Sabtu, Mac 31, 2012

Kembara Sastera Italiana -
Venice, Akhirnya Kujejaki Jua!

Cita-cita untuk berada ke Venice mungkin sudah agak lama, tetapi ia lebih sekadar angan-angan. Pada saya cita-cita ialah sesuatu yang diusahakan dan jalan untuk ke sana dikerjakan dengan sungguh-sungguh. Angan-angan pula sekadar impian dan bermenung, mengeluh dan membayangkan perkara itu akan berlaku, tetapi kita sendiri tidak menggerakkan hatta seruas jari.

Apabila mendapat peluang untuk ke Bologna Children's Book Fair, angan-angan itu bertukar menjadi cita-cita. Saya belum tahu, apakah akan ada peluang lain untuk ke Itali lagi. Jadi, saya cuba aturkan perjalanan melalui pembacaan di internet. Tidak mampu lagi untuk mengatur perjalanan menggunakan khidmat agen pelancongan. Lagipun, agen pelancongan hanya tahu lokasi pelancongan. Saya tertanya-tanya juga apakah agen pelancongan tahu tempat Thomas Mann menulis karyanya "Death in Venice" atau di mana Hemingway selalu lepak-lepak dan minum kopi di San Marco Venice? Atau benarkah mereka tahu di manakah tempat tinggal Marco Polo sebelum dia keluar dari Venice bersama-sama Antonio Pigafetta, meredah Laut Adriatik dan keluar menjelajah dunia?

Lagipun, menyelongar dan meneroka sendiri berdasarkan beberapa maklumat daripada pembacaan ternyata lebih murah dan mengujakan walaupun lebih mencabar.

Venezia (Venice) ialah satu daripada daerah kecil Veneto. Sumber di sini.

Secara mudah, Venice atau Venezia mengikut lidah orang tempatan, terletak di dalam daerah Veneto, satu daripada 20 daerah di Itali. Venice terdiri daripada Venice tanah besar dan pulau-pulau kecil yang membentuk Venice kepulauan. Tempat orang selalu naik gondola, bot dan banyak jambatan itu, ialah Venice kepulauan. Lokasi pelancongan dan tempat-tempat menarik letaknya di pulau.

Pembahagian kawasan Venice (pulau). Sumber di sini.

Sebaik-baik sahaja melangkah keluar dari stesen terakhir, Venezia Santa Lucia, Venice menyambut saya dengan pemandangan yang indah lagi memukau.

Bangunan.
Terusan.
Jambatan.
Pemandangan bangunan dan terusan utama ini menyambut ketibaan saya
sebaik-baik keluar daripada Stesen Venezia Santa Lucia

Kesemuanya, bukanlah seberang bangunan, terusan atau jambatan. Seni bina setiap satunya yang berseni, punya nilai estetik dan tidak mungkin akan diadakan lagi oleh manusia moden zaman ini. Manusia moden lebih suka seni bina yang simplistik dan berkotak-kotak. Mungkin inilah yang membezakan antara bangunan lama dan bangunan moden.

Bahagian luar Stesen Venezia St. Lucia apabila saya menoleh ke belakang

Saya pula adalah pengembara muda yang mencari kembali sesuatu yang lama dan yang telah lama ditinggalkan.

Dengan ini, impian saya untuk menjejaki Venice tercapai sudah!

Jambatan pertama yang saya lintasi di Venice. Paling hampir dengan
Stesen Venezia Santa Lucia.
Mata saya terus memerhati setiap yang singgah pada pandangan. Matahari sudah mula condong ke barat. Pukul 5.00 petang bererti sekitar sejam lebih lagi waktu maghrib akan masuk di kawasan Venice. Namun, mengambil gambar sewaktu matahari bakal terbenam adalah suasana yang mengasyikkan. Pun, ada yang lebih penting. Saya perlu lunaskan solat zohor/asar secara jamak dan qasar. Langkah terus diatur mencari tempat penginapan yang hanya selama ini dilihat di dalam peta.

Maklum sahaja apabila sampai ke tempat yang baharu. Mata tidak dapat tidak menjeling-jeling ke sana-sini; kerana setiap yang dilihat adalah sesuatu yang baharu pada mata. Khususnya, papan tanda tentang makanan di sebelah ini. Maklumatnya sekali pandang memudahkan kita untuk memilih jenis tempat makan yang betul.

Maklumat ringkas ini amat membantu saya sekiranya saya sampai ke mana-mana tempat makan di sekitar Itali. Memahami istilah akan menyelesaikan banyak kekeliruan. Apatah lagi, berada di negara bukan Islam, pastilah harus hati-hati dari aspek pemakanan.

Saya berjalan terus sambil mengambil gambar pada sudut-sudut pengambaran yang baik. Di dalam lipatan peta saya menyemak kembali nama hostel penginapan : L'Imbarcadero yang bermaksud dermaga.

Saya terus meneroka langkah awal di Venice. Petang semakin condong.



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails