Selasa, Jun 07, 2011

Kembara Sastera 4: Hay-on-Wye Bhg. 1

4 Jun 2011

Berangkat ke Hay Festival di kampung buku pertama dunia - Hay-on-Wye yang terletak di sempadan Wales dan England. Ini kembara yang mendebarkan. Saya hanya rancang mengikut apa yang ditawarkan melalui internet. Satu yang agak mudah di sini ialah kemudahan awam yang sungguh efisien. Tiket apa sahaja boleh dibeli secara online dan cara mendapatkan tiket itu memang tidak menyusahkan pengguna.

Tiket dari Stesen Birmingham New Street ke Hereford sudah saya tempah secara online. Pulang dari Stratford, saya cuma perlu ambil di stesen itu sahaja melalui mesin automatik. Apa yang perlu saya buat ialah memasukkan kad kredit yang saya gunakan untuk buat tempahan. Tanpa sebarang soal jawab, mesin itu terus tahu siapa saya dan terus sahaja menyerahkan dua keping tiket untuk saya: satu tiket pergi dan satu lagi tiket pulang.

Dalam kereta api ada tempat duduk yang bermeja.
Sangat kondusif jika mahu membaca atau menulis.
Perjalanan dengan kereta api ke Hereford melalui kawasan kampung atau istilahnya di sini countryside. Akan jumpa banyak cottage atau rumah-rumah kampung yang biasa digambarkan dalam buku-buku cerita atau fairy tales. Selain lalu dan nampak Birmingham University, nampaknya kilang Cadbury - ya coklat Cadbury yang sedap itu. Kilangnya memang di Birmingham. Kalau mahu melawat, ada tour disediakan.

Menulis catatan sepanjang perjalanan ke destinasi
Sampai di Hereford melalui banyak stesen, saya tunggu bas untuk ke Hay-On-Wye. Mujur juga ada beberapa penumpang yang juga mahu ke destinasi yang sama. Pagi masih awal ketika saya sampai di Hereford, kira-kira pukul 8.15 pagi (ini sangat awal bagi orang di sini, khususnya pada hari Sabtu). Kemudian, datanglah bas Nombor 39 yang memang terus ke Breacon dan melalui pekan kecil Hay-on-Wye.

Naik bas lebih seronok. Ada juga jalan kampung yang hanya boleh buat lalu sebuah bas! Langsung teringat jalan kampung di Seri Menanti.

3 ulasan:

DR Bubbles berkata...

Puan Nisah,

Saya masih merindui Hay-on-Wye. Puan bertuah kerana menggunakan pengangkutan awam ke Hay-on-Wye.Saya berasa 'ralat' kerana tidak mencuba cara sebegitu.

Seronoknya membaca catatan puan mengenai Hay-on-Wye. Tidak sabar mahu membaca catatan yang seterusnya. Puan pasti ketemu Honesty Bookshop di sana.

ILYAH berkata...

Saya memasang angan-angan untuk ke kampung buku itu...:-)

Nisah Haji Haron berkata...

Dr. Bubbles,
Saya tiada pilihan lain melainkan pengangkutan awam. Masa paling seronok ialah ketika naik bas. Ada ramai orang tua yang bertongkat-tongkat dan menggigil-gigil tapi gigih juga mahu ke Hay Festival. Bas di UK juga sangat mesra pengguna sama ada orang biasa, warga emas atau warga kurang upaya. Bas boleh direndahkan dengan sistem hidraulik supaya orang kurang upaya dan orang tua senang melangkah.

Ilyah,
Saya juga mulakan kembara ini dengan angan-angan dulu. Teruskan angan-angan, terlanjur berangan biar berangan yang besar-besar dan mahal. Kata orang, berangan mahal tak kena bayar! :-)

Related Posts with Thumbnails