Hang Tuah :
Satu daripada Tiga Genius Orang Melayu!

Saya tinggalkan tugas hakiki buat seketika.

Saya tinggalkan tesis juga.

Saya berkejar ke Wisma Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk mendengar buah fikir antara Sasterawan Negara yang amat saya senangi - Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Saya tahu beliau akan membincangkan tentang pengalamannya menterjemah satu karya besar milik orang-orang Melayu : Hikayat Hang Tuah.

Saya tidak peduli apabila ada sesetengah pihak mengatakan Hang Tuah itu tidak wujud. Saya lebih tidak peduli dengan mereka yang bersetuju tanpa sekalipun mengimbas halaman teks Hikayat Hang Tuah. Biarlah mereka dengan pendapat masing-masing.

Pada saya, Hang Tuah itu wujud dan merupakan karya yang mesti dibaca orang-orang Melayu berkali-kali di dalam hidupnya. Paling 'kokak' pun sekali seumur hidup!

Bacalah teks yang asal betapa kisahnya menginspirasikan dan sangat jauh berbeza daripada filem Hang Tuah (1956) lakonan P. Ramlee (arahan Phani Majumdar) atau filem Hang Jebat (1961) arahan Husain Haniff yang mengangkat Hang Jebat sebagai hero rakyat. Kita pun dibesarkan dengan ingatan secara visual yang dimainkan berkali-kali. Kita pun jadi percaya bahawa yang benar dan teraniaya itu tetaplah Hang Jebat.

Lebih mengharukan Hang Tuah (lakonan M. Nasir) di dalam filem Puteri Gunung Ledang (2004) berguling-guling di dalam lumpur seperti manusia tiada maruah kerana gilakan Puteri Gunung Ledang @ Puteri Majapahit. Di MPH versi ini sungguh berleluasa sekali kisah skandal Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang ini sehingga dipentaskan berkali-kali kesilapan mentafsir teks di Istana Budaya!

Mukadimah Hikayat Hang Tuah (terbitan ITBM)
Padahal, jika kita benar-benar membaca teks, Hang Jebat bukanlah sebenarnya mahu membela kematian Hang Tuah. Ya, mungkin pada awalnya begitu. Niatnya terpesong apabila mendapat kuasa. Dia lebih banyak menggunakan kesempatan itu untuk kepentingan dirinya, menggunakan harta raja (yang didakwa sebagai harta rakyat itu) untuk kepentingan dirinya, bersuka-sukaan di dalam istana, berzina, membunuh dayang dan akhirnya, mahu menjadi raja! Itukah ikon yang memperjuangkan rakyat? Fikir semula.

Di dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat adalah gambaran manusia biasa yang tiba-tiba mendapat kuasa dan terpancarlah dirinya yang sebenar. Tidak mampu mengawal segala bentuk nafsu yang menguasainya.

Hang Jebat menjadi hero sosialis dan ikon kepada sebarang bentuk anti-establishment. Mengangkat Hang Jebat sebagai hero rakyat apatah lagi wira orang-orang Melayu samalah seperti menganggap Jack Sparrow sebagai hero! Betapa filem dan visual telah menyebabkan ramai antara kita yang mengagung-agungkan lanun!


Peta Melaka berdasarkan teks HHT juga disertakan dalam edisi ITBM
Saya percaya orang-orang Melayu tidak ada wira sebenar apatah lagi wira dalam sastera. Ini juga antara propaganda mereka yang menafikan kewujudan Hang Tuah. Anak-anak muda yang tidak tahu hujung pangkal ini pun taksublah dengan dakwaan bahawa
  • Hang Tuah tidak wujud. 
  • Apa perlunya Hang Tuah
  • Mengapa perlu ada institusi beraja
dan banyak lagi soalan sehingga orang-orang Melayu sendiri sanggup menghina rajanya. Di Facebook beranilah hendak mengata-ngata. Tindakan bacul orang-orang zaman kini yang berani sekadar menaip di Facebook, tidak mampu berhujah apatah lagi memberi komen secara koheren dan kalau komen di blog pun cuma berani guna nama "anonymous" (entah sesiapa). Cubalah bertentang mata dan katakan apa yang anda berani hendak katakan. Sebab itulah kebanyakan blogger yang saya temui lebih banyak yang kelu apabila disuruh berkata-kata. Di blog, bukan main lagi beraninya. 

