Isnin, Ogos 29, 2011

Kembara Sastera 24 : Dublin Bhg. 6

James Joyce seperti bermain sembunyi-sembunyi dengan kami. Umpama novelnya juga yang agak susah dihadam itu. Dia bukannya orang yang sangat langsung dan mampu menyampaikan pemikirannya dengan ayat mudah dan selapis. Selalunya ada berlapis-lapis makna yang harus ditembusi sebelum sampai kepada maksud yang sebenarnya. 
Pada mulanya, semua nampak senang. Mengikut papan tanda, The James Joyce Centre hanya 200m dari tempat kami berdiri. Kelihatannya, kalau jalan terus pasti terjumpa. Sebagaimana karya James Joyce, perjalanan itu tidaklah demikian langsungnya.

Kami juga juga jadi berpusing-pusing dari Dublin Writers' Museum menuju James Joyce Centre yang beralamat di 35 North Great Georges Street, Dublin 1 itu. Kalau mengikut peta yang ditunjukkan, kedudukannya tidak berapa jauh dari Dublin Writers Museum yang tidak jauh dari Garden of Remembrance itu. Mungkin kerana saya yang leka memandang ke sini sana dan Ainun juga melayan soalan itu ini dari saya, kami terlajak sampai ke Mountjoy Square Park.
Peta dari Dublin Writers Museum ke James Joyce Centre mengikut Google Map
Berkali-kali Ainun merujuk peta di tangannya. Nampak macam dekat, tetapi tak tahu bagaimana boleh jadi bertambah jauh. Ketika di kawasan Mountjoy Square Park, mula terpandang-pandang mencari sesiapa yang boleh dijadikan tempat bertanya. Seorang wanita berambut perang muda berhenti dan dengan sungguh-sungguh menerangkan laluan kami. Seperti juga di Malaysia, belum tentu semua orang tahu di mana rumah sasterawan negaranya. Kalau orang tanya saya, bagaimana mahu ke rumah SN Abdullah Hussain, saya mungkin mampu tersenyum sahaja kerana saya tak berapa mahir kawasan Petaling Jaya walaupun sudah beberapa kali ke rumahnya. Jadi, pertolongan wanitu itu tadi amat kami hargai.

Setelah berlegar-legar di kawasan yang tidaklah berapa jauh itu, barulah kami sampai ke tempat yang dituju. Hati saya berbunga. Ada hikmah apabila Tuhan berikan jalan yang jauh. Semakin sukar untuk kita mendapat sesuatu, biasanya kita akan lebih menghargai apa yang diperoleh.

Perkara pertama apabila sampai ke tempat ini : bergambar!
James Joyce dengan cermin mata bulatnya yang sangat ikonik itu merenung kehadiran kami dengan tenang. Dengan bayaran masuk sebanyak 5 Euro, kami dibenarkan melangkah dan melihat sendiri apa yang Joyce tinggalkan untuk bangsanya dan kesusasteraan sejagat.

Khabarnya, selama hayat James Joyce, dia berpindah randah selama 17 kali dan secara teorinya dia ada 17 alamat kerana pernah tinggal di 17 buah rumah. Satu daripada rumah itu, pintunya sahaja dapat diselamatkan (kerana bangunan itu telah pun diruntuhkan untuk tujuan pembangunan bandar) dan pintu yang tinggal itu turut dipamerkan di sini. Pintu yang selamat itu dinamakan The Door to No. 7 Eccles Street yang kini sudah pun menjadi kedai Mark & Spencer.
 

The Door to
No. 7 Eccles Street

The Door to No. 7 Eccles Street is on extended loan
by the kind permission of Marks & Spencer,
who acquired the door as part of their purchase of
the Bailey public House in Duke Street.

- tulisan pada sisi kiri pintu















The James Joyce Centre dengan sifatnya sebagai tempat yang merumahkan barang-barang tinggalan beliau dan cuba mereplikakan kehidupannya, khususnya dalam hal-hal penulisan. Ada banyak memorabilia yang tersimpan dalam keadaan yang baik, seperti meja tulisnya (yang dikekalkan berselerak), rak buku yang turut menjadi tempat gantung baju anaknya dan juga katilnya, seperti mana rumah orang-orang Irish yang lain, saya fikir.

Ulysses oleh James Joyce
Di tepi tangga dalam perjalanan ke tingkat 2 ada sebuah rak buku yang menghimpunkan buku-buku James Joyce di dalam bahasa lain. Walaupun novelnya Ulysses, dinobatkan sebagai antara 100 novel terbaik abad ke-20, novel terbaik dalam sejarah kesusasteraan moden dan telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, saya tidak bertemu dengan edisi terjemahan Bahasa Melayu. Apakah saya yang tidak menjumpainya (lantaran kejahilan diri sendiri?) atau sememangnya memang tidak wujud edisi terjemahan di dalam Bahasa Melayu. Apakah ketebalan hampir 1,000 halaman (bergantung kepada edisi) dan kandungannya yang mencabar itu tidak mampu diterjemahkan oleh sesiapa sahaja? Mungkin ini juga suatu cabaran kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Ada kemungkinan juga kita tidak dapat membeli hak menterjemah daripada waris Joyce iaitu cucunya, Stephen Joyce yang dikatakan terlalu rigid dalam menjaga hak cipta warisan keluarganya itu. (N.B. Boleh baca lebih lanjut di sini dan di sini.)

Lelaki ini bukan sekadar penyambut tetamu, penjual cenderahati dan tempat
pengunjung membayar 5 Euro untuk masuk ke James Joyce Centre. Dia juga
mempersiapkan diri dengan maklumat tentang banyak perkara mengenai Joyce
dan karya-karyanya - sangat sesuai dengan tugasnya di sini. Banyak hal tentang
kes-kes mahkamah berkaitan Joyce dan karyanya dapat dijawab dengan baik.
Sukar mencari orang yang sangat passionate dengan kerjaya seperti ini.
 Ulysses turut menjadi subjek kes yang timbul sejak penerbitannya. Termasuklah kes perlanggaran moral (lucah) dalam United States v. One Book Called Ulysses. Mahkamah Amerika Syarikat memutuskan bahawa buku itu tidak demikian :
At issue was whether James Joyce's novel Ulysses was obscene. In deciding it was not, Judge John M. Woolsey opened the door to importation and publication of serious works of literature, even when they used coarse language or involved sexual subjects.


The trial court's decision was affirmed by the United States Court of Appeals for the Second Circuit, which confirmed that offensive language in a literary work is not obscene where it does not promote lust. But Judge Woolsey's trial court opinion is now more widely known, and often cited as an erudite and discerning affirmation of literary free expression.
 sumber : Wikipedia

Ulysses juga pernah dicetak rompak, diharamkan di sesetengah negara dan semua itu telah meninggikan lagi nama James Joyce dan karyanya. Anehnya, novel itu tidak pernah diharamkan langsung di Ireland. Terbit pada pertama kali sebagai buku yang lengkap pada tahun 1922, Ulysses diterbitkan oleh Sylvia Beach, pemilik kedai buku legenda Shakespeare and Co di Paris. Zaman itu ialah zaman kegemilangan karya-karya moden kerana pada zaman yang sama Hemingway, turut pernah berada di Paris dan menyebut tentang Shakespeare & Co dalam novel memoirnya  A Moveable Feast. Hemingway turut menyebut pertemuannya dengan Joyce dalam buku yang sama.

