Jumaat, Mac 11, 2011

Hanani - buku kanak-kanak Nisah Haron

Saya percaya setiap pengarang itu harus berubah. Falsafah saya mudah: karya saya hari ini haruslah lebih baik daripada semalam. Dengan itu, saya sering mencabar diri memasuki wilayah-wilayah penulisan yang boleh diteroka. Saya cuba mengelak daripada mengehad serta membataskan diri. Apabila ada peluang, saya tidak teragak-agak untuk mencuba.

Sebelum ini, saya pernah menulis Farris Putera Yang Hilang.Sebelum menulis, saya percaya bahawa bukan mudah untuk menghasilkan buku kanak-kanak. Ketika itu PTS One belum wujud. Belum timbul juga istilah buku untuk kanak-kanak lelaki dan buku untuk kanak-kanak perempuan. Saya dapati banyak buku ditulis khusus untuk kanak-kanak perempuan. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan budak lelaki yang enggan membaca, kerana mereka sebenarnya ketandusan bahan bacaan (pada ketika itu).

Atas kesedaran itulah saya menulis Farris kerana saya mahu dia menjadi buku yang akan dibaca oleh kanak-kanak lelaki (dan biasanya kanak-kanak perempuan akan 'sapu' semua - tanpa mengira buku itu untuk lelaki atau perempuan).


Saya bermula sebagai penulis buku remaja, jadi untuk turut ke tahap kanak-kanak adalah suatu cabaran. Namun, saya mencuba dan dengan mempunyai pembaca sasaran yang jelas di dalam kepala, saya pun mula mengarang novel tersebut.


Contoh ilustrasi Siri Hanani
Hak cipta gambar adalah milik
Emila Yusof.
Sila hormati hak intelektual ilustrator
Kini, saya mendapat satu lagi peluang untuk memperkembangkan genre buku kanak-kanak bergambar ini. Lalu, sebuah siri buku kanak-kanak Hanani dengan Semberani Merah Jambu sudah disiapkan manuskripnya dan kini di dalam proses penerbitan. Buku ini memang khusus untuk kanak-kanak perempuan. Siri ini merupakan kisah 'kembara' Hanani bersama-sama tiga ekor semberani ke banyak tempat. Di dalam setiap episod, Hanani (juga pembaca) dapat mengutip pengajaran dalam hidup.


Saya bertuah kerana mendapatkan khidmat ilustrator buku kanak-kanak bertaraf antarabangsa - Puan Emila Yusof (yang buku-bukunya sudah dipamerkan di Pesta Buku Kanak-kanak Antarabangsa Bologna, Itali 2010 dan karya-karyanya juga boleh dibeli dari Kinokuniya KLCC). Sudah lama saya impikan gandingan ini.


Insya-Allah, buku terbitan Prima Kids (anak syarikat Kumpulan Karangkraf) ini akan menemui pembaca cilik pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.





1 ulasan:

najibah berkata...

Tahniah Kak Nisah atas gandingan yang cukup bergaya dengan Puan Emila.

Dan semberani dan kanak-kanak, gabungan yang pasti memikat.

Tak sabar mahu mengenalkan anak saya pada semberani, si kuda terbang hikayat Melayu.

:)

Related Posts with Thumbnails