untuk ditinggalkan.

8 ulasan:

Kamariah Kamarudin berkata...

salam Nisah
peristiwa yang sama yang saya alami kala mendaki kelok 44, Danau Maninjau dan rumah Buya Hamka; ya Allah, kenangan tahun 2008 yang lalu masih kekal terpahat dalam nubari,indahnya!

Keluduk berkata...

Terasa diri kerdil apabila membaca catatan perjalanan puan. Indah, kudusnya gambaran Kelok 44 yang ditulis. Memang benarlah bahawa rintangan dan dugaan dalam hidup kita menjadikan kita lebih tabah, matang dan berani. Tahniah puan. Teruskan mencatat diari perjalanan hidup puan kerana saya sendiri adalah golongan yang kurang mampu untuk merantau seperti puan. terima kasih

princeduyong berkata...

bila agaknya akan sampai ke sini ye...berhajat jugak...

SITI ZAINON ISMAIL berkata...

Ooooo onde bundo niniek semamak, ambo tibo di Maninjau ( tahun 1986,1988,1992), melapeh kaluak empek puluh ampek, mendaki ke Ambunan pagi hanya singgah di kampuang Buya Hamka, rumah lamo pusako udah gaek, rumah rasmi alun dibuek....yo lah dindo Nisah, badaba hati ambo, dima rumah pusako seniman kita sendiri, indak tabuek juo. Al-fateha buat Buya Hamka....amin (maaf menggunakan ejaan bahasa Minang...rasanya bahasa Melayu yang baik juga kan)

Nisah Haji Haron berkata...

Dr. Siti,
Indak tajawek ambo! Balaja kecek Minang samo Silfia di sinan. Dima Ambunan pagi? Ambo singgah rumah Silfia di Batusangkar, sambil lewat di Baso. Udah malam di Batusangkar, indak dapek maliek Istano Basa Pagaruyuang jo Silinduang Bulan. Insya-Allah, akan datang lagi. Taragak basuo ranah niniek moyang kito. (Betul tak, Dr?) :-)

Bunnybaby berkata...

Salam.

Wah, sungguh mahal pengalaman puan ni. Seronok campur cemburu membacanya.

Pishaposh berkata...

Saya berkesempatan ke situ 2 minggu lepas, dan Pak Hanif telah mengunjukkan kad nama anda dan bertanya, adakah saya mengenali anda? -- ada sedikit celoteh lucunyz mengenai anda kepada saya.

Gembira menghayati perkara yang saya juga alami!

alien berkata...

pernah sampai di sana juga
Indah sungguh ciptaan Tuhan
Memukau dan memberi ketenangan

Related Posts with Thumbnails