Dalam tulisan yang lain pula, ada dinyatakan bagaimana Joyce sengaja menulis Ulysses seperti yang ada sekarang kerana dia mahu karya itu terus 'hidup' dan diperkatakan sampai bila-bila. Ini juga satu strategi yang unik. Bukankah setiap pengarang mahukan karyanya kekal hidup dan tahan zaman. Joyce telah membuktikannya. 
Joyce divided Ulysses into eighteen chapters or "episodes". At first glance much of the book may appear unstructured and chaotic; Joyce once said that he had "put in so many enigmas and puzzles that it will keep the professors busy for centuries arguing over what I meant", which would earn the novel "immortality".
 sumber : Wikipedia

Catatan tentang singgahan Joyce ke Paris ini juga disebut
pada gambar yang dipamerkan di The James Joyce Centre ini. 
 Tempat ini tidaklah sebenar Dublin Writers' Museum tetapi cukup untuk menampung maklumat dan barang-barang pameran khusus untuk James Joyce. Pada bahagian belakang rumah ini disediakan ruang terbuka. Boleh minum kopi atau mahu bersantai-santai mencerna maklumat yang telah diperoleh dari pintu masuk sehinggalah ke bahagian atas dan seterusnya ke sini. Latar belakangnya seperti sebuah mural yang dihiasi imej-imej watak dan latar dalam karya-karya Joyce.

Saya berehat di situ sambil mencatatkan beberapa perkara yang mesti ditulis dalam buku khas kembara supaya tidak lupa.Terima kasih kepada Ainun yang rajin mengabadikan momen seperti ini.

Sebelum meninggalkan tempat itu, saya tidak bercadang membeli sebarang cenderamata kerana sudah membeli naskhah Dubliners sewaktu di kedai buku Dublin Writers Museum. Lalu, saya capai sebuah buku berjudul kecil berjudul "Copyright and Joyce - Litigating the Word: James Joyce in the Courts" tulisan Robert Spoo, seorang profesor madya undang-undang di University of Tulsa College of Law. Namun, Ainun beriya-iya mahu belikan saya sesuatu. Lalu, saya terima sebuah beg kain yang seringkali saya usung ke sana ke mari sejak pulang ke Malaysia.

Terima kasih kepada Ainun yang menghadiahkan
beg dengan nama penulis Irish ini.
Menambah koleksi beg kain yang sering
bertukar-tukar dan saya guna akhir-akhir ini.
Kami tinggalkan James Joyce Centre dengan rasa puas yang berganda. Dua dos Kembara Sastera Dublin dalam masa setengah hari. Kami harus ke satu dua tempat lagi sebelum muzium-muzium di sini ditutup pada pukul 5.00 petang.

Namun, saya tidak dapat mengurung rasa gembira dan bahagia yang luar biasa ini. Tambah bahagia lagi apabila Ainun yang menjadi teman sepanjang jalan ini membuatkan saya dapat berkongsi rasa dan tidaklah tersenyum seorang diri seperti mana di Edinburgh dan Lake District tempoh hari. Saya ada seseorang yang dapat saya kongsi perasaan ini. Benarlah, kata pujangga, rasa bahagia dan sebarang kejayaan itu tidak bermakna jika kita tidak dapat berkongsi rasa dengan orang yang turut sama memahaminya.

Saya masih mahu berbahagi lagi perasaan bahagia di sini. Oleh sebab saya sudah membeli banyak poskad sewaktu di Volume Bookshop, saya mohon Ainun menunjukkan saya tempoh untuk beli setem dan mahu kirim poskad-poskad itu. Dia membawa saya ke tempat yang terbaik : General Post Office yang juga merangkap sebuah muzium pos di Dublin.

Kad untuk keluarga, seorang sasterawan dan beberapa sahabat
Membeli setem
Posto! Posto!







Isnin, Ogos 08, 2011

Kembara Sastera 23 : Dublin Bhg. 5

Dublin Writers Museum bukan sahaja untuk penulis buku sastera @ buku serius. Tempat ini turut meraikan penulis-penulis buku kanak-kanak yang berasal dari tempat ini. Mungkin tidak ramai yang saya kenali namanya. Namun, adakalanya judul karya terus dapat memperkenalkan pengarangnya kepada pembaca. Kita pun akan terfikir :

"Eh, di mana pernah aku dengar nama ini?" atau
"Judul buku ini seperti pernah kudengar..."

Lalu, apabila terpandang nama Marita Conlon-McKenna dalam barisan nama-nama pengarang karya kanak-kanak Ireland, saya tidak pandang dua kali. Tetapi, apabila catatan itu menyatakan novel kanak-kanak yang ditulisnya ialah Under the Hawthorn Tree, itu membuatkan deria-deria fikir saya terangsang dan teringat pada imej buku tersebut.

