Kembara Sastera 32 : London Bahagian 4

Ramai manusia berhimpun di hadapan Istana Buckingham.
Kredit foto : Nisah Haron
Pada mulanya, saya tidak begitu teruja untuk mencari Istana Buckingham - kediaman rasmi Ratu Elizabeth II itu. Apatah lagi, tempat itu terlalu popular dan saya membayangkan pastinya ramai orang di sana. Desas-desus yang saya sendiri tidak dapat membuat kepastian, walaupun saya sendiri berada di London pada ketika itu, menyatakan bahawa tarikh 11 Jun merupakan hari lahir sang ratu. Saya juga tidak dapat membayangkan apa yang ada pada hari lahirnya atau apa yang mungkin saya temui di kawasan Istana Buckingham itu.

Hyde Park - pandangan dari udara. Sumber di sini.
Ketika melalui kawasan Knightsbridge, saya ikut sahaja jejak orang ramai yang melintasi Hyde Park. Saya pernah membaca tentang Hyde Park yang mempunyai keluasan 350 ekar! Dengan masa yang tidak berapa banyak di London, apatah lagi sudah sekian jam 'bermain-main' di Kensington Gardens, saya hanya lihat Hyde Park dari luar. Cukuplah pada ketika itu saya merasakan bagaimanakan keadaannya ketika berada di dalam sebuah taman dan berada di kawasan hijau atau green lung London ini.

Laluan Constitution Hill menuju Istana Buckingham. Kredit foto : Nisah Haron
Penghujung Hyde Park adalah permulaan kepada kawasan Constitution Hill - sebuah lorong yang menuju ke  Istana Buckingham. Manusia semakin ramai. Pastinya ada sesuatu yang berlaku di kawasan istana ini. Semakin hampir dan melihat kawasan istana, saya bertanya kepada polis yang bertugas di persekitaran istana.

"Hari ini ialah hari lahir Ratu Elizabeth, puan," katanya di dalam Bahasa Inggeris. "Ratu dijangka kembali ke istana ini dari Westminister Abbey. Ada perarakan bersama-sama dengan Puteri Philips, Putera Charles, William dan juga Kate."

Tugu di laluan The Mall.
Kredit foto : Nisah Haron
Saya senyum lalu mengucapkan terima kasih. Saya telah memilih hari yang baik untuk sampai ke London tanpa mengetahui ada sesuatu yang menarik bakal berlaku di sini. Sayang sekali, saya tidaklah tidak tergila-gila akan pasangan Willam dan Kate untuk saya menunggu lebih lama di kawasan persekitaran ini. Jadual saya terhad. Jadi, kalaulah kebetulan ketika saya lalu keluar mengikuti laluan yang dipanggil "The Mall" ini dan bertemu pula dengan perarakan tersebut, itu memang rezeki hendak jumpa. Pada saya, kalau tak jumpa pun, tak mengapa.

Sambil lalu, sempat juga mengambil beberapa foto di sekitar Istana Buckingham. Namun, tidak mendapat sudut yang baik kerana orang terlalu ramai pada ketika itu. Bertembung dengan seorang pelancong yang tertanya-tanya mengapa ramai orang di sekitar istana pada ketika itu. Saya maklumkan kepadanya maklumat yang saya peroleh.

"Ah, kalau begitu sukar sekali untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan istana ini," kata wanita itu.

Ya, saya setuju. Samalah kisahnya pada gambar-gambar yang saya ambil. Semuanya penuh dengan kepala orang dan bahasa mereka membuatkan saya seolah-olah berada di ruang legar bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Saya boleh dengar banyak sekali bahasa asing yang digunakan. Tidak semuanya berbahasa Inggeris.

Saya tinggalkan kawasan istana tanpa menunggu kepulangan Ratu Elizabeth dan rombongannya. Lagipun, saya tidak beri notis kepada baginda yang saya akan datang singgah, bukan? Lalu saya berjalan ke arah bertentangan melalui jalan yang dipanggil "The Mall" itu.

Laluan saya dari Hyde Park Corner ke Buckingham Palace, kemudian
meninggalkan istana melalui jalan "The Mall".
Klik pada imej untuk paparan lebih jelas.
Sewaktu melalui laluan "The Mall" ini saya dapat melihat Buckingham Palace Guard - mereka yang berbaju merah dengan topi berbulu hitam yang sering digambarkan seperti patung tidak bergerak, walaupun diusik-usik pengunjung. Pada hari ini, mereka bergerak-gerak kerana bertugas mengawal pergerakan rombongan Ratu Elizabeth yang dijadualkan kembali ke istana dalam masa terdekat.

Buckingham Palace Guards. Kredit foto : Nisah Haron
Pun, saya yang tidak sanggup menunggu ini terus sahaja berjalan di antara celah-celah manusia dan mahu keluar dari kawasan ini.

Kafe kecil di dalam The Mall Gallery. Kredit foto : Nisah Haron
Ketika inilah saya terpandang sebuah galeri lukisan yang kemudiannya saya dapat tahu namanya "The Mall Gallery". Selain mahu merehatkan kaki, di galeri ini juga ada kafe. Perut memang sudah mula lapar kerana waktu sudah pun menjelang tengah hari.  Apa-apa sahaja yang saya makan sewaktu di Kensington Gargen, semua kalorinya sudah terbakar!

Pameran lukisan sedang berlangsung. Sebelah kanan jerung kelihatan sekumpulan
pelukis sedang membuat demonstrasi sambil berbincang santai tentang teknik.
Kredit foto : Nisah Haron
Galeri lukisan dengan sebuah kafe ialah santapan dua dalam satu. Santapan jiwa dan juga santapan tubuh. Saya terus memesan sandwic dan segelas jus oren. Makan sambil melihat-lihat lukisan. Saya dapati galeri ini pada ketika itu mempamerkan lukisan yang bertemakan haiwan liar. Kemungkinan sahaja pameran tersebut bermusim. Malah, bukan itu sahaja. Galeri turut menjual buku-buku seni lukis dan demostrasi secara langsung daripada artis yang berada di situ.

Rujukan yang saya buat kemudian mendapati, ketika itu berlangsung Wildlife Art Exhibition
Imej dari Amazon.com

Kekenyangan yang berganda-ganda : buku, lukisan, sandwic dan oren!

Sempat juga mencapai buku "Watercolour Tips" yang bersaiz poket dan sebuah majalah tentang seni lukis. Saya keluar setelah sempat menikmati lukisan yang dipamerkan dan barangkali ketika Ratu Elizabeth II sudah pun sampai ke istananya.

Saya berjalan terus sehingga sampai ke Admiral Arch yang memisahkan kawasan Istana Buckingham dengan Trafalgar Square. (Kalau anda menonton Johnny English 2, mungkin imej anda pernah lihat imej Admiral Arch yang biasa ditayangkan dalam filem-filem British, khususnya yang berkaitan dengan ratunya.

Admiralty Arch. Kredit foto : Nisah Haron
Ada apa di sebalik Admiralty Arch ini? Di situlah letaknya Trafalgar Square dan seterusnya Charing Cross Road. Lokasi Charing Cross Road adalah momen penting dalam kembara ke London. Saya ke London bukan mahu ke Harrods untuk berbelanja, atau melihat Istana Buckingham atau Big Ben. Ada yang lebih menarik buat saya di Charing Cross Road ini.

Tunggu catatan berikutnya!






Ulasan

Catatan Popular