Kita diberikan rasa 'malu' jika menyebelahi Hang Tuah kerana Hang Tuah dalam filem digambarkan seperti 'tukang ampu/bodek' raja. Dia dikatakan terlalu setia sedangkan tidak diwajarkan kesetiaannya itu. Bukankah Hikayat Hang Tuah, malah semua teks yang mengangkat institusi raja tetap terikat dengan wa'adat Demang Lebar Daun dengan rajanya dalam Sulalatus Salatin! Hang Tuah atau mana-mana rakyat tidak mungkin akan derhaka kepada rajanya kerana sumpah itu. Jika raja itu zalim, baginda sendiri akan dimakan sumpah itu. Itulah yang berlaku kepada semua raja yang zalim di dalam Sulalatus Salatin, malah dalam mana-mana teks juga.

Hang Tuah bukanlah membunuh sahabatnya apatah lagi memusuhi Hang Jebat kerana dendam. Kesetiaannya itu, pada zaman ini disebut sebagai bersikap profesional. Hang Tuah dapat membezakan dirinya sebagai Laksamana (with licence to kill) dan kapasiti diri yang peribadi. Setelah menikam Jebat, dia tinggalkan kawasan itu. Jebat terus mengamuk, membunuh ramai rakyat Melaka yang tidak bersalah dan akhirnya sampai ke rumah Tuah.


"The Laksamana took his hand and led him into his village. He cleansed the blood from each part of Hang Jebat's body. When he was thoroughly cleansed, he took him to his house.

The Laksamana said, "My brother, do you want to eat some rice?"

Hang Jebat replied, "I beg your pardon, I shall not be able to repay your love for me, only Allah will reward you. If My Lord still has some love for me, I have a request." 


The Laksamana asked, "What is it?"


Hang Jebat replied, "I have an affair with Dang Baru, the maid of the Datuk Bendahara; she is now seven months pregnant. If she gives birth to a boy, would My Lord please take him and make him your servant to command? That is my request." 
(Hikayat Hang Tuah, ITBM, 2010, halaman 359 - 360)

Hang Jebat akhirnya mati di atas pangkuan saudaranya, Hang Tuah. Dan, itu bukanlah pengakhiran Hikayat Hang Tuah. Ada sisi ukhrawi tentang Hang Tuah yang tidak pernah sampai pada mana-mana versi filem.

Peta Perjalanan Hang Tuah mengikut teks HHT
Dalam sastera Inggeris, sesiapa sahaja akan mengakui bahawa Shakespeare ialah ikonnya, meskipun ada kontroversi terhadap kewujudan manusia bernama William Shakespeare itu. (Tonton filem Anonymous - 2011 yang menghujahkan bahawa Shakespeare itu hanyalah anak tukang buat sarung tangan yang tidak mungkin ada kemahiran menguasai pelbagai bidang ilmu seperti yang ditunjukkan di dalam drama-dramanya.)

Lantas, orang-orang Melayu tidak ada wira? Saya percaya semua wira dan keperwiraan bangsa Melayu cuba dihapuskan. Bermula dengan Hikayat Hang Tuah dan juga manuskrip-manuskrip lama yang tidak diberikan ruang pada zaman moden. Hikayat Hang Tuah yang sepatutnya menjadi teks yang menangkat keperwiraan bangsa Melayu wajib menjadi bacaan wajib di sekolah-sekolah. Namun, ini tidak berlaku.

Zaman kolonial telah meletakkan cerita-cerita lisan dan hikayat sebagai cerita dongeng. Kita tidak pernah menyangkal Winstedt, Swettenham dan terus-terus percaya dengan catatan-catatannya tentang orang Melayu. Cerita dan hikayat terus menjadi cerita dongeng sedangkan ada banyak pemikiran genius orang-orang Melayu yang gagal kita gali dari situ. Undang-undang kita juga lengkap tetapi terpinggir apabila Hukum Kanun Melaka tidak disenaraikan di dalam bahagian undang-undang tetapi termasuk di bawah kategori hikayat, seolah-olah kita ini sangat terkebelakang, orang-orang gasar tanpa tamadun dan undang-undang!

Kita terus dilabel 'malas' oleh bangsa lain kerana gagal melakukan kerja-kerja yang mendatangkan sumber ekonomi, sedangkan orang-orang Melayu tidak perlu bekerja keras seperti orang lain kerana bumi ini sungguh bertuah. Laman rumah orang Melayu ialah dapurnya yang segar. Sungai dan lautnya juga tempat dia menyimpan makanan yang segar.