Mengapa judul buku ini terasa familiar?

Sebab buku yang sama pernah diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Di Bawah Pohon Hawthorn. Majlis pelancaran buku ini pernah dirakam oleh KlikDBP dan melalui carian, saya menjumpai tulisan mengenai majlis tersebut.

Penterjemah Puan Hajah Ramlah Muhammad (tengah) bergambar
bersama-sama wakil Kedutaan Ireland dan Ketua Pengarah DBP.
  "Novel ini mengisahkan tiga beradik, Eily, Michael dan Peggy  yang mengharungi kehidupan sukar pada zaman kebuluran besar yang melanda Ireland pada tahun 1880-an. Akibat kebuluran, adik bongsu  mereka meninggal dunia dan dikebumikan di bawah pohon hawthorn. Ibu bapa mereka keluar mencari makanan,  namun tidak kembali dan dipercayai telah mati. Untuk mengelakkan diri daripada menjadi buruh paksa dan tinggal di rumah perlindungan  orang miskin, mereka keluar dari rumah dan merantau beratus-ratus batu untuk mencari nenek saudara mereka. Dalam perjalanan, mereka menyaksikan kesengsaraan akibat kebuluran – orang ramai berebut-rebut makanan, kanak-kanak terbiar, orang ramai beratur panjang di dapur sup untuk orang miskin, pengemis, penyakit  dan serangan anjing liar. Dengan diketuai oleh Eily yang berumur dua belas tahun, mereka terpaksa mencari makanan untuk mengalas perut, melindungi diri dan mencari jalan ke tempat yang ditujui." (Sumber di sini)
Gambar dan maklumat tentang pengarang dipamerkan di
Dublin Writers Museum - bahagian buku kanak-kanak Ireland
 Di sini juga baru saya tahu sebenarnya buku Under the Hawthorn Tree ialah buku pertama daripada siri "The Famine Trilogy" (Trilogi Kebuluran). Buku yang kedua ialah Wildflower Girl dan ketiga ialah Fields of Home.

Marita Conlon-McKenna

Semua sumber tentang Marita Conlon-McKenna dan buku-bukunya dipetik dari sini.

Bahagian kanak-kanak yang khusus di Dublin Writers Museum ini bukan sekadar mengangkat seorang pengarang ini sahaja. Sungguh ramai dan tidak semuanya saya kenali. Tetapi, itu tidak penting. Membaca karya mereka nanti juga boleh membuat saya perlahan-lahan mengenali siapakah pengarang-pengaran ini. Tidak guna jika kita berasa takjub dan teruja dengan pengarangnya tetapi kita tidak pernah sekali pun membaca karya-karyanya. Jadi, biarlah saya kenal karyanya dahulu sebelum saya ambil tahu tentang pengarangnya dengan lebih lanjut.

Buku bersaiz besar - supaya kanak-kanak boleh
'tenggelam' dalam dunia buku!
Pool of Youth - susunan cermin dan batu
Sesuai dengan namanya ruangan untuk pengarang kanak-kanak, ruang ini juga dibuat sungguh kondusif untuk pembaca cilik. Sejak awal lagi, kanak-kanak di sini sudah berpeluang mengenali siapakah pengarang buku mereka. Ruangan yang mempamerkan buku dan pengarangnya ini disusun dengan cara yang ceria dan sesuai untuk menarik perhatian kanak-kanak. Ada boneka watak-watak yang 'dihidupkan' semula. Ada mock-up buku yang dibesarkan saiznya. Ada replika pool of youth yang mungkin sahaja wujud dalam mana-mana buku cerita kanak-kanak. Terdapat juga sebuah pentas yang sesuai untuk melakukan sesi bercerita, pementasan drama dan acara-acara berkaitan yang turut boleh menghidupkan suasana di sini.

