Isnin, Februari 27, 2012

Tan Sri Aishah Ghani :
Masih Seorang Pejuang!

Dari kiri : Puan Siti Rafiah dan Encik Mohd Khair (ITBM), Tan Sri Aishah Ghani dan saya
Jumaat lalu, rasa tidak sangka dapat melunaskan pertemuan dengan Senator Wanita Pertama Negara, Tan Sri Aishah Ghani. Saya menyertai rombongan kecil dari Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM, yang dahulunya dikenali sebagai ITNM) ke pejabat beliau di Kampung Baru.

Semuanya bermula dengan penemuan kembali buku "Ibu Melayu Mengelilingi Dunia" yang pernah saya tulis dalam entri terdahulu. Ekoran daripada rasa teruja saya dan sesungguhnya saya percaya inilah travelog wanita Melayu-Malaya yang pertama, saya fikir buku ini wajar diterbitkan semula. Melihat kepada halaman imprint buku asalnya, tidak dinyatakan mana-mana penerbit. Saya juga percaya buku ini telah diterbitkan oleh Tan Sri sendiri (self-published).

Hal itu, kami tanyakan sewaktu tiba di pejabat beliau. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM tiba lebih awal sedangkan saya, Encik Anuar Manshor dan Puan Siti Rafiah sedikit terlewat kerana hujan lebat yang mengguyur usai solat Jumaat.

Dengan tenang, Tan Sri menjawab bahawa buku tersebut diterbitkan dengan usaha suaminya. Apabila menyentuh hal suami, kami terus menanyakan tentang pengorbanan suaminya 'melepaskan' isteri dan sanggup pula menjaga anak-anak yang masih kecil kerana cinta pertama isterinya ialah untuk melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Tutur kata Tan Sri Aishah masih jelas, tenang dan sangat teratur.
Memang sukar menangkis sindrom 'apa kata orang' yang melanda (dan masih melanda) masyarakat Melayu pada ketika itu. Apatah lagi di Kampung Baru, katanya. Suaminya disindir-sindir atas tindakannya mengizinkan isteri sambung belajar. Orang keliling pula percaya bahawa isteri yang sudah berkahwin itu sudah mendapat segala-galanya dan patut belajar bersyukur dengan apa yang ada.

Namun, Tan Sri tidak begitu. Katanya lagi, suaminya tidak pernah sama sekali berasa dengki dengan status atau rezeki yang beliau peroleh. Suaminya adalah penyokong setia. "Tidak seperti sesetengah lelaki yang selalu dengki dengan apa yang isterinya dapat. Tidak boleh isteri lebih dari suami."

Memoir Seorang Pejuang (DBP, 1992)
Benarlah, bukan senang untuk mendapatkan pasangan seperti itu. Setia mereka hingga ke mati.

Alhamdulillah, Tan Sri bersetuju dan mengizinkan supaya bukunya itu diterbitkan semula. Pun, beliau bertanya, "Ada ke orang mahu baca buku seperti ini?"

Serentak kami menjawab, "Ada!"

Malah, naskhah saya sendiri yang dibuat salinan dari Perpustakaan Universiti Malaya, iaitu satu-satunya naskhah yang saya ada. Beliau pernah menulis memoir berjudul "Aishah Ghani - Memoir Seorang Pejuang", tetapi "Ibu Melayu Mengelilingi Dunia" ialah sebuah travelog!

Antara perjuangan atau tindakan yang dilakukan semasa Tan Sri masih aktif ialah mengusulkan supaya semua hotel wajib meletakkan tanda arah kiblat. Menurut Tan Sri, sebuah dewan ketawakan dia kerana usul itu. Hari ini, setiap kali kita masuk ke hotel, sebagai orang Islam, itulah perkara pertama yang dicari dahulu!

Beliau turut bercerita betapa usulnya yang sudah beratus-ratus kali disuarakan sama ada di Parlimen atau di dalam majlis-majlis yang sewajarnya supaya setiap pemaju perumahan, selain menyediakan masjid dan kawasan taman permainan, mestilah menyediakan sebuah perpustakaan. Hal ini masih lagi tidak diambil berat oleh pihak berwajib. Beliau turut kesal betapa budaya mencintai ilmu masih terlalu cetek dan hedonisme yang melampau-lampau.

Bergambar kenangan
Usia beliau kini sudah 88 tahun tetapi masih aktif bergerak ke sana ke mari, tidak betah hanya duduk di rumah dan masih membaca sekurang-kurangnya 2 buah akhbar setiap hari. Hasilnya, mindanya masih segar dengan daya ingatan yang utuh. 

Pertemuan sekitar 45 minit itu berlangsung dengan rasa puas di hati kami semua.

Insya-Allah, "Ibu Melayu Mengelilingi Dunia" ini akan menemui pembaca yang masih sudi menelusuri laluan kembara wanita Melayu yang punya jati diri, keteguhan peribadi, semangat juang dan rasa keinginan untuk memajukan bangsanya.

4 ulasan:

mxypltk berkata...

Kalau ada penglibatan ITBM, adakah itu bermakna travelog Tan Sri Aishah adalah dalam bahasa Inggeris?

HAKIM

Nisah Haji Haron berkata...

Sdr Hakim,

Travelog ini dikekalkan dalam Bahasa Melayu. Harus diingat semula bahawa ITBM kini sudah mendapat ruang untuk menerbitkan karya-karya asli di dalam Bahasa Melayu dan tidak terikat kepada buku-buku terjemahan sahaja.

Pun, itu tidak menghalang buku ini daripada diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris selepas edisi Bahasa Melayunya diterbitkan kelak.

BOZZ berkata...

Bagaimana saya boleh dapatkan buku ini? Sebab saya sedang membuat kajian mengenai diri beliau.

Nisah Haji Haron berkata...

BOZZ,

Buku ini sedang dalam proses penerbitan semula oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia - ITNM). Jika sdr perlu bacaan segera, naskhah "Ibu Melayu Mengelilingi Dunia" boleh didapati di Perpustakaan Universiti Malaya.

Related Posts with Thumbnails