Memetik kata-kata Prof. Muhammad Haji Salleh, "Kelas-kelas sastera sedang ditutup satu persatu. Berdentum bunyi pintunya!" Sastera menjadi subjek yang tidak relevan kerana ukuran kejayaan kita pada hari ini ialah daya hafal murid yang boleh memuntahkan kembali hafalannya DAN subjek yang boleh mendatangkan pulangan ekonomi. Sastera itu konon-kononnya kerja mudah, menung-menung dan angan-angan. Sesiapa pun boleh buat. Betapa jumud, ketinggalan dan klisenya pemikiran seperti ini.

Guru-guru sastera yang sedang membaca entri ini pula mungkin merasakan betapa tidak logiknya pelajar di kelas sastera membaca teks Hikayat Hang Tuah sedangkan prosa klasik pun terangkak-rangkak dihadam oleh pelajar sastera yang sering dilabel 'bermata merah' itu.

Inilah yang pernah saya tulis di dalam Dewan Sastera September 2011 bahawa sastera itu bukanlah untuk pelajar bermata merah. SASTERA ITU UNTUK PELAJAR YANG PINTAR SAHAJA! Hanya di Malaysia, pelajar dibahagikan kepada dua aliran, kata Prof Muhammad lagi, yang pandai pergi ke kelas sains dan tidak pandai pergi ke sastera; sehingga pelajar sastera ini berasa rendah diri dan malu mengaku dirinya kelas sastera. Negara maju yang lain tidak pernah buat seperti Malaysia.

Mungkin saya sahaja yang buat muka tak malu duduk dalam kelas sastera, menentang keras supaya dihantar ke Kolej Islam Kelang (pada ketika itu) untuk mengambil aliran sains. Saya suka belajar subjek sains dan matematik tetapi saya lebih mencintai sastera dan saya tidak bermasalah langsung dengan semua teks sastera yang dihidangkan walau apa genre sekalipun.

Dikotomi yang ketinggalan zaman ini telah menjadikan pelajar-pelajar penghafal nombor satu. Mereka yang mendapat A berderet-deret itu bukan lagi pelajar cemerlang yang sebenar cemerlang. Merekalah penghafal cemerlang. Apabila mereka muntahkan semula apa yang dihafal itu, mereka pun diisytiharkan sebagai pelajar cemerlang. Sampai di universiti, kalut jadinya!

20 - 30 tahun dari sekarang, Malaysia akan memiliki rakyat yang hebat dari aspek sains, matematik dan segala ilmu teknikal tetapi kosong jiwa. Kita semakin berjaya melahirkan robot-robot bernyawa, tanpa jiwa dan sudah ramai mahasiswa yang gagal membuat keputusan sendiri apatah lagi berkemampuan untuk berfikir. Yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara hanyalah yang terpilih dari para penghafal yang mengikuti kuliah-kuliah sains sahaja. Hanya yang kaya bolehlah pergi sendiri dan ambil subjek-subjek sains sosial dan sastera.

Hari ini kita melahirkan pelajar/mahasiswa secara industri (baca : kilang); secara besar-besaran. 

Hari ini bangsa kita dan semua bangsa di Malaysia menjadi bertambah rasis. Kita semakin tidak ada titik pertemuan. Tidak seperti pada tahun-tahun 70-an sehingga 90-an. Dahulu titik pertemuan kita adalah bahasa kebangsaan. Kita bangsa Melayu sudah semakin tidak percaya dengan bahasa mereka sendiri. Dalam drama Melayu pun lebih banyak kosa kata Inggeris, bercakap terjerit-jerit; pendek kata kesantunan dan akal budi orang-orang Melayu itu hancur luput. Bangsa yang tidak menerima raja-raja Melayu kerana kita tidak lagi membaca Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah.

Kandungan teks dalam tulisan jawi dan Inggeris (terjemahan)
Sains tidak mampu menerangkan konsep derhaka, daulat dan tulah. Perkataan biasa juga tidak mampu menerangkannya. Konsep itu hanya boleh difahami jika kita merendah diri dan tidak malu mengutip semula teks-teks ini untuk ditelaah. Hanya sastera boleh menerangkannya.

Lalu, mungkin mereka yang lebih sinikal akan berkata, daripada baca teks-teks lama ini, lebih baik baca Al-Quran. Ya, semakin ramai yang celik Al-Quran kerana mampu membaca, menghafal ayat-ayat tertentu sebagai pendinding sihir dan sebagainya. Tetapi, berapa ramai pula yang benar-benar membaca terjemahan Al-Quran sebagai rutin harian kemudian cuba pula untuk dibaca tafsirnya pada setiap hari; dan kemudian mengamalkan apa yang dibaca?