Pentas. Ada buku mock-up. Watak daripada buku yang ditampal
pada dinding, juga nama pengarangnya di bawah setiap imej.
Demikian, pengarang diraikan di sini. Pengarang buku kanak-kanak bukanlah penulis kelas kedua tetapi sama penting dengan sasterawan lain yang diangkat. Pun, harus diingat bahawa pengarang buku kanak-kanak di sini menghormati pembacanya. Menulis buku untuk kanak-kanak bukanlah sesuatu yang boleh dianggap enteng dan mudah. Saya faham bagaimana sukarnya untuk 'turun' ke aras pemikiran kanak-kanak tanpa memperkecilkan mereka. Kesukaran itu ialah cabaran kepada pengarang buku kanak-kanak. Tidak boleh sama sekali membina sikap, 'ah, buku kanak-kanak bukannya susah, satu hari boleh siap 5 - 6 cerita sehari!'

Sisi lain pentas. Bayangkan, boleh berdiri dan
bercerita / berlakon dengan buku besar itu
sebagai latar belakang. Pasti kanak-kanak turut
'masuk' dan larut ke dalam cerita
Dengan sikap yang demikian, saya melihat buku untuk kanak-kanak (khususnya dalam Bahasa Melayu) dihasilkan dengan sambil lewa, sekadar mahu mendapat kontrak perpustakaan (walau bukan semuanya begitu). Walaupun warna-warni dan dalam edisi mewah (kulit tebal, harga mahal) namun, kandungannya tidak banyak yang menggugah minda kanak-kanak. Masih ada pengarang yang bernostalgia dengan zaman kanak-kanaknya. Kanak-kanak sekarang memiliki minda yang lebih hebat, selaras dengan pendedahan media elektronik dan media alternatif yang menawarkan banyak maklumat dengan sekelip mata. Lantas, buku harus menawarkan sesuatu yang tidak ada dalam media-media yang lain.

Saya dan Ainun terasa seperti menjadi kanak-kanak semula apabila berada di ruangan pengarang kanak-kanak ini. Betapa kanak-kanak itu penuh dengan imaginasi dan angan-angan. Pun, setelah kita semakin dewasa, kita sendiri yang membunuh imaginasi dan sekali gus membunuh kreativiti serta potensi diri.

Usah berhenti bermimpi dan mengejar serta mengerjakan mimpi kita! Kita harus cari peluang untuk hidup di dalam impian, bukan sekadar mengimpikan sebuah kehidupan.

Ruangan ini terlalu indah untuk kami tinggalkan. Namun, kami harus beredar ke bahagian yang lain. Agak lama juga kami di sini. Lebih dua jam, saya fikir. Perut masih kenyang kerana makan "Nasi Goreng Dublin" di apartmen Ainun. Jadi, kami tidak singgah minum kopi dulu di sini, tetapi tetap meninjau bagaimanakah rupanya Chapterhouse Cafe. Lalu, kami ambil gambar kafenya sahaja.
Kafe yang masih lagi mempamerkan gambar-gambar penulis tempatan.
Saya membayangkan sebuah kafe di Malaysia yang mempamer gambar penulis
kita. Mungkin di kafe DBP harus ada!

Rak buku khusus untuk penulis Irish
Pintu masuk kedai
Selepas itu, terus ke Volume Bookshop membeli cenderamata. Ini sebenarnya kedai buku (sesuai dengan namanya Volume Bookshop) yang juga menjual cenderamata. Ah, kami larut lagi di dalam tempat ini. Betapa saya menyabarkan diri untuk tidak membeli banyak buku kerana saya tidak mahu 'tersangkut' di Lapangan Terbang Dublin kerana RyanAir menahan saya daripada naik kapal terbang (atau bayar kos yang tinggi kerana beg berat dek buku). Saya memujuk diri bahawa buku-buku yang boleh dipesan secara online melalui Amazon atau Book Depository tidak perlulah saya bersusah payah membelinya di sini. Memanglah kepuasan membeli secara terus berbeza dengan pembelian online, namun saya harus berfikir secara praktikal. Membeli hanya benda yang sukar diperoleh secara online.


