Syair Ulasan Buku "Bijak Si Katak Bijak"

PERTANDINGAN ULAS BUKU ITBM DI BLOG/ FACEBOOK

Bijak Si Katak Bijak
Siti Zainon Ismail
RM30.00 / RM35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9789830688787
Tahun terbit: 2012
Jumlah muka surat: 107 (tidak termasuk kulit)
No Resit : ITNM  000615

 Syair Ulasan Buku - Bijak si Katak Bijak


Wahai tuan baik budiman,
Inilah buku hamba ulaskan,
Isinya baik buat pedoman
Siapa membaca bertambah hairan.

Tajuknya baik tidak terlajak, ,
Namanya "Bijak Si Katak Bijak",
Inilah buku untuk anak-anak,
Ibu membaca sangatlah sajak.

Siti Zainon nama pengarang
Lukisannya cantik bukan sebarang
Bahasanya lembut intan dikarang,
Siapa membaca terkenang-kenang.

Buku ini bergabung tiga,
Rumi, jawi, lukisan pun ada,
Satu buku mendapat semua,
Anak-anak ruginya tiada.

Lukisannya mudah tetapi indah,
Siapa memandang hatinya ghairah,
Membaca jawi tak jadi susah,
Membaca rumi tak akan gelisah.

Katak bukan sebarang katak,
Ini puisi katak yang bijak,
Bukan tinggal di dalam kotak,
Serata alam ia berpijak.

Rupanya katak banyak tempurung,
Selalu berhijrah serata kampung,
Hidupnya bebas tidak terkepung,
Pandangannya luas seperti burung.

Buku ini empat bahagiannya,
Setiap satu khusus cerita,
Membaca, menulis juga mengira,
Segala yang asas ada diajarnya.

"Mari Belajar" di bahagian pertama,
Kisah katak umurnya muda,
Katak melompat sejak mula,
Mula kenal tentang budaya.

Budaya pertama kasih dan sayang,
Kasih ibu datang melayang,
Nakal lasak semua ditatang,
Direndam sekalipun takkan hilang.

Budaya kedua tentang makanan,
Untuk anak-anak sihatkan badan,
Susu, nasi, dan juga ikan,
Zat dan vitamin juga dimakan.

Budaya ketiga cintakan ilmu,
Mengenal huruf barangnya tentu,
Rajin belajar hormatkan guru
Penuh semangat tiada jemu.

Cintakan bahasa budaya keempat,
Barulah budaya cukup bersifat,
Kuasai bahasa penuh manfaat,
Kawal dunia sudut yang empat.

Asas mengira katak belajar,
Merenung bulan, bintang berpagar,
Malam indah otak pun segar,
Semua angka diingat berjajar.

Banyak ilmu alam semesta,
Mengenal haiwan, mengenal manusia,
Semua ada fungsi dan kerja,
Tuhan tetapkan tidak berlaga.

"Kerja Harian" di bahagian kedua,
Anak-anak mengenal perkara biasa,
Walapun begitu, jarang berjumpa,
Hidup moden banyak yang lupa.

Katak dibawa ke kebun labu,
Sesekali mencabut si ubi kayu,
Macam-macam ada di dalam buku,
Boleh belajar segala laku.

Suasana kampung Siti Zainon bawa,
Memancing ikan, labu ditempa,
Anak-anak sekarang susah berjumpa,
Budaya Melayu ramai dah lupa.

Budaya masakan banyak di sini,
Bubur kacang, lempeng dan kari,
Semuanya ibu buat sendiri,
Enak semuanya tak payah dibeli.

Pengarang mengajar hormatkan ibu,
Apa dimasak, dimakan lalu,
Sedap tak sedap usah mengadu,
Belajar bersyukur atas rahmat-Mu.

Sesudah makan, "Mari Bergendang"
Bahagian ketiga pula terhidang,
Pukul rebana sambil berdendang,
Warisan kita terus dikenang.

Tarian lilin, silat pendekar,
Anak melihat matanya segar,
Warisan Melayu hidupnya mekar,
Mari pertahankan usahlah gentar.

Joget gamelan diajar juga,
Bukan sekadar tariannya sahaja,
Nama bunga di atas kepala,
Lenggang dan goyang semua bernama.

Katak menunggang sang semberani,
Tuju ke awan capai matahari,
Orang Melayu sudah lama berani,
Anak-anak mesti tahukan diri.

"Cerita Rakyat" di bahagian akhir,
Hikayat sebelum kita lahir,
Segala tersirat tak sama yang zahir,
Mengajak anak sama berfikir.

Cerita Badang gagah perkasa,
Juga Temasik jadi Singapura,
Kisah teladan untuk semua,
Bukan sekadar dongeng belaka.

Kisah todak melanggar Singapura,
Membenteng negeri dengan paha,
Akal budak yang bijaksana,
Dihapus kuasa yang tamak dan loba.

Banyak cerita Siti Zainon beri,
Semuanya penuh makna dan isi,
Boleh dibaca berkali-kali,
Menang membaca, alah membeli.



Ulasan

Catatan Popular