Orang Islam/Melayu semakin lemah kerana lebih banyak membaca di Facebook, berbanding membaca buku yang punya isi dan pemikiran. Kita masih lagi membaca karya pop atas alasan mencari yang santai. Soalnya sampai bila kita mahu mencari yang mudah dan takut atau melarikan diri daripada hal-hal yang mencabar.

Aneh, untuk menentang Yahudi pun kita haru menggunakan Facebook yang semua orang tahu ialah produk orang Yahudi juga! Kita sebarkan walau sebaris ayat Al-Quran melalui telefon bimbit, yang jenamanya juga milik orang Yahudi. Betapa ironik sekali.

Memetik kata-kata Prof Muhammad Haji Salleh, ada tiga genius orang-orang Melayu :
  1. Pantun 
  2. Sulalatus Salatin 
  3. Hikayat Hang Tuah
Pantun Melayu tulen amat dikagumi sarjana luar negara. Mereka takjub dengan cara orang-orang Melayu marhaen berfikir dan menuturkan pantun secara sepontan. Pantun ialah produk lisan. Hal-hal persuratan (bertulis) ialah kerja orang-orang istana. Rakyat biasa tidak tahu membaca dan menulis. Dengan kekurangan itu, mereka masih lagi mampu mengungkapkan suatu pemikiran luar biasa.


Pantun tidak akan mati, kata Prof Muhammad. Hatta dalam Dewan Rakyat pun ahli-ahli yang berhormat cuba berpantun (walaupun ada yang tunggang-langgang antara pembayang dan maksud, tetapi itu bukan soalnya). Di dalam majlis-majlis perkahwinan dan majlis rasmi juga pantun masih hidup. Yang lain-lain sudah lama mati. Syair, gurindam, seloka semuanya die a natural death.

Saya juga baru disedarkan apabila Prof Muhammad menyebut, tidak ada kajian Ph.D. (dalam kalangan orang Malaysia) tentang Hang Tuah. Setakat kajian peringkat sarjana dan sarjana muda ada saya temukan. Aneh, kita sendiri tidak ada orang yang menjadi pakar rujuk (di peringkat Ph.D) tentang tokoh kita sendiri. Saya percaya dalam sastera Inggeris pasti sudah ada beribu-ribu pemegang ijazah kedoktoran yang mengkhusus dalam kajian tentang Shakespeare.

Ada pelbagai versi Hang Tuah. Paling baru diterbitkan oleh Jemari Seni, edisi kanak-kanak dalam bentuk mewah. Berkulit tebal dan berwarna-warni. Harganya RM70. Ini versi yang sangat bermaruah untuk kanak-kanak. Saya sokong terbitan sebegini. Pastinya akan kedengaran lagi suara-suara sinikal yang menyatakan, siapa yang mampu atau sanggup membelikan buku sampai RM70 untuk kanak-kanak? Budak-budak tidak patut beli buku semahal itu, kata mereka. Boleh baca lanjut di blog The Malaysian Reader tentang ulasan dan foto Hikayat Hang Tuah terbitan Jemari Seni.

Oh, beli baju raya sampai RM50 - RM70, boleh pula? Apabila masuk hal buku, berkira pula ya?

Kembali kepada soal mentaliti. Apa yang sanggup kita dahulukan? Pendidikan untuk jiwa anak-anak atau pakaian luarannya sahaja. Sehingga kini saya masih lagi mengamalkan baju yang dipakai pada Hari Raya ialah 'baju raya'. Baju itu tidak semestinya dibeli pada musim perayaan. Bukankah itu lebih memudahkan. Hari Raya bukanlah hari memperagakan baju atau menyatakan bilangan baju yang ditempah. Mengapa kita harus menyokong dasar kapitalis!

Pengakhiran HHT mengambil bentuk kolofon seperti di dalam
penghujung hikayat-hikayat lama.
Saya bertemu dengan Prof Muhammad dalam Seminar Penterjemahan yang saya kejar dan mahu dapatkan ilmunya. Seminar kali ini mengkhusus kepada penterjemahan dalam kesusasteraan Melayu. Panel yang tidak kurang penting ialah Dr. Georges Voisset dari Perancis yang mencintai pantun Melayu dan telah menterjemah pantun-pantun kita dengan susah payahnya ke dalam bahasa Perancis.