Lalu saya membeli Dubliners - kumpulan cerpen James Joyce bersaiz mini (6" x 4") berkulit tebal dengan harga 8.99 Euro. Tidak ketinggalan, membeli poskad untuk dipos kepada sahabat istimewa dan semestinya, kirim poskad kepada diri sendiri sebagai satu bukti saya sendiri telah sampai ke tempat berkenaan.

(Mungkin suatu hari nanti, saya ada poskad yang cukup banyak untuk diterbitkan sebagai 'self-addressed postcard' book!)
Kalau boleh, saya memang mahu membeli poster penulis-penulis Irish tetapi, saya sukar untuk membawanya ke mana-mana untuk kembara yang seterusnya dan tidak mungkin dimasukkan ke dalam bagasi kerana poster itu nanti akan terkeronyok. Jadi, saya rakam dengan minda sahaja dan untuk memujuk diri juga saya redha membeli poskad yang memaparkan Irish Writers.

Dalam perjalanan keluar dari kedai Volume Bookshop dan seterusnya dari Dublin Writers Museum, saya tertarik dengan lukisan Mia Funk yang memaparkan imej-imej pengarang Irish dalam lukisannya yang berjudul "The Audience: Irish Writers' - Blue".

Antara penulis dalam gambar ini ialah James Joyce, Samuel Beckett, W.B. Yeats,
Brendan Behan, Oscar Wilde, George Bernard Shaw, J.M. Synge, Edna O'Brien,
Seamus Heaney, Patrick Kavanagh dan Sean O'Casey. (Lukisan ini diberikan
kepada Dublin Writers Museum oleh pelukisanya sendiri)

Selesai satu lokasi wajib untuk saya dalam Kembara Sastera edisi Dublin. Seterusnya ada satu lagi lokasi. Terus terang saya tidak tahu di mana letak duduknya "James Joyce Centre" - pusat yang mengangkat secara khusus pengarang kelahiran Dublin yang dikatakan mempunyai 17 buah rumah di Dublin sahaja. Saya serahkan semuanya kepada Ainun. Kami tinggalkan Dublin Writers Museum dengan rasa puas dan mendapat ilmu serta maklumat baharu. Apatah lagi, mengenali lebih ramai pengarang Irish dan dapat meluaskan lagi pilihan bahan bacaan.




Selasa, Ogos 02, 2011

Kembara Sastera 22 : Dublin Bhg. 4

Dublin Writers Museum bukanlah tersorok, tetapi bangunannya yang bersambung dan senada dengan bangunan-bangunan lain di Dublin menyebabkan kedudukannya seperti tersembunyi.

Koleksi poskad yang saya beli tentang
"Doors of Dublin" yang unik ini
Mungkin ada yang pernah mendengar tentang "Dublin Doors". Pintu-pintu rumah di Dublin yang sama tetapi dibezakan oleh warna-warna tertentu. Gaya seni bina Georgian yang mendominasi pintu-pintu rumah di Dublin ini menjadikan pintu utama Dublin Writers Museum juga tidak terkecuali.


Saya merenung pintu masuknya dari seberang jalan. Rasa teruja dan saspens berbaur dalam satu masa. Masih ada rasa tidak percaya bahawa saya sudah sampai ke tempat yang hanya saya baca di internet sahaja. Dan, beberapa saat lagi saya akan melangkah masuk dan menjelajah setiap inci muzium ini. Namun, pada saat itu, saya seperti mahu menyimpan imej dan kenangan berada di hadapan muzium itu di dalam fikiran selain menikmati saat itu sendiri!

Alhamdulillah, saya sudah temui satu lagi tempat penting yang dicatatkan dalam rangka perjalanan. Inilah bandar yang meraikan sastera dan penulis. Dengan rasa tidak sabar, saya mahu melangkah masuk tetapi dalam masa yang sama saya mahu menikmati setiap langkah yang saya lakukan.

Pastinya, mesti banyak bergambar di hadapan muzium ini. Ainun yang menemani saya pada setiap langkah perjalanan ini juga menjadi jurufoto rasmi sepanjang masa saya di Dublin ini.

