Hikmah di sebalik Pembakaran Interlok
Sudah banyak yang diperkatakan tentang Interlok. Sudah banyak reaksi juga yang telah diberikan. Kali pertama, Sasterawan Negara mendapat muka hadapan akhbar perdana. Namun, harganya ialah air mata.
Saya enggan mengulas tentang siapa salah dan siapa betul. Menilai dan mengkritik memang mudah. Namun, di sebalik semua itu, saya sentiasa mencari hikmah di belakang setiap peristiwa. Barangkali benar, ada 'tangan ghaib' yang menghasut supaya mereka yang tidak membaca Interlok itu supaya membakar dan 'mengkasutkan' pengarang yang kita cintai. Pada masa yang sama, carilah juga tangan yang lebih Akbar yang telah mengatur semua ini melalui rencana-Nya.
Hikmahnya, Interlok tiba-tiba menjadi teks yang dicari-cari di seluruh negara. Banyak kedai buku yang kehabisan stok kerana tidak terfikir novel yang ramai tidak tahu akan kewujudannya tiba-tiba mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Hikmah lain, tiba-tiba nama Abdullah Hussein menjadi SN yang kedua popular selepas A. Samad Said. Percayalah, kalau anda ke mana-mana sekali pun, apabila ditanyakan soalan siapakah dia Sasterawan Negara, 99.9 peratus akan menjawab A. Samad Said. Harap-harap selepas ini, mereka lebih mengenali tokoh sasterawan mereka yang lain.
Pun, sedih difikirkan apabila orang ramai hanya membaca buku sastera selepas bukunya dibakar dan diancam. Benarlah apa yang saya bayangkan dalam cerpen saya: Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu : apabila dunia diancam malapetaka, barulah orang mencari buku semula - walaupun dalam cerpen itu digambarkan sebuah analogi manusia mula mencari buku untuk dibakar kerana mahu menyelamatkan nyawa daripada mati beku!
Selepas ini, apakah kita semua akan mencari pula novel Imam atau kumpulan cerpen Abdullah Hussain, Pahlawan Tak Bernama? Haruskah buku-buku ini terbakar dan terancam dahulu, barulah kita berebut-rebut mahu mendapatkannya?
Inikah bentuk 'promosi percuma' yang ditunggu-tunggu oleh penerbit supaya bukunya boleh laku di pasaran?
Ayuh, pasaran buku dan promosinya mestilah terus giat dilakukan. Takkanlah kita semua mahu berundur dan menjadi bangsa yang tidak bertamadun - dengan membakar buku - barulah masa itu kita mahu giat membaca!
Nota kaki : Interlok (edisi pelajar) berwarna kelabu - yang masih mengekalkan perenggan yang kontroversi itu ada dijual di Ujana Ilmu.
Sumber gambar Interlok paling atas di sini.
Ulasan
Lidah saya bagai tak mampu untuk bersuara. Benar. Impak yang dihadapi kini di luar jangkauan akal fikir kita.
Namun, telahan puan dalam cerpen Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu ada benarnya.
Begitu menggugah.
Barangkali ada pula pihak yang akan melabelkan Pak Abdullah ini la-mazhabbi @ pengikut aliran Wahhabi setelah menelaah Imam?
Kemungkinan itua ada!
mahu jelajah ke KL belum ada kesempatan masa
Saya secara peribadi merasakan kontroversi ini non-issue. Bukan itu sahaja, adalah mencengangkan ramai sarjana kita turun padang untuk perkara yang tidak perlu ini. Tiba-tiba dunia sastera kita dipenuhi perbincangan tentang perkataan 'P'. Sedangkan sastera harus membincangkan isu-isu yang jauh lebih gergasi dari semua itu.
Wassalam.
Saya setuju dengan pandangan Dr. Faisal Tehrani. Lega rasanya boleh baca pendapat yang rasional tentang perkara ini. Kebetulan dua tiga hari lepas seorang teman yang mengajar sastera ajak saya makan di De Palma (hotel ini mesti dikunjungi para sasterawan, 100% halal, tak ragu lagi) sambil bercakap tentang perkara yang non-issue ini. Kata kawan saya yang banyak membaca buku Inggeris dan Arab, ada tiga isu besar dalam pengajaran sastera sekarang. Pertama, katanya dia hairan mengapa selepas 53 tahun merdeka, tak ada kaedah pengajaran sastera milik kita. Lekeh sangatkah sarjana kita? Mengapa masih pakai cara lama, cara Barat pasal plot, setting, dialog dan sebagainya, murid-murid jemu katanya. Isu kedua, mengapa persatuan penulis dan ketua-ketuanya sibuk dengan parkara remeh-temeh, padahal mereka sudah lama bercakap tentang sastera dipinggirkan. Mengapa tak bincang dengan menteri berkenaan, cari jalan terbaik untuk hidupkan sastera hingga diminat murid-murid sekolah. Tak ada ideakah? Isu ketiga, karya yang digunapakai hanya terbatas kepada karya Malaysia saja. Mengapa tak ambil karya dunia dari Perancis, Rusia, Itali, Sepanyol, Indoneia, India, China, Filipina, Vietnam dll. Tak ada standardkah? Saya angguk saja, dalam hati berkata guru ini sedang bermimpi. Tapi bila Dr. Faisal tulis komen beliau, baru saya buka mata, Betul juga kata teman saya yang bosan jadi guru sastera itu. siapakah yang boleh tolong orang-orang macam beliau?
'Sayap-Sayap Kecil Di Graha Jentayu' begitu meruntun jiwa. bersahaja dalam falsafah tapi ada kejutan di hujungnya. saya termenung beberapa waktu usai karya kak melintas di mata dan bertandang ke hati. sungguh.
ada sesuatu yang membekas di hati. moga karya awal tahun itu bakal tersenarai dalam barisan pemenang untuk tahun ini, insya-Allah.
menunggu novel kak tentang adat perpatih menjadi rujukan di sekolah kemudian diperdebatkan bagai interlok. tapi tak mahulah sampai terbakar =)bila ya?