Nampaknya, orang luar lebih menunjukkan kecintaannya terhadap pantun jauh lebih baik daripada orang-orang Melayu yang masih tidak sudah-sudah dengan pantun "Kalau ada sumur di ladang...", apabila mahu berpisah di dalam majlis, sepatah kata Prof. Muhammad lagi.

Melalui Prof. Muhammad Haji Salleh, pembaca yang tidak memahami edisi bahasa Melayu klasik dalam Hikayat Hang Tuah boleh membaca edisi di dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan Prof. Muhammad, pada saya tidaklah menjadikan teks ini terlalu mudah tetapi masih bermaruah. Dalam masa yang sama, terjemahannya menjadikan cara membaca dan menghadam teks ini di dalam bahasa Inggeris lebih bermakna.

Edisi terjemahannya diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia).

Bersama-sama Prof Emeritus / Sasterawan Negara
Dr. Muhammad Haji Salleh yang baru selesai mengautograf
karya Hikayat Hang Tuah yang telah diterjemahkan
ke dalam Bahasa Inggeris
Kredit foto : Rosy @ Rosnah Hassan


Catatan kenang-kenangan
Profesor Emeritus Sasterawan Negara
Dr. Muhammad Haji Salleh
"Semoga semakin banyak karya daripada pena saudara",
tulisnya.


 


Ulasan

Unknown berkata…
"Anak-anak muda yang tidak tahu hujung pangkal ini pun taksublah dengan dakwaan bahawa
Hang Tuah tidak wujud.
Apa perlunya Hang Tuah
Mengapa perlu ada institusi beraja
dan banyak lagi soalan sehingga orang-orang Melayu sendiri sanggup menghina rajanya. Di Facebook beranilah hendak mengata-ngata. Tindakan bacul orang-orang zaman kini yang berani sekadar menaip di Facebook, tidak mampu berhujah apatah lagi memberi komen secara koheren dan kalau komen di blog pun cuma berani guna nama "anonymous" (entah sesiapa). Cubalah bertentang mata dan katakan apa yang anda berani hendak katakan. Sebab itulah kebanyakan blogger yang saya temui lebih banyak yang kelu apabila disuruh berkata-kata. Di blog, bukan main lagi beraninya. "

kalaulah Malaysia ini mengamalkan kebebasan suara yang berhemah, memang tiada perlunya untuk menggunakan nama samaran. Kalau setakat mengkritik (secara berhemah) perbuatan raja pun, boleh dikenakan tindakan undang-undang, apa jaminan untuk mereka ingin berani kehadapan bersuara?
Nisah Haji Haron berkata…
Sdr Nazri Awang,

Memetik kata-kata sdr, "Kalau setakat mengkritik (secara berhemah) perbuatan raja pun, boleh dikenakan tindakan undang-undang, apa jaminan untuk mereka ingin berani kehadapan bersuara?"

Berani buat, berani tanggung. Barulah namanya anak jantan!

Orang Melayu sudah lama hebat dalam kata-kata berkias. Hari ini, kita sudah hilang kebijaksanaan itu. Cakap lepas. Bukankah sudah ada pepatah - cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Oleh sebab menulis di blog tidak perlu bertentang mata, kebanyakan yang meninggalkan komen di blog (dan mereka ini memberi respons apabila ada entri yang sedikit provokatif), dengan nama 'anonymous', nama samaran, nama tikus, nama kucing tetapi berani pula masuk ke blog dan mencabar entri orang yang menulis itu dengan maki hamun dan carut marut. Suruh dia menulis dan berhujah dengan teratur, tak mampu pula.

Oleh sebab saya malas hendak melayan mereka yang bermentaliti rendah ini, blog saya lebih berfokus kepada hal-hal yang tidak menyentuh isu politik. Terlalu ramai yang gagal berhujah, cuma pandai mengomen. Lagipun, menekan papan kekunci pada komputer/laptop ini bukannya susah sangat.

Undang-undang itu jelas. Mengapa yang tidak boleh itu juga yang mahu dicabar? Hal-hal yang lebih bermanfaat, mengapa tidak pula dilakukan? Apakah kita sangat 'dengki' dengan institusi beraja. Mereka ada tugas dan fungsi. Biarkan mereka dengan tugas mereka dan kitalah yang meneruskan fungsi kita sebagai manusia yang memberi manfaat kepada orang lain. Bukannya sibuk mengkritik tanpa manfaat.

Mari kita lakukan sesuatu yang ada faedahnya kepada diri dan bangsa!
luxen berkata…
Where can I buy the English translation? Is it available at MPH? I would love to see how the story ends and contact the writer.