Dua tempat yang saya paling bahagia bergambar :
Dublin Writers Museum & Writers Museum (Edinburgh)

Ada dua segmen menarik pada pintu masuk Dublin Writers Museum ini selain antipasi untuk 'bertemu' dengan para penulis yang diabadikan di dalamnya : di sini juga ada restoran yang dinamakan Chapter One Restaurant dan kedai buku yang dinamakan Volume Bookshop. Kedua-duanya memberikan nuansa kepada sisi kesusasteraan dan kepengarangan kepada tempat ini.

Langkah # 1 - Membeli tiket masuk. Ya, tempat ini bukan percuma. Muzium ini berbayar dengan kadar 7.50 Euro (dewasa). Boleh juga beli tiket '2 dalam 1'. Bayar 11.50 Euro dan dapat masuk 1 tempat yang lain selain Dublin Writers Museum. Boleh pilih sama ada mahu ke James Joyce Museum atau The Shaw Birthplace, atau Malahide Castle.

Langkah # 2 - Setiap pengunjung diberikan alat digital audio tour seperti gambar di sebelah. (Nota : ini bukanlah alat yang sebenar. Imejnya diambil daripada "Titanic Museum"). Soalan pertama yang timbul ketika diberikan alat ini ialah bagaimana menggunakannya?

Langkah # 3 - Saya perempuan. Apa-apa hal, baca manual dulu. (Dalam hal ini, dengar manual dulu). Disediakan satu butang untuk mendengar cara menggunakan alat ini. Fungsinya seperti sebuah telefon. Namanya pun 'audio'. Jadi, letak di telinga dan bukan pada mana-mana anggota badan yang lain!


Langkah # 4 - Dublin Writers Museum ada bilik-bilik yang mempamerkan barang-barang peribadi penulis selain memperkenalkan sejarah penulis-penulisnya. Pada setiap pameran diberikan nombor khusus. Jika mahu dengar tentang Jonathan Swift, misalnya, lihatlah nombor di bawah gambar penulis itu. Kemudian tekan nombor yang sama pada alat digital audio tour. Ada audio yang akan menerangkan setiap ekshibit.

Alat ini juga membuatkan pengunjung mendapat penerangan mengikut tempo dan tempoh yang sesuai. Ada orang mahu dengar dengan cepat, jadi boleh skip pada bahagian penulis yang tidak diminati. Ada yang mahu dengar penerangannya beberapa kali, boleh tekan butang yang sama berkali-kali.

Boleh berada di dalam muzium ini sehari suntuk jika mahu dengan kadar bayaran yang sama dan mendengar audio ini berulang-ulang kali.

Nah, pada saya ini pelaburan yang disifatkan one-time investment pada alat sedemikian. Tidak perlu bayar gaji pada jurupandu muzium yang harus beri penerangan berulang-ulang.

Ada apa dalam Dublin Writers Museum ini?

Semuanya tentang penulis yang berasal dari Ireland atau dikenali sebagai The Irish Writers. Peribadi, saya pukul rata sahaja semua penulis Inggeris. Saya percaya ada juga antara kita yang tidak pasti sama ada penulis itu dari Amerika Syarikat atau Kepulauan British atau Eropah. Kita sering beranggapan semua penulis berkulit putih itu datang dari satu kawasan yang kita anggap 'penulis kulit putih'. Jarang sekali kita mahu beri segmen tertentu seperti penulis Eropah, British, Irish, Amerika Syarikat, Canada dan sebagainya.

Ketika berada di Dublin Writers Museum ini mata saya lebih terbuka. Baru saya tahu yang kebanyakan penulis yang pernah saya baca karyanya sejak kecil merupakan penulis-penulis Ireland atau The Irish Writers. Kepada yang banyak membaca sastera Inggeris pasti biasa mendengar nama-nama seperti Oscar Wilde, Jonathan Swift, W.B. Yeats, Samuel Backett dan James Joyces. Nama-nama besar ini semuanya orang Irish!

Kepada yang masih tertanya-tanya siapakah mereka ini, selain merujuk kepada pautan yang disediakan pada setiap nama, berikut saya senaraikan karya penting kepada setiap pengarang :


  • George Bernard Shaw (Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1925) - Pygmalion (yang kemudiannya diadaptasi menjadi filem "My Fair Lady"
  • Oscar Wilde - Picture of Dorian Gray, The Importance of Being Earnest
  • Jonathan Swift - Gulliver's Travels
  • William Butler Yeats (Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1923) - Penyair, karyanya dihimpunkan dalam "Collected Works of Yeats" dan lain-lain
  • Samuel Beckett (Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1969) - Waiting for Godot
  • James Joyce - Dubliners, A Portrait of the Artist as a Young Man, Exiles and poetry, Ulysses, Finnegans Wake
  • Séamus Heaney - (Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1995) karyanya terdiri daripada puisi, prosa dan drama
(Sekadar menyebut beberapa nama penulis Irish yang penting dan signifikan dalam kesusasteraan Inggeris. Untuk senarai yang lebih panjang sila lihat "Senarai Penulis Irish".)

Bahagian dalam muzium ini tidak dapat difoto kerana menghormati hak tempat ini. (Namun, jika anda google dengan menaip nama muzium ini, ada imej yang boleh dilihat; tetapi imej itu biarlah bukan dari blog ini.)

Imej dari laman web :
Dublin Writers Museum
Muzium ini kelihatan kecil, tetapi panjang ke belakang dan ada banyak bilik. Bangunannya dua tingkat dan pada bahagian bawah ditumpukan khusus kepada sejarah kesusasteraan Irish dan penulis-penulis terawalnya. Penerangan dan pamerannya tidak membosankan lebih-lebih lagi dengan bantuan digital audio tour yang dibekalkan kepada setiap pengunjung.

Pada setiap dinding ada gambar penulis, penerangan dan maklumat berkaitan. Ada meja yang dijadikan showcase dan barang-barang peribadi penulis yang dijadikan koleksi muzium ini seperti mesin taip, manuskritp, buku, pen, paip atau cerut (bergantung kepada penulis), pakaian dan sebagainya.
Imej dari laman web :
Dublin Writers Museum

Di tingkat atas, ada disediakan ruang yang luas. Sesuai untuk acara seperti baca naskhah dan diskusi karya. Ruang luas dengan tingkap rendah sehingga hampir mencecah lantai ini memberikan pencahayaan yang baik. Tempat ini juga jadi cukup terang dan saya boleh bayangkan banyak acara sastera yang boleh dimeriahkan oleh tempat ini.

Ruang ini boleh bergambar, lalu saya dan Ainun pun bergilir-gilir mengabadikan kenangan di kawasan ini. Pada dindingnya ada banyak potret penulis dan kepala patung (bust) penulis. Sesiapa sahaja boleh menjadi 'terilham' untuk membaca puisi dan membacakan baris-baris ayat naskhah yang pernah hidup dalam diri masing-masing. Barangkali faktor cahaya dan luas tempat ini serta cara susun aturnya.

Ruang terbuka pada tingkat atas. Menurut laman web Dublin Writers Museum,
ruangan ini boleh ditempah untuk acara sastera.

Tempat ini bukan sekadar muzium. Ada kutub khanah juga!
Masih ada banyak lagi yang mahu dikisahkan tentang muzium ini. Kami bersantai dan berehat di ruang antara bahagian hadapan muzium dan restoran kecil serta kedai buku di hadapannya. Di ruangan dengan atap lutsinar itu, kami mengambil nafas sebelum meneruskan penerokaan ke bahagian muzium ini yang lain. Khususnya kedai buku yang memerlukan lebih banyak stamina!

Ainun @ blogger Tuan Tanah di ruang santai muzium.
Inilah teman saya sepanjang jalan di Dublin.
Bahagia mendapat teman yang juga pencinta buku tegar.

Sehingga ke entri yang berikutnya.




Related Posts with Thumbnails