A few years ago, I was given a tour of SOAS, London vault where they kept their most valuable collections. It was like a bank vault and only limited people had access to it. It was filled with old Malay and Jawi books and manuscript. They spend a lot of money buying these at open auctions. Too bad Malaysia doesn't have the funds and interest to own its history.
Nisah Haji Haron berkata…
Luxen,

Please contact, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. The book's retail price is RM250 (hardcover) - the one featured in my blog. You can also buy the soft cover (RM50).

E-mail : shuaimi@itnm.com.my for futher enquiries.

Or, let me know if you want us (webmaster@ujanailmu.com.my) to handle your purchase. Though we are yet to offer this book via www.ujanailmu.com.my, we would be very happy to assist you.

Thank you for asking.
A RAY OF HOPE berkata…
Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Berkenaan dengan pakar sains, matematik dan teknikal yang jiwanya kosong, saya harap Pn dapat rujuk laman sesawang berikut: http://www.kesturi.net. ASASi merupakan segolongan saintis yang berusaha menjiwai, mengisi dan meletakkan nilai kepada ilmu sains. Wallahuallam.
Nisah Haji Haron berkata…
Alaikumussalam "A Ray of Hope" :

Saya sudah lama menyedari kewujudan laman tersebut. Biasa juga berhubung dengan Dr. Alinor dalam hal-hal tertentu. Pun, kumpulan ini masih lagi minoriti kumpulan pakar sains yang 'berjiwa'. Sama seperti kumpulan penulis yang terdiri daripada pelajar sains yang menamakan diri mereka Grup Karyawan Luar Negara. Mereka juga minoriti yang punya kesedaran itu.

Secara institusinya, negara kita masih lagi menghadirkan pelajar sains yang hanya menjadi pelajar sains. Tidak kurang juga antara mereka yang memandang rendah kepada mereka yang berada di dalam aliran sastera sama ada secara pilihan atau faktor keadaan.

Semoga Asasi meneruskan perjuangan ini. Saya berbangga jika saya dibuktikan semakin tidak benar 20 tahun dari sekarang. Semoga kita juga mencipta pemandu jiwa yang berhemah di samping penciptaan kenderaan-kenderaan yang hebat dan avant-garde!
Unknown berkata…
Kritikan itu penting, raja bukanlah maksum. Segala apa yang dilakukan raja, apakah rakyat langsung tidak boleh menegur?

Memanglah berani buat, berani tanggung, tapi kalau nak bersuara sedikit pun, bakal berisiko dihukum dengan berat, bagaimana?

Sibuk mengkritik tanpa manfaat? Hmmm..
Unknown berkata…
pada pandangan saya, raja tidak maksum, sekiranya apa yang dilakukan salah, rakyat berhak mengkritik mereka.

"dengki" dengan institusi beraja? Oh God, no.

Percakapan berkias mahupun tidak, asalkan tutur-katanya elok, tidak memaki-hamun, atau mencarut. Tiada salahnya.

Manusia belajar daripada kesilapan, dan kritikan daripada pihak lain, penting dalam menyedarkan kita akan kekhilafan diri kita sendiri.

berani buat, berani tanggung? Jikalau undang-undang menyediakan perlindungan untuk kebebasan bersuara secara berhemah, mengapa tidak?
ninotaziz berkata…
Dear Pn Nisah,
Since you have read Hikayat, I believe you know my stand on this. Hopefully, we will be able to revive the love for our Malay icons, and the Malay heritage, not only in this land, but the whole Nusantara, in our own little way.
Unknown berkata…
ya,.. paling 'kokak' pun seumur hidup,... Saya setuju dengan yang itu,..
GaGaK berkata…
saya baru baca hikayat hang tuah kassim ahmad.....

saya sedang barkira2 umur hangtuah dalam buku tu di kabarkan hang tuah ke mekah pada 886 H.. 30 tahun sebelum Portugis langgar melaka.

Jadinya rasa puan jika (seperti dalam buku tersebut) Hang Nadim berumur 12 tahun semasa jebat di bunuh.. agaknya berapa umur hang nadim semasa beliau menjadi laksamana.. dalam rekod sejarah malah rekod portugis sendiri Hang Nadim ialah salah seorang yang berhadapan dengan serangan portugis pada 1411.

saya cuba selidik mengenai umur ni kerana Laksamana Hang Nadim lah sahaja bukti menunjukkan hang tuah tu wujud.

Catatan Popular